Taman Mini Malaysia dan ASEAN
Koordinat: 2°16′50.5″N 102°18′02.3″E / 2.280694°N 102.300639°E
Taman Mini Malaysia dan ASEAN (nama rasmi: Mini Malaysia and ASEAN Cultural Park, disingkatkan sebagai MMACP) ialah sebuah taman tema bercirikan kebudayaan yang terdapat di Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN. Taman ini terletak di Ayer Keroh di negeri Melaka di mana ianya bertempat kira-kira satu kilometer dari Plaza Tol PLUS Ayer Keroh dan bersebelahan dengan Zoo Melaka[4].
Mini Malaysia and ASEAN Cultural Park ASEAN تامن ميني مليسيا دان | |
---|---|
Jenis | Taman rekreasi/kebudayaan |
Lokasi | Ayer Keroh, Melaka, Malaysia |
Dibuka pada | 17 Julai 1986 (Taman Mini Malaysia)[1] 3 September 1991 (Taman Mini ASEAN)[1] |
Dimiliki oleh | Perbadanan Melaka (MCORP)[2] |
Dikendalikan oleh | Kenako Events & Management Sdn. Bhd.[3] |
Status | Dijenamakan semula kepada Malaysia Heritage Studios |
Kos pembinaan | M$5.5 juta |
sunting |
MMACP dibahagikan kepada dua bahagian berdasarkan kepada tema dan tarikh pembukaannya. Seksyen Mini Malaysia atau Taman Mini Malaysia mula dibuka pada 17 Julai 1986, mempamerkan rumah tradisional dan hasil kraf tangan asli dari kesemua negeri dalam Malaysia[5]. Seksyen Mini ASEAN atau Taman Mini ASEAN pula mempamerkan rumah tradisional dari beberapa negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN)[6], mula dibuka pada 3 September 1991. Selain daripada itu, antara perkhidmatan yang disediakan di MMACP termasuklah bermalam di hostel, bermesyuarat dan mengadakan majlis perkahwinan[7].
Kawasan Taman Mini Malaysia dan ASEAN dimiliki oleh Perbadanan Melaka (MCORP)[2] (dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka[8]) iaitu sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Melaka dan diuruskan oleh syarikat swasta, Kenako Events & Management Sdn. Bhd[3]. Pada tahun 2024, MMACP dijenamakan semula sebagai Malaysia Heritage Studios di bawah pengurusan baharu ekoran terdapat aduan yang mengatakan bahawa MMACP tidak diuruskan dengan baik serta banyak fasiliti yang tidak diselenggara dan tidak selamat untuk digunakan[2]. Walaupun penjenamaan semula ini mengekalkan taman tema bercirikan kebudayaan seperti yang dibawa oleh MMACP, namun ia menawarkan pengalaman yang agak berbeza.
Sejarah
suntingProjek Taman Mini Malaysia mula diperkatakan sekitar tahun 1984 apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rahim Thamby Chik mengatakan bahawa projek pembinaan taman ini akan dikendalikan secara bersama dengan syarikat swasta[9]. Pada tahun 1985, projek ini telah dibincangkan semasa Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-13 apabila setiap ketua kerajaan negeri bersetuju dengan permintaan Kerajaan Negeri Melaka untuk mengemukakan reka bentuk dan membina rumah tradisional negeri masing-masing[10].
Pada 4 Jun 1986, Taman Mini Malaysia yang berkeluasan 11 hektar mula dibuka untuk tontonan umum dan ia juga mendapat liputan dari stesen televisyen RTM dan TV3 pada ketika itu[11]. Pada mulanya, tidak ramai pengunjung yang hadir ketika taman ini dibuka pada pukul 10 pagi kerana hujan lebat yang berterusan selama satu jam, namun bilangan pengunjung meningkat selepas cuaca bertambah baik[11]. Sebanyak 13 replika rumah tradisional yang mewakili setiap negeri di Malaysia telah dibina di mana pengunjung perlu membuka kasut jika mereka berhasrat untuk memasuki rumah-rumah tersebut[12]. Antara rumah tradisional yang dibina ialah Rumah Minangkabau dari Negeri Sembilan dan Rumah Panjang dari Sarawak.
