Raja Lear

Sebuah karya tragedi oleh William Shakespeare

Raja Lear adalah sebuah karya tragedi William Shakespeare, yang mana watak judulnya jatuh gila setelah memberikan harta bendanya kepada dua daripada tiga orang puterinya mengikut puji-pujian mereka, hingga mendatangkan akibat yang tragis buat semua. Drama ini berasaskan legenda Leir, seorang raja legenda Keltik sebelum zaman Rom. Raja Lear telah diadaptasikan banyak kali untuk pementasan mahupun wayang filem, malah watak Lear telah direbut-rebut dan diperan oleh ramai pelakon terbilang dunia.

"Raja Lear dan Si Badut dalam Badai" oleh William Dyce (1806–1864)

Drama ini dikarang dari tahun 1603 ke 1606 dan kemudian disemak. Versi terdahulu oleh Shakespeare, iaitu The True Chronicle of the History of the Life and Death of King Lear and His Three Daughters (Riwayat Sejati Sejarah Hidup Mati Raja Lear dan Tiga Orang Puterinya), diterbitkan secara kuarto pada tahun 1608. The Tragedy of King Lear (Tragedi Raja Lear), iaitu versi yang lebih kepanggungan, disertakan dalam First Folio 1623. Kedua-dua versi sering dicampur-adukkan oleh penyunting moden, tetapi ada yang berkeras bahawa setiap versi memiliki integriti tersendiri yang wajar dipelihara.[1]

Selepas Pemulihan, drama ini sering disemak dengan kesudahan yang bahagia buat para penonton yang tidak menggemari nada ceritanya yang menggerunkan, tetapi semenjak abad ke-19, versi asal Shakespeare telah dijulang sebagai antara pencapaian teragung beliau. Tragedi ini terkenal sekali kerana menyingkap selok-belok kesengsaraan dan persaudaraan manusia. Ulas George Bernard Shaw, "Tidak sesiapa pun akan dapat mengarang tragedi yang lebih baik daripada Lear".[2]

  • Lear, Raja Inggeris
  • Goneril (juga dieja Gonerill atau Gonoril), puteri sulung Lear
  • Regan, puteri tengah Lear
  • Cordelia, puteri bongsu Lear
  • Adipati Albany, suami kepada Goneril
  • Adipati Cornwall, suami kepada Regan
  • Adipati Gloucester (juga dieja Gloster)
  • Adipati Kent, sering tampil dengan menyamar sebagai Caius
  • Edgar, putera Gloucester

  • Edmund (juga dieja Edmond), anak luar nikah Gloucester
  • Tom, Edgar yang menyamar
  • Oswald, pelayan Goneril
  • Badut, tukang lawak istana Lear
  • Raja Perancis, pelamar, kemudian suami kepada Cordelia
  • Adipati Burgundy, pelamar Cordelia
  • Curan, orang istana
  • Orang tua, penghuni Gloucester
  • Seorang Doktor, seorang Pegawai upahan Edmund, seorang Budiman yang menjaga Cordelia, seorang Bentara, para Kakitangan Cornwall, para Kesatria Deretan Lear, para Pegawai, para Utusan, para Askar, dan para Pembantu

Sinopsis

sunting
 
Cordelia di Istana Raja Lear (1873) oleh Sir John Gilbert.

Raja Lear yang sudah lanjut usia dan berhasrat untuk bersara dari tampuk kuasa, memutuskan untuk membahagikan jajahannya sesama tiga orang puterinya, malah menawarkan bahagian terbesar kepada puteri yang paling menyayanginya. Goneril dengan Regan mengumumkan dengan berlebih-lebih bahawa mereka paling mengasihi ayahanda di seluruh alam, maka baginda senang hati. Bagi Cordelia pula, tiada apa-apa yang dapat dibandingkan dengan kasih sayangnya, apatah lagi kata-kata untuk mengungkapkannya dengan betul; maka dia bersuara dengan jujur dan terus-terang, tetapi itu memurkakan Lear. Dalam kemarahannya, Lear memutuskan warisan kepadanya lalu membahagikan negaranya untuk Regan dan Goneril sahaja. Adipati Kent membantah layanan tidak saksama itu, maka Lear dimurkakan lagi lalu mengusir Adipati Kent dari negaranya. Lear memanggil untuk menghadap Adipati Burgundy dan Raja Perancis yang pernah melamar Cordelia. Setelah difahamkan bahawa Cordelia diputuskan warisannya, maka Adipati Burgundy menarik balik lamarannya, tetapi Raja Perancis kagum dengan kejujuran Cordelia lalu mengahwininya walau apa pun.

