Paloh (filem)

Filem patriotik Malaysia 2003 arahan Adman Salleh

Paloh ialah sebuah filem drama sejarah Malaysia 2003 arahan Adman Salleh dengan skrip oleh Adman Salleh dan Al Jafree Md Yusop, terbitan bersama Filem Negara Malaysia (FNM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).[2][3][4] Berlatar belakangkan tahun 1944, selepas konflik antara Komunis dan tentera Jepun, filem ini mengisahkan Ahmad, yang bekerja dengan tentera Jepun, dan jatuh cinta dengan seorang gadis Cina bernama Siew Lan. Pada masa yang sama, Ahmad dipergunakan oleh keluarganya sendiri untuk mendapatkan maklumat tentang tentera Jepun. Filem ini dibintangi oleh Janet Khoo dan Namron serta dibintangi bersama oleh Zack Taipan, Gibran Agi, Ellie Suriati dan Hasnul Rahmat.[5][6]

Paloh
Poster keluaran tayangan
PengarahAdman Salleh
PenulisAl Jafree Md Yusop
Lakon layarAdman Salleh
Dihasilkan olehDato' Jurey Latiff M. Rosli (penyelaras)
Dibintangi
SinematografiTeoh Gay Hian
Disunting olehElias Maidin
Muzik olehAyob Ibrahim
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehWorld Evolution Brain
Tarikh tayangan
  • 10 Julai 2003 (2003-07-10) (Malaysia)
[1]
NegaraMalaysia
Bahasa
BajetRM3.8 juta
Pecah panggungRM142,000

Asalnya bertajuk Autonomi, filem ini ialah filem kedua terbitan bersama Filem Negara dan FINAS selepas Embun (2002) dengan kos pembikinan diperuntukkan sebanyak RM3 juta.[7][8] Penggambaran dijalankan di Perak dari Oktober sehingga Disember 2002. Paloh mula ditayangkan pada 10 Julai 2003 di pawagam seluruh Malaysia.[9] Meskipun telah menerima pelbagai ulasan positif,[10][11] filem ini menjadi kegagalan komersial apabila hanya memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM142,000. Filem ini telah menerima 6 anugerah di Festival Filem Malaysia ke-17[12] dan telah memenangi 1 anugerah di Anugerah Skrin 2005. Ini merupakan filem terakhir lakonan M. Amin sebelum kematiannya pada Januari 2003, 6 bulan sebelum filem ini ditayangkan dan ditujukan khas dalam kenangan buatnya.

Sinopsis

sunting

Sekitar tahun 1944, penduduk Tanah Melayu terpaksa hidup dalam tekanan akibat berlakunya konfrontasi antara pihak tentera Jepun dengan Parti Komunis Malaya. Empat sahabat – Ahmad, Osman, Puteh dan Harun berkhidmat sebagai Polis Jepun, dan mereka turut tersepit di tengah-tengah pergolakan yang berlaku. Ini termasuklah percintaan Ahmad dengan Siew Lan dan percintaan Puteh dengan Fatimah. Siew Lan selama ini telah diperalatkan oleh keluarganya sendiri bagi mendapatkan maklumat sulit tentera Jepun melalui Ahmad. Fatimah pula mendapat penentangan daripada bapanya yang tidak bersetuju dengan orang Melayu sebagai Polis Jepun.

Sementara itu, Osman yang bertugas sebagai perisik Jepun telah memasuki pasukan komunis untuk membalas dendam terhadap kematian bapanya yang berbangsa Cina. Segala pergolakan ini menimbulkan suasana huru-hara. Ada yang ingin merdeka dan ada yang ingin terus dijajah. Bapa Fatimah pula, atas semangat untuk mempertahankan negara tercinta, turut memasuki pasukan komunis semata-mata untuk menentang penjajah. Ini diikuti oleh Ahmad yang akhirnya bertemu semula Siew Lan apabila menyertai pasukan komunis.

