Tarian Lansaran merupakan tarian traditional suku kaum Murut bertumpu di suatu pelantar anjal di mana para penari melonjak-lonjak atasnya. Pada masa lalu, tarian itu diadakan bagi menyambut kepulangan para pahlawan yang telah mencapai kemenangan setelah bertarung di medan pertempuran. Ada beberapa jenis lansaran dilakukan sepanjang zaman termasuk sebagai suatu permainan, menjadi suatu acara dilakukan para pengayau sampai menjadi acara pementasan moden.[1]

Lantai lansaran atau lulungunan

Kelengkapan

sunting

Pelantar anjal

sunting

Tarian ini biasanya dilakukan di lantai khas yakni lansaran (seakar kata Murut lumasar "melambung"[2]) atau lulungunan[3] (barangkali turunan *luluN "menggulung"[4]) yang berukuran kira-kira 81 kaki persegi yang dibina di tengah-tengah rumah panjang yang diperbuat menggunakan kayu bulat. Kayu bulat dipasang berlapis-lapis secara khusus supaya lebih anjal dan mulur, lalu para penari boleh melantun di atasnya seperti pegas.

Suatu binaan mudah alih direka bina Suhairin Abd Kadir, seorang seniman asal Kota Kinabalu, sebagai persiapan mementaskan tarian ini pada acara Pesta Seni Borneo tahun 2017.[1]

Persalinan

sunting

Tarian ini dilakukan secara berkumpulan di mana para penari lelaki dan perempuan berpakaian tradisional khusus warna hitam dan hiasan manik-manik yang berwarna-warni; kaum lelaki memakai topi berbulu burung serta pakaian diperbuat daripada kulit kayu bercampur kain berwarna.

Tatamain

sunting

Peserta memasuki lansaran secara sukarela dan spontan malah tanpa had waktu tertentu.[1] Penari tarian ini membuat bulatan sambil melonjak-lonjak di atas lantai lansaran dengan diringi oleh bunyi hentakan susunan kayu bulat di bahagian bawah lantai lansaran, sambil itu penari lelaki akan melonjak ke atas untuk mencapai "kinkilat" (singkowoton) yang digantung di bahagian atas sambil bersorak tanda gagah.

Kemuncak tarian lansaran ialah berbalas-balas pantun tanda mengeratkan lagi tali silaturahim antara mereka.

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c Toh Min Min; Low Kok On (April 2021). "Lansaran etnik Murut Tahol: permainan atau tarian tradisional?". Gendang Alam. Universiti Malaysia Sabah. 11 (1): 143–68.
  2. ^ Ismail Abbas & Shaong (1984). m/s. 85.
  3. ^ Baboneau, N. B.; Woolley, G. C. (Nov 1922). "A Murut Vocabulary". Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. 86: 355.
  4. ^ "*luluN". Austronesian Comparative Dictionary Online. Dicapai pada 2024-06-27.
Sumber
  • Ismail Abbas; Shaong, Charles (1984). Tarian-tarian tradisional Sabah. Kota Kinabalu: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah.