R. Arumugam
Datuk R. Arumugam, PJN, AMN; (31 Januari 1953 - 18 Disember 1988) merupakan seorang pemain bola sepak legenda yang berasal dari Selangor. Beliau juga dikenali sebagai "Spiderman" kerana tangannya yang panjang dan kebolehannya menangkap cantik percubaan-percubaan pasukan lawan. Beliau telah dilahirkan pada 31 Januari 1953 di Pelabuhan Klang. Beliau telah memulakan kerjaya bola sepaknya daripada umur yang sangat muda. Beliau memulakan penampilannya dengan pasukan Selangor FA apabila berusia 18 tahun di dalam pertandingan Piala Remaja Burnley dalam tahun 1971. Beliau mewakili Selangor FA dalam pertandingan Piala Malaysia dari tahun 1972 hingga 1988, satu tempoh di mana Selangor FA telah memenangi Piala Malaysia sebanyak sembilan kali.
Maklumat peribadi | |||
---|---|---|---|
Nama penuh | Arumugam a/l Rengasamy | ||
Tarikh lahir | 31 Januari 1953 | ||
Tempat lahir | Pelabuhan Klang, Selangor, Malaysia | ||
Tarikh kematian | 18 Disember 1988 | (umur 35)||
Tempat kematian | Petaling Jaya, Selangor, Malaysia | ||
Posisi permainan | Penjaga Gol | ||
Kerjaya Senior* | |||
Tahun | Pasukan | Kmcln | (Gol) |
1971-1988 | Selangor FA | 394 | (2) |
Pasukan kebangsaan | |||
1973-1986 | Malaysia | 196 | (0) |
* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik dan tepat pada 20 Januari 2007 |
Pasukan kebangsaan
suntingR. Arumugam telah mendapat panggilan daripada pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dalam tahun 1973 pada pusingan kelayakan Piala Dunia di Seoul, Korea Selatan. Semasa zamannya bersama pasukan kebangsaan, beliau telah menolong Malaysia memenangi Pestabola Merdeka pada tahun 1973, 1974, 1976, 1979 dan 1986. Beliau juga mewakili Malaysia dalam tahun-tahun 1973, 1975, 1977, 1979, 1981, 1983 dan 1985 di dalam Sukan SEA. Kejayaan terbesar beliau dengan pasukan kebangsaan adalah pingat gangsa bagi Sukan Asia 1974 di Teheran, Iran. Beliau juga telah menolong Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980 tetapi Malaysia telah membuat keputusan untuk memboikot sukan Olimpik berkenaan. R. Arumugam telah mendapat 196 kaps (bukan semua perlawanan antarabangsa bersifat kelas A) bagi Malaysia semasa zamannya bersama pasukan kebangsaan semenjak 1973 apabila beliau bersara daripada arena antarabangsa pada tahun 1986. Sasaran asalnya adalah untuk mendapat 200 kaps.
R.Arumugam telah memberikan sumbangan lebih besar daripada hanya bermain bola sepak. Dalam tahun 1983, beliau telah menubuhkan kelabnya sendiri, Starbrite SC, sebagai sebahagian daripada sumbangan peribadi kepada remaja-remaja di kawasan perumahannya.
Beliau telah terbunuh di dalam satu perlanggaran kereta di Lebuhraya Persekutuan berdekatan Petaling Jaya pada 18 Disember 1988.[1] Beliau telah meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan.
Sebagai pengiktirafan khidmatnya kepada negeri dan negara, Persatuan Bola Sepak Selangor dan Public Bank di mana Arumugam bekerja telah memulakan satu dana di atas nama R. Arumugam pada 5 Januari, 1989.
Penghargaan
suntingPenghargaan Malaysia
sunting- Malaysia : Ahli Mangku Negara (A.M.N.) (1980)[2]
- Malaysia : Panglima Jasa Negara (P.J.N.) (2011) (anumerta)[3]
Rujukan
sunting- ^ "Arumugam killed", The Straits Times, 19 December 1988.
- ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-07-19. Dicapai pada 2018-09-29.
- ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-07-19. Dicapai pada 2018-09-29.
Pautan luar
sunting- Biodata di Selangorfc.com Diarkibkan 2007-09-28 di Wayback Machine
- Biodata di F.A.S Online Diarkibkan 2005-01-06 di Wayback Machine