Skala keamatan Mercalli (atau ringkasnya skala Mercalli) ialah suatu sistem skala seismos yang digunakan untuk mengukur keamatan suatu gempa bumi. Ia mengukur kesan gempa bumi, dan berbeza daripada skala magnitud momen yang lazim dilaporkan bagi suatu gempa bumi (atau sebelum itu skala Richter ), yang merupakan ukuran tenaga yang terbebas. Keamatan gempa bumi tidak ditentukan seluruhnya oleh magnitud.

Skala ini menyatakan kuantiti kesan gempa bumi terhadap permukaan Bumi, manusia, objek alam sekitar dan struktur buatan-manusia pada skala antara I (tidak dirasakan) dan XII (kemusnahan menyeluruh).[1][2] Selain kekuatan gempa, nilainya juga bergantung kepada lokasinya, dengan keamatan tertinggi di sekitar pusat gempa.

Skala Mercalli dicipta oleh seorang pakar sains gunung berapi berbangsa Itali bernama Giuseppe Mercalli bagi mengukur kekuatan gempa bumi, berdasarkan skala Rossi–Forel, pada tahun 1902. Skala Mercalli, yang kini telah diubahsuai beberapa kali, terbahagi kepada 12 pecahan dengan menemuramah mereka yang terselamat dan juga dengan melihat dan membandingkan tahap kerosakan, kesan daripada gempa bumi tersebut. Oleh itu skala Mercalli dianggap sebagai sangat subjektif dan kurang tepat berbanding skala berdasarkan magnitud. Disebabkan itu, pada masa sekarang skala magnitud momen lebih meluas digunakan untuk mengukur kekuatan gempa bumi. Tetapi skala Mercalli yang diubahsuai, masih boleh digunakan sekiranya tidak terdapat peralatan mesin seismograf bagi mengukur kekuatan gempa bumi di kawasan kejadian.[3]

Skala Keamatan Mercalli Terubahsuai

sunting

Skala Keamatan Mercalli Terubahsuai (MMI) ialah skala yang digunakan kini. Tahap bawah skala ini memberikan penekanan bagaimana gempa bumi dirasai oleh manusia. Manakala bahagian atas skala ini mengutamakan kerosakan yang berlaku disebabkan oleh gempa bumi itu.

Anggaran ukuran Skala Keamatan Mercalli Terubahsuai dan dikumpulkan kepada empat kategori (ringan, sederhana, kuat, kejam) kecuali skala MMI I adalah seperti di bawah:[3]

  • Tiada kategori
    • Tidak terasa
  • Gempa bumi ringan
    • Terasa oleh orang yang berada di bangunan tinggi
    • Getaran dirasakan seperti ada lori yang berat melintas.
    • Getaran dirasakan seperti ada benda berat yang melanggar dinding rumah, benda tergantung bergoyang.
  • Gempa bumi sederhana
    • Dapat dirasakan di luar rumah, hiasan dinding bergerak, benda kecil di atas rak mampu jatuh.
  • Gempa bumi kuat
    • Terasa oleh hampir semua orang, dinding rumah rosak.
    • Dinding pagar yang tidak kuat pecah, orang tidak dapat berjalan/berdiri.
    • Bangunan yang tidak kuat akan mengalami kerosakan.
  • Gempa bumi kejam
    • Bangunan yang tidak kuat akan mengalami kerosakan teruk.
    • Jambatan, empangan dan tangga rosak, terjadi tanah runtuh.
    • Rel kereta api musnah.
    • Seluruh bangunan hancur dan hancur lebur.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ "Magnitude / Intensity Comparison". USGS. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-23. Dicapai pada 1 November 2013.
  2. ^ "Modified Mercalli Intensity Scale". Association of Bay Area Governments (ABAG).
  3. ^ a b "Perbandingan Gempa Bumi". Dr. Wan Zuhairi bin Wan Yaacob, UKM. 2005. Dicapai pada 1 Mac 2014.

Pautan luar

sunting