Tengku Mahmood Mahyideen
Tengku Mahmood Mahyideen (1908-1954) atau dikenali sebagai Harimau Malaya merupakan anak kedua Tengku Abdul Kadir Kamaruddin yang dilahirkan pada sekitar 1870-an merupakan kerabat Kerajaan Pattani terakhir yang dikenali sebagai Phraya Pattani ke-5 yang telah dibuang negeri ke Kelantan.
Yang Amat Mulia Major Tengku Mahmood Mahyideen B. Tengku Abdul Kadir Kamaruddin تڠكو محمود مهيدين MBE, DPMK | |
---|---|
![]() Tengku Mahmood Mahyideen B. Tengku Abdul Kadir Kamaruddin berpakaian rasmi Force 136. | |
![]() | |
Dalam jawatan 1948–1953 | |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Patani, Siam (kini Thailand) | 30 Ogos 1908
Meninggal dunia | 12 Februari 1954 Kota Bharu, Kelantan, Persekutuan Tanah Melayu | (umur 45)
Tempat semadi | Makam Diraja Langgar, Kota Bharu |
Anugerah awam | Order of the British Empire (MBE), Darjah Dato' Paduka Mahkota Kelantan (Al-Muhammadi II) (DPMK) |
Nama panggilan | 'Harimau Malaya' |
Perkhidmatan tentera | |
Kesetiaan | ![]() Allied forces |
Cabang/khidmat | Special Operation Executive (SOE) |
Tahun khidmat | 1942–1945 |
Pangkat | Major |
Unit | Force 136 |
Perang/Pertempuran | Operation Zipper Operation Oatmeal Operation Gustavus Operation Hebrides |
Putera kedua Kerajaan Pattani terakhir ini telah dihantar melanjutkan pengajian di Turki sekitar tahun 1920-an oleh ayahandanya yang mempunyai hubungan yang akrab dengan kerajaan Turki ataupun dikenali sebagai Ottoman Empire bagi bidang ketenteraan. Penglibatan putera kedua ini di dalam pembebasan Tanah Melayu Pattani bermula sekitar 1939 apabila menyertai ayahandanya untuk melawan cengkaman siam di bawah Plaek Phibunsongkhram.
Baginda yang berpangkat Mejar di dalam pasukan Force 136 di bawah British telah mengetuai Melayu Pattani membuat rayuan untuk mengabungkan empat wilayah Melayu Pattani dengan Tanah Melayu. British pada mulanya bersetuju dengan cadangan Baginda bertindak membuat keputusan sebaliknya apabila ancaman Komunis mula wujud pada 1948 di Tanah Melayu. Bagi mengekalkan kekuasaan British di Tanah Melayu, Kerajaan British bekerjasama dengan Siam untuk menghapuskan pengaruh dan penjajahan Komunis pada masa itu.