Pada bulan Januari 1987, Kerajaan Negeri Melaka telah meminta pejabat kedutaan negara ASEAN pada ketika itu untuk mengemukakan cadangan reka bentuk rumah tradisional yang bakal dibina melalui projek Taman Mini ASEAN[13]. Indonesia menjadi negara ASEAN pertama yang menghantar reka bentuk rumah tradisional kepada Kerajaan Negeri Melaka, di mana mereka merancang untuk membina replika Istana Bugis dan rumah tradisional kaum Jawa yang dikenali sebagai "Joglo"[14]. Beberapa bulan selepas itu, Kerajaan Negeri Melaka telah mengemukakan kos pembinaan rumah-rumah tradisional kepada pejabat kedutaan selepas cadangan reka bentuk rumah diterima[15]. Menerusi pelan pembinaan projek Taman Mini ASEAN, ianya akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan enam hektar serta dikelilingi tasik semula jadi[15]. Projek pembinaan Taman Mini ASEAN di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka mula dilaksana sekitar tahun 1988 dengan kos pembinaan sebanyak M$1 juta[16].
Penjenamaan semula
suntingKhabar angin mengenai penutupan operasi dan pengambilalihan Taman Mini Malaysia dan ASEAN mula diperkatakan sejak tahun 2019[17]. Pada ketika itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari memberikan teguran kepada pengurusan taman selepas lawatan yang dilakukannya mendapati aspek penyelenggaraan kawasan dan rumah tidak diberikan perhatian[17]. Antara isu yang dibangkitkan adalah laluan pejalan kaki yang berlumut, bahagian dalam rumah tradisional yang tidak terurus[18] dan beberapa lokasi seperti taman peliharaan dan taman permainan kanak-kanak yang nampak seperti terbengkalai[18]. Pada bulan September pula, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) mencadangkan untuk menghentikan operasi MMACP apabila lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara mula meluahkan rasa tidak puas hati akan keadaan taman yang semakin tidak terurus[19].
Memasuki era COVID-19, Taman Mini Malaysia dan ASEAN beserta kesemua lokasi pelancongan lain diarah ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa bermula 18 Mac 2020. Pada 17 Julai 2020, pengurusan MMACP menawarkan kemasukan percuma ke taman ini bersempena dengan ulangtahun penubuhan yang ke-34, namun dihadkan kepada mereka yang memiliki kod nombor kad pengenalan 04 atau 30 sahaja[20]. Semasa era pemulihan pasca COVID-19, pengurusan MMACP giat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap kemudahan awam dan rumah-rumah tradisional oleh kerana sekatan rentas negeri telah ditarik dan pengunjung mula hadir ke taman ini[21].
Akhirnya, pada bulan Disember 2022, Taman Mini Malaysia dan ASEAN dijenamakan semula[22] sebagai Malaysia Heritage Studios apabila ianya mula dibuka untuk tontonan umum[23]. Kos projek naiktaraf MMACP kepada Malaysia Heritage Studios dianggarkan berjumlah RM20 juta[23] dan dikendalikan oleh syarikat swasta. Malaysia Heritage Studios masih lagi mengekalkan kesemua 13 rumah tradisional seperti yang diketengahkan melalui MMACP[22], namun membawakan konsep yang berbeza kerana menggunakan pendekatan teknologi dan berinteraktif[23].
Pameran dan tarikan
suntingTaman Mini Malaysia
suntingTaman Mini Malaysia menampilkan sebanyak 13 replika rumah tradisional yang terdapat di seluruh Malaysia dan maklumat sejarah di sebalik rumah-rumah, di mana setiap satu daripadanya menggambarkan seni bina bangunan seperti ukiran corak tradisional yang terdapat pada dinding rumah dan kraf tangan turun temurun yang hanya terdapat di 13 buah negeri tersebut[24]. Setiap isi rumah tradisional ini dipenuhi dengan patung manusia yang diperagakan dengan pakaian tradisional negeri terbabit serta menggambarkan pelbagai aspek kebudayaan Melayu seperti majlis berkhatan dan perkahwinan[25]. Seorang pengukir kayu dari Kelantan telah dibawa untuk mengukir corak tradisional pada pintu gerbang setiap rumah ini[24]. Rumah-rumah yang dipamerkan di Taman Mini Malaysia adalah:
- Rumah Johor - dikenali juga sebagai "Rumah Limas" dibina mengikut pengaruh Bugis[26].
- Rumah Kedah - memiliki bumbung dari seni bina lipat kajang, iaitu bumbung berbentuk "V" terbalik[26].
- Rumah Kelantan - dikenali juga sebagai "Rumah Tiang Duabelas", memiliki 12 tiang yang menyokong keseluruhan rumah ini[27].
- Rumah Melaka - paras rumah yang agak tinggi dengan binaan tangga berjubin dan bercorak[28].
- Rumah Negeri Sembilan - rumah tradisional dengan atap melengkung di bahagian kiri dan kanan dan bertingkat hasil daripada pengaruh Minangkabau[26].
