Pendinginan komputer

Pendinginan komputer merupakan proses membebaskan haba yang terhasil dari komputer elektronik.

Penenggelam haba biasa AMD dipasang pada papan induk

Kebanyakan komponen dalam unit sistem komputer menghasilkan tenaga haba yang banyak semasa operasi, termasuklah, tetapi tidak terhad kepada litar bersepadu seperti CPU, chipset, kad grafik dan cakera keras.

Haba ini haruslah disingkirkan untuk memastikan komponen beroperasi dalam suhu yang selamat. Bahagian yang terlebih panas akan menyebabkannya mempunyai jangka hayat yang pendek dan menyebabkan sistem membeku atau rosak. Perkara ini dapat dilakukan dengan menggunakan penenggelam haba (untuk menambahkan luas permukaan) dan kipas komputer (untuk melajukan pergerakan udara).

Sistem pendinginan

sunting

Pendinginan udara

sunting

Komputer meja lazimnya menggunakan satu atau lebih kipas untuk pengurusan haba. Hampir semua bekalan kuasa komputer meja mempunyai sekurang-kurangnya satu kipas untuk udara ekzos daripada bekas. Kebanyakan pengeluar mencadangkan membawa masuk udara segar sejuk dari bahagian dasar hadapan peti, dan mengeluarkan udara panas dari bahagian atas belakang.

Komputer riba sering diletakkan di atas permukaan mendatar. Akan tetapi, untuk pendinginan udara yang baik, komputer bimbit sepatutnya diletakkan sedikit senget.

Pendinginan air

sunting
 
Set pendinginan air buatan sendiri yang menunjukkan pam 12V, blok air CPU dan aplikasi talian T yang lazim.

Asalnya terhad kepada komputer kerangka utama, sistem pendinginan air kini semakin dikaitkan dengan aplikasi overclock sama ada dalam bentuk kit yang sudah dikilangkan ataupun dalam bentuk pemasangan sendiri daripada bahagian berasingan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, populariti sistem pendinginan air semakin meningkat terutamanya terhadap komputer meja berprestasi tinggi. Air mempunyai keupayaan menyingkirkan lebih haba daripada pelbagai jenis logan yang digunakan pada penenggelam haba, menjadikannya sesuai bagi tujuan overclock serta aplikasi berprestasi tinggi lain. Antara kelebihan sistem pendinginan air termasuklah keupayaan sistem tersebut yang bukan sahaja menyejukkan satu kompinen sahaja, tetapi boleh dipasang bagi menyejukkan banyak komponen seperti unit pemprosesan pusat, unit pemprosesan grafik dan komponen lain pada sistem pendinginan yang sama. Tidak seperti sistem pendinginan udara, sistem pendinginan air kurang dipengaruhi suhu bilik. Paras bunyi bising sistem sejukan air juga turut digemari berbanding pada sistem sejukan udara, yang boleh jadi bising. Walau bagaimanapun, satu kelemahan utama pendinginan air ialah sistem tersebut boleh bocor, dan kebocoran bendalir pendingin boleh merosakkan mana-mana komponen elektronik yang bersentuhan dengan air. Satu lagi kelemahan sistem ini ialah tahap kerumitan sistem tersebut; penenggelam haba aktif biasa lebih mudah dibina, dipasang serta diselenggara berbanding sistem sejukan air.

Paip haba

sunting
 
Kad grafik dengan reka bentuk penyejukan paip haba.

Paip haba merupakan sejenis tiub berongga yang mengandungi bendalir pemindah haba. Sambil bendalir tersebut menyejat, ia membawa haba ke bahagian yang lebih sejuk, di mana ia terkondensasi semula dan kembali semula ke bahagian panas (melalui tindakan kapilari, ataupun pada implementasi terawal, menggunakan graviti). Oleh itu, paip haba mempunyai kecekapan pengaliran haba berkesan yang lebih tinggi berbanding bahan pepejal. Bagi kegunaan komputer, penenggelam haba pada CPU dipasang pada penenggelam haba radiator yang besar. Kedua-dua penenggelam haba adalah berongga seperti mana pemasangan antara keduanya, menghasilkan satu paip haba besar yang memindahkan haba dari CPU ke radiator, yang kemudiannya disejukkan menggunakan kaedah konvensional. Kaedah sebegini adalah mahal dan biasanya digunakan apabila ruang pemasangan adalah sempit (seperti pada PC faktor bentuk kecil serta komputer riba), ataupun jika kesenyapan mutlak diperlukan (seperti pada komputer yang digunakan pada studio rakaman audio semasa rakaman langsung). Disebabkan tahap kecekapan kaedah pendinginan ini, banyak CPU dan GPU komputer meja, di samping cipset berprestasi tinggi, menggunakan paip haba di samping pendinginan aktif berasaskan kipas untuk mengekalkan tahap suhu pengendalian yang selamat.