Kubah al-Sakhrah

(Dilencongkan daripada Qubbah As Sakhrah)

Kubah Al-Sakhrah (Arab: قبة الصخرة, rumi: Qubbat aṣ-Ṣakhra, lit.'Kubah Batu') ialah sebuah binaan Islam di tengah-tengah perkarangan masjid Al-Aqsa dalam kota lama Baitulmaqdis. Ia hasil kerja seni bina Islam paling lama bertahan di dunia, struktur keagamaan terawal yang diuji secara arkeologi yang dibina oleh pemerintah Islam dan prasastinya mengandungi pemasyhuran terawal mengenai Islam dan kerasulan Muhammad.[1][2]

Kubah al-Sakhrah
Tapak Warisan Dunia Tapak Warisan Dunia UNESCO
Fail:16-04-04-Felsendom-Tempelberg-Jerusalem-RalfR-WAT 6385.jpg, قبة الصخرة من الناحية الشرقية.jpg, خريف..قبة الصخرة.jpg
Maklumat am
Sebahagian dari
Masjid al-Aqsa Sunting ini di Wikidata
Inskripsi(sesi )
Maklumat lokasi
Lokasi Negara Palestin
Koordinat31°46′41″N 35°14′07″E / 31.7781°N 35.2353°E / 31.7781; 35.2353
Map
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Pembinaan awalnya dilakukan oleh Khilafah Umaiyah di bawah arahan Abdul Malik semasa berlangsungnya Perang Fitnah Kedua pada 691–692 Masihi, dan ia diletakkan di puncak tapak Kuil Yahudi Kedua (dibina s. 516 SM untuk menggantikan Kuil Sulaiman yang musnah dan dibina semula oleh Herodus I), yang mana ia telah dimusnahkan oleh Empayar Rom pada 70 Masihi. Kubah asalnya telah roboh pada 1015 dan dibina semula pada 1022–23.[3]

Seni bina dan mozeknya diambil contoh daripada istana dan gereja Byzantine,[4] walaupun penampilan luarannya berubah semasa pemerintahan Usmaniyah dan sekali lagi pada era moden, terutamanya dengan penambahan bumbung bersadur emas, pada 1959–61 dan dibina lagi pada 1993. Struktur pelan berbentuk oktagon mungkin dipengeruhi oleh Gereja Kediaman Mary era Rom Timur (juga dikenali sebagai Kathisma bahasa Yunani dan al-Qadismu dalam bahasa Arab), yang dibina antara 451 dan 458 di laluan antara Baitulmaqdis dan Baitlaham.[4]

Batu Asas (atau Batu Mulia) yang didirikan binaan diatasnya itu membawa suatu yang penting dan besar dalam agama samawi sebagai tempat di mana Tuhan mencipta dunia juga manusia pertama, Adam.[5] Ia juga dipercayai sebagai tempat Abraham mencuba untuk mengorbankan anaknya, dan sebagai tempat turunnya wahyu Tuhan terbanyak lebih daripada tempat lain. menurut Yahudi. Suatu perkara yang penting bagi tempat ini menurut Islam daripada sumbernya menyambung kepada penciptaan dunia ini dan menjadi destinasi akhir perjalanan malam (israk) Nabi Muhammad di batu tersebut, sebelum diangkat ke langit (mikraj).[6][7]

Diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia, kubah ini dipanggil dengan "tanda tempat Baitulmaqdis paling boleh dikenali"[8] bersama-sama dua struktur Kota Lama berhampiran: Tembok Ratapan dan Rotunda Kebangkitan di Gereja Makam Suci.[9] Prasasti Islamnya dibuktikan sebagai sebuah peristiwa penting, kerana selepas itu ia menjadi ciri umum dalam binaan Islam dan selalu menyebut Muhammad.[2] Kubah Al-Sakhrah kekal sebagai "binaan unik budaya Islam dalam seluruh penghormatan", termasuklah sebagai sebuah "karya seni dan sebagai sebuah dokumen budaya dan kepercayaan", menurut sejarawan seni Oleg Grabar.[10]

Kubah ini diselenggara oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam di Jordan yang juga penjaga bagi tapak suci ketiga umat Islam.[11]

Sejarah

sunting
 
Kubah Al-Sakhrah, kawasan Nabi Muhammad s.a.w. naik ke langit.