Pelakon

sunting
  • Janet Khoo sebagai Siew Lan, kekasih hati Ahmad, bekerja di kedai dobi Kempetai. Ada yang mengatakan dia berbangsa Cina, yang lain percaya bahawa dia seorang warga Korea. Terperangkap dalam konflik antara kesetiaannya kepada Ahmad atau keluarga pro-komunisnya.[1][13][14]
  • Namron sebagai Ahmad, seorang lelaki Melayu yang menyertai Kempetai. Bukan kerana patriotismenya. Dia tidak peduli dengan ideologi Komunis atau Jepun mahupun British.[1][13][14]
  • Gibran Agi sebagai Osman, sahabat karib Ahmad yang berasal dari keturunan campuran. Bapanya ialah berbangsa Cina dan ibunya berbangsa Melayu. Beliau juga berminat untuk meneruskan kerjaya dalam Kewartawanan. Bekerja sebagai pengintip untuk Jepun dalam gerakan Komunis.[1][14]
  • Ellie Suriati sebagai Fatimah, anak perempuan Ariffin Nor, yang bekerja di Balai Paloh sebagai pembantu rumah, dobi.[1][14]
  • Hasnul Rahmat sebagai Puteh, rakan karib Ahmad. Dia meminati tarian tradisional Zapin di mana-mana kampung tempatan mengadakan jamuan.[1][14]
  • Ani Maiyuni sebagai Azizah, adik Ahmad.[1][15][14]
  • Thor Kah Hong sebagai Ah Meng, Ketua Komunis[1]
  • Steve Ng Boon Cheng sebagai Ah Keong[1]
  • A. Samad Salleh sebagai Ariffin Nor, bapa Fatimah, mempunyai pengetahuan yang hebat tentang herba perubatan. Dia merawat Swee Lan selepas dia meminum petrol dalam cubaan membunuh diri.[1]
  • Rohani Yusuff sebagai Halimayun[1]
  • Meoki Tong May Lan Siew Lai,Mak Siew Lan dan Isteri Ah Meng[1]
  • Kamaliah Mat Dom sebagai Mak Lang, Mak Ahmad dan Azizah[1]
  • Adlin Aman Ramlie sebagai Sarjan Jumlay, Ketua Balai Polis Paloh yang boleh bertutur dan memahami bahasa Jepun.[1]
  • Lee Yoke Lan sebagai Guat Yu[1]
  • Zack Taipan sebagai Kapten Kim Jung[1]
  • Adam Corrie sebagai Wong,rakan Osman dalam Bintang Tiga [1]
  • Yalal Chin sebagai Hassan, bapa Ahmad, yang bosan berpihak semasa pendudukan Jepun.[1]
  • M. Amin sebagai penduduk kampung yang tidak kagum dengan kehadiran orang Melayu tempatan menyertai Kempetai. Dia juga mempunyai bakat dalam mempersembahkan alat muzik Melayu semasa perkahwinan.[1]
  • Soffi Jikan sebagai Harun, rakan karib Ahmad di Balai Polis Paloh.[1]
  • Yusmal Ghazali sebagai Sarjan Hussin[1]
  • Lando Zawawi sebagai Pengawal Kapten Kim Jung[1]

Penerbitan

sunting

Paloh diarahkan oleh Adman Salleh yang sebelum ini mengarahkan filem Bintang Malam (1991) dan Amok (1995).[16][17][18] Ia merupakan filem kedua terbitan bersama Filem Negara Malaysia (FNM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selepas filem Embun (2002),[19] dengan World Evolution Brain, syarikat penerbitan yang diasaskan oleh Jurey Latiff Rosli, diberi mandat menguruskan penggambaran dan mengendalikan urusan pengedaran.[20][21] Pra-penerbitan dijalankan pada awal 2002 dengan tajuk asal filem ini ialah Autonomi. Semasa pra-penerbitan dijalankan, pengarahnya, Adman dilaporkan mahu mencari pelakon yang bakal membintangi filem itu.[22] Pada Julai 2002, filem ini bertukar tajuknya dari Autonomi kepada Paloh.[16] Pertukaran tajuk filem ini dibuat kerana ia disifatkan lebih sesuai dan terdapat nilai komersial dalam usaha menarik perhatian penonton mengikuti filem yang mempunyai jati diri bangsa.[23]

