Plaza Rakyat
Plaza Rakyat merupakan rancangan pusat pengangkutan awam bersepadu yang dirancang bersebelahan dengan Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur dan dijangka siap pada Mei 2007. Bagaimanapun dengan gelombang kegawatan ekonomi, pembinaan bangunan ini telah terbengkalai.
Menurut perancangan peringkat awal, Plaza Rakyat dikatakan akan menjadi bangunan kedua tertinggi di Kuala Lumpur selepas Menara Berkembar Petronas. Terdapat beberapa komponen pembangunan plaza ini. Antaranya, mengikut pelan asal, menara tertinggi di sebelah barat plaza itu akan mempunyai 79 tingkat ruang pejabat, disambung dengan menara setinggi 20 tingkat di timur dengan menerusi blok podium setinggi enam tingkat.
Ketinggian keseluruhan Plaza Rakyat (termasuk menara telekomunikasi) adalah 382 meter. Ruang seluas 6.6 juta kaki persegi akan terhasil apabila ia disiapkan merangkumi ruang perniagaan, pusat pengangkutan awam, hotel dan ruang pejabat. Selain itu, ia juga akan mempunyai tujuh panggung wayang, pusat hiburan, hotel empat bintang dengan 415 bilik dan 315 unit apartmen.
Projek ini mula dibina pada tahun 1992 dengan anggaran kos RM1.2 bilion. Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan pelbagai pihak dalam melaksanakan pembangunan ini. Bagaimanapun akibat kegawatan ekonomi pada 1997, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2007 terbengkalai. Pemaju juga bertukar tangan tetapi projek itu masih terbengkalai sehingga ke hari ini.
Sehingga kini, Plaza Rakyat kini hanya tinggal nama kepada stesen transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang, iaitu Stesen LRT Plaza Rakyat. Itulah satu-satunya bahagian yang dapat disiapkan sehingga 2013.
Projek ini bersambung semula pada 2013-2014. [1]