Muzium Di Raja
Muzium Di Raja ialah sebuah muzium yang diasaskan pada 25 Julai 1983 di Alor Star, Kedah, Malaysia. Bangunan ini adalah bangunan "Istana Kota Setar" yang dibina pada tahun 1732.
Muzium Di Raja dibuka setaip hari dari pukul 9.00 pagi hingga 4.50 petang. Kemasukan adalah percuma. Beberapa bilik masih dikekalkan dalam keadaan yang tepat sama dengan keadaan semasa Sultan dan kerabat diraja bersemayam di sini.
Latar belakang bangunan
suntingBangunan Muzium Di Raja berasal daripada "Istana Kota Setar" yang dibina pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710-1778) serta pengasas Bandar Alor Star. Pada asalnya, istana ini diperbuat daripada kayu.
Istana Kota Setar pernah beberapa kali mengalami kerosakan, akibat serangan tentera Bugis pada tahun 1770, dan tentera Siam pada tahun 1821. Bangunan ini kemudian dibina semula dengan batu oleh Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879). Ketika baginda bersemayam di istana ini bersama permaisurinya Wan Hajar Wan Ismail yang juga dikenali dengan panggilan "Mak Wan Besar", istana ini dikenali sebagai "Istana Mak Wan Besar".
Tunku Abdul Rahman Putra diputerakan bersebelahan dengan istana ini (Bangunan Pagoda, yang kini sudah tiada lagi) pada 8 Februari 1903 dan pernah dibesarkan di istana ini semasa ayahandanya, Almarhum Sultan Abdul Hamid dan bondanya Mak Che Manjalara bersemayam di sini.
Ketika ruang istana ini diperbesarkan untuk dijadikan astaka dan bilik-bilik tambahan untuk perkahwinan lima orang putera-puteri Sultan Abdul Hamid Halim Shah, istana ini dikenali sebagai "Istana Pelamin". Upacara perkahwinan secara besar-besaran ini mengambil masa tiga bulan pada tahun 1904.
Selepas tahun 1941, istana ini pernah digunakan sebagai sekolah dan pejabat beberapa persatuan, termasuk Pergerakan St. John dan Persatuan Pengakap.