Kos pembikinan diperuntukkan sebanyak RM3.8 juta menerusi dana yang diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia.[24] Pembiayaan itu ialah sebahagian daripada sistem pembiayaan filem yang dimulakan oleh kerajaan pada tahun 2000 untuk meningkatkan industri filem tempatan dengan menyediakan kewangan kepada mereka yang berminat untuk membuat filem yang serius.[25] Sebanyak 40 peratus dialog dalam bahasa Cina digunakan dalam filem ini, manakala selebihnya dalam bahasa Melayu.[26] Janet Khoo melakonkan watak Siew Lan, seorang gadis kampung yang jatuh cinta dengan Ahmad. Janet mengakui watak Siew Lan benar-benar mencabar kemampuannya sebagai pelakon berkaliber. Beliau turut mendedahkan selera makannya semakin berkurangan sehingga badannya susut sedikit.[27][28] Janet kemudian membuat kenyataan mengejutkan pada awal Mac 2003 bahawa beliau sangat bencikan pengarahnya, Adman Salleh kerana mendera dan menjadikannya anak tiri sepanjang penggambaran.[29] Namron melakonkan watak sebagai Ahmad, seorang pegawai polis Jepun. Beliau menjelaskan tawaran untuk membintangi filem ini mengejutkan Namron kerana sebagai pelakon dan pengarah teater, beliau tidak yakin raut wajahnya boleh melariskan filem.[30]

Penggambaran dijalankan selama 2 bulan dari Oktober sehingga Disember 2002 di pelbagai lokasi di Perak termasuk Siputeh.[31][32] Semasa pasca-penerbitan dijalankan pada awal 2003, Adman telah dipecat sebagai pengarah berikutan masalah dalaman antara beliau dan World Evolution Brain.[33][34] Filem Negara Malaysia kemudian membuat kenyataan bahawa khidmat Adman masih diperlukan untuk proses pos-produksi.[35] Bagaimanapun, FNM mahukan hasil kerja Adman dapat diselesaikan sepenuhnya sehingga beliau sendiri berpuas hati.[36][37] Adman kemudian meluahkan rasa kekesalannya atas penyingkirannya sebagai pengarah Paloh kerana kerjanya untuk filem itu belum selesai sebanyak 25 peratus apabila menerima surat penamatan kontrak daripada WEB.[38] Sebagai tindak balas kepada pengkritik yang mengulas kekeliruan daripada garis masa bukan linear, Adman menjelaskan: "Ramai orang tidak menyedari bahawa selepas saya diupah semula, saya hanya berjaya melakukan tiga perkara – menyunting semula potongan halus, menyelesaikan proses alih suara dan berikan sedikit idea tentang konsep muzik untuk Paloh." Menurut Adman, biarpun sebagai pengarah dan penulis skrip filem itu, beliau tidak dibenarkan mengawasi adunan akhir kesan bunyi, muzik dan dialog dan "menggabungkan ketiga-tiga mereka dalam cetakan cek dalam bentuk audio dan gambar", yang membawa kepada kekeliruan dan "kesilapan teknikal", yang beliau meminta untuk dibenarkan untuk membetulkan sebelum filem itu diserahkan untuk tayangan di Festival Filem Asia Pasifik di Iran pada Oktober.[39] Bagaimanapun pada April 2003, Adman kembali menggalas tanggungjawabnya sebagai pengarah.[40] Beliau dinyatakan berkata: "Saya akan teruskan kerja-kerja menyiapkan filem itu, Paloh penting bagi saya, saya tidak mahu meninggalkannya separuh jalan. Saya akan teruskan dan kali ini membabitkan semua pihak termasuk penyunting, penolongnya dan sebagainya."[41]

Tema dan simbolisme

sunting

Paloh telah dilihat sebagai sebuah "filem untuk rakyat Malaysia".[42] Akmal Abdullah dari Berita Harian memerhatikan bahawa filem ini dianggap mampu menggambarkan imej jati diri Malaysia sebenarnya dengan pemaparan kisah berdasarkan zaman perang dengan pembabitan masyarakat pelbagai kaum. Oleh kerana Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan budaya, beliau melihat Paloh sesuai ditonton oleh semua kaum.[5] Beliau turut memerhatikan bahawa filem ini juga dilihat tidak terpengaruh dengan norma biasa yang tipikal dalam pembikinan filem Melayu kerana menggunakan pendekatan imbas kembali yang berlapis dan pembinaan plot secara unik.[43]

