Mohd Seth Mohd Said

Allahyarham Dato' Mohd Seth Mohd Said (1901 – 30 Januari 1962) merupakan mantan Pemangku Menteri Besar Johor[1] yang juga Setiausaha Kerajaan Johor keenam (1953–1956).

Dato Mohd Seth Bin Said ialah Pegawai Daerah Johor yang berkhidmat di Batu Pahat pada tahun 1948 hingga 1952.

Dato Mohd Seth bin Mohd Saaid dilahirkan pada tahun 1901. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Junior Cambridge di Raffles Institution, beliau memulakan kerjayanya dalam Johore Civil Service (JCS) semasa usianya 16 tahun sebagai kerani di Pejabat Tanah Johor Bahru. Selepas itu, beliau ditugaskan di Mersing dan Kota Tinggi sebagai Ketua Kerani (Chief Clerk) kepada Penolong Penasihat Daerah.

Kemudiannya beliau berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil di daerah Segamat, sebelum ditukarkan ke Johor Bahru sebagai Magistrate.

Pada tahun 1928, Dato Mohd Seth telah dilantik menjadi Postmaster Johor Bahru, sebelum menjadi Presiden Town Board Johor Bahru, 12 tahun kemudian.

Pada tahun 1948, Dato Mohd Seth telah dilantik menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat yang baru, menggantikan Inche Talib bin Mohd Taib.

Setelah 4 tahun berkhidmat di daerah Batu Pahat, Dato Mohd Seth dipanggil semula untuk berkhidmat di ibu negeri Johor di Johor Bahru dengan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Pada tahun 21 September 1953, beliau merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Johor telah membalas sepucuk surat kepada Setiausaha Tanah Jajahan Singapura yang menyatakan bahawa Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) bukannnya milik negeri Johor dengan ayat tulisannya "Sir, I have the honour to refer to your letter No. CSO. 11692/52 dated 12th June 1953, addressed to the British Adviser, Johore on the question of the status of Pedra Branca Rock some 40 miles from Singapore and to inform you that the Johore Government does not claim ownership of Pedra Branca."

Pada tahun 1955, beliau kemudiannya menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar Johor / Pemangku Menteri Besar.

Pada tahun 1956, Dato Mohd Seth kemudiannya mengikuti Rombongan Rundingan Kemerdekaan ke London, sebagai mewakili Raja-Raja Melayu. Sebelum berangkat ke London, Dato Mohd Seth telah merujuk dan berbincang bersama Dato Onn Jaafar[2] dan sepupu baginda Sultan Johor iaitu Professor Diraja Dr .Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid tentang perkara yang dimaklumkan oleh Sultan Johor kepadanya.

Semasa rundingan di Lancaster House London, Dato Mohd Seth, yang menjadi wakil kepada Sultan Johor, mengambil keputusan dengan turut bersetuju bersama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj[3] di atas kemerdekaan Tanah Melayu bersama negeri-negeri lain.

Dato’ Seth meletakkan jawatan sebagai Timbalan/Pemangku Menteri Besar Johor apabila pulang sahaja ke tanah air. Beliau kemudiaannya dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu.

Pada tahun 1957, beliau telah ditawarkan untuk menjadi Duta Malaysia ke Thailand namun menolak tawaran tersebut atas sebab faktor masalah kesihatan.

Dato’ Mohd Seth meninggal dunia pada awal tahun 1962, sewaktu berusia 60 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang.

Keluarga

sunting

Dato' Mohd Seth Bin Said telah berkahwin dengan Datin Kamariah Binti Mohamed Yassin iaitu adik kepada Dato' Haji Abdul Rahman Bin Mohamed Yassin yang merupakan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara Malaysia yang pertama.

Isteri Dato Mohd Seth iaitu Datin Kamariah Mohamed Yassin, adik beradik dengan Dato Abdul Rahman Mohamed Yassin, dimana ayah mereka, Mohamed Yassin bin Orang Kaya Ahad, merupakan cicit kepada Orang Kaya Setia Daeng Ahmad Daeng Abdul Rahman, pembuka kawasan Minyak Beku pada tahun 1811.

Anak sulungnya iaitu Allahyarham Kapten (B) Adnan Mohd Seth (26/6/1926 - 10/11/1980) berkhidmat dalam pasukan Tentera Darat sebagai Ketua Kuartermaster di Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) / Royal Malay Regiment (RMR).

Anak lelakinya yang kedua pula, Jeneral Tan Sri Mohamad Ghazali Mohd Seth (4/2/1929 - 24/8/2021) ialah mantan Panglima Angkatan Tentera dari tahun 1985 hingga 1987.

Anak kedua & ketiga ialah Zainon & Salmiah.

Anak bongsunya ialah Toh Puan Norashikin Mohd Seth (17/1/1930 - 2/7/2010) ialah isteri bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Dato Mohd Seth kemudiannya berkahwin dengan Datin Saleha Dato Onn setelah Datin Kamariah  Mohd Yassin meninggal dunia dan mempunyai 10 anak antaranya: 1) Zainab, 2) Mohd Said, 3) Muthana, 4) Fauziah @ Tati, 5) Marleene, 6) Mohd Aris, 7) Wazara @ Keda, 8) Karimah, 9) Ardina & 10) Mohd Niven.

Rujukan

sunting
  1. ^ She put the nation first
  2. ^ Onn Jaafar, 2024-12-06, dicapai pada 2024-12-17
  3. ^ Tunku Abdul Rahman, 2024-10-05, dicapai pada 2024-12-17