Pelagak

atur cara yang meniru tingkah laku suatu atur cara yang lain sehinggakan perisian itu seakan-akan atur cara yang sebenarnya

Perisian pelagak (Jawi: ڤرايسين ڤلاݢق; bahasa Inggeris: emulator) ialah sejenis perisian yang membolehkan suatu atur cara yang direka awalnya dan dijalankan oleh suatu sistem komputer tertentu yang khusus (baik dari segi pembinaan dan sistem pengendalian) dapat dikendalikan dalam sistem komputer lain yang sama sekali berlainan. Sebagai contoh, sebuah atur cara Windows dapat dijalankan pada sistem pengendalian Linux dengan menggunakan perisian pelagak Wine. Ada pula atur cara yang menyelakukan suatu komputer dalam komputer, contohnya VMware. Contoh lain ialah atur cara pelagak untuk menjalankan permainan komputer yang pada mulanya hanya boleh dijalankan pada konsolnya masing-masing. Contohnya ialah perkakas permainan Nintendo, Atari, PlayStation, XBox dan lain-lain.

Pelagakan antara muka baris perintah DOS oleh DOSBox.

Tujuan pembuatan

sunting

Terdapat beberapa alasan dibuatnya pelagak, antaranya:[1]

  • Meniru tatamain program-program yang sudah lama dihasilkan (kebiasaannya permainan komputer) namun perkakasan perumah atau sistem pengendaliannya tidak dihasilkan lagi pada waktu tertentu,
  • Menjalankan perisian yang dibuat hanya untuk pelantar-pelantar tertentu,
  • Memeriksa atur cara yang dibuat oleh pelantar berlainan untuk dijalankan pada pelantar yang lain. Contohnyanya pembuatan atur cara atau perisian yang bertujuan digunakan dalam PDA atau telefon bimbit namun dilagakkan pada komputer peribadi (PC) terlebih dahulu.

Pelagak terdiri daripada dua jenis: sistem tunggal/pelagak khusus dan pelagak berbilang sistem.

  • Sistem tunggal/pelagak khusus hanya dapat melagak seperti 1 jenis sistem
  • pelagak berbilang sistem dapat melagak seperti beberapa jenis sistem sekali gus.

Pada dasarnya, mutu sistem tunggal/pelagak khusus lebih baik daripada pelagak berbilang sistem lantaran reka bentuknya yang dibikin khusus untuk 1 jenis sistem sehingga kemungkinan untuk terjadi masalah keserasian dapat dikurangkan. Selain itu, keperluan sumber untuk sistem tunggal/pelagak khusus biasanya lebih kecil berbanding pelagak berbilang sistem.

Pembinaan dan penghasilan

sunting

Pengaturcaraan pelagak ialah tugas yang rumit serta bermula dengan pengumpulan maklumat tentang sistem yang hendak dilagak dan mengakali komputer agar mampu meniru perkakasan dan arahan yang dijalankan oleh sistem tersebut. Salah satu contohnya ialah penulisan atur cara untuk melagak cara kerja pemproses kuno seperti Apple II atau Intel 8086.

Setahap mana sesebuah sistem yang disasarkan dapat dibina semula pengaturcaraannya pada pelagak ini bergantung kepada tiga faktor utama yang menentukan kemungkinan suatu sistem dilagak atau tidak:

  • Ketenaran: Semakin tenar suatu sistem, maka semakin banyak orang yang berusaha untuk memperlagakkan sistem tersebut.
  • Ketersediaan maklumat: Maklumat tersedia yang banyak tentang suatu sistem (baik perkakasan mahupun perisian) akan amat membantu proses penulisan pelagak.
  • Kerumitan teknikal: Banyak permainan yang dilindungi dengan menggunakan penyulitan. Hal ini akan merumitkan pelagakan sistem tersebut. Selain itu, sistem baharu seperti Playstation 2 juga rumit diperlagakkan lantaran kebanyakan komputer belum mempunyai kuasa pemprosesan yang kuat untuk melagak seperti sistem yang baharu.

Kebanyakan pelagak tidak mampu untuk melagak seperti sistem yang hendak ditirunya dengan sempurna. Contoh ketidaksempurnaan tersebut ialah masalah pada pemasaan (kadar bingkai yang lambat), gambar atau kesan video yang tidak betul, suara yang kacau mahupun tidak bersuara sama sekali, masalah di kayu ria dan lain-lain yang sepertinya.

Fungsi ROM

sunting

Pelagak tanpa ROM (ingatan baca sahaja) atau imej cakera adalah tidak berguna lantaran ROM atau imej cakera inilah yang merupakan permainan sebenarnya. Perhatikan kiasan berikut: pelagak ialah permainan konsol manakala ROM atau cakera imej ialah kartrij permainannya. Oleh itu, konsol Nintendo tanpa permainannya adalah tidak berguna.

Istilah ROM dan cakera imej kerap dipakai serta dianggap sama. Sebenarnya, ROM ialah salinan kartrij permainan sedangkan imej cakera ialah salinan disket atau CD. Oleh itu, salinan permainan Nintendo ialah ROM manakala salinan permainan Apple ialah imej cakera.

Ukuran (atau saiz) suatu ROM yang berlainan bergantung pada sistem yang diperlagakkan iaitu kebiasaannya sekitar antara 1kB hingga 50MB. Kadang-kadang, ROM terdiri daripada beberapa fail yang merupakan kesatuan dalam format ZIP. ROM ini harus dimuat melalui pelagak agar dapat dimainkan oleh kerana ROM tidak dapat dijalankan secara langsung sepertimana atur cara .EXE.

Pengunaan

sunting

Dalam permainan komputer

sunting

Pelagak membolehkan komputer untuk bekerja sesuai dengan perkakasan sistem yang diperlagakkan. Namun, pelagak tidak berguna tanpa disokong oleh permainan komputer. Permainan sejenis ini dikenali sebagai ROM atau imej cakera yang merupakan hasil salinan permainan-permainan dalam format kartrij atau disket sistem yang berkaitan. Contohnya, permainan yang dibangunkan oleh syarikat Sega hanya akan berjalan apabila dipasangkan pada pelagak yang mengkhusus kepada sistem dalaman Sega sahaja.

Berkaitan harta intelek

sunting

Pelagakan adakalanya diragui atas permainan yang ingin dimain lalu menjadi asas kepada pembangunan pelagak sedemikian terutamanya dari segi hak cipta yang cenderung mempunyai undang-undang berkaitan yang ketat contohnya dari segi imej BIOS sistem tertentu. Lain halnya dengan ROM; umumnya, semua ROM yang wujud kini dikenakan sistem yang melindungi hak cipta namun permainan lama kadangkala menghadapi situasi berlainan yang mana syarikat pembangun permainan tidak sahaja menghentikan pengeluaran permainan ini malahan telah tidak giat atau tutup. Oleh yang demikian, ROM tersebut dianggap "sah". ROM juga boleh dikatakan sah apabila telah ada pemilikan permainan yang asal.

Rujukan

sunting
  1. ^ Peter Seebach, developerWorks: Write Emulator-Friendly Linux Code, Linux Today, (2004).

Pautan luar

sunting