Penguasa Pelajaran Negeri Kelantan
suntingTengku Mahmood Mahyideen telah dilantik menjadi Inspektor Sekolah Melayu pada tahun 1933. Tumpuan utamanya adalah menarik kanak-kanak, khususnya kanak-kanak Melayu, untuk memasuki sekolah-sekolah sekular. Sebelum itu, mereka lebih suka belajar di sekolah pondok. Beliau juga menggalakkan murid-murid perempuan belajar di sekolah kerajaan. Sebelum itu, kanak-kanak perempuan tidak dihantar ke sekolah. Salah satu hasil yang besar ialah usaha menubuhkan sekolah Inggeris kerajaan yang pertama di Kelantan, yang dikenali sebagai Ismail English School, di Kota Bharu (sekarang ini Maktab Sultan Ismail dan Sekolah Menengah Sultan Ismail). Dalam bidang sukarela, beliau juga telah bergiat cergas; contohnya, beliau telah dilantik menjadi Pesuruhanjaya Pengakap bagi negeri Kelantan. Pada tahun 1934, beliau telah mengetuai Rombongan Pengakap Negeri Kelantan ke Jambori Pengakap di Melbourne, Australia. Pada tahun 1938, beliau dengan rasminya dilantik menjadi Penguasa Pelajaran Negeri Kelantan.[1] [2]
Penyiaran Dan Ketenteraan British
suntingKelantan Volunteer Force
suntingMenjelang tahun 1940, Kelantan telah membentuk sebuah pasukan sukarelawan yang dikenali sebagai Kelantan Volunteer Force (K.V.F.).[3] Tengku Mahmood Mahyideen telahpun menyertai pasukan ini sejak 1939 lagi dengan berpangkat Company Quartermaster Sergeant.[4] K.V.F. ini dianggotai oleh sebahagian besarnya terdiri dari golongan guru dan kakitangan kerajaan yang menunjukkan minat dalam bidang ini. Apabila mencetus Perang Dunia Kedua, K.V.F. turut terlibat secara langsung untuk mempertahankan negeri Kelantan dari kemaraan tentera Jepun.[5] Sergeant Tengku Mahmood Mahyideen telah diarah bersama-sama K.V.F. bergabung dengan pasukan Brigade Ke 8 di-bawah 9th Indian Division yang bermarkas di Kota Bharu. [6]
Sebelum bandar Kuala Krai jatuh ke tangan tentera Jepun, Sergeant Tengku Mahmood Mahyideen bersama beberapa orang anggota K.V.F. mengambil keputusan untuk menerus perkhidmatan mereka membantu mempertahan tanahair dari pendudukan tentera Jepun. Walaupun K.V.F dibubar pada bulan Januari 1942[4], Beliau dan rakan-rakanya ingin terus bersama-sama dengan tentera British untuk menentang tentera Jepun. Anggota-anggota K.V.F. dan tentera British sempat mengadakan siri latihan bersama di Sungai Nal, berhampiran bandar Kuala Krai. Turut sama menyertai di dalam latihan singkat ini ialah Kompeni ke 4 Askar Melayu Di Raja yang sebelum ini bermarkas di Dabong, Ulu Kelantan. Berikutkan dengan kemaraan tentera Jepun yang begitu cepat sekali ke Kuala Krai ini, para anggota tentera yang berkumpul di sini diarahkan untuk berundur sambil bertahan ke selatan. Tengku Mahmood Mahyideen dan anggota tentera British yang Lain terpaksa terus berundur hingga ke Kuala Lipis, Pahang.[7]
Sepanjang pengunduran dengan menggunakan kereta api barang menuju ke selatan ini secara sulit dan membahayakan. Beberapa kali perjalanan kereta api ini tergendala dan anggota-anggota tentera British ini terpaksa mencari perlindungan di hutan-hutan dan paya sekitar daripada serangan Angkatan Udara Tentera Darat Imperial Jepun. Tengku Mahmood Mahyideen dan rakan-rakannya terpaksa berlihat atau tidur di bawah lori-lori tentera yang dibawa bersama di atas kereta api berkenaan. Setiba mereka di Kuala Lipis sekali mereka telah diarahkan meneruskan perjalanan menuju ke Singapura dengan kereta api yang sama[7]
Di Singapura mereka ditempatkan di Raden Mad English School, Pasir Panjang. Tengku Mahmood Mahyideen di hantar ke Geylang Serai. Kesemua barang-barang kepunyaan beliau seperti pistol, ubat dan sebagainnya telah diserah kepada Maarof bin Salleh, bekas anggota K.V.F. yang berundur bersama-sama Tengku Mahmood Mahyideen dari Kota Bharu dulu. [8] Tengku Mahmood Mahyideen berada di Singapura hanya untuk masa yang singkat sahaja sebelum beliau diarahkan untuk meninggalkan pulau Singapura dan pergi ke India. Beliau sempat berkhidmat di Radio Singapura, Bahagian Melayu sebelum berangkat ke India.[4]
Tragedi S.S. Kuala
suntingTengku Mahmood Mahyideen menumpang sebuah kapal yang dikenali sebagai 'S.S. Kuala' bersama-sama dengan tentera British yang lain dan mendapat arahan yang sama. Belumpun sempat kapal yang sudah aga tua usianya ini belayar jauh, sebaik sahaja tiba di paraian Pulau Pompong, Sumatera, ia telah diserang oleh tentera udara dari Pasukan kamikaze Jepun dan berjaya menenggelamkannya. Dalam peristiwa yang mencemaskan ini, Tengku Mahmood Mahyideen telah berjaya menyelamatkan beberapa orang anggota tentera British dari mati lemas. Mereka yang selamat ini telah berjaya mendarat di pantai Sumatera.[9] Dari sini Tengku Mahmood Mahyideen telah menumpang sebuah kapal lain untuk meneruskan pelayarannya ke India.
