Trauma (filem)
Trauma merupakan sebuah filem ngeri psikologi Malaysia 2004 arahan dan tulisan oleh Aziz M. Osman.[2] Dibintangi oleh Amy Mastura, Nasha Aziz, Sharifah Aleya dan Azhar Sulaiman,[3] ia mengisahkan Nurul yang mengalami trauma selepas dua kali terbabit dalam kemalangan jalan raya. Kehadiran Jeslina telah mencetuskan suatu tragedi dalam hidup Nurul yang dikatakan mempunyai gangguan mental. Filem ini ditayangkan pada 22 Januari 2004.[4][5]
Trauma | |
---|---|
Pengarah | Aziz M. Osman |
Penulis | Aziz M. Osman |
Lakon layar | Aziz M. Osman |
Dihasilkan oleh | Gayatri Su-Lin Pillai (eksekutif) |
Dibintangi | |
Sinematografi | Bade Hj. Azmi |
Disunting oleh | Aziz M. Osman |
Muzik oleh | Azman Abu Hassan |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh |
|
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 103 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM1.2 juta |
Pecah panggung | RM1.3 juta |
Sinopsis
suntingKisah seorang gadis bernama Nurul, seorang arkitek berjaya yang mengalami trauma untuk memandu kereta selepas dia terbabit dalam kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, adiknya, Nadia serta teman lelakinya, Huzir banyak membantu memberi semangat serta sokongan supaya dia pulih sepenuhnya. Konflik filem ini bermula apabila Jeslina, pembantu peribadi kepada Huzir, mencetuskan perbalahan antara Nurul, Nadia dan Huzir.
Akibat percayakan kata-kata Jeslina, Nadia dan Huzir sanggup menghantar Nurul ke pusat rawatan psikologi di sebuah hospital sakit jiwa. Dalam diam, Huzir sudah terpikat pada Jeslina, sehinggakan keadaan menjadi tidak terkawal apabila Huzir membuat pengakuan mengenai hubungannya dengan Jeslina. Bahagian akhir filem ini memberi kejutan kerana ia akan menguji apakah Nurul boleh pulih daripada trauma bagi merungkai segala kekusutan serta konflik yang menyebabkan berlakunya hubungan renggang dengan adiknya.
Pelakon
sunting- Amy Mastura sebagai Nurul[1]
- Nasha Aziz sebagai Jeslina[1]
- Azhar Sulaiman sebagai Huzir[1][6]
- Sharifah Aleya sebagai Nadia[1]
- Seelan Paul sebagai Doktor[1]
- Zaiton Kassim sebagai Jururawat[1]
- Dol Baser sebagai Suami Jeslina[1]
Penerbitan
suntingTrauma ialah filem keenam terbitan Tayangan Unggul dan filem ke-20 arahan Aziz M. Osman.[7] Ia juga merupakan filem seram pertama arahannya. Sewaktu sidang akhbar selepas pratonton filem arahannya di pawagam TGV, KLCC, Aziz berkata: "Trauma ialah sebuah filem thriler saspens. Kalau saya sebagai penerbit, saya sendiri tidak berani menerbitkan filem seperti ini".[4]
Amy Mastura dan Azhar Sulaiman kembali digandingkan selepas dua filem lakonan mereka sebelum ini, Impian (1996) dan KLU (1999).[8][9] Amy yang sebelum ini berlakon di bawah arahan Aziz menerusi filem Puteri Impian (1997), memegang watak Nurul, seorang arkitek berjaya yang mengalami trauma selepas dua kali terbabit dalam kemalangan jalan raya. Beliau mengakui Trauma memberi pengalaman baru buatnya lebih-lebih lagi dalam kebanyakan filem lakonannya sebelum ini lebih tertumpu kepada watak-watak yang ceria.[4][10][11] Nasha Aziz memegang watak Jeslina, pembantu peribadi Huzir. Nasha mengakui wataknya dalam filem itu amat berbeza dengan filem-filem lakonannya sebelum ini. Trauma ialah filem kedua Nasha bersama Aziz selepas Puteri Impian.[4][12][13] Penyampai radio Era, Seelan Paul membuat kemunculan khas sebagai Doktor yang merawat Nurul. Kos penerbitan dan promosi dianggarkan berjumlah RM1.2 juta dengan penggambaran dijalankan di Genting Highlands, Pahang dan Kepong, Kuala Lumpur selama 41 hari dari November hingga Disember 2002.[4]
Keluaran dan sambutan
suntingFilem ini dikeluarkan pada 22 Januari 2004 di 33 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei[14][15][16] semasa sambutan Tahun Baru Cina.[17] Filem ini telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM600,000 dalam tempoh 4 hari tayangan,[18] kutipan meningkat sebanyak RM 1 juta dalam tempoh seminggu.[19]
Hanisah Selamat dari Berita Harian dalam ulasannya mengenai filem ini menulis: "Jika selama ini penonton tempatan sering disogokkan filem suspens-thriler Barat, Korea dan Jepun, kali ini Tayangan Unggul membawa 'angin' baru dengan membawakan hasil yang sama kualiti menerusi filem terbaru berjudul Trauma".[20] Akmal Abdullah dari akhbar sama memuji filem ini sebagai "filem ketiga terbaik Aziz M. Osman".[17] Ramlah Zainal, menulis untuk Harian Metro mengulas bahawa filem ini "ternyata menyimpang daripada tema filem Melayu yang biasa" sekaligus "menyuntik semangat baru dalam industri perfileman tempatan".[21] Meor Shariman dari The Malay Mail memuji keseluruhan jalan cerita filem ini.[22]
