Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11

Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir pada 22-28 Oktober 2009 dijalankan dengan penuh adat istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti, Seri Menanti,Negeri Sembilan,Malaysia.

Istiadat pemasyhuran Tuanku Muhriz (29 Disember 2008)

sunting

Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dilakukan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember 2008.

Pelantikan Yang di-Pertuan Besar itu dilakukan mengikut Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar daripada antara Putera Yang Empat menurut perlembagaan negeri dalam satu majlis ringkas di sini.

Tiga putera lagi, Tunku Laksamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar turut hadir.

Semalam, Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau bersama-sama Tunku Besar Tampin mengadakan persidangan tertutup bagi memilih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.[1]

Aturcara majlis

sunting

Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz memberitahu media tentang aturcara majlis :

  • Pada 22 Oktober 2009, alat-alat kebesaran dipasang di halaman Istana Besar Seri Menanti oleh Pegawai 99 yang diketuai oleh Datuk Seri Amar Diraja dari Orang Empat Istana.
  • Pada 25 Oktober 2009, istiadat bersiram di mana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan akan bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada. Orang Empat Istana akan menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak tujuh kali. Baginda berdua akan bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan akan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti.
  • Pada 26 Oktober 2009, istiadat pertabalan di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 merupakan salah satu daripada tiga istiadat bersejarah di Negeri Sembilan pada tahun 2009.[2]

Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran (22 Oktober 2009)

sunting

Istiadat pertabalan dimulakan dengan istiadat mengeluarkan dan memasang alat-alat kebesaran di halaman Istana Besar Seri Menanti oleh Pegawai 99 yang diketuai oleh Datuk Seri Amar Diraja.

Alat-alat kebesaran ini terdiri daripada lapan kaki payung kuning, lapan bilah tombak berambu, lapan bilah keris panjang, lapan bilah pedang panjang dan lapan tonggol (panji-panji) kuning,hitam dan merah.

Alat-alat kebesaran ini kekal terpasang di halaman Istana Besar Seri Menanti selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan alat-alat kebesaran dilakukan pada 28 Oktober.

Istiadat Bersiram (25 Oktober 2009)

sunting

Pada istiadat bersiram bermula pukul 10.35 pagi ini, Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada (kira-kira 500 meter) disusuli dengan empat das tembakan meriam. Perarakan Takhta Rencana yang ditarik Pegawai 99 didahului kumpulan Rebana, diikuti pembawa alat kebesaran diraja, pembawa Cepu Bedak Limau dengan diiringi Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan kerabat diraja.

Setelah sampai dan bersemayam di Panca Persada, Orang Empat Istana menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak 7 kali.

Setelah selesai pusingan ketujuh, Datuk Seri Amar Diraja Ahmad Minal menyembahkan Cepu Bedak Limau untuk istiadat bersiram.

Tuanku Muhriz kemudian mencelupkan kedua belah tangan baginda ke dalam Cepu Bedak Limau.

Selepas itu Datuk Seri Amar Diraja menjunjung duli kepada Tuanku Aishah Rohani. Setelah selesai upacara itu, diadakan persembahan pencak silat, tarian piring dan caklempong lagu "Raja Bersiram".

Majlis diakhiri bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad. Baginda berdua kemudian bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti dengan disusuli empat das tembakan meriam lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Razak Mansor, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan adalah di antara 5,000 orang yang menyaksikan istiadat tersebut.

Istiadat bersiram yang berakhir pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu diakhiri dengan majlis santapan tengah hari di Dewan Banquet, Istana Besar Seri Menanti manakala rakyat menikmati hidangan tengah hari di dua tempat berasingan iaitu di padang Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir dan kawasan lapang berhampiran Istana Tasek.[3]

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (26 Oktober 2009)

sunting

Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, 61, hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 di Istana Besar Seri Menanti di sini dalam upacara pertabalan yang penuh adat istiadat dan bersejarah dalam tempoh 40 tahun di negeri ini.

Tuanku Muhriz dimasyhurkan pada 29 Dis 2008, dua hari selepas kemangkatan Yang di-Pertuan Besar sebelum ini yang merupakan ayahanda saudara baginda, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, yang telah menaiki takhta pada April 1967.

