Telapuk kuda

bahagian hujung kaki kuda yang menyerupai tulang

Telapuk kuda merupakan anggota di keliling falanks distal jari ketiga (jari III kaki pentadaktil asas vertebrata yang berevolusi menjadi sebatang jari penanggung beban yang tunggal pada golongan kuda) di setiap batang kaki spesies Equus, yang dilitupi oleh tisu lembut kompleks dan anggota-anggota berkeratin (terkematu). Memandangkan sebatang jari tunggal harus menanggung seluruh bahagian berat badan kuda yang ditanggung oleh kakinya, maka telapuk yang sihat dan kuat adalah amat penting kepada kuda.

Pandangan sisi telapuk kuda tanpa ladam. Gegelang koronet (1), dinding (2), jari (3), sukuan (4), tumit (5), bulba (6), P2 (pastern kecil) (7)

Anatomi

sunting
 
Telapuk tanpa ladam dalam peralihan, dipandang dari bawah. Butiran: heel perioplium (1), bulb (2), kekatak (3), alur tengah (4), alur sandaran (5), tumit (6), pepalang (7), sit kematu (8), dinding pigmen (lapisan luar) (9), garis air (lapisan dalam) (10), garis putih (11), hujung kekatak (12), tapak (13), jari (14), cara ukur lebar (15), sukuan (16), cara ukur panjang (17)

Telapuk kuda terdiri daripada bahagian luar iaitu kapsul telapuk (yang terbentuk daripada pelbagai anggota khusus yang terkematu) dan bahagian dalam yang mengandungi tisu-tisu lembut dan tulang. Bahan kapsul telapuk yang terkematu itu berbeza dari segi struktur dan sifat-sifatnya mengikut anggota. Secara dorsal, ia meliputi, melindungi dan menyokong tulang P3 (tulang pedal, PIII). Secara palmar/plantar, ia meliputi dan melindungi tisu-tisu lembut khusus (tendon, ligamen, tisu lemak serat dan/atau rawan serat, dan rawan). Batas atas kapsul telapuk yang seakan-akan bulat itu merupakan koronet (gegelang koronari) dengan sudut kepada tanah yang lebih kurang sama magnitudnya di setiap pasang kaki (depan dan belakang). Sudut-sudut ini berbeza dari kuda ke kuda, tetapi tidak ketara. Dinding berpunca dari gegelang koronet. Dinding itu lebih panjang di bahagian dorsal telapuk (jari), sederhana di bahagian lateral (sukuan) dan pendek sekali di bahagian palmar/plantar (tumit). Tumit dipisahkan oleh anggota yang bingkas iaitu kekatak. Di bahagian kura kaki yang palmar/plantar, di atas tumit dan kekatak, terdapat dua benjolan bujur yang dipanggil 'bulba'.

Apabila dilihat dari permukaan bawah, pinggir dinding telapuk yang bebas meliliti sebahagian besar telapuk itu. kekatak yang berbentuk segi tiga bertempat di pusat. Di sisi-sisi kekatak itu adalah dua alur yang makin posterior makin dalam, iaitu 'alur sandaran'. Di tumit, bahagian dinding yang palmar/plantar melengkung ke dalam secara mendadak, menyusuli permukaan luar alur sandaran untuk membentuk pepalang (atau bar). Permukaan bawah telapuk, dari dinding luar, kekatak dalaman ke pepalang, dilitupi oleh bahan berkeratin mengelupas yang dipanggil 'tapak'.

Hanya di bawah koronet, dindingnya dilitupi sepanjang seinci oleh suatu bahan 'periopel' terkematu yang legap. Di bahagian telapuk yang palmar/plantar, periopelnya lebih tebal dan liat pada tumit, malah bergabung dengan bahan kekatak. Bukan semua kuda memiliki jumlah periopel yang sama. Kaki yang kering lazimnya kekurangan bahan ini, tetapi boleh diganti dengan pembalut telapuk.