Sejarah Kemboja
Wilayah yang kini dikenali sebagai negara Kemboja telah diduduki oleh manusia semenjak alaf ke-5 SM.[1] Kerajaan Funan purba menakluki kawasan yang lebih luas, malah pada ketika itulah budayanya sarat dengan pengaruh agama Hindu. Maka bangkitnya kerjaan Chenla. Empayar Khmer menikmati zaman kegemilangan pada abad ke-9 hingga abad ke-13 ketika terbinanya kompleks-kompleks kuil tesergam, terutamanya Angkor Wat.
Kemboja dikunjungi oleh mubaligh Sepanyol dan Portugis sejak abad ke-16, kemudian dijadikan negeri naungan Perancis pada abad ke-19 sebagai sebahagian daripada Indochina Perancis. Kemboja merdeka pada tahun 1953 sebagai negara beraja pimpinan Norodom Sihanouk. Kemboja dilimpahi oleh Perang Vietnam yang menyebabkan bangkitnya Khmer Rouge yang merampas tampuk pemerintahan pada 1975 dan menjalankan pembasmian kaum. Ekoran pencerobohan Vietnam, Khmer Rouge digulingkan dan digantikan dengan Republik Rakyat Kampuchea. Setelah bertahun-tahun terpencil, negara yang runtuh akibat perang ini disatukan semula dengan pemerintana beraja pada 1993 dan menyaksikan pembangunan ekonomi pesat sambil membina semula dari sisa kebinasaan perang.
Prasejarah
suntingTerdapat bukti yang jarang akan terdapatnya pendudukan manusia di wilayah Kemboja pada zaman Pleistosen, termasuklah alat-alat kerakal kuarza dan kuarzit yang terdapat di deret-deret rumah sepanjang Sungai Mekong di wilayah-wilayah Stung Treng, Kratié dan Kampot, tetapi pentarikhannya sukar boleh diharap.[2]
Terdapat sedikit bukti kaji purba yang menandakan bahawa masyarakat pemburu-pengumpul menduduki Kemboja pada zaman Holosen: tapak kaji purba yang paling tua di Kemboja kononnya adalah gua Laang Spean di Wilayah Battambang yang tergolong dalam zaman Hoabinh. Usaha penggalian di lapisan-lapisan paling dasarnya membuahkan serangkai pentarikhan radiokarbon yang menjangkau seawal 6000 SM.[2][3] Manakala lapisan-lapisan atas di tapak gua tersebut membuahkan bukti peralihan ke zaman Neolitik yang mengandugni tembikar seramik yang tertua di Kemboja.[4]
Rekod-rekod kaji purba bagi tempoh dari Holosen ke Zaman Besi masih jarang. Lain-lain tapak prasejarah yang belum tentu tarikhnya adalah Samrong Sen (yang tidak jauh dari ibu kota lama Udong), di mana penyelidikan pertama bermula pada 1875,[5] dan Phum Snay di wilayah utara Banteay Meanchey.[6] Usaha penggalian di Phum Snay menemukan 21 buah kubur dengan persenjataan besi dan kecederaan di tempurung tengkorak yang menungkin menandakan peperangan di zaman lampau, mungkin sekali dengan negeri-negeri terbesar di Angkor.[7] Artifak prasejarah sering ditemui dalam kerja pelombongan di Ratanakiri.[2]
Akan tetapi bukti prasejarah yang paling menghairankan di Kemboja adalah seaneka "tembokan tanah bulat" yang ditemui di tanih merah berdekatan Memot dan kawasan Vietnam bersebelahan pada lewat 1950-an. Fungsi dan umurnya masih dipertikai tetapi antaranya datang dari seawal alaf ke-2 SM.[8][9]
Suatu peristiwa penting dalam prasejarah Kemboja adalah kedatangan petani padi terawal dari utara ke Kemboja secara beransur-ansur mulai lewat alaf ke-3 SM.[10]
Besi dikerjakan seawal sekitar 500 SM dengan buktinya yang datang dari Penara Khorat yang kini dalam wilayah Thailand. Di Kemboja terjumpanya petempatan Zaman Besi di bawah Baksei Chamkrong dan lain-lain kuil Angkor sementara tembokan tanah bulat terdapat di bawah Lovea iaitu beberapa kilometer di barat laut Angkor. Tempat pengkebumian yang jauh lebih berbuah daripada lain-lain jenis bahan penemuan, membuktikan peningkatan keterdapatan makanan dan perdagangan (walaupun dalam jarak jauh: pada abad ke-4 SM sudah terjalinnya hubungan perdagangan dengan) serta kewujudan tatatingkat sosial dan susunan tenaga kerja. Tanah perkuburan Phum Snay dihiasi dengan persenjataan dan rangka yang menunjukkan bukti kecederaan akibat keganasan yang menandakan pertelingkahan antara pelbagai suku di kawasan berkenaan ekoran lokasinya yang sesuai untuk perdagangan.[10][11]