Lear mengumumkan bahawa baginda akan bersinggah dengan rumah tangga Goneril dan Regan secara bergilir-gilir, bersama suami masing-masing iaitu Adipati Albany dan Adipati Cornwall. Baginda menyimpan serombongan seratus kesatria yang disokong oleh puteri-puterinya. Goneril dan Regan berbincang secara sulit, dan sambil itu membongkarkan bahawa laungan kasih sayang mereka kepada ayahanda itu adalah kepura-puraan, malah mereka memandang Lear sebagai seorang tua yang pendek akal.

Edmund geram dengan tarafnya sebagai anak luar nikah, lalu merancang untuk menggulingkan kanda kandungnya, Edgar. Maka dia memperdayakan ayahanda mereka, Adipati Gloucester dengan surat palsu yang mengisahkan hasrat Edgar untuk merampas harta pusakanya. Adipati Kent kembali dari usiran dengan menyamar sebagai Caius, lalu diupah oleh Lear sebagai pembantu. Lear menyedari bahawa Goneril tidak lagi menghormatinya gara-gara kerana berkuasa. Goneril memerintah supaya ayahandanya menjaga tingkah laku serta mengurangkan rombongannya. Dengan murkanya Lear berangkat ke kediaman Regan. Nasib malang Lear dipersendakan oleh Si Badut. Edmund membuat-buat serangan oleh Edgar, hingga Gloucester senang terperdaya lalu memutuskan warisan Edgar dan mengisytiharkannya sebagai penjahat.

Sambil membawa pesanan Lear kepada Regan, Adipati Kent sebagai Caius bertemu dengan Oswald di kediaman Gloucester, berkelahi dengannya, lalu dipasungkan oleh Regan dan suaminya, Adipati Cornwall. Apabila tibanya Lear, baginda membantah layanan buruk terhadap utusannya, tetapi Regan mengingkari ayahandanya sama seperti Goneril. Lear pun murka tetapi tidak terdaya. Tibanya juga Goneril untuk menyokong pendirian Regan terhadap ayahanda mereka. Maka Lear jatuh murka sama sekali lalu meluru keluar ke dalam badai untuk bergembar-gembur terhadap dua puterinya yang tidak berhutang budi, sambil diiringi oleh Si Badut dengan persendaannya. Adipati Kent menyusul kemudian untuk melindungi baginda. Adipati Gloucester mengecam layanan buruk Lear. Sambil merayau-rayau di semak belukar selepas ribut, Lear bertemu dengan Edgar yang menyamar sebagai orang gila bernama Tom o'Bedlam. Edgar meraban sepuas-puasnya sementara Lear mengutuk puteri-puterinya. Adipati Kent memimpin mereka semua ke dalam perteduhan.

 
Raja Lear: Perpisahan Cordelia oleh Edwin Austin Abbey

Edmund menyerahkan Adipati Gloucester kepada Adipati Cornwall, Regan, dan Goneril. Dia menunjukkan sepucuk surat dari ayahandanya kepada Raja Perancis untuk meminta bantuan untuk menentang mereka; sebenarnya angkatan tentera Perancis sudah mendarat Britain. Sebaik sahaja Edmund pergi bersama Goneril untuk menyedarkan Adipati Albany tentang pencerobohan itu, Gloucester diberkas lalu dikorek matanya oleh Adipati Cornwall. Sementara itu, seorang kakitangan dimarahkan oleh apa yang disaksikannya lalu membunuh Adipati Cornwall. Seterusnya, Regan membunuh kakitangan itu lalu memberitahu Adipati Gloucester bahawa Edmund telah belot terhadapnya; kemudian Regan berpaling untuk merayau-rayau di semak juga. Edgar dalam menyamar sebagai orang gila bertemu dengan bapanya yang sudah dibutakan di tengah semak. Gloucester yang tidak dapat mengecamnya merayu kepada Tom untuk memimpinnya ke sebuah cenuram di Dover supaya dia boleh membunuh diri dengan terjun.

Goneril menyedari bahawa dirinya lebih tertarik kepada Edmund daripada Adipati Albany si suaminya yang jujur tetapi dibidasnya sebagai pengecut. Maka Adipati Albany semakin sedar dan berasa meluat dengan layanan dua bersaudari terhadap Lear, and the mutilation of Gloucester, lantas mengutuk isterinya. Goneril mengembalikan Edmund kepada Regan; setelah mendapat khabar kematian Adipati Cornwall, Goneril khuatir bahawa adindanya yang baru kematian suami mungkin akan merampas Edmund, lalu menghantarkannya sepucuk surat menerusi Oswald. Adipati Kent memimpin Lear kepada tentera Perancis yang diperintah oleh Cordelia. Akan tetapi, Lear separa hilang akal dan teramat malu dengan kebodohan terdahulunya. Atas gesaan Regan, Adipati Albany menyekutukan tenteranya dengan angkatan Regan untuk menentang Perancis. Kesangsian Goneril terhadap niat sebenar Regan disahkan dan terbalas, kerana Regan menduga dengan tepat erti isi suratnya lalu bertegas dengan Oswald bahawa dialah jodoh yang lebih sesuai buat Edmund. Edgar berpura-pura memimpin Adipati Gloucester ke arah cenuram, kemudian mengubah suaranya dan memberitahu Adipati Gloucester bahawa dia telah terselamat dari kejatuhan besar dalam keajaiban. Munculnya Lear yang kini sudah gila sama sekali, menggembar-gembur bahawa seluruh dunia sudah bobrok lalu beredar.