Paloh berbeza dengan filem sejarah lain kerana ia mencuba ketepatan sejarah dan sosial. Watak-watak Cina bercakap dalam bahasa Mandarin, Hokkien, dan bahasa Melayu tunggang-langgang, dan keseluruhan filem itu diberi sarikata bahasa Inggeris.[44] Akmal turut berpendapat bahawa Paloh ialah sebuah karya yang mengungkap secebis fakta sejarah bersama kisah yang boleh diambil iktibar ketika bumi Malaysia menjadi rebutan penjajah Inggeris dan Jepun, selain wujudnya pergerakan.[45]

Paloh menampilkan lagu "Tetap Di Sini" yang dipersembahkan oleh Siti Nurhaliza.[46] Muzik videonya telah diterbitkan bagi mempromosikan lagu ini dan diarahkan oleh Sandosh Kesavan.[47] Lagu ini dicipta oleh pemuzik Hadi Hassan pada 2000 tetapi filem itu menamakan Aiman sebagai pencipta lagu. Kontroversi mula menyelubungi lagu ini apabila Aiman, yang nama sebenarnya Zulkifli Majid, mendakwa lagu itu dihantar kepadanya melalui surat dan tidak dikreditkan kepada sesiapa sebagai komposer, dan mereka memutuskan untuk menggunakan nama "Aiman" sebagai komposer, "dengan harapan komposer sebenar akan memiliki". Royalti dan pampasan yang perlu dibayar kepada Hadi Hassan telah ditangani dan hak milik kredit telah dipinda.[48][49][50]

Keluaran dan sambutan

sunting

Paloh dikeluarkan pada 10 Julai 2003.[51][52][53][54] Filem ini diberi penarafan 18PL untuk keganasan yang kejam sepanjang keseluruhannya, serangan seksual, imej yang mengerikan dan bahasa kesat. Majlis pratonton filem ini diadakan pada 2 Julai di Golden Screen Cinemas (GSC), Mid Valley Megamall, Bangsar.[55][56][57][58][59] Majlis tayangan amal filem ini diadakan pada 18 Ogos 2003 dan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, yang mana ia diadakan bagi mengisi dana pendidikan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).[60]

Bagi mempromosikan filem ini, Filem Negara Malaysia dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah mengadakan pertandingan pencarian harta karun Paloh Rail Hunt pada 29 Jun 2003 dengan pelancaran rasminya diadakan pada 4 Jun di Stesen KL Sentral.[61][62] Sebanyak 4,000 penyertaan telah diterima menerusi peraduan sistem pesanan ringkas (SMS).[63] Jumlah penyertaan kemudian meningkat kepada 12,000 penyertaan.[64] Acara ini mendapat sambutan apabila berjaya menarik lebih 20,000 peserta yang memohonnya menerusi SMS.[65][66]

Paloh menjadi kegagalan komersial apabila kutipan pecah panggung yang diperolehi hanya RM142,000.[67] Bagaimanapun, ia menerima pelbagai ulasan yang baik daripada pengkritik filem. Beberapa pengkritik mengaitkannya dengan topik berat dan sensitif, mendakwa bahawa penonton keluar dari pawagam "berang". Pengulas lain mengulas bahawa penonton tidak biasa dengan kaedah penceritaan bukan linear, yang memerlukan lebih banyak penglibatan intelektual daripada penonton. Pengkritik filem bebas Nizam Zakaria menolak aduan penonton bahawa Paloh sukar difahami dan membosankan, dengan mendakwa bahawa "filem itu bercita-cita tinggi dan penonton tidak mempunyai kesabaran".[68] Akmal Abdullah, menulis untuk Berita Harian berpendapat bahawa Paloh ialah sebuah filem yang "hadir untuk mencapai matlamat seni perfileman Melayu yang bermutu dan bercita rasa tinggi". Beliau turut beranggapan bahawa filem ini "sememangnya satu lagi karya yang bukan saja membuat kejutan baru tetapi terlalu mencabar pemikiran audiens untuk mengutip kefahaman daripada keratan babak yang disusun berselerak, iaitu pendekatan di luar...".[69] Dalam ulasan retrospektifnya mengenai filem ini, Sultan Muzaffar menulis: "Filem ini pastinya menjadi filem yang terbaik jika tidak kerana kontroversinya. Jika pengarahnya diberi peluang untuk menyiapkan hasil kerja yang terganggu angkara karenah penerbit yang tidak tahu bagaimana membuat filem. Kreativiti dan idea Adman Salleh akan dapat membuahkan sesuatu yang cemerlang, jika kerja-kerja terdahulu dijadikan perbandingan".[70] Menulis untuk New Straits Times, Sharifah Arfah menulis bahawa Paloh ialah "percubaan berani Adman Salleh untuk membedah tema yang kompleks".[71]