- Rumah Pahang - rumah yang dibina dengan serambinya ditutup serta menggunakan rumbia pada bumbung rumah ini[27].
- Rumah Perak - dikenali juga sebagai "Rumah Kutai", dibina menggunakan bahan kayu buluh untuk tiang dan rangka bumbung dan atap dibina menggunakan daun nipah[27].
- Rumah Perlis - bumbung rumah dibina menggunakan daun buluh yang dianyam menggunakan corak tradisional kelarai[29].
- Rumah Pulau Pinang - pameran di dalam rumah ini banyak mengetengahkan maklumat mengenai seniman Malaysia, P. Ramlee kerana beliau berasal dari Pulau Pinang.
- Rumah Sabah - lantai rumah dibina menggunakan kayu buluh yang diikat bersama bagi memastikan ianya kukuh[30].
- Rumah Sarawak - diwakili oleh rumah panjang kaum Iban, dibina menggunakan bahan kayu keras dan pelepah rumbia yang dibawa khas dari Sarawak[28].
- Rumah Selangor - seni bina rumah berusia 60 tahun yang dibina menggunakan bahan kayu cengal, damar laut, kapur, kempas dan meranti[27].
- Rumah Terengganu - dikenali juga sebagai "Rumah Limas Terengganu", ia menggunakan corak kerawang yang diukir pada bahagian serambi rumah ini[27].
Taman Mini ASEAN
suntingTaman Mini ASEAN menampilkan kebudayaan dan warisan kaum yang terdapat di beberapa negara ASEAN dengan mengetengahkan rumah-rumah tradisional di negara tersebut, seperti reka bentuk dan corak tradisional yang diukir pada rumah-rumah ini[31]. Di dalam setiap rumah terdapat patung yang dihiasi dengan pakaian tradisional dan kelengkapan rumah yang membayangkan gaya hidup di sesebuah negara[32].
- Perkampungan Thailand - terdapat dua jenis rumah tradisional yang dibina di taman ini; rumah tradisional yang digunakan masyarakat tempatan dan rumah tradisional bagi keluarga diraja[33].
- Indonesia - terdapat dua jenis rumah tradisional di sini; "Joglo Mangkurat" iaitu rumah tradisional bagi kaum Jawa dan replika istana Bugis yang berasal dari Sulawesi Selatan[34].
- Rumah tradisional Singapura - seni bina rumah berdasarkan kepada ciri-ciri kaum Peranakan yang lahir di sana[34].
- Rumah tradisional Brunei - dikenali juga sebagai "Tangkup Berloteng", iaitu rumah air dibina mengelilingi kolam buatan[34].
- Filipina - terdapat dua jenis rumah tradisional di sini; rumah banglo ala Sepanyol dua tingkat dan rumah tradisional "Bahay Kubo" beratapkan jerami[34].
Rumah tradisional bagi negara ASEAN lain seperti Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar tidak dibina di taman ini memandangkan Taman Mini ASEAN telah dibangunkan sebelum penyertaan negara-negara tersebut ke dalam kesatuan ASEAN[32].
Sambutan
suntingBeberapa delegasi kerajaan luar pernah mengadakan lawatan ke Taman Mini Malaysia. Pada 11 Oktober 1987, delegasi kerajaan Czech yang diketuai Menteri Perdagangan Luar, Bohumil Urban meluangkan masa melawat beberapa lokasi pelancongan di Melaka, termasuklah Taman Mini Malaysia dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke Malaysia[35]. Pada bulan Februari 1989, Presiden Turki Kenan Evren bersama 23 pegawai delegasi bertemu dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rahim Thamby Chik dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Syed Ahmad Shahabuddin dan melawat Taman Mini Malaysia[36].
Sumber
sunting- ^ a b "Taman Mini Malaysia dan ASEAN". MPHTJ. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 September 2024. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ a b c "Taman Mini Malaysia, ASEAN perlu henti operasi". Sinar Harian. 16 September 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 September 2020. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ a b "Kenako Events & Management Sdn. Bhd". Majalah.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 September 2024. Dicapai pada 24 September 2024.