Penyiaran Suara Harimau Malaya
suntingTengku Mahmood Mahyideen tiba di India dengan selamat dan ditugas sebagai Pengelola dan Penyelaras di 'All India Radio, Bahagian Melayu' (A.I.R.B.M). Beliau juga menerbitkan satu siaran Melayu yang diberi nama 'Suara Harimau Malaya' dengan menggelarkan dirinya sebagai 'Raja Mopeng'[10]yang juga bertindak sebagai juruhebah. Siaran ini dikendalikan oleh Kementerian Penerangan British (British Ministry of imformation) yang dipancarkan siaranya ke Semenanjung Tahan Melayu. Pembukaan siaran ini didahului oleh lagu-lagu bernada patriotik (marching songs) dan paling kerap diperdengarkan ialah lagu 'Colonel Bogey'. Lagu ini adalah lagu pilihan dan kegemaran Tengku Mahmood Mahyideen. Sewaktu beliau belajar di Penang Free School, beliau menyertai Pasukan Pancaragam Cadet Corps dan mereka sering memainkan lagu ini.[11]
Force 136
suntingPada tahun 1943 setelah lebih kurang setahun Tengku Mahmood Mahyideen berkhidmat di A.I.R.B.M, beliau membuat keputusan untuk berhenti dari perkhidmatan ini. Ini adalah berkutan dengan penubuhan unit Force 136[12] [13] dan Tengku Mahmood Mahyideen berkecenderungan untuk memberi khidmat tenaga dan fikirannya di dalam unit tentera ini. Beliau telah menerima dan bersetuju untuk menjadi anggota Force 136 secara rasi dengan hati yang terbuka dan semangat tinggi.[14] Di atas kesediaan dan kerelaan ini, Tegku Mahmood Mahyideen dianugerahkan pangkat 'Major' yang disampaikan oleh Supreme Allied Commander, Admiral Lord Mountbatten sendiri.[15] Ini adalah satu penghargaan yang amat besar ertinya kepada Tengku Mahmood Mahyideen khasnya dan kepada orang-orang Melayu amnya;
".... By this time, British Intelligence had got arround to enlisting Tengku Mahmood Mahyideen as staff officer to advice on planning and organising the work to be done by the Malays in the eventual re-taking of Malaya." [16]
Sebagai seorang yang berpangkat Major, Tengku Mahmood Mahyideen sudah pasti memikul tangungjawab yang berat dan mencabar. Tugas pertama yang harus dilaksanakan ialah menubuhkan dan mengendalikan Unit Force 136, Bahagian Melayu. Untuk mendapatkan anggota-anggota Force 136, Bahagian Melayu ini tumpuan utama ialah kepada para pelajar Melayu yang berada di luar negeri. Sebahagian besar dari mereka berada di Arab Saudi, Mesir, Jordan, Palestin, Iraq, Britain dan di India sendiri.[17] Tengku Mahmood Mahyideen diarahkan untuk mengunjungi negara-negara berkenaan dalam usaha mempengaruhi para pelajar ini supaya menganggotai Force 136, Bahagian Melayu ini.