Trivia

sunting
  • Watak Ahmad, Puteh, Harun dan Jumlay yang menanggotai Kempeitai, sebenarnya diilhamkan yang mana semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu ramai orang Melayu menyertai polis tempatan untuk tentera Jepun. Malah ketika itu ramai bekas polis Inggeris diserapkan masuk ke polis Jepun tempatan kerana elak diseksa.
  • Lokasi penggambaran kebanyakan dijalankan di Kuala Kangsar, Perak untuk latar belakang Paloh.
  • Filem pertama Namron, Sofi Jikan dan pertama terakhir digandingkan dengan Janet Khoo.
  • Tetap di Sini adalah lagu tema filem Paloh dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza dan lirik gubahan oleh Hadi Hassan (tidak dikreditkan)

Legasi

sunting

Pada tahun 2014, Paloh telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 6 filem bertemakan Hari Kemerdekaan Terbaik oleh portal filem Cinema Online.[72] Ia juga telah disenaraikan oleh Astro Awani sebagai salah satu daripada 5 filem patriotik adaptasi kisah benar wajib tonton.[73] Majalah Remaja juga menyenaraikan filem ini sebagai antara filem patriotik yang patut ditonton.[74]

Anugerah

sunting

Paloh terpilih mewakili Malaysia di Festival Filem Asia Pasifik ke-48 yang berlangsung di Shiraz, Iran pada 20 hingga 23 Oktober 2003.[75][76] Turut terpilih ialah filem Soalnya Siapa? dan Janji Diana.[77][78][79] Pada malam acara, filem ini turut tersenarai dalam pencalonan akhir bagi kategori Filem Terbaik bersama lima filem lain iaitu Little Monk (Korea Selatan), Dance In The Mist (Iran), Try (Jepun), The Stringless Violin (Indonesia) dan Goodbye Dragon Inn (Taiwan).[80] Paloh diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri.[81] Filem ini juga layak bertanding di Festival Filem Antarabangsa Bangkok, Thailand (FFAB 2004) yang bermula pada 22 Januari hingga 2 Februari 2004.[82] Paloh meraih enam anugerah termasuk Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-17 yang berlangsung pada 26 Jun 2004. Ia turut memenangi hadiah wang tunai bernilai RM25,000 bagi kategori Filem Terbaik.[83][84][85][86] Di Anugerah Skrin 2005, filem ini dinamakan sebagai Filem Terbaik.[87][88]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2003 Festival Filem Asia Pasifik ke-48 Anugerah Khas Juri Paloh Menang
2004 Festival Filem Malaysia ke-17 Filem Terbaik Menang
Pengarah Terbaik Adman Salleh Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Namron Tercalon
Pelakon Wanita Terbaik Janet Khoo Tercalon
Sinematografi Terbaik Teoh Gay Hian Menang
Skor Muzik Asal Terbaik Ayob Ibrahim Menang
Penata Seni Terbaik Fadhil Ahmad Menang
Penata Bunyi Terbaik Azreedin Hamzah Menang
2005 Anugerah Skrin 2005 Filem Terbaik Paloh Menang
Lakon Layar Terbaik Adman Salleh & Al Jafree Md Yusop Tercalon

Lihat juga

sunting
  • Perang Dunia II
  • Sarjan Hassan, filem 1958 yang berdasarkan kisah benar mengenai perjuangan seorang perajurit menentang penaklukan Jepun di Tanah Melayu
  • Bukit Kepong, filem 1981 yang berkisarkan mengenai perjuangan pasukan polis menentang komunis
  • Leftenan Adnan, filem 2000 yang berdasarkan kisah benar mengenai perjuangan Leftenan Adnan Saidi menentang tentera Jepun

