Papa I Love You
Papa I Love You (digayakan sebagai Papa I 💗 You) merupakan sebuah filem komedi drama Malaysia 2011 arahan Hashim Rejab terbitan Metrowealth Pictures yang ditayangkan pada 29 Disember 2011. Filem ini dibintangi oleh Zalif Sidek, Mia Sara Nasuha dan Lisa Surihani, mengetengahkan tema "Komedi-Keluarga" berkisarkan tentang kasih sayang dan dilema yang dihadapi bapa tunggal terhadap anaknya selepas kematian isterinya. Filem ini merupakan filem terakhir Lisa bersama Metrowealth Pictures[2] dan yang kedua arahan Hashim selepas Sekali Lagi.
Papa I Love You | |
---|---|
Pengarah | Hashim Rejab |
Dihasilkan oleh | David Teo |
Dibintangi | |
Sinematografi | Areel Abu Bakar |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | MIG Production |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 85 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 1.50 juta[1] |
Pecah panggung | RM 0.89 juta |
Sinopsis
suntingPapa I Love You mengangkat kisah kasih sayang dan dilema yang dihadapi bapa tunggal, Bahar (Zalif Siek) terhadap anaknya, Mia (Mia Sara Nasuha) selepas kematian isterinya. Selepas kehilangan isteri tercinta, Bahar terpaksa berusaha hidup berdikari. Dia yang sebelum ini sibuk dengan pelajaran dan pengalaman bekerja yang berdepan banyak masalah, membuatkan dia tidak mempunyai keyakinan diri untuk membina hidup baru.
Namun, atas semangat, dorongan dan kasih sayang terhadap anaknya, Bahar nekad untuk berubah. Apakah Bahar akan berjaya melakukannya? Perkenalan dengan Elly juga banyak membantu Bahar menguruskan Mia yang rindukan kasih sayang seorang ibu. Di sisi lain pula, Elly (Lisa Surihani) yang tiada hubungan baik dengan bapanya cukup kagum melihat kasih sayang terjalin antara Bahar dan Mia. Apakah Elly juga mampu memaafkan dan menerima bapanya semula? Papa I Love You mengungkap kasih seorang bapa.
Pelakon
sunting- Zalif Sidek sebagai Bahar
- Lisa Surihani sebagai Elly
- Mia Sara Nasuha sebagai Mia
- Zaidi Omar sebagai Datuk Kudin
- Lan Zailan
- Maimon Mutalib
- Syanie sebagai Tuan Rumah
- Bob Kuman
- Zul Suphian sebagai Penarik Kereta
- Alex Yanz
- Adeline Tsen
- Siti Chubby
- Mimi Ernida
Penerbitan
suntingPapa, I Love You merupakan arahan kedua Hashim Rejab selepas filem Sekali Lagi dan diterbitkan oleh David Teo menerusi Metrowealth Pictures.[2] Krew filem ini termasuk Fauziah Muhammad dan Fairoz Admi sebagai Penolong Pengarah, Mohd Shahreel Abu Bakar sebagai Pengarah Fotografi, Hanizar Ithnin sebagai Pengarah Seni, Mokd Ikhram Izzazuddin Zainuddin sebagai penerbit di belakang tabir, Mohd Suhairi Mat Johor sebagai jurugambar still, Azahari Abdul Hamid sebagai Koordinator Produksi, Veronica Khoo sebagai koordinator, Norsyariman Zainal Abidin sebagai penolong koordinator, Zainal Md Nayan sebagai grip. Solekan disediakan oleh Azman Shafie.[2]
Menurut Hashim, beliau sengaja mengetengahkan watak comel yang dibawakan oleh Zalif ke dalam filem yang turut dibintangi oleh Lisa Surihani dan Mia Sara Nasuha supaya filem tersebut nampak berbeza dan menarik dari kebiasaannya.[2] Papa, I Love You menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur pada Mac 2011.[2]
Zalif Sidek, salah seorang pelakon filem ini, berkata setelah melihat keseluruhan filem berkenaan, beliau berpuas hati dengan lakonannya kerana berasakan telah memberikan yang terbaik.[3] Beliau berkata:
"Papa I Love You merupakan filem pertama saya membawa watak utama. Sewaktu David (Teo) menawarkan filem ini kepada saya, saya memang rasa terkejut dan berasakan ia adalah satu peluang yang tidak mungkin saya sia-siakan. Pada masa sama, tipulah kalau saya tidak bimbang akan risikonya. Namun, saya percaya kejayaan atau kegagalan sesebuah filem bukan pelakon sebagai penyebab semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek. Malah, saya juga mendapat maklum balas dari laman sosial Facebook dan Twitter mengenai lakonan saya dan rata-rata berpuas hati selepas melihat filem berkenaan,"[3]
Lisa Surihani pula mengakui karya ini amat dekat dengan dirinya kerana ia menampilkan hubungan baik antara bapa dan anak perempuan sebagaimana keakraban dirinya dengan arwah bapanya, Mohamed Mahbob yang meninggal pada 2008[3] sambil berkata tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dengan Zalif kerana percaya keserasian itu perlu diwujudkan sebagaimana keserasian yang diwujudkan bersama pasangan layarnya sebelum ini, Farid Kamil dan Shaheizy Sam.[3]
Gaya dan tema
suntingMenurut portal web Rentak Artis, seperti filem-filem dengan tema ringan sebegini, jalan cerita Papa I Love You boleh dijangka apa yang akan berlaku selepas itu. Tetapi ianya tidaklah terlalu membosankan dengan adanya sedikit unsur-unsur komedi dan diselitkan dengan kenangan manis serta gaya comel para pelakonnya.[4]
Keluaran dan sambutan
suntingPapa, I Love You menerima keluaran meluas pada 29 Disember 2011.[1] Filem ini menjadi kegagalan komersial sepertimana filem-filem terbitan Metrowealth yang lain, sekadar meraih kutipan RM0.89 juta.[1]
Lihat juga
suntingRujukan
sunting- ^ a b c TAYANGAN FILEM CEREKA TAHUN 2011, Finas.gov.my. Dicapai pada 18 Januari 2011.
- ^ a b c d e Budiey (11 September 2011). "Filem Papa I Love You". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 2 April 2014.
- ^ a b c d Nurezzatul Aqmar Mustaza (31 Disember 2011). "Papa I Love You Satukan Zalif, Mia dan Lisa". Sinar Harian. Dicapai pada 2 April 2014.
- ^ "Filem "Papa I Love You" Ungkap Kasih Seorang Ayah". Rentak Artis. 30 Disember 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-05-19. Dicapai pada 2 April 2014.