Manik-manik kaca juga adalah antara artifak Zaman Besi yang penting sekali. Pelbagai jenis manik kaca ditemui daripada beberapa tapak di seluruh Kemboja, misalnya tapak Phum Snay di barat laut dan tapak Prohear di tenggara, menandakan bahawa terdapat dua jaringan perdagangan pada zaman itu. Kedua-dua jaringan tersebut terpisah oleh zaman dan ruang, menandakan bahawa terdapat peralihan dari satu jaringan ke jaringan yang satu lagi sekitar abad ke-2 ke abad ke-4 M, barangkali sejajar dengan perubahan dalam kekuasaan sosiopolitik.[12]
Zaman Pra-Angkor dan zaman Angkor
suntingPada abad-abad ke-3 hingga ke-5, negeri-negeri keindiaan iaitu Funan dan pewarisnya Chenla bertaut di wilayah yang kini menjadi Kemboja dan Vietnam barat daya. Selama lebih 2,000 tahun Kemboja menyerap pengaruh dari India dan menurunkannya ke atas tamadun-tamadun Asia Tenggara lain yang kini adalah Thailand dan Laos.[13] Tidak banyak lagi yang dipastikan akan negeri-negeri ini, tetapi Funan dan Chenla ada tertulis dalam babad-babad dan rekod peruftian Cina. Adalah dipercayai bahawa wilayah Funan mungkin merangkumi pelabuhan yang dikenali oleh pengkaji bumi Yunani terkemuka Claudius Ptolemy sebagai "Kattigara". Babad-babad Cina menandakan bahawa kemangkatan Raja Jayavarman I dari Chenla sekitar 690 M disusuli oleh pergolakan yang menyebabkan terbahaginya wilayah Chenla kepada Chenla Darat dan Chenla Air yang dipimpin oleh raja-raja yang lemah di bawah naungan Jawa.
Dari tinggalan negeri Chenla ini bangkitlah Empayar Khmer yang mantap pada tahun 802 apabila Jayavarman II (memerintah c.790–850) mengisytiharkan kemerdekaan daripada Jawa dan menobatkan dirinya sebagai Dewaraja. Baginda bersama para pengikutnya menubuhkan agama dewaraja dan melancarkan penaklukan demi penaklukan yang membentuk sebuah empayar yang gemilang di wilayah berkenaan pada abad ke-9 hingga abad ke-15.[14] Ketika pemerintahan Jayavarman VIII, empayar Angkor diserang oleh tentera Mongol pimpinan Kublai Khan, tetapi baginda dapat membeli kedamaian.[15] Sekitar abad ke-13, datangnya sami-sami dari Sri Lanka yang memperkenalkan agama Buddha Theravada ke Asia Tenggara.[16] Agama Buddha tersebar dan akhirnya menggantikan agama Hindu dan agama Buddha Mahayana sebagai agama terulung di Angkor, tetapi hanya dijadikan agama rasmi pada tahun 1295 apabila Indravarman III mengambil alih tampuk kuasa.[17]
Empayar Khmer merupakan empayar terbesar di Asia Tenggara pada abad ke-12. Pusat kekuasaannya ialah Angkor di mana terbinanya ibu kota demi ibu kota pada kemuncak kegemilangan Empayar tersebut. Pada tahun 2007, usaha sebuah pasukan penyelidik berbilang bangsa yang menggunakan gambar-gambar foto satelit dan teknik moden sebagainya mencapai kesimpulan bahawa Angkor adalah kota praindustri terbesar di dunia dengan rebakan bandar seluas 1,150 batu persegi (3,000 km2).[18] Kota Angkor yang mampu menampung sejumlah sejuta orang penduduk[19] serta Angkor Wat selaku kuil keagamaan yang paling terkenal dan paling elok terpelihara masih dijadikan peringatan akan zaman lampau Kemboja selaku kuasa utama serantai. Biarpun dalam kemerosotan, Empayar Khmer kekal sebagai kuasa unggul di Asia Tenggara sehingga kejatuhannya pada abad ke-15.
