Terier botak Amerika

baka anjing dari Amerika Syarikat
(Dilencongkan daripada Terier tidak berbulu Amerika)

Terier botak Amerika[a] ialah satu baka anjing teman dari Amerika Syarikat yang dikembangkan daripada terier tikus yang botak secara semula jadi.

Terier botak Amerika
Negara asalAmerika Syarikat
Trait
Berat 7–14 paun (3.2–6.4 kg)
Tinggi 10–18 inci (25–46 cm)
Bulu Botak, contoh berlapis bulu mempunyai lapis bulu pendek dan padat
Warna Pelbagai warna dan corak dengan putih
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah

sunting

Pada tahun 1972, seekor anak anjing betina yang sepenuhnya botak dilahirkan dalam seperinduk terier tikus baka tulen dan diadopsi oleh Willie dan Edwin Scott dari Louisiana.[1][2] Dengan nama Josephine, anjing betina ini mengakuri jenis terier tikus dalam setiap aspek kecuali lapis bulunya. Oleh itu, pasangan Scott membiakbakakannya. Perinduk pertamanya menghasilkan seekor lagi anak anjing betina botak, iaitu Gypsy.[1][2] Kedua-dua anjing betina ini tidak melahirkan seekor lagi anak anjing botak dalam berbilang perinduk sehingga, pada tahun 1981 pada usia sembilan tahun, Josephine menghasilkan dua ekor lagi anak anjing botak, seekor jantan dan seekor betina.[1][2] Pada 1983, anjing jantan itu, Snoopy, dikawankan dengan saudari botaknya dan banyak lagi anak anjing botak dilahirkan, lalu mengasaskan ternakan asasi untuk baka baharu ini.[1][2] Setelah pada asalnya berdaftar sebagai keragaman botak bagi terier tikus, akhirnya pasangan Scott menerima pakai nama baka berbeza untuk susur galur unik mereka dan mengasaskan sebuah kelab baka terpisah, iaitu American Hairless Terrier Association ("Persatuan Terier Botak Amerika").[1] Pada tahun 2004, United Kennel Club mengiktiraf susur galur ini sebagai baka dan, pada tahun 2016, American Kennel Club juga mengiktiraf baka ini.[3][4]

Perihal

sunting

Menurut piawaian baka United Kennel Club, terier botak Amerika biasa berdiri setinggi 10–18 inci (25–46 cm);[3] baka ini biasanya berukuran seberat 7–14 paun (3.2–6.4 kg).[1] Baka ini mempunyai telinga mencucuk dan dapat lahir sama ada dengan ekor yang pendek secara semula jadi atau ekor panjang, yang tidak pernah terpotong.[2]

Pada kelahiran, terier botak Amerika lahir dengan sedikit bulu halus di serata tubuhnya yang beransur-ansur gugur dari hidung ke arah belakang sehingga sepenuhnya bogel, namun ia kadang-kadang mengekalkan kening dan misai. Ini biasanya berlaku menjelang usia enam minggu.[1][2] Piawaian baka menyatakan bahawa kulitnya dapat memiliki sebarang warna, namun ia biasanya separa berwarna dengan bintik-bintik yang membesar seiring dengan usia.[3] Oleh sebab kekurangan bulu, baka ini khususnya rentan terhadap hipotermia dalam cuaca sejuk dan selaran matahari dalam keadaan cerah.[1][2]

Sesetengah terier botak Amerika lahir dengan lapis bulu; ia masih diakui sebagai contoh bagi baka ini.[1][2] Piawaian baka menyatakan bahawa contoh berlapis bulu bagi baka ini mempunyai lapis bulu pendek dan padat yang dapat berwarna putih padu atau dwiwarna, triwarna, sabel, dan brindle, sentiasa dengan sedikit putih.[3]

Lihat juga

sunting

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: تيريئر‎‎‎‎ بوتق اميريکا; bahasa Inggeris: American hairless terrier

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c d e f g h i Morris, Desmond (2002). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 557–558. ISBN 9781570762192. OCLC 859060407.
  2. ^ a b c d e f g h Wilcox, Bonnie; Walkowicz, Chris (1995). The Atlas of Dog Breeds of the World [Atlas Baka Anjing di Dunia] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-5). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 114–115. ISBN 9780793812844. OCLC 32596861.
  3. ^ a b c d "American Hairless Terrier" [Terier Botak Amerika]. United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 2019. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  4. ^ "American Hairless Terrier" [Terier Botak Amerika]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 Mac 2024.