Segala perbelanjaan ini ditanggung oleh pihak British. Di India, Tengku Mahmood Mahyideen telah menyebarkan seruan ini melalui akhbar-akhbar tempatan selain daripada pergi menemui sendiri ke tempat para pelajar itu sendiri.[18] Hasil dari kunjungan dan seruan-seruan secara peribadi dan melalui akhbar ini seramai lebih kurang 30 orang telah berjaya dikumpulkan di sebuah banglo disewa oleh Tengku Mahmood Mahyideen di New Delhi dinamakan 'Malaya Lodge'. Siri penerangan, perbincangan dan dialog telah diadakan mengenai tujuan dan matlamat penubuhan Force 136, Bahagian Melayu ini ditubuhkan. Kesemua mereka yang hadir akhirnya bersetuju untuk menyertai unit ini.
Pada bulan September, 1942, bertempat di salah sebuah hotel di New Delhi, Tengku Mahmood Mahyideen telah mengadakan satu pertemuan khas dengan Kapten Ibrahim bin Ismail (sekarang General Tan Sri,) dari Johore Military Forces. Kapten Ibrahim sedang mengikuti latihan Pegawai Kadet di Indian Military Academy, Dehra Dun, India. TMM telah berjaya mempengaruhi beliau supaya menyertai Force 136, Bahagian Melayu yang sedang dirancangkan itu.
Setelah Force 136, Bahagian Melayu berjaya ditubuhkan dengan ahli yang kurang daripada 50 orang itu, Tengku Mahmood Mahyideen menjadi bertambah yakin akan keupayaan anggotanya mencapai matlamat yang dicita-citakan. Beliau dengan dibantu oleh beberapa orang pegawai British telah ditugaskan menjadi Instruktur di dalam hal-hal yang berkaitan dengan peperangan seperti penggunaan senjata, operasi dalam hutan, perhubungan, perisikan dan sabotaj. Major Tengku Mahmood Mahyideen juga bertindak sebagai Ketua Penasihat mengenai soal-soal yang berkaitan dengan Semenanjung Tanah Melayu:
"All Malayan matters the organisation’s chief adviser, especially on the names of possible Malay contacts to be made in the country, was handled by the organisation chief adviser, Tengku Mahmood Mahyideen himself…" [19]
Bagi Major Tengku Mahmood Mahyideen, beliau berpendapat bahawa jika berdasarkan kepada suasana peperangan masa itu beliau yakin bahawa pihak British akan berjaya kembali ke Tanah Melayu. Tentera Jepun pasti akan ditewaskan oleh tentera British dan bantuan dari gerakan-gerakan bawah tanah di Tanah Melayu sendiri seperti M.P.A.J.A. dan P.K.M.
Oleh itu bilangan orang Melayu yang kecil di luar negeri ini hendaklah dikumpulkan untuk membantu pihak tentera British melalui Force 136, Bahagian Melayu untuk membebaskan Tanah Melayu. Apabila berjaya dibebaskan nanti, pihak British sudah tentu kembali memerintah tetapi tidak akan melupai jasa dan bantuan yang telah diberikan.
