Perlembagaan Rakyat
Perlembagaan Rakyat merupakan cadangan alternatif bagi menggantikan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang dicadangkan oleh kumpulan gabungan Pusat Tenaga Rakyat dan All Malaya Council of Joint Action (PUTERA-AMCJA).
Latar belakang
suntingApabila Kerajaan British bercadang memperkenalkan Malayan Union bertujuan melicinkan pentadbiran pada tahun 1946, terdapat ramai orang Melayu membantah pembentukan Malayan Union seperti melalui demostrasi secara besar-besaran dan sebagainya. Kerajaan British akhirnya bersetuju berunding dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja bagi membincangkan asas Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang terdiri daripada wakil Raja-raja Melayu, wakil UMNO dan pegawai kanan British.
Namun, perundingan ini tidak disokong oleh golongan nasionalis Melayu Radikal seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, presiden Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Mereka berpendapat bahawa pihak British mengetepikan PKMM daripada Jawatankuasa Kerja tersebut. Golongan ini kemudian bergabung membentuk PUTERA. Selain itu, golongan bukan Melayu, iaitu All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) juga tidak menyokong kerana beranggapan jawatankuasa tersebut tidak demokratik dan juga disebabkan oleh jawatankuasa tersebut tidak mempunyai perwakilan bukan Melayu. AMCJA kemudiannya bergabung dengan PUTERA, dan terbentuklah Perlembagaan Rakyat.
Kandungan Perlembagaan Rakyat
suntingPada bulan Julai 1947, PUTERA-AMCJA mengadakan pertemuan untuk mengemukakan draf Perlembagaan Rakyat, antara kandungannya termasuklah seperti berikut:
- Singapura disatukan dengan Tanah Melayu.
- Sebuah Kerajaan Pusat dan Majlis-Majlis Negeri dipilih.
- Raja-Raja Melayu akan mempunyai kuasa sebenar dan bertanggungjawab kepada rakyat.
- Kedudukan istimewa orang Melayu dikembalikan.
- Adat istiadat dan agama Islam dikawal oleh orang Melayu.
- Kerakyatan yang sama rata.
- Merah dan putih menjadi warna bendera Tanah Melayu.
- Bahasa Melayu haruslah menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
- Pertahanan dan hal ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawab bersama British dan Tanah Melayu.
- Warganegara Tanah Melayu harus dinamai Melayu.
Namun, cadangan ini telah ditolak oleh British dan hanya menerima Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang digubal oleh Jawatankuasa Kerja. Hal ini disebabkan oleh UMNO dan Raja-raja Melayu hanya menuntut rundingan untuk menolak Malayan Union dan tidak menuntuk kemerdekaan daripada British.