Siri Bercakap Dengan Jin
Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) adalah novel seram bersiri yang diterbitkan dalam majalah kecil Variasari sekitar April 1981- Januari 2005. Novel mistik ini telah mencetuskan fenomena pada tahun 1980-an. Hasil popularitinya, majalah Variasari pernah dicetak sehingga 120,000 naskhah sebulan. Syarikat penerbitan Variapop Group terletak di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, dimiliki oleh Mustapa Ton. Variapop Group menerbitkan majalah hiburan Variasari dan Variapop. Selama hampir 30 tahun penulis Tamar Jalis menyembunyikan diri dari khalayak ramai. Akhirnya beliau keluar dari belantara sepi dengan nama sebenar Ahmad Mahmud atau Mohd Radzi Mahmud (73 tahun) berasal dari Beruas, Perak. Isteri beliau Maznah Mohd Isa berusia 63 tahun.[1]
Siri Bercakap Dengan Jin telah ditulis oleh Tamar Jalis/Ahmad Mahmud dalam 284 siri dalam tempoh 23 tahun 6 bulan. Ia merupakan satu rekod Malaysia. Ada yang membandingkannya dengan penulis JK Rowling menerusi Harry Potter. Sebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupun remaja. Idea untuk menulis novel mistik SBDJ ini adalah untuk menaikkan jualan majalah Variasari. Ketika itu beliau berusia 40-an dan mahu serius dalam penulisan. Beliau merasakan perlu merakamkan pengalamannya mengikuti datuknya, seorang pengamal perubatan tradisional di sekitar negeri Perak. Pengalaman melihat dan mendengar suara makhluk halus khususnya daripada individu yang dirasuk jin memberi idea untuk beliau menulis. Rumahnya bersebelahan dengan rumah datuknya dan menjadi cucu kesayangan. Setiap kali datuknya pergi mengubat mereka yang kerasukan jin, cucu itu akan dibawa bersama.
Cetak semula dalam bentuk novel
suntingSyarikat penerbitan Nafiela Books telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan Siri Bercakap Dengan Jin dalam bentuk novel jilid 1 hingga 18.Jilid 1 sebanyak 50,000 naskhah. Setiap jilid novel SBDJ mengandungi 24 siri.[2] Ketua Pegawai Eksekutif Nafiela, Encik Syamreen Azam Shafie menyatakan novel Siri Bercakap Dengan Jin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris.
Tamar Jalis di TV1
suntingPada 4 Ogos 2011, program Selamat Pagi Malaysia, TV1 telah menjemput Tamar Jalis/Ahmad Mahmud ke studio untuk ditemubual dan bersoaljawab dengan peminat. Temubual ini sempena Wacana dan Pameran Siri Bercakap Dengan Jin di Ipoh, Perak pada Jun 2011.
Wacana dan Pameran Siri Bercakap Dengan Jin
suntingWacana dan Pameran Siri Bercakap Dengan Jin telah diadakan di Ipoh, Perak pada 20 Jun 2011. Beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh pensyarah dari UPSI, USM, IPG Kampus Ipoh dan Presiden Persatuan Karyawan Pk. Mereka membicarakan tentang sejarah, kembara, geografi, petua, kisah benar, psikologi, sosio budaya Melayu serta alam bunian dan jin di Malaysia khususnya di Perak yang disentuh oleh penulisnya.
Pameran SBDJ telah diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Perak, Ipoh dari 16 Jun hingga 16 Julai 2011.[3] Majlis itu dimeriahkan oleh perasmian Dato' Zainol Fadzi Paharudin selaku EXCO Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Antara pembentang wacana ialah Ketua Jabatan Kesusasteraan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Rosli Saludin; Pensyarah Kesusasteraan UPSI, Prof Madya Dr Talib Samat dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Afandy Yusof dan Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk], Hj Zabidin Ismail.[4]
Siri TV Bercakap Dengan Jin.
suntingPada tahun 2015, siri Bercakap Dengan Jin telah ditayangkan di saluran Astro Mustika HD dan Astro Bella. Siri ini diterbitkan oleh Datuk Yusuf Haslam dibawah Skop Productions, dan diarahkan oleh Londo Zawawi dan C. Kumaresan. Drama bersiri ini berjumlah 13 episod. Siri ini dibintangi oleh Datuk Rahim Razali sebagai Atuk, dan Zakaria bin Ahmad sebagai Tamar (dewasa).
Rujukan
sunting- ^ Tamar Jalis pinjam nama jin
- ^ [novelsbdj.blogspot.com Tamar Jalis dan Nafiela Books di Dataran Menara Condong, Teluk Intan]
- ^ Siri Bercakap dengan JinKisah Kulup Muhamad Diah dengan cucunya
- ^ [novelsbdj.blogspot.com Tamar Jalis dan Siri Bercakap Dengan Jin]
5. Yusuf Haslam Tunggu 23 Tahun Terbitkan Drama 'Bercakap Dengan Jin.' MStar Online 31 Oktober, 2014.
6. Astro Awani Online.