Raja Syed Hamzah Jamalullail

Raja Perlis

Raja Syed Hamzah ibni Almarhum Raja Syed Safi Jamalullail (Jawi: راج سيد همزة ابن راج سيد صافي جمال اليل) atau Raja Syed Hamzah Jamalullail adalah Raja Perlis yang kelima. Baginda memegang takhta kerajaan Perlis selama dua tahun, dari tahun 1943 hingga 1945. Baginda merupakan adinda kepada raja sebelumnya, Raja Syed Alwi Jamalullail.[1]

Raja Syed Hamzah Jamalullail
Raja Perlis kelima
Pemerintahan2 Februari 1943 - 17 September 1945
Pertabalan2 Februari 1943
Didahului olehRaja Syed Alwi Jamalullail
Diikuti olehTuanku Syed Putra Jamalullail
Keputeraan1895
Kemangkatan20 Februari 1958(1958-02-20) (umur 62–63)
Alor Setar, Kedah, Persekutuan Tanah Melayu
PemakamanMakam Diraja Arau, Arau
Pasangan
  • Tengku Kalsum binti Sultan Abdul Hamid Halim Shah
  • Inche Aminah binti Merah Sutan
  • Sharifah Aminah binti Syed Abbas Al-Sagoff
Anakanda
  • Syed Sofian
  • Syed Yusuf
  • Sharifah Hanim
  • Sharifah Mukminah
  • Sharifah Mariam
  • Sharifah Fatimah
Nama penuh
Syed Hamzah ibni Syed Safi Jamalullail
AyahandaRaja Syed Safi Jamalullail
BondaChe Shamsiah binti Lebai Mat Amin
AgamaIslam

Kehidupan

sunting

Raja Syed Hamzah telah dilahirkan pada tahun 1895 dan merupakan putera ketiga kepada Raja Syed Safi Jamalullail dan Che Shamsiah binti Lebai Mat Amin. Baginda juga merupakan saudara seayahanda kepada Raja Syed Alwi Jamalullail. Baginda telah mendapat pengajian di Institut St. Xavier, Pulau Pinang.[2]

Baginda mempunyai tiga orang isteri. Baginda telah berkahwin dengan Tengku Kalsum, puteri kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Baginda juga telah berkahwin dengan Inche Aminah binti Merah Sutan dan Sharifah Aminah binti Syed Abbas Al-Sagoff. Baginda dikurniakan dua putera dan empat puteri bersama Sharifah Aminah, iaitu Syed Sofian, Syed Yusuf, Sharifah Hanim, Sharifah Mukminah, Sharifah Mariam dan Sharifah Fatimah.

Kerajaan

sunting

Selepas kemangkatan Raja Muda Syed Mahmud, Raja Syed Hamzah mula aktif membantu urusan pentadbiran Perlis dengan menjadi Naib Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis. Baginda juga bertindak sebagai pengerusi kepada beberapa jawatankuasa di bawah Kerajaan Perlis, antaranya Jawatankuasa Pelajaran Negeri Perlis.

Semenjak April 1943, Kerajaan Jepun mula mengamalkan dasar pengiktirafan rasmi kepada kuasa Raja-raja Melayu dan zaman pemerintahan Raja Syed Hamzah Jamalullail amat sinonim dengan penderitaan yang bermaharajalela. Kebuluran merebak, harga barang-barang melambung tinggi dan hasil padi dirampas oleh Tentera Jepun. Perusahaan getah dan perlombongan bijih timah tergendala. Pendidikan yang diteruskan di sekolah-sekolah diubah orientasinya kepada pengagungan Jepun sebagai ‘Pelindung Bangsa Asia, Pemimpin Bangsa Asia dan Cahaya Asia’. Sebagai balasan kepada Kerajaan Siam di bawah pimpinan Perdana Menteri Phibul Songkhram yang memberikan kerjasama penuh sehingga penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu mendapat kejayaan besar, Negeri-negeri Melayu Utara Semenanjung dikembalikan kepada pentadbiran Kerajaan Siam. Tanpa persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis pun, negeri ini bersama-sama Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan semula oleh Kerajaan Jepun kepada Kerajaan Siam untuk ditadbir sebagai ‘caretaker government’. Kesemua negeri-negeri ini diletakkan di bawah pentadbiran seorang Pesuruhjaya Tinggi Tentera Siam yang bertanggungjawab kepada semua urusan kecuali Agama Islam dan adat istiadat Melayu. Beliau digelar Khaluang Tahan Besar dan beribu pejabat di Alor Setar. Di Perlis, seorang pembantu Khaluang Tahan Besar dengan gelaran Khaluang Tahan Phra’ Chamrat telah ditempatkan.

Rujukan

sunting
  1. ^ "Salasilah Diraja". dymm.perlis.gov.my. Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis. 13 April 2017. m/s. 5. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  2. ^ "PERLIS3". www.royalark.net. Dicapai pada 2025-01-03.