Orang Cina di Melaka
Orang Cina Melaka berasal daripada keturunan pengikut-pengikut Puteri Hang Li Poh yang datang ke Melaka untuk berkahwin dengan Sultan Mansur Syah dan sebahagian dari mereka juga adalah keturunan daripada kaum Cina yang datang beramai-ramai ke Tanah Melayu sewaktu pemerintahan Inggeris, untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah. Mereka datang ke sini untuk mencari kehidupan yang lebih baik, tambahan pula kerajaan China pada masa itu menggalakkan penduduknya berhijrah ke negara lain kerana masalah kepadatan penduduk di negara mereka. Kebanyakan orang Cina di Melaka menjalani kehidupan sebagai peniaga, tidak kira perniagaan besar ataupun kecil kerana minat mereka dalam perniagaan telah sebati dengan jiwa mereka berbanding masyarakat lain.
Kebanyakan kaum Cina di Melaka berbangsa Hokkien dan beragama Buddha. Mereka merupakan masyarakat yang berpegang teguh pada pegangan agama yang telah diwarisi sejak turun-temurun dari nenek-moyang mereka. Namun terdapat juga masyarakat Cina yang menganut agama lain seperti Kristian dan Konfusianisme. Masyarakat Cina berpegang teguh terhadap kepercayaan bahawa roh nenek-moyang perlu dipuja kerana mereka merupakan golongan yang telah banyak berjasa kepada keturunannya. Oleh itu, setiap ahli keluarga mengadakan beberapa upacara sebagai memperingati nenek-moyang mereka terutama yang telah lama meninggal dunia.
Antara beberapa cara untuk menunjukkan kasih sayang ahli keluarga terhadap nenek-moyang mereka ialah dengan mengeluarkan belanja yang besar bagi menyediakan upacara pengkebumian yang baik oleh keluarga, berkabung seperti yang teradat dan yang telah diperintahkan, menziarahi dan membersihkan kubur dan bersembahyang sekurang-kurangnya ketika perayaan Cheng Beng pada awal bulan April dan pada Tahun Baru Cina serta menyediakan tempat persembahan untuk keluarga, membakar gaharu, jamuan buah-buahan dan makanan.
Setiap tahun, mereka merayakan Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari pertama dalam kalendar Cina. Pada hari istimewa tersebut, seluruh kaum keluarga akan berkumpul untuk makan bersama serta mengunjungi keluarga dan sahabat handai. Perayaan Chap Goh Mei pula disambut pada hari yang kelima belas selepas Tahun Baru Cina, dan menandakan tamatnya perayaan bagi tahun itu dan biasanya diakhiri dengan upacara sembahyang untuk memuja dewa-dewi. Sementara Hari Wesak pula disambut bagi memperingati tiga peristiwa penting yang berlaku dalam hidup pengasas agama Buddha, iaitu kelahiran, makrifat, serta kematiannya. Pada hari tersebut, semua penganut agama Buddha pergi beramai-ramai ke kuil untuk bersembahyang dan ada sesetengah kuil yang mengadakan ceramah tentang pelajaran agama Buddha.
Tarian yang popular di kalangan masyarakat Cina ialah tarian Singa dan tarian Naga yang ditarikan pada hari perayaan seperti Tahun Baru Cina, dengan cara mengunjungi setiap rumah dan kedai untuk memberi berkat kepada tuan punya.