Sungai Inki
Sungai Inki terletak di Kalumpang, Selangor, Malaysia. Sungai ini mengalir hingga di antara Kampung Gumut dan Gumut Tambahan. Seterusnya hingga ke Hulu Bernam dan menjadi pemisah antara Selangor dan Perak yang dinamakan Sungai Bernam.
Sungai Inki |
---|
Sungai Inki cukup sinonim dengan orang Kalumpang dan pencinta alam semula jadi yang biasa ke sana apatah lagi yang suka mandi manda serta berkelah di sungai yang mana suasananya sungguh nyaman.
Air daripada sungai ini yang paling ulu sekali juga direzabkan sebagai kawasan tadahan hujan yang menjadi tempat larangan yang diselenggara oleh Jabatan Bekalan Air bagi seluruh kawasan Kalumpang. Sungai ini juga adalah penyumbang kepada bekalan air bersih yang disalirkan terus ke loji pembersihan untuk diproses. Selain itu sungai ini juga mempunyai cabang sungai kecil yang menjadi sumber air untuk kegunaan orang-orang di Kampung Pasir Puteh pada era 1950-an hingga ke 80-an. Orang kampung telah membina sebuah 'Pancur' yang dibahagikan dua untuk mengasingkan pengguna laki-laki dan perempuan. Malangnya pancur ini tidak lagi popular seperti dahulu kerana pembangunan telah merubah corak kehidupan orang kampung dan 100% penduduk di Kampung ini telah mendapatkan bekalan air paip bersih.
Di sepanjang Sungai Inki ada beberapa tempat yang telah diberinama oleh orang-orang Kampung Pasir Puteh di mana yang paling atas sekali dibina taman rekreasi siap dengan wakaf untuk sekeluarga berkelah yang dipanggil 'tempat rekreasi'. Kemudian ke bawah sedikit telah dimajukan oleh seorang pengusaha Challet yang menamakan tempat itu sebagai 'Kalumpang Recreation & Training Resort - KRTC', ke bawah sedikit ada sebuah tempat yang agak popular di kalangan orang yang pernah ke sana. Ia menjadi tempat paling digemari oleh penduduk kampung berdekatan untuk berkelah dan mandi manda yang dinamakan 'Jambatan Roboh' kemudian diikuti dengan sebuah tempat yang dinamakan 'Lubuk Tempayan' dan di muara pula dinamakan 'Sungai Kala' berdekatan dengan pengusaha Challet yang sama yang menamakan tempat itu sebagai 'Pasir Putih Resort'.