Pembakaran penempatan Bajau Laut 2024

Pembakaran penempatan Bajau Laut merujuk kepada kejadian rumah-rumah 500 orang Bajau Laut[1] di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna, Sabah yang diroboh dan dibakar oleh pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah Semporna, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Daerah Semporna dan Eastern Sabah Security Command,[2] pada 4 Jun hingga 6 Jun 2024.[2][3]

Bajau Laut merupakan kaum peribumi yang tinggal di Laut Sulu antara selatan Filipina dan timur Sabah,[4] dan tinggal kebanyakan masanya di atas air tetapi tidak berwarganegara.[5] Operasi tersebut dikatakan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan yang lebih luas untuk mengawal penempatan haram dan perlindungan taman marin itu.[6] Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal, mengecam pembakaran rumah Bajau Laut sambil menegaskan rumah-rumah itu boleh dirobohkan tetapi tidak sepatutnya dibakar.[7]

Sebelum itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew menyatakan 273 buah rumah haram yang dibina di perairan taman laut itu telah diberi notis pengusiran yang diedarkan dari 2 hingga 4 Mei sebelum perobohan akan dimulakan.[8] Menurut Kementerian yang sama, mereka telah membina penempatan tanpa kebenaran di dalam Taman Marin Tun Sakaran yang dilindungi, di samping tujuan ingin melindungi taman daripada penangkapan ikan secara haram, bercucuk tanam dan mendirikan bangunan haram.[6] Jaujan Sambakong menambahkan bahawa pembakaran rumah orang Bajau Laut adalah tidak berperikemanusiaan dan mencemarkan nama baik Malaysia.[9]

Reaksi

sunting

Pembakaran penempatan orang Bajau Laut mendapat kritikan dan kecaman keras daripada pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia dan aktivis tempatan, seperti Mandiri Borneo.[10] Kebimbangan juga dibangkitkan tentang kesan terhadap keluarga-keluarga yang diusir itu yang tidak mempunyai kewarganegaraan rasmi, menjadikan mereka lebih rentan terhadap pelbagai diskriminasi sistemik serta menimbulkan perbincangan ketidakadilan yang dialami oleh etnik minoriti, menurut pertubuhan bukan kerajaan bagi hak asasi, KOMAS.[6] Perbuatan itu juga dikatakan melanggari Warta Kerajaan Negeri Sabah 1984, yang menyatakan "Hak Adat Anak Negeri yang wujud di semua pulau yang terlibat adalah diiktiraf dan tidak akan diganggu."[11]

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menekankan kepentingan mengimbangi kebimbangan kemanusiaan dengan isu keselamatan yang berkait dengan pulau-pulau itu. Beliau menyatakan pulau-pulau itu berkemungkinan menjadi tempat untuk aktiviti-aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan negara atau melibatkan aktiviti haram seperti penyeludupan.[8] Selain itu, ada juga dakwaan daripada PDRM bahawa orang Bajau Laut sendiri yang membakar rumah mereka untuk meraih simpati[12] tetapi logik perbuatan tersebut telah dipersoalkan.[13] Datuk Christina Liew berkata perobohan itu diarah atas faktor keselamatan di peringkat daerah, berikutan insiden tembakan di Teluk Darvel, Kunak dan kegiatan jenayah rentas sempadan di lokasi terbabit.[8]

Rujukan

sunting
  1. ^ Rozanna Latiff. (2024, 8 Jun). Malaysia defends eviction of sea nomads, citing security concerns. Yahoo News. Dicapai 11 Jun 2024.
  2. ^ a b Bernama. (2024, 7 Jun). Menteri: Pengosongan 273 rumah tanpa izin di Semporna atas faktor keselamatan. Malaysiakini. Dicapai 11 Jun 2024.
  3. ^ #PandangKeSabah ★ di X: “Video kami terima dari komuniti, kelmarin.  Rumah atas air tidak hanya diroboh, malahan dibakar!” / X. (2024, 5 Jun). X (Dahulu Twitter). Dicapai 11 Jun 2024.
  4. ^ Hassan, W. S. W., & Peters, D. (2020). The vulnerability of Bajau Laut as stateless people in Sabah. Jurnal Kinabalu, 26(2), 183-183.
  5. ^ PulauMabul.com. (2024). Bajau laut (Sea gypsies). Pulau Mabul.
  6. ^ a b c AFP (7 Jun 2024). "Malaysia hancurkan puluhan rumah pengembara laut". VOA Indonesia. Dicapai pada 11 Jun 2024.
  7. ^ Axtius, M. (2024, 9 Jun). Isu rumah Bajau Laut: “Boleh roboh, jangan bakar” - Shafie. Astro Awani. Dicapai 11 Jun 2024.
  8. ^ a b c Malay Mail. (2024, 11 Jun). Amid uproar over demolition of Bajau Laut housing in Semporna, Fahmi tells critics Malaysia can’t compromise on security. Malay Mail.
  9. ^ FMT Reporters. (2024, 6 Jun). Evicting Bajau Laut OK but not burning homes, says Warisan man. Free Malaysia Today. Dicapai 11 Jun 2024.
  10. ^ MalaysiaKini Team (2024, 10 Jun). Mandiri Borneo kecam pengusiran paksa komuniti Bajau Laut. Malaysiakini.
  11. ^ Enakmen Taman-taman, 1984. Warta Kerajaan Negeri Sabah 28(LIX). Kota Kinabalu. 22 Julai 2004. n/s 4.
  12. ^ Nazihah AN. (2024, 7 Jun). Kerajaan Sabah Nafi langgar hak asasi Komuniti Bajau Laut, PDRM dakwa ada yang bakar rumah sendiri. I Love Borneo. Dicapai 11 Jun 2024.
  13. ^ @Yapxiang. (2024, 9 Jun). 2.5 Burnt it themselves: They’re stateless and hardcore poor, and that’s their only home.When a wooden house is demolished, you still can plaster it together and make it into a temporary shelter. No one wants to live in statelessness and homelessness. X (dahulunya Twitter).