Penerbangan 11 American Airlines
Penerbangan 11 American Airlines ialah penerbangan rentas benua American Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Logan di Boston, Massachusetts ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles di Los Angeles, California. Pada hari Selasa, 11 September 2001, pesawat yang terbang mengikut laluan ini—sebuah Boeing 767-223ER—dirampas oleh lima orang pengganas al-Qaeda, lalu dihempaskan kepada Menara Utara World Trade Center di Bandar Raya New York, sebagai sebahagian serangan 11 September.
perampasan | |
---|---|
Tarikh | Selasa, 11 September 2001 |
Ringkasan | Perampasan kapal terbang berani mati |
Tapak kejadian | World Trade Center |
Pesawat | |
Jenis pesawat | Boeing 767-223ER |
Pengendali | American Airlines |
Kod pendaftaran | N334AA |
Asal penerbangan | Lapangan Terbang Antarabangsa Logan |
Destinasi | Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles |
Penumpang | 81 (termasuk 5 perampas) |
Anak kapal | 11 |
Kematian | Kesemua 92 orang dalam pesawat, dan kira-kira 1,600 orang (termasuk yang lompat keluar serta pekerja kecemasan) di Menara Utara World Trade Center. |
Terselamat | 0 |
15 minit selepas berlepas, para perampas mencederakan sekurang-kurangnya tiga orang, memecah masuk ke dalam kokpit, dan mengatasi juruterbang dan pegawai pertama. Mohamed Atta, seorang ahli al-Qaeda dan juruterbang terlatih, mengambil alih kawalan pesawat. Pengawal trafik udara mendapati penerbangan ini dalam kesusahan apabila kakitangan berhenti membalas panggilan mereka. Mereka sedar bahawa pesawat terbabit telah dirampas apabila Atta tersilap memancarkan pengumuman untuk penumpang kepada pengawal trafik udara. Dalam pesawat, pramugari Amy Sweeney dan Betty Ong menghubungi pejabat American Airlines, lalu memberikan keterangan mengenai para perampas dan kecederaan yang dialami oleh penumpang dan kakitangan.
Pesawat ini terhempas di Menara Utara World Trade Center pada jam 8:46 waktu tempatan; impaknya membunuh kesemua 92 orang dalam pesawat, termasuk perampas sekali, dan sebilangan mangsa yang tidak disahkan di zon hempasan dalam bangunan. Pelanggaran ini disaksikan oleh ramai orang di jalanan. Sebelum kejadian perampasan disahkan, agensi-agensi berita mulai melaporkan kejadian ini dan membuat spekulasi bahawa hempasan itu merupakan kemalangan. Impaknya dan kebakaran yang menyusul menyebabkan Menara Utara runtuh, mengorbankan ribuan lagi mangsa. Dalam usaha mencari dan menyelamat di tapak World Trade Center, para pekerja menemui dan mengenal pasti ratusan sisa jenazah mangsa Penerbangan 11, tetapi banyak lagi cebisan badan manusia yang tidak dapat dikenal pasti.
Lihat juga
suntingRujukan
suntingPautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan Penerbangan 11 American Airlines |
Gambar luar | |
---|---|
Picture of aircraft Pre 9/11 |