Zaman kegelapan Kemboja
suntingSetelah sekian lama berperang dengan negeri-negeri jiran, Angkor dijatuhkan oleh Kerajaan Ayutthaya lalu ditinggalkan pada 1432 disebabkan kegagalan ekologi dan keruntuhan prasarana.[20][21] Ini menjurus kepada zaman kemelesetan ekonomi, sosial dan kebudayaan apabila hal-ehwal dalaman kerajaan Angkor semakin dicengkam oleh negeri-negeri jiran. Pada ketika inilah pudarnya minat bangsa Khmer terhadap pembinaan tugu. Agama-agama lama seperti agama Buddha Mahayana dan kultus dewaraja Hindu digantikan oleh Agama Buddha Theravada.
Kerajaan Khmer memindahkan ibu kota ke Longvek di mana ia hendak menebus semula kegemilangan lampaunya melalui perdagangan laut. Sebutan pertama akan Kemboja pada persuratan Eropah adalah pada tahun 1511 oleh Portugis. Para pengembara Portugis dan Sepanyol memerikan kota Longvek sebagai tempat bersemaraknya kekayaan dan perdagangan luar. Namun demikian cubaan itu tidak berkekalan kerana peperangan berterusan dengan bangsa Ayutthaya dan Vietnam menyebabkan makin banyak wilayah yang hilang dan akhirnya Longvek ditawan dan dimusnahkan oleh Naresuan Agung dari Ayutthaya pada 1594. Sebuah ibu kota Khmer baru ditubuhkan di Udong di selatan Longvek pada 1618, tetapi raja-rajanya hanya mampu lestari dengan menjalinkan hubungan vasal bersilih-ganti dengan Siam dan Vietnam selama tiga abad berikutnya dengan hanya beberapa kali tempoh merdeka sewajarnya.
Kaum orang hulu di Kemboja "diburu tanpa henti-henti dan dibawa pergi sebagai hamba oleh bangsa Siam (Thai), Anam (Vietnam) dan Kemboja."[22]
Pada abad ke-19 tercetusnya semula pergelutan antara Siam dan Vietnam demi menawan Kemboja yang berkesudahan dengan satu ketika apabila pembesar-pembesar Vietnam cuba memaksa bangsa Khmer memeluk adat resam Vietnam. Ini mencetuskan pemberontakan bangsa Khmer terhadap Vietnam dengan meminta bantuan daripada Siam. Perang Siam–Vietnam (1841–1845) berakhir dengan persetujuan untuk meletakkan Kemboja di bawah pertuanan bersama. Ini disusuli oleh termeterainya perjanjian Naungan Perancis ke atas Kemboja oleh Raja Norodom I.
Penjajahan Perancis
suntingPada 1863, King Norodom yang ditakhtakan oleh Siam[23] memohon perlindungan Perancis daripada kekuasaan Siam. Pada 1867, raja Siam memeterai perjanjian dengan Perancis untuk melepaskan hak pertuanan ke atas Kemboja sebagai pertukaran untuk penguasaan ke atas wilayah-wilayah Battambang dan Siem Reap yang secara rasminya menjadi wilayah Siam. Wilayah-wilayah tersebut dipulangkan kepada Kemboja melalui perjanjian sempadan antara Perancis dan Siam pada 1906.
Kemboja kekal sebagai naungan Perancis dari 1867 hingga 1953, ditadbir sebagai sebahagian daripada Indochina Perancis, tetapi diduduki oleh empayar Jepun dari 1941 hingga 1945.[24] Dari 1874 hingga 1962, jumlah penduduknya meningkat dari 946,000 ke 5.7 juta.[25] Setelah kemangkatan Raja Norodom pada 1904, Perancis campur tangan dalam pemilihan raja, maka Sisowath iaitu adinda Norodom ditakhtakan. Takhta itu menjadi kosong 1941 ekoran kemangkatan anakanda Sisowath iaitu Monivong, Sisowath, bahkan Perancis mengetepikan anakanda Monivong iaitu Monireth kerana bimbang beliau berfikiran terlalu bebas. Sebaliknya yang ditakhtakan adalah Norodom Sihanouk, iaitu cucunda sebelah ibu kepada Raja Sisowath. Pihak Perancis menyangka bahawa Sihanouk yang muda itu senang dikawal.[24] Namun tekaan mereka meleset, maka Kemboja di bawah pemerintahan Raja Norodom Sihanouk merdeka dari Perancis pada 9 November 1953.[24]
Kemerdekaan dan Perang Vietnam
suntingKemboja menjadi negara beraja berperlembagaan di bawah Raja Norodom Sihanouk. Apabila Indochina Perancis merdeka, Kemboja putus harapan untuk menguasai semula Delta Mekong yang dikurniakan kepada Vietnam. Delta tersebut yang dahulunya di bawah taklukan Empayar Khmer sudah dikuasai oleh bangsa Vietnam sejak 1698 apabila Raja Chey Chettha II merestui pendudukan bangsa Vietnam di kawasan terbabit berpuluh-puluh tahun sebelumnya.[26] Hal ini masih merupakan titik pertikaian diplomatik di mana masih terdapat lebih sejuta orang kaum Khmer (iaitu Khmer Krom) yang tinggal di kawasan tersebut. Khmer Rouge cuba menyerang berkali-kali untuk menuntut semula Delta Mekong yang sedikit sebanyak menyebabkan Vietnam menyerang Kemboja lalu menjatuhkan Khmer Rouge.