Peranan Dalam Operasi Force 136
suntingMengenai tugas-tugas dan tanggungjawab yang harus dilakukan oleh Major Tengku Mahmood Mahyideen selain dari bertugas sebagai Instruktur dan Ketua Penasihat Force 136, Bahagian Melayu beliau juga memberikan perhatian khusus dan teliti terhadap operasi-operasi melalui laut dan udara yang akan dilancarkan ke Tanah Melayu. Operasi-operasi melalui kapal selam yang dikenali sebagai Gustavus I, II, III, IV, V, VI, VII manakala operasi-operasi melalui udara dikenali sebagai Operasi Kapal Terbang I atau Operasi Oatmeal, Operasi Kapal Terbang II atau Operasi Hebrides dan Operasi Kapal Terbang III. [20]
Sebelum operasi-operasi di atas dilancarkan anggota-anggotanya dipastikan terlebih dahulu berada di dalam keadaan yang benar-benar bersedia. Major TMM telah memberikan perhatian yang begitu teliti sejak dari awal hingga ke peringkat akhir terhadap salah satu operasi di atas iaitu operasi pertama melalui udara. Operasi yang dimaksudkan ini, Operasi Oatmeal merupakan operasi pertama yang akan membawa anggota-anggota dari Force 136, Bahagian Melayu. Anggota-anggotanya terdiri dari Kapten Ibrahim bin Ismail, Haji Mohd. Zain bin Jaafar, Haji Ahmad Nayan dan Haji Zakaria.[21]
Operasi Oatmeal
suntingPada 31 Oktober, 1944, Operasi Oatmeal dilancarkan. Penerbangan ini mengambil masa selama 15 jam dan sejauh 24,000 km untuk sampai ke perairan pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Anggota-anggota operasi ini telah diturunkan di tengah laut berhampiran dengan Pulau Perhentian, utara negeri Terengganu. Kesemua anggota ini berjaya tiba ke pantai pulau ini setelah menemui beberapa kesulitan. Walau bagaimanapun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa setelah gerakan mereka telah berjaya dikesan oleh salah seorang agen Jepun dan mereka telah ditahan di Kota Bharu untuk disoal siasat.
Kegagalan operasi pertama melalui udara ini ternyata telah mengecewakan banyak pihak terutamanya Major Tengku Mahmood Mahyideen dan anggota Operasi Oatmeal ini. Major Tengku Mahmood Mahyideen telah berusaha keras untuk melancarkan operasi ini dengan membawa hasil yang meyakinkan untuk gerakan-gerakan seterusnya. Tetapi kegagalan ini tidak menandakan kegagalan keseluruhan rancangan Force 136 atau kehilangan keyakinan terhadap kemampuan anggota-anggota Melayu di dalam unit tentera ini.
Operasi Hebrides
suntingDi dalam Operasi Kapal Terbang II atau HEBRIDES merupakan salah satu misi yang dijalankan oleh Force 136, yang bertujuan untuk menyusup masuk ke Malaya yang diduduki Jepun dan melancarkan operasi sabotaj serta menyokong gerakan penentangan tempatan.[22] Tengku Mahmood Mahyideen, terlibat dalam menyediakan anggota operasi dan memastikan mereka dilatih dengan baik sebelum dihantar ke Malaya melalui penerjunan udara. Sebagai ketua penasihat kepada Bahagian Melayu, beliau bertanggungjawab dalam menyelaraskan strategi operasi untuk memaksimumkan keberkesanan gerakan gerila tempatan.[23]
Pada 16 Disember 1944, sebagai sebahagian daripada Operasi Hebrides, sekumpulan lima ejen Melayu Force 136, termasuk Bahari Sidek, bersama dua pegawai British, Major Peter G. Dobree dan Captain Clifford, telah diterjunkan di Padang Cermin, berhampiran empangan Tasik Temenggor di Perak.[23] Misi utama mereka adalah untuk menubuhkan pasukan gerila di kawasan Ipoh dan Taiping, serta mewujudkan komunikasi tanpa wayar dengan ibu pejabat Force 136 di Kandy, Sri Lanka. [24]
Tengku Mahmood Mahyideen secara aktif memberikan sokongan strategik dengan memastikan peralatan radio dan senjata dihantar dengan selamat kepada ejen di lapangan. Beliau juga memainkan peranan dalam menyelaras rangkaian maklumat yang dihantar dari Malaya ke markas pusat untuk memperkukuh strategi penentangan.[23]
Operasi Zipper
suntingMatlamat akhir F 136 ialah untuk menawan kembali Tanah Melayu pada akhir tahun 1944 melalui Operasi Zipper yang akan bermula dari utara dan akan berakhir di Singapura. Ia dirancangkan akan dimulakan sebaik saja Burma Country Section berjaya menyingkirkan tentera Jepun dari Segenting Kra melalui Operasi Roggers.[26] Tetapi operasi terakhir yang dirancangkan ini dengan dibantu oleh pasukan-pasukan gerila dari dalam negeri yang telah dibentuk misalnya di utara negeri Perak dan di Pahang tidak sempat dilancarkan. Ini adalah berikutan penyerahan diri secara rasmi oleh tentera Jepun yang berada di Tanah Melayu dengan agak mengejut se setelah bandar Hiroshima dan Nagasaki di bom oleh tentera Berikat.