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v "Catatan penerbitan Paloh". Filemkita.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Jun 2008. Dicapai pada 7 Februari 2013.
  2. ^ Yusof Haslam (16 Mac 2003). "Filem Negara, Finas buat usaha baik". Berita Minggu. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  3. ^ Izza Safinaz Ibrahim (1 Jun 2003). "Tidak mudah hasilkan Paloh". Berita Minggu. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  4. ^ Akmal Abdullah (6 Jun 2003). "Paloh diharap ubah mentaliti penonton". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  5. ^ a b Akmal Abdullah (1 November 2002). "Filem Paloh sesuai ditonton semua kaum". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  6. ^ Izza Safinaz Ibrahim (11 Julai 2003). "Filem tempatan, import terus berentap". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  7. ^ Akmal Abdullah (14 September 2002). "Paloh belajar daripada Embun". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  8. ^ Sharifah Arfah (24 September 2002). "'Paloh' cast gives little away" [Pelakon 'Paloh' memberi sedikit peluang] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  9. ^ Hartati Hassan Basri (12 Julai 2003). "Paloh teruskan promosi". Harian Metro. Dicapai pada 9 Februari 2021.
  10. ^ Hartati Hassan Basri (18 Julai 2003). "Keliru atau berfalsafah?". Harian Metro. Dicapai pada 9 Februari 2021.
  11. ^ Rania (27 Julai 2003). "Paloh: Hormatilah diri sendiri!". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  12. ^ "Paloh grabs six film awards" [Paloh bolot enam anugerah] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 27 Jun 2004. Dicapai pada 28 Ogos 2021.
  13. ^ a b Hartati Hassan Basri (22 Disember 2002). "Janet, Namron bercinta". Metro Ahad. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  14. ^ a b c d e f Akmal Abdullah (17 Julai 2003). "Pelakon Paloh rasai kesan psikologi". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  15. ^ "Ani Maiyuni hebat dalam Paloh". Berita Minggu. 3 November 2002. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  16. ^ a b "Adman arah Paloh". Harian Metro. 20 Julai 2002. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  17. ^ Hartati Hassan Basri (13 September 2002). "Beza Paloh". Harian Metro. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  18. ^ Hartati Hassan Basri (12 Julai 2003). "Adman: Keliru Paloh soal subjektif". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  19. ^ Sharifah Arfah (11 Julai 2003). "Seeds of discord in 'Paloh'" [Benih-benih perselisihan dalam 'Paloh'] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 20 Mac 2021.
  20. ^ Akmal Abdullah (26 November 2002). "WEB tepis khabar angin Paloh". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  21. ^ Hartati Hassan Basri (31 Mei 2003). "Cabaran awal". Harian Metro. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  22. ^ Akmal Abdullah (18 Jun 2002). "Adman masih cari pelakon Autonomi". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  23. ^ Akmal Abdullah (16 Ogos 2002). "Autonomi tukar jadi Paloh". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  24. ^ "Who benefits from govt-funded Paloh?" [Siapa yang mendapat manfaat daripada Paloh yang dibiayai oleh kerajaan?] (dalam bahasa Inggeris). Malaysiakini. 2 Julai 2003. Dicapai pada 11 Februari 2015.
  25. ^ Silvia Wong (31 Julai 2003). "Malaysian funding plan runs into controversy" [Pelan pembiayaan Malaysia terpalit dengan kontroversi] (dalam bahasa Inggeris). Screen Daily. Dicapai pada 12 Februari 2013.
