Dengan pencetak hentaman, cetakan berlaku disebabkan oleh tukul yang mengetuk bentuk aksara dan bentuk aksara ini kemudiannya mengetuk reben berdakwat, menyebabkan reben menekan imej aksara tersebut ke atas kertas.

Fail:Canon printer 10.jpg
Pencetak berjenama Canon
Pencetak bintik 9 pin Epson.

Peranti pencetak aksara mencetak satu aksara satu masa pada kelajuan 10 hingga 500 aksara per saat. Pencetak terlaju jenis ini adalah pencetak matriks dawai atau pencetak matriks bintik. Ia mencetak aksara terdiri daripada bintik-bintik corak terbentuk oleh hujung dawai yang kecil.

Dengan memanjangkan dawai tertentu lebih daripada yang lain, corak bintik boleh dibentuk untuk mengeluarkan nombor, huruf, atau aksara khas. Dawai yang dipanjangkan ini kemudiannya ditekan ke atas reben berdakwat untuk mencetak aksara ke atas kertas atau borang.

Sesetengah pencetak matriks yang lebih lambat dan murah mencetak aksara sebagai satu siri lajur setiap satunya selebar satu bintik. Oleh kerana sifat unsur matriks tersebut, ia boleh digunakan untuk mencetak bentuk aksara khas yang boleh digunakan dengan grafik, seperti graf dan carta.

Untuk mereka yang inginkan output berkualiti mesin taip, pencetak bintik khas atau pencetak roda daisi boleh digunakan. Pencetak roda daisi menggunakan unsur cetakan plastik atau logam tunggal berbentuk seperti sususan kelopak bunga daisi. Unsur ini akan berputar sehingga aksara yang betul berada pada kedudukannya dan kemudiannya ia ditekan ke atas reben berdakwat. Proses ini berulang untuk setiap aksara yang hendak dicetak pada baris. Kelajuan biasa pencetak jenis ini adalah dalam julat 25 hingga 100 aksara persaat.

Pencetak aksara hentaman adalah peranti output salinan keras (hard copy) yang paling biasa digunakan untuk sistem mikrokomputer peribadi dan perniagaan kecil. Kosnya jauh lebih rendah daripada pencetak baris.

Pencetak baris hentaman berkeupayaan mencetak keseluruhan baris pada satu masa dengan menggunakan roda cetak, rantai atau dram bergerak. Pencetak roda cetak terdiri daripada satu siri roda cetak, setiap satunya mengandungi digit dan aksara abjad yang lengkap sebagai tambahan kepada set aksara khas. Apabila mencetak, semua roda cetak diletakkan dengan tepat untuk mewakili data yang hendak dicetak pada satu baris. Ia kemudiannya menghentak secara serentak pada kelajuan 150 baris per minit.

Pencetak rantai atau pencetak dram adalah pencetak baris hentaman yang pantas yang biasa digunakan. Semasa rantai (mengandungi lima atau kurang bahagian yang terdiri daripada 48 aksara, setiap satunya mengandungi set aksara yang lebih banyak) atau dram cetak berputar, setiap aksara akan dicetak apabila ia tiba pada kedudukannya. Sehingga 150 aksara per baris boleh dicetak pada kelajuan hingga 2,500 baris per minit. Boleh dikatakan pencetak baris hentaman digunakan khas untuk menyokong sistem komputer yang lebih besar.

Pautan luar

sunting