Major Tengku Mahmood Mahyideen telah kembali ke tanahair pada akhir bulan Oktober, 1945. Tanah Melayu ketika itu telah ditadbir kembali oleh Pentadbiran Tentera British (British Military Administration). Tidak lama selepas itu Unit Force 136 telah dibubarkan. Anggota-anggota Melayu di dalam Unit Force 136 ini telah selamat kembali ke kampung masing-masing setelah lebih kurang dua tahun menganggotai unit ini. Mereka telah memainkan peranan besar untuk mengempur pihak musuh (Jepun) dari dalam dan bertindak sebagai ‘duri dalam daging’. Kepulangan mereka tidak disambut dengan permaidani merah tetapi mereka memang bersedia untuk bermandi darah jika itu merupakan satu syarat untuk membebaskan tanahair, bangsa dan agama yang mereka cinta. Walaupun Major Tengku Mahmood Mahyideen tidak secara langsung terlibat dalam gerakan-gerakan gerila ini tetapi peranannya sebagai ‘master mind’ bagi Force 136 ini tidak dapat dianggap ringan dan mudah. Kelancaran operasi banyak bergantung kepada buah fikirannya.[2]
Salasilah Tengku Mahmood Mahyideen
sunting– Raja
– Tengku Mahmood Mahyideen
Tekanan Siam melalui British
suntingSatu persidangan telah diadakan di Songkhla pada 1949 di antara Siam - British yang dinamakan sebagai Persidangan Songkhla telah menuntut supaya pejuang pemisah dan saki baki Kesultanan Melayu Pattani di tangkap dan diserahkan kepada Siam termasuk Tengku Mahmood Mahyideen yang merupakan anggota keselamatan British berpangkat Mejar di dalam Force 136. Menjadi buruan Siam dengan bantuan organisasi British yang Baginda telah berkhidmat, Cubaan bunuh berlaku dengan beberapa serangan dirancang menyebabkan keadaan di Pattani tidak lagi selamat untuk Tengku Mahmood terus berada di Pattani. Tengku Mahmood telah membawa keluarga Baginda bersama pengikut setianya telah lari melalui jalan laut untuk masuk ke Tanah Melayu bertemu dengan kerabatnya di Kota Jembal melalui pintu masuk Sungai Pengkalan Datu sekitar pertengahan tahun 1949, menyertai keluarganya di Kampung Pauh Panji, bersebelahan Kota Jembal.
Baginda kemudiannya dikatakan telah lari masuk jauh ke Peringat dan membuka penempatan di sekitar menggunakan jalan sungai Kemasin yang bersambung dengan Sungai Pengkalan Datu bagi mengelakkan diburu British. Beliau yang turut membawa 15 ekor gajah yang memuatkan jongkong emas telah berjalan masuk ke hutan yang sekarang ini dikenali sebagai Kampung Bechah Mulong. Kepesatan pembangunan pekan kampung Bechah Mulong bersambung dengan laluan Sungai di mana terletaknya lokasi terakhir Tengku Mahmood dikesan. Sejarahnya kemudian disenyapkan dan hilang dari simpanan generasi bawahan.
