Penyalaan nyahcas kapasitor

Penyalaan nyahcas kapasitor (CDI) adalah sejenis sistem penyalaan elektronik automotif yang digunakan secara meluas pada motosikal, mesin rumput, gergaji rantai, enjin kecil, kapal terbang berkuasa turbin, serta sesetengah kereta. Ia asalnya dibangunkan untuk mengatasi masalah masa pengecasan yang lama yang sering dikaitkan dengan gelung penyalaan aruhan tinggi yang digunakan pada sistem penyalaan aruhan, menjadikan sistem penyalaan lebih sesuai digunakan pada kelajuan tinggi (bagi enjin kecil, enjin perlumbaan serta enjin omboh rotari). Penyalaan nyahcas kapasitor menggunakan keluaran arus elektrik daripada nyahcas kapasitor untuk menyalakan palam pencucuh.

Modul CDI yang dibuka penutupnya.

Sejarah

sunting

Sejarah sistem penyalaan nyahcas kapasitor bermula seawal tahun 1950-an bersama-sama dengan pembangunan sistem penyalaan elektronik yang lain. Motosikal komersial pertama dengan sistem CDI dikeluarkan oleh Kawasaki.

Semasa penghujung 1960-an, kerajaan AS telah menggubal undang-undang baru yang menguatkuasakan piawaian emisi yang ketat. Hasilnya, banyak sistem penyalaan elektronik dibangunkan, dan bermula awal 1970-an kesemua enjin kecil dipasang dengan sistem CDI bagi menggantikan sistem titik sesentuh, termasuklah Honda Cub yang menggunakan sistem AC-CDI.

Prinsip pengoperasian

sunting

Kebanyakan sistem penyalaan yang digunakan pada kereta adalah jenis aruhan, yang bergantung sepenuhnya kepada aruhan elektrik pada gelung untuk menghasilkan arus elektrik bervoltan tinggi ke palam pencucuh apabila medan magnet runtuh semasa arus elektrik pada gelung primer diputuskan. Di dalam sistem CDI, satu litar pengecas mengecas sebuah kapasitor bervoltan tinggi, dan semasa titik penyalaan sistem berhenti mengecas kapasitor, membolehkan kapasitor menyahcas keluarannya kepada gelung penyalaan sebelum sampai ke palam pencucuh.

Sebuah modul CDI biasanya terdiri daripada sebuah transformer kecil, litar pengecas, litar pemicu serta kapasitor utama. Pertama sekali, voltan sistem dinaikkan kepada 400-600 V oleh transformer di dalam modul CDI. Kemudian, arus elektrik mengalir ke litar pengecas untuk mengecas kapasitor. Rektifier di dalam litar pengecas menghalang nyahcas kapasitor sebelum titik penyalaan. Semasa litar pemicu menerima isyarat pemicu, litar pemicu menghentikan operasi litar pengecas, membolehkan kapasitor menyahcas keluarannya dengan pantas ke gelung penyalaan, yang meningkatkan voltan nyahcas kapasitor kepada 40 kV pada gelung sekunder pada palam pencucuh. Apabila tiada isyarat pemicu, litar pengecas kembali mengecas kapasitor.

Terdapat dua jenis modul CDI:

  • AC-CDI - Modul AC-CDI memperoleh bekalan elektrik sepenuhnya daripada arus ulang-alik yang dihasilkan oleh alternator. Sistem AC-CDI adalah sistem CDI paling asas yang digunakan secara meluas pada enjin kecil.
  • DC-CDI - Modul DC-CDI ditenagai kuasa bateri, maka litar pembalik DC/AC disertakan bagi meningkatkan voltan 12 V DC kepada 400-600 V DC, menjadikan modul CDI besar sedikit. Walau bagaimanapun, kenderaan yang menggunakan sistem DC-CDI memperoleh pemasaan nyalaan yang lebih tepat dan enjin lebih mudah dihidupkan semasa sejuk.

Rujukan

sunting