Pada 1955, Sihanouk turun takhta untuk memberikan laluan kepada ayahandanya untuk menyertai politik lalu dipilih menjadi perdana menteri. Ekoran kemangkatan ayahandanya pada 1960, Sihanouk sekali lagi menjadi ketua negara tetapi bergelar putera raja. Sementara Perang Vietnam berlaku, Sihanouk merasmikan dasar berkecuali dalam Perang Dingin. Sihanouk membenarkan komunis Vietnam untuk menjadikan Kemboja tempat suaka dan laluan bekalan untuk persenjataan dan lain-lain bentuk bantuan kepada angkatan bersenjata mereka yang berjuang di Vietnam Selatan. Dasar ini dipandang malu oleh ramai rakyat Kemboja.
Pada Disember 1967, wartawan Washington Post bernama Stanley Karnow melaporkan titah Sihanouk bahawa jika Amerika Syarikat mahu mengebom suaka komunis Vietnam, tentu baginda tidak membantah melainkan rakyat Kemboja dijadikan korban.[27] Pesanan ini disampaikan kepada utusan Presiden AS iaitu Chester Bowles pada Januari 1968.[28] Akan tetapi Sihanouk secara umumnya menafikan hak Amerika Syarikat untuk membedil Kemboja dan pada 26 Mac Putera Sihanouk bertitah bahawa "serangan-serangan jenayah ini mesti dihentikan dengan segera dan muktamad..." Pada 28 Mac diadakannya sidang akhbar di mana Sihanouk merayu kepada media antarabangsa supaya menghebahkan ke seluruh dunia "pendirian Kemboja yang jelas sekali, iaitu bahawa beta walau dalam apa jua keadaan tetap akan menentang semua bentuk pengeboman di wilayah Kemboja atas sebarang dalil." Apapun rayuan Sihanouk tidak diendahkan, maka pengeboman diteruskan.[29]
Republik Khmer (1970–75)
suntingKetika melawat Beijing pada 1970, Sihanouk digulingkan oleh rampasan kuasa oleh tentera pimpinan Perdana Menteri Jeneral Lon Nol dan Putera Sisowath Sirik Matak. Sokongan AS terhadap rampasan kuasa ini tidak terbukti.[30] Apapun setelah selesainya rampasan, rejim baru yang serta-merta menuntut supaya komunis Vietnam meninggalkan Kemboja meraih sokongan AS. Angkatan Vietam Utara dan Viet Cong terdesak untuk mempertahankan suaka dan laluan bekalan dari Vietnam Utara, maka mereka segera melancarkan serangan bersenjata terhadap kerajaan baru itu. Raja menyeru para pengikutnya membantu menggulingkan kerajaan ini, maka tercetusnya perang saudara.[31] Tidak lama kemudian angkatan pemberontak Khmer Rouge mula menggunakan beliau untuk meraih sokongan. Namun dari 1970 hingga awal 1972, persengketaan di Kemboja ini rata-rata melagakan kerajaan dan tentera Kemboja dengan tentera Vietnam Utara. Dalam menguasai wilayah Kemboja, komunis Vietnam mendirikan prasarana politik baru yang akhirnya dikuasai oleh puak komunis Kemboja yang kini dikenali sebagai Khmer Rouge.[32] Dari 1969 hingga 1973, angkatan Vietnam Selatan dan Amerika Syarikat membedil Kemboja dalam usaha mematahkan Viet Cong dan Khmer Rouge.