Menukar nama kerabat
suntingBagi menyembunyikan identiti ketika diburu British dan Kerajaan Siam, Tengku Mahmood dikatakan tidak lagi memakai gelaran Tengku sebaliknya menukar nama keturunannya kepada Wan yang juga merujuk sebagai kerabat Kerajaan Melayu Pattani. Baginda juga dikatakan telah membuat satu kematian palsu dengan kejadian bunuh yang dirancang bagi mengelirukan British yang menjaga laluan darat ketika keluar daripada Pattani mengguna jalan laut. Semua kerabat terdekat termasuk isteri, anak dan cucunya telah dihantar lebih awal ke Tanah Melayu (Kelantan) bagi mendapatkan perlindungan daripada kerabat mereka dari Kesultanan Jembal.
Kematian
suntingTengku Mahmood Mahyideen meninggal dunia pada 12 Februari 1954 pada usia 45 di Kota Bharu selepas memnunaikan Solat fardhu Jumaat.[34] Pemergiannya berlaku secara tiba-tiba, dan tiada punca rasmi kematian yang didedahkan kepada umum.[34] Walaupun terdapat rasa ingin tahu dalam kalangan masyarakat, tiada sumber yang boleh dipercayai menunjukkan sebarang unsur jenayah atau keracunan.[34][35] Kematian beliau ditangisi ramai, mencerminkan pengaruh besarnya sebagai pendidik dan pembaharu sosial di Kelantan.[35]
Bagi penduduk Tanah Melayu, kematian Tengku Mahmood Mahyideen dianggap sebagai satu kehilangan yang besar dalam konteks perjuangan kemerdekaan. Sebelum sempat beliau menyumbangkan bakti sepenuhnya kepada agama, bangsa, dan negara, beliau telah meninggal dunia. Walaupun beliau berasal dari keluarga diraja,[35] Tengku Mahmood Mahyideen dikenali sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat dan sanggup berjuang demi kepentingan mereka. Peranannya sebagai tokoh penting dalam masyarakat menjadikan pemergiannya dirasai oleh ramai pihak.[36]
Gelaran dan Anugerah
suntingKehormatan Malaysia
sunting- Kelantan :
- Dato' Paduka Mahkota Kelantan (Al-Muhammadi II) (DPMK) – Dato' (1939)[36]
Kehormatan Antarabangsa
sunting- United Kingdom :
- Honorary Commander of the Order of the British Empire (MBE) (1946)[36]
Kehormatan Ketenteraan
suntingRujukan
sunting- ^ Majalah KILATAN, Sekolah Menengah Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan, Bil. 2, 1970.
- ^ a b Biografi Tengku Mahmood Mahyideen, Aziz bin Mahmood, p.135
- ^ K.V.F pada ketika ini dipimpin oleh Kapten H.A Anderson. Ia mengandungi Platun Melayu dan Europe's Lewis Gun Division. Keanggotaanya pada tahun 1936 adalah berjumlah 66 orang. Walaupun bilangan ini kecil, tetapi latihan-latihanya tersusun rapi dengan kehadiran yang memuaskan. Lihat; KAR 1937
- ^ a b c Sunday Times, Kuala Lumpur, 2nd. February, 1947. Lihat; LAMPIRAN XIII
- ^ Louis Allen, Singapore;1941-42, MPH Distributors (S) Pte.,Lta.,Singapore, 1977, p.166-121; Masanobu Tsuji,Singapore: The Japanese Version, trans., Margaret Lake, Constable, London, 1962
- ^ K.G.Tregoning, A History Of Moden Malaya, University of London Press, Lta., London, 1964, p.273
- ^ a b Biografi Tengku Mahmood Mahyideen, Aziz bin Mahmood, p.43
- ^ Keterangan: Maarof bin Salleh, temibual pada 7. Oktober, 1964 dikediamannya di Petaling Jaya, Selangor. (Aziz bin Mahmood)
- ^ Keterangan: Tun Mohd. Suffian bin Hashim, Aziz bin Mahmood telah bertemubual pada 4 Oktober, 1984 di kediamanya di Kuala Lumpur.