Kubah Al-Sakhrah, seni binaan agung Islam yang pertama dibina diantara tahun 687 masihi sehingga tahun 691 masihi oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan, khalifah kerajaan Ummaiyyah. Ia dibina setengah kurun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.. Pelbagai masalah dan cabaran dihadapi bagi mempertahankan dan mengekalkan dan mengelakkan bangunan ini daripada musnah. Sejarah Kubah Al-Sakhrah boleh difokuskan kepada empat zaman secara keseluruhannya iaitu Zaman Islam, Zaman Perang Salib, Zaman Mandat British dan Zaman Pendudukan Israel.

Israk Mikraj

sunting

Pada tahun kesembilan misi Rasulullah s.a.w., lebih kurang tahun 620 masihi, Nabi Muhammad berjaga pada waktu malam untuk melakukan ibadah di Masjidil Haram, Makkah. Selepas beribadat, baginda tertidur seketika dekat Kaabah. Malaikat Jibril datang mengejutkan Rasulullah daripada tidur dan membawa baginda ke hujung Masjidil Haram. Menanti mereka ialah sejenis makhluk yang bernama Al Buraq. Rasulullah kemudiannya menaiki Al Buraq yang kemudian membawa baginda ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dalam sekelip mata.

Apabila tiba di Baitulmaqdis, Rasulullah turun daripada Al Buraq dan bersembahyang dekat sebuah batu. Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s,Nabi Isa a.s dan nabi-nabi yang lain berkumpul bersama dan bersolat bersama-sama baginda. Nabi Muhammad s.a.w. dipersembahkan semangkuk arak dan semangkuk susu. Rasulullah s.a.w. memilih susu. Malaikat Jibril a.s kemudiannya berkata "Ternyata engkau telah memilih ajaran yang sebenar". Rasulullah kemudiannya naik ke langit untuk menerima perintah menunaikan solat kepada umat Islam.

Penaklukan Baitulmaqdis

sunting
 
Pemandangan di dalam Kubah Al-Sakhrah.

Pada tahun 638 masihi, selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., tentera Islam mengepung Baitulmaqdis. Ketua Gereja Baitulmaqdis, Sophronius, menyerahkan kota itu selepas kepungan yang singkat. Cuma terdapat satu syarat iaitu perbincangan mengenai penyerahan itu mestilah menerusi Khalifah Saidina Umar Al Khatab sendiri, khalifah kedua Islam.

Saidina Umar memasuki Baitulmaqdis dengan berjalan. Tidak ada pertumpahan darah dan tidak ada pembunuhan oleh tentera Islam. Sesiapa yang ingin meninggalkan Baitulmaqdis dengan segala harta benda mereka, dibenarkan berbuat demikian. Sesiapa yang ingin terus tinggal dijamin keselamatan nyawa, harta benda, dan tempat beribadat mereka. Semua ini terkandung dalam Perjanjian Umariyya.

Buat pertama kalinya Baitulmaqdis terselamat daripada bermandi darah. Mengikut cerita, Saidina Umar kemudiannya menemani Sophronious ke Gereja Makam Suci yang mana Saidina Umar ditawarkan bersolat di dalamnya. Saidina umar menolak takut akan timbulnya syak wasangka yang dapat menjejaskan penggunaan gereja itu sebagai tempat beribadat penganut Kristian. Saidina Umar sebaliknya menunaikan solat di sebelah selatan gereja tersebut yang kini merupakan tapak Masjid Umar di Baitulmaqdis.

Saidina Umar kemudiannya meminta supaya dibawa ke tempat Masjid al-Aqsa dengan ditemani beratus-ratus orang Islam. Saidina Umar mendapati tempat itu dipenuhi dengan habuk dan sampah sarap. Saidina Umar terus mengarahkan supaya tempat itu dibersihkan dengan serta-merta. Sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu kemudiannya didirikan pada masa Saidina Umar di sebelah paling selatan iaitu Musala al-Qibli.

