Pengguna:MNH48/Sejarah Pendidikan

Ini adalah laman pengguna Wikipedia.

Jika anda mendapati laman ini pada mana-mana tapak selain dari Wikipedia, anda sedang melihat cermin laman. Berhati-hati bahawa yang laman ini mungkin bukan yang terkini, dan pengguna asal laman ini mungkin tidak mempunyai hubungan peribadi dengan mana-mana tapak selain dari Wikipedia sendiri. Laman asal terletak di http://ms.wikipedia.org/wiki/Pengguna:MNH48/Sejarah_Pendidikan.

Wikimedia Foundation
Wikimedia Foundation


Profil   Sejarah Pendidikan   Lain-lain   Perbincangan
Maklumat berkaitan pendidikan MNH48
SJK (C) Chung Hwa Sungai Lalang, salah sebuah sekolah tempat Yaya belajar

Pendidikan Tidak Formal

Yaya membesar dalam keluarga yang agak ketat, konservatif dan berpendapatan sederhana. Dia mempelajari bahasa ibundanya, bahasa Melayu, di rumah. Oleh kerana bapanya sentiasa tiada di rumah, loghat Kedah yang bapanya pakai tidak memberi pengaruh kepada Yaya dan dia menggunakan bahasa Melayu yang baku di semua tempat.[1]

Prasekolah

Yaya memulakan pembelajaran formalnya di Tadika GBBM Sungai Lalang selama 2 tahun, iaitu tahun 2001 dan 2002. Tadika tersebut menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantarnya, dan mata pelajaran yang diajar hanyalah lima iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Matematik, Sains dan Pendidikan Moral.[2]

Sekolah Rendah

Semasa sekolah rendah, Yaya bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Sungai Lalang. Dia berada di kelas belakang pada dua tahun awalnya iaitu kelas 1K dan 2K, sebelum bergerak ke kelas hadapan kerana peningkatan prestasi pelajaran iaitu kelas 3M, dan kekal di kelas hadapan sehingga tamat sekolah rendah, 4M, 5M dan 6M. Yaya telah mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2008 dan mendapat keputusan 5A1B1C, di mana dia mendapat B dalam mata pelajaran Bahasa Cina Penulisan dan C dalam mata pelajaran Bahasa Cina Pemahaman.[3]

Sekolah Menengah

Semasa sekolah menengah, Yaya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bedong yang terletak di pekan jiran, kerana dia mengelak daripada beberapa musuhnya yang menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Amanjaya Sungai Lalang.

Pada asalnya, Yaya telah memohon untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min, Sungai Petani, tetapi permohonan ditolak oleh pejabat pendidikan kerana jarak ke sekolah iaitu 10km dirasakan terlalu jauh dan tiada bas atau kenderaan khusus untuk berulang-alik setiap hari.[4]

Sekolah Menengah Rendah

Dengan bantuan keputusan UPSR, Yaya mendapat tempat di kelas rancangan khas yang dinamakan sebagai kelas Super semasa tingkatan satu. Kelas tersebut mempunyai pelan rancangan yang sangat khusus dan menjadi taruhan harapan untuk menaikkan pihak sekolah. Antara pelan yang perlu dipatuhi termasuklah menyalin semula 100 artikel sebulan daripada pelbagai sumber untuk kedua-dua bahasa agar pelajar mendapat pendedahan daripada gaya bahasa, tatabahasa dan idea-idea daripada isu-isu semasa. Yaya kekal di kelas rancangan khas tersebut sepanjang tiga tahun, 1 Super, 2 Super, dan 3 Super, sebelum menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2011 dan mendapat keputusan 8A1E, iaitu E dalam mata pelajaran Bahasa Cina.

Sekolah Menengah Atas

Walaupun layak untuk memohon sekolah berasrama, Yaya membuat keputusan untuk meneruskan sahaja pengajiannya di sekolah yang sama. Dengan bantuan keputusan PMR, dia mendapat tempat di kelas yang dia inginkan, iaitu kelas sains pertama yang menawarkan mata pelajaran Biologi. Kelas sains kedua tidak menawarkan mata pelajaran tersebut kerana ia digantikan dengan mata pelajaran Perakaunan. Dia kekal di kelas sains pertama sepanjang pengajian menengah atas, 4 Science 1 dan 5 Science 1. Yaya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2013 dan mendapat keputusan 6A2B2C, iaitu C dalam Additional Mathematics, C+ dalam Biology, B dalam Chemistry, B+ dalam Physics, A- dalam Pendidikan Islam, dan A dalam subjek lainnya.

Yaya dan kebanyakan rakan sekelas di dalam kelas 5 Science 1 menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya untuk belajar mata pelajaran Mathematics, Additional Mathematics, Biology, Chemistry dan Physics dan mereka tidak membeli buku rujukan versi bahasa Melayu sepenuhnya kerana mereka semua telah belajar menggunakan bahasa Inggeris selama lebih daripada lima tahun. Mereka semua sedih apabila Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan. Adik kepada Yaya pula terpaksa belajar menggunakan bahasa Cina sepenuhnya di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) disebabkan pemansuhan PPSMI ini, dan nasib baik dia dahulu belajar menggunakan kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Cina semasa sekolah rendah dan boleh membimbing adiknya.