Dokumen-dokumen yang terbongkar dari arkib Soviet selepas 1991 mendedahkan bahawa Vietnam Utara cuba menceroboh Kemboja pada 1970 atas permintaan terang-terangan daripada Khmer Rouge dengan rundingan oleh timbalan Pol Pot ketika itu iaitu Nuon Chea.[33] Banyak jawatan tentera Kemboja yang dirampas oleh unit-unit Tentera Vietnam Utara sementara Parti Komunis Kampuchea (PCK) melanjutkan serangan kecil-kecilan terhadap talian-talian perhubungan. Presiden AS, Richard Nixon bertindak terhadap Vietnam Utara dengan mengumumkan bahawa angkatan-angkatan darat AS dan Vietnam Selatan telah memasuki Kemboja dalam kempen yang bertujuan memusnahkan kawasan-kawasan pangkalan Vietnam Utara di Kemboja.[34] Sungguhpun banyak sekali kelengkapan yang dirampas atau dimusnahkan oleh AS dan Vietnam Selatan, namun kemaraan Vietnam Utara langsung sukar dibendung.
Kepimpinan Republik Khmer dibelenggui oleh perpecahan di kalangan tiga tokoh utamanya iaitu Lon Nol, sepupu Sihanouk iaitu Sirik Matak, dan ketua Perhimpunan Negara In Tam. Lon Nol kekal berkuasa kerana antara lainnya Sirik Matak dan In Tam langsung tidak bersedia untuk mengambil alih tempatnya. Pada 1972, digubalnya sebuah perlembagaan baru dan terpilihnya sebuah parlimen dengan Lon Nol selaku Presiden. Namun pentadbiran awam dan tentera lumpuh akibat perpecahan, masalah ketika membangunkan seangkatan tentera 30,000 orang kepada angkatan tempur kebangsaan seramai 200,000 anggota, serta amalan rasuah berleluasa.
Pemberontakan Komunis di dalam Kemboja terus berkembang dan disemarakkan oleh bekalan dan bantuan tentera dari Vietnam Utara. Pol Pot dan Ieng Sary memantapkan penguasaan mereka terhadap ahli-ahli komunis latihan Vietnam yang mana kebanyakan daripada mereka dibasmikan. Pada masa yang sama angkatan PCK menjadi lebih kuat dan kurang bergantung akan penaungnya dari Vietnam. Pada 1973, PCK sedang memerangi angkatan kerajaan tanpa banyak bantuan ketenteraan Vietnam Utara lalu menguasai 60% daripada wilayah Kemboja dan 25% penduduknya. Pemerintahan melakukan tiga cubaan sia-sia untuk berunding dengan pemberontak, tetapi pada 1974, PCK sudah pun beroperasi secara terbuka secara berdivisi-divisi, malah sesetengah angkatan tempur Vietnam Utara sudah mara ke Vietnam Selatan. Penguasaan Lon Nol terbatas kepada enklaf-enklaf kecil di sekitar bandar-bandar besar dan laluan-laluan pengangkutan utama. Lebih 2 juta orang pelarian perang tinggal di Phnom Penh dan lain-lain bandar.
Pada 1 Januari 1975, angkatan Komunis melancarkan serangan yang disusuli dengan pertempuran sengit selama 117 hari hingga akhirnya menjatuhkan Republik Khmer. Serangan-serangan serentak di sekitar sempadan kota Phnom Penh menumpaskan tentera Republik sementara unit-unit PCK yang lain menakluki pangkalan-pangkalan bersenjata yang mengawal laluan bekal ganti hilir Mekong. Amerika Syarikat menamatkan bekalan senjata dan beras setelah Kongres menolak bantuan tambahan untuk Kemboja. Kerajaan Lon Nol di Phnom Penh menyerah kalah pada 17 April 1975, iaitu hanya lima hari selepas misi AS berundur dari Kemboja.[35]
Rejim Khmer Rouge
suntingKhmer Rouge merampas kuasa pada tahun 1975. Di bawah pimpinan Pol Pot mereka menukar nama rasmi negara kepada Kampuchea Demokratik. Rejim baru ini mencontohi negara Cina pimpinan Mao Zedong ketika Kemaraan Raksasa dengan segera mengosongkan bandar-bandar dan mengerahkan seluruh penduduk negara ke projek-projek perusahaan luar bandar. Khmer Rouge cuba membina semula pertanian negara berasaskan model abad ke-11, menghapuskan perubatan Barat serta memusnahkan tempat ibadah, perpustakaan dan lain-lain yang dianggap kebaratan.