Pembinaan

sunting

Dalam tahun 630, beberapa tahun sebelum Kubah Al-Sakhrah dibina, Umar ibn al-Khattāb dibantu oleh Kaab al-Ahbar dan orang Islam yang lain memulihkan batu-batu asas dan menggali ia keluar daripada debu dan membersihkan kawasan yang telah ditinggalkan untuk beratus tahun sejak dimusnahkan oleh tentera Rom. Ibn Asakir[12] menyatakan yang Saidina Umar Al-Khatab tidak pernah membina apa-apa rumah ibadat untuk orang Islam bersembahyang tetapi memilih untuk mendirikan sebuah kawasan solat di kawasan selatan Masjid al-Aqsa. Saidina Umar berbuat demikian bagi menjelaskan bahawa kiblat terletak di bahagian selatan, ke arah Kaabah di Mekah dan bahawa orang Islam tidak pernah berbalah dalam menentukan arah kiblat. Kawasan batu asas kekal tidak terbongkar sehinggalah masa khalifah Abdul Malik bin Marwan yang memulakan pembinaan dalam tahun 685, menyiapkannya dalam tahun 691. Sarjana Islam al-Wasiti melaporkan kejadian ini:

Apabila Abdul Malik bin Marwan hendak membina Kubah Al-Sakhrah, baginda datang dari Damsyik ke Baitulmaqdis. Dia menulis, "Abd al-Malik berkehendakan untuk membina sebuah kubah di atas As-Sakhrah (Batu) untuk melindungi orang Muslim daripada panas dan sejuk, dan hendak membina masjid. Tetapi sebelum dia bermula dia ingin tahu pendapat rakyatnya." Dengan persetujuan mereka, timbalan menulis kembali, "Semoga Allah membenarkan siapnya projek ini, dan moga Allah s.w.t. merestui pembinaan masjid dan kubah ini dan memberi rahmat kepada Abd al-Malik dan para penggantinya." Dia kemudian menghimpunkan tukang-tukang binaan daripada semua wilayah kekuasaannya dan meminta mereka untuk menyediakan deskripsinya dan bentuk perancangan kubah pembinaan dirancangkan.

— Abu-Bakr al-Wasiti, Fada'il Bayt al-Maqdis, ms. 80-81, judul 136.[13]

Baitulmaqdis ialah tempat suci bagi agama Kristian, Yahudi, dan Islam. Selepas kematian Saidina Ali Abi Talib (khalifah terakhir Khulafa al-Rasyidin), menantu dan sepupu kepada Rasulullah s.a.w., adalah di Baitulmaqdis pemimpin-pemimpin Arab dan Islam bertemu pada tahun 660 untuk memilih khalifah yang baru. Mu'awiyah, pengasas kerajaan Bani Ummaiyyah telah dipilih sebagai khalifah. Beberapa tahun selepas itu, Khalifah Abdul Malik bin Marwan mengarahkan pembinaan Kubah Al-Sakhrah sebagai simbol perpaduan agama Kristian, Yahudi, dan Islam.

Seni Bina

sunting

Kubah Al-Sakhrah terkenal dengan keindahan dan kehalusan seni binanya. Kubahnya yang amat terkenal diliputi oleh batu-batu marmar yang mahal dan cantik bagi memperindahkan lagi seni binaannya. Malah, ia juga dikategorikan sebagai bangunan warisan dunia PBB. Kubah emasnya disalut emas hasil daripada bantuan Arab Saudi.

Kekeliruan mengenai Kubah Al-Sakhrah

sunting
 
Enver Pasha dan Jamal Pasha melawat Kubah Al-Sakhrah, Yerusalem.

Kubah Al-Sakhrah seringkali dianggap sebagai Masjid Umar yakni tempat Saidina Umar Al-Khatab bersembahyang ketika ditawarkan bersembahyang di gereja besar Kristian. Anggapan ini salah kerana Kubah Al-Sakhrah dan Masjid Umar ialah dua bangunan yang berbeza.

Kubah Al-Sakhrah juga sentiasa dianggap sebagai Masjid al-Aqsa, sedang ia sebahagian daripada kompleks masjid tersebut.