- ^ Selain dari Bahagian Melayu, A.I.R. yang berpusat di New Delhi ini juga mempunyai siaran Bahagian Indonesia dan China. Peranan utama siaran ini ialah untuk menyebarkan propaganda pihak British dan sekutunya bagi membasmi dakyah dan pengaruh Jepun serta negara-negara yang menyokong-nya. Propaganda yang dimaksudkan diselitkan di dalam bentuk perkhabar-an/berita mengenai keadaan perang, world affairs dan hal-hal yang ber-hubungan dan memihak kepada British.
- ^ Keterangan: Tun Muhammad Suffian bin Hashim,
- ^ Andrew Gilchirst, Bangkok Top Secret, Hutchinson, London, 1970, p.25,
- ^ Janusz Pielalkiewizc, Secret Agent, Spies and Saboteurs, David and Charles Ltd., London, 1974, p.44
- ^ Temubual Tun Muhammad Suffian . (Aziz bin Mahmood)
- ^ Ibrahim Ismail (Tan sri), Have you met Mariam?, Westlight Sdn. Bhd., Johor Bahru, Malaysia, 1984, p.56 Lihat LAMPIRAN XIV
- ^ General Tan Sri Ibrahim bin Ismail, Have you met Mariam?, Westlight Sdn. Bhd., Johor Bahru, Malaysia, 1984, p.56 Lihat LAMPIRAN XIV
- ^ Sunday times, op.cit. (Aziz bin Mahmood)
- ^ Notes on Malay in England by Major Tengku Mahmood Mahyideen, Personal File, Recruitment of Asiatic Outside Malaya, British Military Administration, 14312, Arkib Negara Malaysia.
- ^ Fail SUKK 65/1940
- ^ Biografi Tengku Mahmood Mahyideen, Aziz bin Mahmood, p.57
- ^ Ibrahim Ismail (Tan sri), Have you met Mariam?, Westlight Sdn. Bhd., Johor Bahru, Malaysia, 1984, p.44
- ^ "Special Operations Executive".
- ^ a b c Force 136 di Tanah Melayu
- ^ "Jabatan Muzium Negara tentang Tengku Mahmood Mahyideen".
- ^ Bayly & Harper, page 49
- ^ Kirby, S. W. (1957). The War Against Japan: The surrender of Japan. United Kingdom: H.M. Stationery Office, p.247
- ^ Temubual T. Sulaiman Sharifaddeen di Kota Bharu, 2017
- ^ Geni.com's Tengku Mahmood Mahyideen
- ^ Wikipedia Tengku Abdul Kadir Kamaruddin
- ^ Geni.com's Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Sultan Sulaiman Shariff Alauddin
- ^ Geni.com's Tuan Long Bongsu (Sultan Sulaiman Sharafudin) / (Raja Patani IV) / Phraya Patani
- ^ Geni.com's Long Ismail (Raja Muda Kg Laut) (31)
- ^ Geni.com's Yang Dipertuan Long Yunus (Raja Pemerintah Kelantan ke 16 (Memerintah tahun 1763-1795)
- ^ a b c Mohd, Zamberi A. Malek Harimau Malaya: biografi Tengku Mahmood Mahyiddeen. (1999). Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
- ^ a b c Biografi Tengku Mahmood Mahyideen, Aziz bin Mahmood, p.103
- ^ a b c Biografi Tengku Mahmood Mahyideen, Aziz bin Mahmood, p.113
- ^ a b c d Temubual T. Sulaiman Sharifaddeen, di Kota Bharu, 2019