Pada April 2004, filem ini telah dikeluarkan dalam bentuk VCD oleh Golden Satellite.[23] Trauma terpilih mewakili Malaysia di Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (FFAP49) yang berlangsung pada September 2004 di Fukuoka, Jepun. Turut terpilih FFAP49 ialah Berlari Ke Langit dan Pontianak Harum Sundal Malam.[24] Filem ini telah dipertontonkan di televisyen buat pertama kali apabila ia disiarkan di Astro Ria pada 15 September 2005.[25]
Anugerah
suntingTahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2004 | Festival Filem Malaysia ke-17 | Pelakon Wanita Terbaik | Nasha Aziz | Menang |
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Sharifah Aleya | Menang | ||
2005 | Anugerah Skrin 2005 | Pelakon Wanita Terbaik | Nasha Aziz | Menang |
Rujukan
sunting- ^ a b c d e f g h "Catatan penerbitan Trauma". Filemkita.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-05-17. Dicapai pada 31 Julai 2017.
- ^ Hartati Hassan Basri (11 Januari 2004). "Trauma selit pembaharuan". Metro Ahad. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Sharifah Arfah (24 Januari 2004). "Scary after a slow start" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ a b c d e "Trauma yang mendebarkan". Utusan Malaysia. 18 Januari 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-12-01. Dicapai pada 31 Julai 2017.
- ^ Meor Shariman (14 November 2002). "Local cinema trauma" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 7 Januari 2020.
- ^ Meor Shariman (26 Disember 2002). "Azhar makes a comeback" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Sharifah Arfah (11 November 2002). "Taking a risk with 'Trauma'" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Hartati Hassan Basri (1 November 2002). "Trauma hidup Amy". Harian Metro. Dicapai pada 7 Januari 2020.
- ^ Izza Safinaz Ibrahim (5 November 2002). "Azhar, Amy hadapi 'Trauma'". Berita Harian. Dicapai pada 7 Januari 2020.
- ^ Hasleen Bachik (4 Februari 2004). "Tahan perasaan kerana 'trauma'". Berita Harian Singapura. m/s. 11.
- ^ Eri Akbar (17 Januari 2004). "She's had her fair share of Trauma" (dalam bahasa Inggeris). The New Paper. m/s. 31.
- ^ Zubir Mohd Yunos (2 November 2003). "Nasha Aziz masih dihantui kisah silam". Berita Minggu. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Ramlah Zainal (7 Januari 2004). "Trauma Nasha". Harian Metro. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Akmal Abdullah (2 Oktober 2003). "Trauma pembuka tirai 2004". Berita Harian. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Hanisah Selamat (13 Januari 2004). "Trauma ajak penonton bertukar angin". Berita Harian. Dicapai pada 3 Mac 2019.
- ^ Suraiya Mohd Nor (9 Januari 2004). "Kuliah Cinta, Trauma suntik semangat filem Melayu". Berita Harian. Dicapai pada 3 Mac 2019.
- ^ a b Akmal Abdullah (22 Januari 2004). "Trauma filem ketiga terbaik Aziz M. Osman". Berita Harian. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ "Trauma a sleeper hit" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 29 Januari 2004. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Akmal Abdullah (6 Februari 2004). "Kutipan Kuliah Cinta, Trauma menggalakkan". Berita Harian. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Hanisah Selamat (18 Januari 2004). "Kejutan Trauma". Berita Harian. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Ramlah Zainal (30 Januari 2004). "Tonjol kelainan". Harian Metro. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Meor Shariman (12 Januari 2004). "Will this traumatic thriller pull in the crowd?" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ "New movies in stores" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 8 April 2004. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ Akmal Abdullah (11 Jun 2004). "'BKL', 'Trauma', 'Pontianak Harum' dipilih ke Fukuoka". Berita Harian. Dicapai pada 8 Januari 2020.
- ^ "Trauma Nurul di Astro Ria". Berita Harian. 15 September 2005. Dicapai pada 8 Januari 2020.