Universiti

Diploma

Menggunakan keputusan SPM, Yaya telah memohon untuk mengambil Diploma di universiti awam melalui portal pengambilan pelajar Unit Pengurusan Universiti (UPU). Yaya berjaya mendapat tempat untuk Diploma Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA, iaitu pilihan ketiga selepas Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Diploma Kejuruteraan Elektrik. Yaya ditempatkan di kampus Arau, Perlis di mana dia mendapat kemudahan kolej kediaman walaupun ia bukanlah kolej kediaman yang selari dengan jantinanya. Oleh kerana kekangan kewangan, dia tetap memperbaharui permohonan menduduki kolej kediaman tersebut dan berpura-pura hidup dalam jantina palsunya untuk mengelakkan sebarang kontroversi walaupun tidak selesa dengannya. Disebabkan kegagalan dalam beberapa mata pelajaran yang memerlukan dirinya menduduki semula mata pelajaran berkenaan, Yaya terpaksa melanjutkan satu semester tambahan dan bergraduasi lebih lewat. Yaya belajar di kampus berkenaan dari Jun 2014 sehingga Disember 2017, menamatkan pengajian pada 5 Disember 2017 dengan gred purata keseluruhan 3.31, dan upacara graduasi telah berlangsung pada 28 April 2018.[5]

Sarjana Muda

Menggunakan diploma yang diperoleh, Yaya telah memohon serapan ke program pengajian sarjana muda yang berkaitan di bawah sistem universiti yang sama. Daripada program yang dipilih, dia telah berjaya mendapat tempat untuk Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian), iaitu pilihan pertamanya. Yaya ditempatkan di kampus Shah Alam, Selangor di mana kemudahan kolej wajib disediakan untuk satu semester kemasukan pertama. Seperti biasa, dia ditempatkan di kolej kediaman yang tidak selari dengan jantinanya. Dengan serapan tersebut, Yaya tidak perlu menjalani kokurikulum lagi sekali kerana telah pun menjalaninya ketika diploma, dan dia juga boleh melangkau beberapa mata pelajaran dengan mengambil keputusan mata pelajaran tersebut daripada diploma dan dimasukkan (ditampungkan) ke dalam ijazah sarjana muda. Dia dikira sebagai pelajar semester ketiga ketika kemasukan dan bukannya bermula dari semester pertama. Ketika di penghujung semester tiga, iaitu apabila tempoh tinggal di kolej kediaman wajib semester kemasukan hampir tamat, Yaya telah berusaha mencari bilik sewa yang sama ada selari dengan jantinanya atau bilik sewa individu yang tidak berkongsi. Namun begitu, dia gagal menjumpai bilik sedemikian dan menyewa di bilik sewa berkongsi dengan jantina berlainan pada harga RM210 sebulan. Yaya mula belajar di kampus berkenaan dari tahun 2017 dan dijangka untuk menamatkan pengajian pada tahun 2020.[6]

Latihan Industri

Pada semester keenam, kesemua pelajar telah menghadiri taklimat untuk latihan industri yang akan dijalankan pada semester ketujuh yang bermula pada September 2019. Yaya telah mencari organisasi yang mampu menerima dirinya seadanya sebagai seorang yang berjantina bukan perduaan (non-binary) yang membenci perkaitan dengan mana-mana jantina daripada jantina perduaan (binary genders). Oleh kerana kesemua organisasi yang dia minta tidak mampu menerima dirinya, dia mula menghantar emel kepada beberapa organisasi yang lebih mesra dengan identiti jantina, seperti organisasi pro-LGBT yang wujud di Malaysia, bertanyakan sama ada mereka mengetahui mana-mana organisasi yang mampu menerima dirinya. Salah sebuah organisasi telah menerima Yaya untuk menjalani latihan industri di tempat mereka sebagai pembangun web dan pengawal selia media sosial, dengan elaun bulanan sebanyak RM400. Oleh kerana tempat latihan industri yang berada di dalam Kuala Lumpur tersebut agak jauh dari bilik sewanya di Shah Alam dan memerlukan masa tiga jam sehala untuk bergerak dengan pengangkutan awam, Yaya telah berpindah ke bilik individu tidak berkongsi pada harga RM350 sebulan di kawasan yang lebih dekat. Dia dijangka akan tamat latihan industri pada Januari 2020.

Rujukan

  1. ^ "Education Information - Before Preschool". Dicapai pada 20 Oktober 2019.
  2. ^ "Education Information - Preschool". Dicapai pada 20 Oktober 2019.
  3. ^ "Education Information - Primary School". Dicapai pada 20 Oktober 2019.
  4. ^ "Education Information - Secondary School". Dicapai pada 20 Oktober 2019.
  5. ^ "Education Information - Diploma". Dicapai pada 20 Oktober 2019.
  6. ^ "Education Information - Bachelor". Dicapai pada 20 Oktober 2019.

Rekabentuk laman pengguna ini diinspirasikan oleh rekabentuk laman pengguna bernama Another Believer di Wikipedia Bahasa Inggeris.