  26. ^ Akmal Abdullah (3 November 2002). "Paloh guna 40 peratus bahasa Cina". Berita Minggu. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  27. ^ "Janet Khoo kurus kerana Paloh". Berita Minggu. 15 September 2002. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  28. ^ Akmal Abdullah (29 Oktober 2002). "Paloh: Janet beri yang 'luar biasa'". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  29. ^ Hartati Hassan Basri (5 Mac 2003). "Saya benci Adman". Harian Metro. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  30. ^ Nor Akmar Samudin (20 Mac 2003). "Namron terkejut". Harian Metro. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  31. ^ Hartati Hassan Basri (26 Oktober 2002). "Paloh hadapi gangguan cuaca". Harian Metro. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  32. ^ Mimi Syed Yusof (25 November 2002). "Siputeh town abuzz over war film" [Pekan Siputeh heboh dengan filem perang] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  33. ^ Hartati Hassan Basri (20 Mac 2003). "Adman dilepaskan". Harian Metro. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  34. ^ Hartati Hassan Basri (31 Mac 2003). "Ramai berpeluh kerana Paloh". Harian Metro. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  35. ^ Eena Houzyama (21 Mac 2003). "'Adman's still needed in post-production'" ['Adman masih diperlukan dalam pos-produksi'] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  36. ^ Akmal Abdullah (31 Mac 2003). "Adman boleh selesaikan tugas Paloh: FNM". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  37. ^ Zieman (20 Mac 2003). "Adman's work on 'Paloh' terminated" [Tugas Adman dalam 'Paloh' diberhentikan] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 28 Ogos 2021.
  38. ^ Akmal Abdullah (27 Mac 2003). "Adman kesal dilucutkan tugas daripada Paloh". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  39. ^ Zieman (11 Julai 2003). "Director wants to rectify errors in Paloh" [Pengarah mahu membetulkan kesilapan di Paloh] (dalam bahasa Inggeris). The Star. Dicapai pada 28 Ogos 2021.
  40. ^ Zul Husni Abdul Hamid (15 April 2003). "Kemelut dalam Paloh selesai". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  41. ^ Abie Abdullah (15 April 2003). "'Itu hak saya'". Harian Metro. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  42. ^ Izza Safinaz Ibrahim (31 Mei 2003). "'Paloh filem untuk rakyat Malaysia'". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  43. ^ Akmal Abdullah (11 Julai 2003). "Finas: Adman perlu berani pertahan Paloh". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  44. ^ Khoo 2011, m/s. 106.
  45. ^ Akmal Abdullah (3 Julai 2004). "Perit pembikinan Paloh berbaloi". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  46. ^ "Siti terbabit dalam Paloh". Berita Harian. 19 Februari 2003. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  47. ^ Suraiya Mohd Nor (2 Mac 2003). "Tetap Di Sini pamerkan aksi Siti". Berita Minggu. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  48. ^ Zieman (25 Julai 2003). "Controversy over 'Paloh' song" [Kontroversi lagu 'Paloh'] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 28 Ogos 2021.
  49. ^ Suzan Ahmad (21 Julai 2003). "Lagu tema Paloh jadi isu". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  50. ^ "Komposer asal lagu Paloh fail saman". Berita Harian. 23 Julai 2003. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  51. ^ Akmal Abdullah (22 Mei 2003). "Mampukah Paloh dapat sokongan penonton?". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  52. ^ "Demam Paloh bermula". Berita Minggu. 29 Jun 2003. Dicapai pada 11 Februari 2003.
  53. ^ Akmal Abdullah (10 Julai 2003). "Ujian getir Paloh bermula hari ini". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  54. ^ Akmal Abdullah (17 Julai 2003). "Paloh: Adman menggarap kekuatan berlainan". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  55. ^ Abie Abdullah (5 Julai 2003). "Siapa penonton Paloh?". Harian Metro. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  56. ^ Hartati Hassan Basri (7 Julai 2003). "Antara Paloh dan Janji Diana". Harian Metro. Dicapai pada 9 Februari 2021.
  57. ^ Hartati Hassan Basri (4 Julai 2003). "Pelbagai reaksi Paloh". Harian Metro. Dicapai pada 9 Februari 2021.
  58. ^ "Perang Paloh". Harian Metro. 14 Julai 2003. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  59. ^ Hartati Hassan Basri (16 Julai 2003). "Sayang Paloh". Harian Metro. Dicapai pada 9 Februari 2021.