Adalah dianggarkan bahawa Khmer Rouge membunuh seramai sejuta ke tiga juta orang, tetapi bilangan yang paling umum dipetik adalah dua juta, iaitu kira-kira satu perempat daripada jumlah penduduk negara.[36][37][38] Daripada zaman kegelapan ini lahirnya istilah Padang Pembunuhan. Bangunan penjara Tuol Sleng digeruni sebagai tempat pembunuhan beramai-ramai. Beratus-ribu orang melarikan diri ke negara jiran Thailand. Malah rejim amat memberati kaum-kaum minoriti dalam penyembelihannya, terutamanya suku Cham Muslimin yang kematian seramai separuh daripada jumlah ahlinya.[39]
Penghantaran balik secara paksa pada 1970 dan kematian-kematian akibat zaman Khmer Rouge mengurangkan jumlah penduduk keturunan Vietnam di Kemboja dari 250,000 ke 300,000 orang pada 1969 menjadi hanya 56,000 orang pada 1984.[25] Namun kebanyakan mangsa rejim Khmer Rouge bukanlah dari suku minoriti tetapi adalah bangsa Khmer. Golongan profesional seperti doktor, peguam dan guru juga menjadi sasaran. Menurut Robert D. Kaplan, "cermin mata sama berbahaya dengan bintang kuning" (iaitu lencana yang dipakai oleh Yahudi di Jerman pada zaman Nazi) kerana ia dipandang sebagai lambang keilmuan.[40]
Pendudukan Vietnam dan peralihan
suntingPada November 1978, tentera Vietnam menceroboh Kemboja sebagai membalas serbuan sempadan oleh Khmer Rouge.[41] Maka tertubuhnya Republik Rakyat Kampuchea (RRK), iaitu sebuah negeri pro-Soviet pimpinan Parti Revolusioner Rakyat Kampuchea yang ditubuhkan oleh bangsa Vietnam pada 1951 dan diketuai oleh segelintir anggota Khmer Rouge yang melarikan diri dari Kemboja untuk mengelak pembantaian oleh Pol Pot dan Ta Mok.[42] Rejim baru ini terhutang budi sepenuhnya kepada tentera pendudukan Vietnam dan mengikut telunjuk duta Vietnam di Phnom Penh. Persenjataannya datang dari Vietnam dan Kesatuan Soviet. Sebagai tentangan kepada negeri baru itu, sebuah kerajaan dalam buangan yang dikenali sebagai Kerajaan Gabungan Kampuchea Demokratik (KGKD) didirikan pada 1981 oleh tiga puak iaitu Khmer Rouge, puak penyokong raja pimpinan Sihanouk, dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Rakyat Khmer, bahkan perjuangannya diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Wakil Khmer Rouge ke PBB, iaitu Thiounn Prasith dikekalkan menjawat tetapi perlu bekerjasama sambil berunding dengan wakil-wakil parti bukan komunis di Kemboja.[43][44] Keengganan Vietnam untuk berundur dari Kemboja mengundang sekatan ekonomi[45] oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
Usaha pendamaian dimulakan di Paris pada tahun 1989 di bawah nama "Negara Kemboja" dan berakhir pada October 1991 dalam bentuk Penyelesaian Damai Menyeluruh Paris. PBB diberi mandat untuk menguatkuasakan gencatan senjata dan menubuhkan badan pengurusan pelarian dan usaha pendamaian yang dikenali sebagai Autoriti Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (UNTAC).[46]
Pemerintahan beraja dipulihkan
suntingPada 1993, Norodom Sihanouk ditabalkan semula sebagai Raja Kemboja tetapi segala kuasa pemerintahan terserah kepada kerajaan yang tertubuh ekoran pilihan raya tajaan UNTAC. Kestabilan politik yang susah-payah tercapai setelah sengketa berlarutan itu patah pada tahun 1997 akibat rampasan kuasa oleh pekongsi jawatan Perdana Menteri iaitu Hun Sen terhadap parti-parti bukan komunis dalam pemerintahan.[47] Namun pada awal abad ke-21 usaha pembinaan semula dijalankan dan sedikit sebanyak membuahkan semula kestabilan politik melalui demokrasi berbilang parti di bawah seorang raja berperlembagaan.[48]
Pada Julai 2010, Kang Kek Iew adalah anggota Khmer Rouge pertama yang didapati bersalah atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam peranannya sebagai bekas komandan kem pembasmian S21 lalu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.[49][50] Akan tetapi Hun Sen menentang perbicaraan berlarutan ke atas pelaku-pelaku penyembelihan Khmer Rouge demi menjaga ketenteraman negara.[51]
Pada Ogos 2014, sebuah tribunal jenayah perang dukungan PBB, iaitu Kamar-Kamar Luar Biasa dalam Mahkamah Kemboja (juga dikenali sebagai Tribunal Khmer Rouge), menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas Khieu Samphan, iaitu bekas ketua negara rejim, dan Nuon Chea, pendukung ideologi utamanya atas tuduhan jenayah perang dalam peranan mereka dalam pemerintahan kuku besi Khmer Rouge pada 1970-an. Perbicaraannya dimulakan pada November 2011. Bekas Menteri Luar Ieng Sary meninggal pada 2013. Pemimpin agung Khmer Rouge iaitu Pol Pot sudah meninggal pada 1998.
