Retorik (drpd akar bahasa Yunani: ῥήτωρ; rhêtôr, pemidato, guru) merupakan seni atau teknik memujuk melalui bahasa lisan, visual atau tulisan. Definisi retorik sudah diperluas sejak retorik dijadikan satu bidang kajian di universiti. Oleh itu, retorik klasik (iaitu yang didefinisikan di atas) berbeza dengan retoik komtemporari yang turut melibatkan analisis teks tulisan dan visual.

Retorik klasik diajar dalam sastera liberal asal dan trgolong dalam trivium. Dalam zaman purba dan pertengahan, kajian tatabahasa menekankan penggunaan bahasa yang betul, tepat, memuaskan dan berkesan dalam pengkajian dan kritikan karya sastera. Logik pula menekankan ujian dan penciptaan ilmu baru melalui proses soal dan jawab. Manakala retorik menekanan kaedah memujuk dalam tempat awam dan politik, seperti Dewan Perhimpunan atau Mahkamah. Retorik banyak digunakan dalam masyarakat demokratik dengan prinsip kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan dan kebebasan politik.

Konsep retorik telah diperluas daripada bidang politik, undang-undang, hubungan awam, melobi, pemasaran dan pengiklanan kepada bidang lain seperti kemanusiaan, agama, sains sosial, kewartawanan, sejarah ,kesusasteraan, kartografi dan seni bina.

Retorik juga ialah seni pengucapan yang berkesan untuk meyakinkan audiens atau khalayak. Dalam kata lain, retorik merujuk kepada pemakaian bahasa yang berkesan untuk meyakinkan serta menarik perhatian audiens terhadap sesuatu yang disampaikan dalam ucapan mahupun penulisan. Dengan itu, adakalanya retorik dianggap sebagai pemakaian bahasa yang tidak mempunyai keikhlasan daripada penutur. Senada dengan itu, retorik bukan semata-mata mengenai gaya bahasa tetapi juga merupakan sebahagian daripada tulisan atau ucapan yang tersusun dalam satu wacana. Sementara itu, retorik berminat dalam cara memujuk khalayak dengan cara merealisasikan pelbagai jenis wacana yang meyakinkan, (Jesus M. Larrazabal dan Kepa Korta, 2015). Oleh itu, retorik bukan sahaja penting untuk mengemukakan penghujahan, tetapi juga untuk menghasilkan, menganalsis dan menilai bentuk wacana yang digunakan untuk memujuk, (Jesus M. Larrazabal dan Kepa Korta, 2015). Di samping itu, penggunaan retorik dapat mendorong tindakan sosial (Hauser 2002: 3) melalui wacana teks yang memikatkan danmenyakinkan khalayak.