Sekatan memasuki Kubah Masjid Al-Sakhrah

sunting
 
Tanda buat pelancong.

Mengikut undang-undang Taurat, orang Yahudi tidak dibenarkan melakukan sembahyang di Kubah Al-Sakhrah.

Sehingga pertengahan abad kesembilan belas, orang bukan Islam disekat darpada memasuki kawasan berkenaan. Semenjak tahun 1967, orang bukan Islam kadang kala dibenarkan masuk, tetapi orang bukan Islam dilarang bersembahyang di sini.[14]

Selepas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon melawat kawasan ini pada tahun 2000, yang merupakan satu bentuk provokatif bagi membangkitkan kemarahan umat Islam, orang bukan Islam adalah dilarang memasuki kawasan ini.[15] Ia menyebabkan berlaku pentempuran Intifadah Kedua.

Pada tahun 2006, kawasan ini dibuka semula kepada orang bukan Islam secara percuma, kecuali pada hari Jumaat dan hari-hari raya orang Muslim, di antara 7-10 a.m. dan 12:30-1:30 p.m.

Rujukan

sunting

Nota kaki

sunting
  1. ^ George, A. (2010). The Rise of Islamic Calligraphy. Saqi. m/s. 60. ISBN 978-0-86356-673-8. The answer to this question begins with the oldest surviving Islamic monument : the Dome of the Rock
  2. ^ a b Johns 2003, m/s. 416.
  3. ^ Ahmed, A.S.; Sonn, T. (2010). The SAGE Handbook of Islamic Studies. SAGE Publications. m/s. 229. ISBN 978-1-4739-7168-4. Questions of visual domination and conversion were among the important factors in the construction of the oldest surviving Islamic monument, the Dome of the Rock in Jerusalem.
  4. ^ a b Avner, Rina (2010). "The Dome of the Rock in light of the development of concentric martyria in Jerusalem" (PDF). Muqarnas. 27: An Annual on the Visual Cultures of the Islamic World. Leiden: Brill. m/s. 31–50 [43–44]. ISBN 978-900418511-1. JSTOR 25769691. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 25 March 2017. Dicapai pada 24 March 2017.
  5. ^ Carol Delaney, Abraham on Trial: The Social Legacy of Biblical Myth, Princeton University Press 2000 p.120.
  6. ^ M. Anwarul Islam and Zaid F. Al-hamad (2007). "The Dome of the Rock: Origin of its octagonal plan". Palestine Exploration Quarterly. 139 (2): 109–128. doi:10.1179/003103207x194145. S2CID 162578242.
  7. ^ Rabbat, Nasser (1989). Oleg Grabar (penyunting). "The Meaning of the Umayyad Dome of the Rock" (PDF). Muqarnas. Leiden: E.J. Brill. 6: 12–21 [13–14]. doi:10.2307/1602276. JSTOR 1602276. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 31 May 2021. Dicapai pada 20 March 2021.
  8. ^ Goldberg, Jeffrey (29 January 2001). "Arafat's Gift". The New Yorker. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 July 2015. Dicapai pada 11 July 2015.
  9. ^ "UNESCO World Heritage". Diarkibkan daripada yang asal pada 4 August 2017. Dicapai pada 26 December 2019.
  10. ^ Grabar 1986, m/s. 299.
  11. ^ Business Optimization Consultants B.O.C. "Hashemite Restorations of the Islamic Holy Places in Jerusalem – kinghussein.gov.jo – Retrieved 21 January 2008". Kinghussein.gov.jo. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 February 2008. Dicapai pada 4 April 2012.
  12. ^ Ibn Asakir, Tarikh Madinat Dimashq 1, ms. 176.
  13. ^ Nasser Rabbat, Qubbat As-Sakhrah: Beberapa sari kata al-Wasiti, Muqaranas, Judul 10,
  14. ^ Tempat-tempat suci Baitulmaqdis dan Proses Damai Marshall J. Breger dan Thomas A. Idinopulos
  15. ^ Di dalam kawasan Al-Aqsa (BBC) 20 Mac 2002

Karya yang dipetik

sunting

Lihat juga

sunting

Pautan luar

sunting