Rujukan
sunting- ^ David Chandler: A History of Cambodia, Boulder Colorado 2008, Westview Press; ISBN 978-1578566969; p. 13
- ^ a b c Miriam Stark (2005). "Pre-Angkorian and Angkorian Cambodia" (PDF). Dalam Glover, Ian; Bellwood, Peter S. (penyunting). Southeast Asia: from prehistory to history. Routledge. ISBN 978-0-415-39117-7. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2010-06-10. Dicapai pada 2015-03-28.
- ^ Tranet, Michel (20 October 2009). "The Second Prehistoric Archaeological Excavation in Laang Spean (2009)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-01-01. Dicapai pada 17 November 2009.
- ^ "The Oldest Ceramic in Cambodia's Laang Spean (1966–68)". 20 October 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-01-01. Dicapai pada 17 November 2009.
- ^ Charles Higham (1989). The Archaeology of Mainland Southeast Asia. Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-27525-5., p.120
- ^ Dougald J.W. O'Reilly; Angela von den Driesch; Vuthy Voeun (2006). "Archaeology and Archaeozoology of Phum Snay: A Late Prehistoric Cemetery in Northwestern Cambodia". 45 (2). ISSN 0066-8435. Cite journal requires
|journal=
(bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link) - ^ Domett, K. M., O'Reilly, D. J. W., & Buckley, H. R. (2011). Bioarchaeological evidence for conflict in Iron Age north-west Cambodia. Antiquity, 85(328)
- ^ "Research History". Memot Centre for Archaeology. Dicapai pada 6 February 2009.
- ^ Gerd Albrecht; dll. (2000). "Circular Earthwork Krek 52/62 Recent Research on the Prehistory of Cambodia" (PDF). Asian Perspectives. 39 (1–2). ISSN 0066-8435. Dicapai pada 15 November 2009.
- ^ a b Charles Higham (Januari 2002). The civilization of Angkor. Phoenix. ISBN 978-1-84212-584-7. Check date values in:
|year=
/|date=
tidak padan (bantuan), pp.13–22 - ^ Domett, K. M., O'Reilly, D. J. W., & Buckley, H. R. (2011). Bioarchaeological evidence for conflict in Iron Age north-west Cambodia. Antiquity, 85(328).441-458
- ^ Carter, A. K. (2011). Trade and Exchange Networks in Iron Age Cambodia: Preliminary Results from a Compositional Analysis of Glass Beads. Bulletin of the Indo-Pacific Prehistory Association, 30, 178-188.
- ^ "History of Cambodia". Britannica.com. Dicapai pada 16 March 2013.
- ^ "Khmer Empire Map". Art-and-archaeology.com. Dicapai pada 27 June 2010.
- ^ Cœdès, George. (1956) The Making of South East Asia, pp.127-128.
- ^ "Windows on Asia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-05-21. Dicapai pada 2015-03-28.
- ^ Angkor Era - Part III (1181 - 1309 A.D)[pautan mati kekal], Cambodia Travel.
- ^ "Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America: A comprehensive archaeological map of the world's largest pre-industrial settlement complex at Angkor, Cambodia". Pnas.org. Dicapai pada 27 June 2010.
- ^ Metropolis: Angkor, the world's first mega-city Diarkibkan 2011-06-05 di Wayback Machine, The Independent, 15 August 2007
- ^ David P. Chandler (1991) The Land and the People of Cambodia, HarperCollins. New York, New York. p. 77, ISBN 0060211296.
- ^ Scientists dig and fly over Angkor in search of answers to golden city's fall, The Associated Press, 13 June 2004
- ^ "Slavery in Nineteenth-Century Northern Thailand (Page 4 of 6)". Kyoto Review of South East Asia; (Colquhoun 1885:53).