 
Lear dan Cordelia oleh Ford Madox Brown

Tampilnya Oswald yang masih mencari-cari Edmund. Atas perintah Regan, dia cuba membunuh Adipati Gloucester tetapi dibunuh oleh Edgar. Di dalam kantung Oswald ditemui surat Goneril oleh Edgar, yang mana penulisnya menghasut Edmund untuk membunuh suaminya lalu memperisterikannya. Adipati Kent dan Cordelia menjaga Lear yang beransur pulih dari kegilaan. Bertemunya Regan, Goneril, Albany, dan Edmund bersama angkatan masing-masing. Adipati Albany insists that they fight the French invaders but not harm Lear or Cordelia. Regan dan Goneril memberahikan Edmund yang pernah berjanji dengan mereka berdua. Edmund mempertimbangkan dilema itu sambil merancang kematian Adipati Albany, Lear, dan Cordelia. Edgar menyerahkan surat Goneril kepada Adipati Albany. Maka bertembunglah bala-bala tentera dalam peperangan yang berkesudahan dengan kemenangan British ke atas Perancis, diikuti oleh tertawannya Lear dengan Cordelia yang kemudiannya dihantar pergi oleh Edmund dengan arahan rahsia supaya mereka dihukum mati.

Bertemu semula para pembesar British dalam kemenangan, sementara Regan yang baru kematian suami mengumumkan hasrat untuk mengahwini Edmund. Akan tetapi, Adipati Albany membongkarkan komplot Edmund dengan Goneril lalu mendakwa Edmund itu penderhaka. Regan jatuh sakit lalu diusung keluar pentas, di mana dia menghembuskan nyawa terakhir. Adalah dinyatakan bahawa Goneril membubuhkan racun ke dalam makanan Regan. Adipati Albany dikecam oleh Edmund lalu menyeru perbicaraan secara pertarungan. Edgar tampil dalam wajah asalnya lalu mencabar Edmund untuk bertarung. Edgar mengenakan luka pembunuh ke atas Edmund, tetapi Edmund tidak mati serta-merta. Albany bersemuka dengan Goneril dengan membawa surat yang ditujukan sebagai waran hukuman matinya; Goneril melarikan diri dengan rasa malu dan marah. Edgar membongkarkan diri lalu mengkhabarkan bahawa Adipati Gloucester mati di luar pentas kerana terperanjat dan gembira setelah mendapat tahu bahawa Edgar masih hidup, setelah Edgar membongkarkan diri kepada bapanya.

Di luar pentas, Goneril membunuh diri setelah segala rancangan jahatnya dipatahkan. Edmund yang nazak itu memutuskan untuk cuba menyelamatkan Lear dan Cordelia walaupun diakuinya percanggahan tindakan itu dengan perwatakannya; bagaimanapun, pengakuannya sudah terlambat. Sebaik sahaja Adipati Albany menghantar anak-anak buahnya untuk membatalkan perintah Edmund, masuklah Lear sambil mendukung mayat Cordelia setelah terselamat dengan membunuh pertandanya. Lear kini mengecam Adipati Kent tetapi tidak dapat mengaitkan Kent dengan alter-egonya Caius. Adipati Albany menggesa Lear agar menuntut semula takhta, tetapi seperti Raja Gloucester, Lear akhirnya tewas kepada pancaroba yang menenggelaminya, maka baginda menghembuskan nafas terakhirnya. Seterusnya, Adipati Albany meminta Adipati Kent dan Edgar untuk mengambil alih takhta. Adipati Kent menolaknya atas penjelasan bahawa dia diseru oleh pembesarnya untuk suatu perjalanan panjang. Adalah tidak jelas sama ada Kent hendak membunuh diri, mengikuti Lear ke kancah maut, ataupun terasa dirinya akan mati seperti mana Lear dengan Adipati Gloucester. Akhir sekali, Adipati Albany (dalam versi kuarto) atau Edgar (dalam versi Folio) melafazkan ucapan terakhir dengan bayangan bahawa dialah akan mewarisi takhta.[3][4]

Rujukan

sunting
  1. ^ Taylor & Warren 1983.
  2. ^ Shaw and Wilson p.111.
  3. ^ Pathguy.com
  4. ^ http://www.rscshakespeare.co.uk/pdfs/Case_for_Folio.pdf Jonathan Bate The Case for the Folio