Semasa pemerintahan Brooke, Penjara Sibu dikenali sebagai 'Rumah Pasong'. Rumah pasong yang awal dibina pada tahun 1890 di tebing Sungai Rejang dan berdekatan dengan Hospital Lau King Howe serta ditadbir oleh polis. Pada tahun 1918 ianya dipindahkan ke tempat sekarang iaitu di kawasan seluas 3 ekar yang dikelilingi Palm Road, Pisang Road dan Padang Road. Dari tahun 1918 hingga 1963, Rumah Pasong ditadbir oleh Pegawai Daerah. Apabila Negeri Sarawak merdeka melalui Malaysia pada 1963, rumah pasong turut berubah dan dikenali sebagai penjara. Pentadbirannya adalah terletak di bawah Jabatan Penjara dan telah diwartakan pada 25 Ogos 1972.


Pada 5 September 1976 pada pukul 1.00 pagi, seramai 12 orang anggota komunis menyusup melalui sungai melalui Kampung Dato ke pintu hadapan Penjara Sibu. Misi anggota komunis ini adalah untuk membebaskan anggota mereka yang ditahan di Penjara Sibu. Salah seorang anggota warden menyedari kehadiran beberapa anggota komunis dan mula memberitahu anggota lain untuk bersedia. Seorang anggota komunis bernama Chong melepaskan beberapa das tembakan di pos kawalan sebelah timur untuk mengelirukan anggota warden yang mempertahankan penjara daripada diceroboh. pertempuran antara pengganas komunis dan pegawai warden tercetus selama sejam. Pada masa ini juga penyelia penjara menghubungi Angkatan Tentera Malaysia untuk datang membantu. Setibanya tentera di situ anggota komunis terus melarikan diri. Tiada kecederaan dari pihak pegawai penjara dan tentera. Selepas di periksa ada tompokan darah yang membuktikan ada pengganas komunis yang cedera.