- ^ Ah Choy, Er. "Pembangunan pelancongan lestari di Melaka: Perspektif pelancong". Geografia – Malaysian Journal of Society and Space. 9 (3 (2013)): 12–23. ISSN 2682-7727. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ "About Us". MMACP. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Disember 2021. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ "Dekat-dekat tetapi memikat". Berita Harian. 30 Ogos 1997. m/s. 12. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ "Facilities". MMACP. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Januari 2022. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ Salman Hamat (12 November 2022). "PKNM dikenali MCorp tahun hadapan". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Disember 2022. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ "10,000 houses to be built by Malacca". New Straits Times. 14 Ogos 1984. m/s. 4. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ Khairuddin Hassan (1 Julai 1985). "States vote 'no glamour projects' ". New Straits Times. m/s. 4. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ a b "Rainfall fails to dampen opening of Mini Malaysia". New Straits Times. 5 Jun 1986. m/s. 4. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ "Sheds for visitors". New Straits Times. 16 Disember 1987. m/s. 10. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ "Getting Unesco to help restore fort". New Straits Times. 14 Januari 1987. m/s. 4. Dicapai pada 1 Oktober 2024.
- ^ "Asean village: Indons submit design". New Straits Times. 17 Februari 1987. m/s. 10. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ a b "ASEAN MUSEUMS TO ASSIST IN STATE PROJECT". New Straits Times. 20 Oktober 1987. m/s. 10. Dicapai pada 1 Oktober 2024.
- ^ P. Selvarani (8 Jun 1988). "Dynamic new image for 'sleepy' Malacca". New Straits Times. m/s. 6. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ a b "Tarif air di Melaka akan naik - KM". Malaysiakini. 11 Januari 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2023. Dicapai pada 2 Oktober 2024.
- ^ a b "Sedih lihat Taman Mini Malaysia, Asean". Sinar Harian. 13 Januari 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Oktober 2024. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ "Taman Mini Malaysia, ASEAN perlu henti operasi". Sinar Harian. 16 September 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 September 2024. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ Mohamad Fazrul Abdul Majid (14 Julai 2020). "Masuk percuma ke Taman Mini Malaysia". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Oktober 2024. Dicapai pada 4 Oktober 2024.
- ^ Liana Sahabudin (11 Oktober 2021). "Mini Malaysia kembali 'bernafas'". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Mei 2024. Dicapai pada 4 Oktober 2024.
- ^ a b Norafiqah Jamal (5 Februari 2024). "'Taman warisan ajaib' beri nilai tambah pelancongan Melaka". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 September 2024. Dicapai pada 4 Oktober 2024.
- ^ a b c "Malaysia Heritage Studios in Melaka gradually opens from tomorrow". Bernama. 17 Disember 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 September 2024. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ a b Jeman Sulaiman (6 September 1988). "Lifestyle showcases". The Straits Times. m/s. 5. Dicapai pada 24 September 2024.
- ^ "160 delegates to visit Malacca's cultural village". New Straits Times. 9 April 1986. m/s. 5. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ a b c Dewani Abbas (5 Julai 1987). "Ciri unik rumah Melayu di Taman Mini Malaysia". Berita Harian. m/s. 3. Dicapai pada 24 September 2024.
- ^ a b c d e Fairuz Zaidan (6 Disember 2003). "Senibina lama terpelihara di taman mini Malaysia" (PDF). Berita Harian. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 25 September 2024. Dicapai pada 25 September 2024.
- ^ a b Loh Tuan Lee (30 September 1988). "Mini Malaysia in Malacca". The New Paper. m/s. 29. Dicapai pada 24 September 2024.
- ^ Taufik, Nur Syahidah; Md Sharif, Harlina; Abdul Razak, Rajabi (31 Ogos 2022). "The Art of Kelarai in Malay Architecture". International Journal of Environment, Architecture, and Societies. 2 (2 (Ogos 2022)): 122–135. doi:10.26418/ijeas.2022.2.02.122-135. ISSN 2775-8540. Dicapai pada 25 September 2024.
- ^ "Melaka banyak daya penarik". Berita Harian. 21 Oktober 1988. m/s. 11. Dicapai pada 25 September 2024.
- ^ "Cultural eye-opener at Ayer Keroh". New Straits Times. 23 Disember 1999. m/s. 17. Dicapai pada 1 Oktober 2024.
- ^ a b "Milestones in tourism". New Straits Times. 4 September 1991. m/s. 7. Dicapai pada 1 Oktober 2024.
- ^ Zalina Mohd Som (20 Disember 2000). "Experience Malaysia and Asean in a day ". New Straits Times. m/s. 12. Dicapai pada 30 September 2024.
- ^ a b c d P. Selvarani (15 Ogos 1990). "Blending the old and new". New Straits Times. m/s. 5. Dicapai pada 1 Oktober 2024.
- ^ "Minister visit". New Straits Times. 12 Oktober 1987. m/s. 13. Dicapai pada 20 September 2024.
- ^ "EVREN TOURS MALACCA". New Straits Times. 22 Februari 1989. m/s. 4. Dicapai pada 20 September 2024.
Lihat juga
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan Taman Mini Malaysia dan ASEAN |