  60. ^ "Seri Paduka tonton tayangan amal Paloh". Berita Harian. 19 Ogos 2003. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  61. ^ "Pertandingan cari harta karun promosi Paloh". Berita Harian. 4 Jun 2003. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  62. ^ Izza Safinaz Ibrahim (28 Jun 2003). "Paloh Rail Hunt janji kemeriahan bersama KTM". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  63. ^ Nor Akmar Samudin (5 Jun 2003). "Paloh buru harta karun". Harian Metro. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  64. ^ "Paloh Rail Hunt terima 12,000 penyertaan". Berita Harian. 12 Jun 2003. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  65. ^ Wan Azrin Wan Ahmad (1 Julai 2003). "PRH dapat sambutan". Harian Metro. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  66. ^ Zubir Mohd Yunus (6 Julai 2003). "Penangan Paloh Rail Hunt". Berita Minggu. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  67. ^ "Filem Embun, Paloh bazirkan wang rakyat". Berita Harian. 18 Ogos 2003. Dicapai pada 12 Februari 2021.
  68. ^ Baradan Kuppusamy (19 Ogos 2003). "Film Dares to Venture into Race Relations" [Filem Berani Menceburi Hubungan Kaum] (dalam bahasa Inggeris). IPS. Dicapai pada 28 Ogos 2021.
  69. ^ Akmal Abdullah (13 Julai 2003). "Paloh papar konflik ideologi Melayu, Cina". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  70. ^ "Paloh: Dilema Melayu yang keliru". Sultan Muzaffar. 12 November 2003. Dicapai pada 12 Februari 2015.
  71. ^ Sharifah Arfah (12 Julai 2003). "Surviving with the enemy" [Bertahan dengan musuh] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 20 Mac 2021.
  72. ^ Azizah Saleh (29 Ogos 2014). "6 Best local Independence Day films" [6 filem Hari Kemerdekaan tempatan terbaik] (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 24 Januari 2015.
  73. ^ "5 filem patriotik adaptasi kisah benar... wajib tonton!". Astro Awani. 30 Ogos 2018. Dicapai pada 25 Januari 2019.
  74. ^ Fiezreen (1 September 2020). "Pejuang dulu-dulu bergolok gadai pertahankan negara. Ini filem-filem patriotik yang patut anda tonton". Remaja. Dicapai pada 12 Februari 2021.
  75. ^ Akmal Abdullah (20 Oktober 2003). "Paloh mampu bersaing di Festival Filem". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  76. ^ Akmal Abdullah (16 Oktober 2003). "Mampukah Paloh buat kejutan di Iran?". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  77. ^ Akmal Abdullah (4 Julai 2003). "Paloh dijangka wakili Malaysia ke Iran". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  78. ^ Akmal Abdullah (7 Ogos 2003). "Paloh, Soalnya Siapa? bawa cabaran ke Iran". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  79. ^ Akmal Abdullah (16 September 2003). "6 filem bawa cabaran negara ke Iran". Berita Harian. Dicapai pada 11 Februari 2021.
  80. ^ "Paloh dapat tentangan sengit". Berita Harian. 25 Oktober 2003. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  81. ^ Akmal Abdullah (25 Oktober 2003). "FFAP48: Dua filem menang anugerah". Berita Harian. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  82. ^ Meor Riduwan Ahmad (16 Januari 2004). "Paloh bertanding FFAB 2004". Harian Metro. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  83. ^ Akmal Abdullah (1 Julai 2004). "Walau apa pun orang kata Paloh memang layak menang". Berita Harian. Dicapai pada 12 Februari 2021.
  84. ^ Akmal Abdullah; Suraiya Mohd Nor; Nurulhisham Abdul Latiff (28 Jun 2004). "Adman, Eman ulangi kejayaan". Berita Harian. Dicapai pada 12 Februari 2021.
  85. ^ Akmal Abdullah (27 Jun 2004). "Paloh filem terbaik FFM17". Berita Minggu. Dicapai pada 12 Februari 2021.
  86. ^ Julia Jaafar (27 Jun 2004). "War movie Paloh triumphs at Malaysian Film Festival" [Filem perang Paloh capai kejayaan di Festival Filem Malaysia] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 12 Februari 2021.
  87. ^ Zul Husni Abdul Hamid; Nurulhisham Abdul Latiff (27 Ogos 2005). "Paloh dinobat filem terbaik". Berita Harian. Dicapai pada 12 Februari 2021.
  88. ^ Hafidah Samat (27 Ogos 2005). "'Paloh' best movie at awards" ['Paloh' dinamakan filem terbaik di anugerah]. New Straits Times. Dicapai pada 12 Februari 2021.

Bibliografi

sunting

Pautan luar

sunting