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaCHANDLER
- ^ a b c Kamm, Henry (1998). Cambodia: report from a stricken land. New York: Arcade Publishing. m/s. 27. ISBN 1-55970-433-0.
- ^ a b "Cambodia – Population". Library of Congress Country Studies.
- ^ Kamm, Henry (1998). Cambodia Report from a Stricken Land. New York: Arcade Publishing. m/s. 23. ISBN 1-55970-507-8.
- ^ Washington Post, 29 December 1967
- ^ Stephen J. Morris (1999) Why Vietnam Invaded Cambodia, Stanford University Press, p. 44, ISBN 0804730490.
- ^ Bombing in Cambodia,'Hearings before the Committee on Armed Services, U.S. Senate, 93d Cong., 1st sess., July/August 1973, pp. 158-160, the primary source on the "secret bombings."'
- ^ Clymer, K. J., The United States and Cambodia, Routledge, 2004, p.22
- ^ Norodom Sihanouk (1973). My War with the CIA, The Memoirs of Prince Norodom Sihanouk as related to Wilfred Burchett. Pantheon Books. ISBN 0-394-48543-2.
- ^ Stephen J. Morris (1999) Why Vietnam Invaded Cambodia, Stanford University Press, pp. 48–51, ISBN 0804730490.
- ^ Dmitry Mosyakov (2004) "The Khmer Rouge and the Vietnamese Communists: A History of Their Relations as Told in the Soviet Archives," Diarkibkan 2013-03-09 di Wayback Machine in Susan E. Cook, ed., Genocide in Cambodia and Rwanda, Yale Genocide Studies Program Monograph Series No. 1, pp. 54 ff.: "In April–May 1970, many North Vietnamese forces entered Cambodia in response to the call for help addressed to Vietnam not by Pol Pot, but by his deputy Nuon Chea. Nguyen Co Thach recalls: "Nuon Chea has asked for help and we have liberated five provinces of Cambodia in ten days.""
- ^ Philip Short (2004) Pol Pot: Anatomy of a Nightmare, Henry Holt & Co.: New York, p. 204, ISBN 0805080066.
- ^ Philip Short (2004) Pol Pot: Anatomy of a Nightmare, Henry Holt & Co.: New York, p. 4, ISBN 0805080066.
- ^ William Shawcross (1985) The Quality of Mercy: Cambodia, Holocaust and Modern Conscience, Touchstone, 1985, pp. 115–116, ISBN 0006369723.
- ^ Patrick Heuveline (2001). "The Demographic Analysis of Mortality in Cambodia", in Forced Migration and Mortality, eds. Holly E. Reed and Charles B. Keely. Washington, D.C.: National Academy Press, ISBN 0309073340.
- ^ Marek Sliwinski (1995) Le Génocide Khmer Rouge: Une Analyse Démographique, L'Harmattan, ISBN 2738435254.
- ^ Gregory H. Stanton (22 February 1992) The Cambodian Genocide and International Law, Yale Law School.
- ^ Robert D. Kaplan (1996) The Ends of the Earth, Vintage, 1996, p. 406, ISBN 0679751238.
- ^ "''A Brief History of the Cambodian Genocide''". Web.archive.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-07-23. Dicapai pada 16 Mac 2013.
- ^ Stephen J. Morris "Why Vietnam Invaded Cambodia." (Stanford University Press. 1999). p. 220
- ^ "Autobiography of Thiounn Prasith - Cambodian Genocide Program - Yale University". Dicapai pada 28 October 2014.
- ^ Provisional verbatim record of the sixty-ninth meeting. United Nations, General Assembly, New York, 8 November 1985.
- ^ "Lifting the US embargo against Cambodia". Findarticles.com. 20 Januari 1992. Dicapai pada 27 Jun 2010.
- ^ "Country Profile of Cambodia". State.gov. 13 June 2012. Dicapai pada 16 March 2013.
- ^ UN OHCHR Cambodia [1]PDF (10.3 KB)
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaCIACB
- ^ Guy De Launey (26 July 2010). "''Khmer Rouge prison chief Duch found guilty''". Bbc.co.uk. Dicapai pada 16 March 2013.
- ^ "Leader of Khmer Rouge torture prison gets life sentence". CNN. 3 February 2012.
- ^ Robert Carmichael. "Cambodian Premier says No More Khmer Rouge Trials | News | English". Voanews.com. Dicapai pada 15 March 2013.