RETORIK SEBAGAI SENI BERBAHASA

sunting

Retorik yang dirujuk sebagai kepandaian seseorang dalam berbahasa atau kepandaian berkomunikasi yang efektif, (Muhammad Mazlan Abu Bakar, 2015), menjadi satu elemen penting dalam bidang pengucapan, (JeniriAmir, 2007). Hal ini selaras dengan fungsi retorik yang mengutamakan gaya, strategi, bahan dan khalayak (Mazlan, Zaitul Azma & Hashim, 2015) untuk memujuk khalayak menerima mesej yang cuba disampaikan. Tanpa penggunaan retorik oleh pengucapnya, sesuatu pengucapan itu tampak mendatar dan kurang meninggalkan kesan kepada khalayak. Hal ini sejajar dengan fungsi retorik sebagai seni pujukan berkesan melalui wacana bahasa dan kuasa visual. Sebagai seni pujukan berkesan, retorik menggabungkan pelbagai kaedah seperti pemujukan, penulisan yang berkesan, pengucapan berkesan, dan persembahan yang berkesan untuk menyampaikan maklumat dengan cara yang berdaya, (Iglika Kassabova,2015) bagi menyampaikan sesuatu mesej dengan berkesan kepada khalayaknya. Seni retorik ini bermula dengan retorik klasik Aristotle yang menekankan peranan etos, logos dan patos. Elemen etos, logos dan patos ini digunakan oleh seseorang pengucap dalam wacana yang memperlihatkan pemujukan dan penghujahan,(Jesus M. Larrazabal dan Kepa Korta, 2002). Ethos adalah berkaitan cara seseorang pengucap atau penulis membina kredibiliti dan sumber kepercayaan agar dapat dipercayai dan diyakini oleh audiensnya. Dengan kata lain, pengucap berupaya menyampaikan sesuatu ucapan lisan atau penulisannya dengan menampilkan bahasa yang sesuai, idea dan fikiran yang dapat meyakinkan audiens. Patos merujuk kepada perkataan atau perenggan yang digunakan oleh seseorang pengucap ketika mereka membangkitkan topik permasalahan itu seringkali patos ini sesuatu yang berhubungan dengan emosi manusia, justeru dapat menyentuh perasaan pendengar dan terkadang menimbulkan banyak empati atau simpati daripada pendengar atau audiensnya. Dari segi aspek patos, seseorang pengucap memenuhi aspek patos sekiranya pengucap itu mampu membawa pendengarnya ‘terpukau’ dengan topik permasalahan yang diceritakannya, sehingga berjaya juga menerima respons yang diharapkannya daripada audiens. Manakala logos memiliki ciri logik, iaitu isi argumen yang disampaikan oleh pengucap itu menyangkut kepada pengumpulan fakta yang benar, bersifat nyata dan boleh diterima akal. Berbalik kepada ciri-ciri penting retorik, Aristotle telah mentafsirkan teori retorik lalu mengemukakan konsep dan hujah-hujah dalam bentuk tulisan yang logik dan beretika, (Apostel, 1971). Dalam teori retorik penghujahan, Aristotle mengemukakan satu doktrin umum tentang silogisme yang juga menjadi asas kepada dialektik, logik, dan teori tentang demonstrasi. Silogisme merupakan argument deduktif yang membawa kepada kesimpulan. Berkaitan dengan konsep emosi, walaupun emosi adalah salah satu topik yang paling penting dalam etika Aristotle, namun Aristotle hanya mengemukakan emosi tunggal. Akhirnya, retorik lebih memberi fokus tentang ciri-ciri kognitif bahasa dan gaya, (Cope, Edward Meredith. (1867). Sementara itu, ciri-ciri kognitif bahasa dan gaya yang terpancar dalam teori retorik klasik Aristotle merupakan melalui penggunaan alat  peranti sastera untuk idea atau fakta yang disampaikan dalam bentuk tiga atau triad ( Rule of Three) seperti dalam kajian ini adalah merujuk kepada “…langkah kerajaan mengawal ekonomi termasuklah mengawal perbelanjaan awam, menaikkan kadar tambang dan mengurangkan subsidi, demi memastikan ekonomi negara terus kukuh, (Utusan Malaysia: 19 Disember 2013). Dengan menggunakan elemen triad ini, pembicara atau pengguna retorik dapat menyatakan konsep dengan lebih jelas, di samping meningkatkan kekuatan mesej, (Garver, Eugene, 2009). Elemen triad ini boleh dinyatakan dalam bentuk perkataan, frasa, klausa dan ayat. Selain itu, penggunaan triad ini adalah bertujuan untuk menimbulkan rentak, rima dan keindahan terhadap teks atau ucapan yang disampaikan. Hal ini sejajar dengan pendapat Campbell (2001), bahawa sesuatu idea atau maklumat yang ingin disampaikan itu mestilah jelas dan berkesan kerana retorik merupakan seni berbahasa untuk mendapatkan keyakinan seseorang melalui wacana bahasanya, (Lanham, 1991). Retorik juga dirujuk sebagai seni pengucapan berbentuk pujukan, (Corbett, 1971) dan pemujukan ini dapat membawa kepada perubahan sikap dan tingkah laku serta kepercayaan seseorang secara rela hati melalui mesej dalam ucapan atau penulisan. Sebagai sebahagian daripada bahasa komunikasi, retorik mempunyai peranan penting dan menjadi unsur utama dalam menyampaikan mesej dan idea. Sehubungan dengan itu, retorik mampu dimanfaatkan oleh kumpulan media dalam melaporkan sesuatu isu, sama ada isu tentang politik, sosioekonomi dan juga isu sosiobudaya. Media dianggap sebagai salah satu agen sosialisasi yang sentiasa bersama manusia dalam setiap bidang yang diterokai. Pendek kata, media massa berperanan sebagai agen sosialisasi, penggalak pendidikan, penyebar maklumat umum, menyokong kegiatan ekonomi, menerapkan persefahaman dan kerjasama, pembekal maklumat pembangunan dan sebagai penghibur (Musa Abu Hassan,2004:9). Hal ini tidak terkecuali dengan media cetak yang turut berperanan dalam melaporkan isu sosioekonomi masyarakat kepada khalayak. Sosioekonomi masyarakat bermaksud tentang kedudukan sosial kumpulam atau ahli masyarakat dan diukur dari segi pendidikan, ekonomi dan pekerjaan. Penilaian terhadap kedudukan sosioekonomi masyarakat ini sering mendedahkan ketidaksamaan dalam akses sumber, dan membawa kepeda beberapa isu.

Lihat juga

sunting

Teori berkenaan

sunting

Pautan luar

sunting
  1. ^ Annapisa, Muhammad (2019-09-25). "Peran Media Cetak Lokal Dalam Komunikasi Bencana Sebagai Pendukung Manajemen Bencana". Buletin Pembangunan Berkelanjutan. 2 (1): 102–115. doi:10.25299/bpb.2018.3856. ISSN 2714-9692.