Istiadat itu adalah unik di Negeri Sembilan kerana pemilihan Yang di-Pertuan Besar ditentukan oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Sungai Ujong.

Upacara bermula pada pukul 11 pagi dengan keberangkatan masuk Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani ke Balairong Seri didahului oleh Orang Empat Istana membawa Peti Benian.

Istiadat bermula dengan peraturan menghadap Tuanku oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Jelebu Datuk Musa Wahab, Undang Luak Johol Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Rembau Muhamad Sharip Othman dan Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak.

Datuk Bentara Kanan Ibrahim Ujang kemudian hadir ke hadapan singgahsana baginda dan memohon perkenan Tuanku untuk memulakan istiadat dan kemudian menyeru Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak bagi memulakan tradisi seru menyeru yang dibuat turun-temurun sebelum ini.

"Hai, Bentara Kanan, serukanlah sabda Kami Undang Yang Empat kepada sekalian rakyat tua muda, kaya miskin, hina dina, dalam Alam Negeri Sembilan ini Adapun pada hari ini kami mentabalkan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan untuk menggantikan Seri Paduka Ayahanda Saudaranya, Almarhum Tuanku Ja'afar yang telah mangkat.

"Dan Tuanku Muhriz ini telah dilantik menjadi Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan sebelum dimakamkan Seri Paduka Ayahanda Saudaranya pada hari Isnin, 29 Disember, tahun masihi 2008, serukanlah sabda kami kepada sekalian rakyat mengadap dan menjunjung Duli,"seru Mubarak.

Selepas seruan Mubarak itu, Datuk Bentara Kanan menyambut dengan seruan kesetiaan terhadap pertabalan Tuanku Muhriz.

"Hai, tuan-tuan sekalian, tuan muda, kaya miskin, hina dina, adalah Undang Yang Empat dengan Adat Istiadatnya menabalkan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan," seru Datuk Bentara.

Sebaik sahaja selesai upacara itu, Datuk Seri Amar Diraja dan Datuk Pegawai Yang Enam bangun untuk menurunkan Daulat sebelum Datuk Bentara Kanan dan kemudian melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali, diikuti semua hadirin.

Istiadat diteruskan dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan dimainkan beserta tembakan meriam 32 das dari bateri istiadat, Rejimen Askar Melayu DiRaja yang duduk di kawasan luar istana.

Dengan selesainya adat istiadat itu, Tuanku Muhriz rasmi menjadi Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 selepas mangkatnya raja yang ke-10 iaitu, Tuanku Ja'afar pada 27 Dis, 2008.

Istiadat pertabalan hari ini ia mendapat liputan daripada 34 wakil media termasuk disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menzahirkan ucapan tahniah dan sembah taat setia kepada Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena pertabalan baginda di Istana Seri Menanti di sini.

Dalam ucapan tahniah dan sembah taat setia di atas pertabalan itu, Mohamad menyatakan rasa gembira rakyat jelata dan berdoa agar baginda terus bersemayam di atas takhta dan menerajui pemerintahan kerajaan serta memayungi rakyat negeri ini.[4]

Hadirin dan hadirat

sunting

Para ahli kaum kerabat diraja Negeri Sembilan dan wakil Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berkenan berangkat mencemar duli ke istiadat pertabalan. Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar Mohamad Hasan turut menghadiri istiadat pertabalan ini.

Rujukan

sunting
  1. ^ "Tuanku Muhriz dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11". mstar.com.my. 30 Disember 2008. Dicapai pada 30 Disember 2008.
  2. ^ "Pertabalan Tuanku Muhriz pada Oktober ini penuh dengan adat istiadat". mstar.com.my. 26 September 2009. Dicapai pada 26 September 2009.
  3. ^ "Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan jalani istiadat bersiram hari ini". mstar.com.my. 25 Oktober 2009. Dicapai pada 25 Oktober 2009.
  4. ^ "Tuanku Muhriz ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11". mstar.com.my. 26 Oktober 2009. Dicapai pada 26 Oktober 2009.