Maktab Rendah Sains MARA Ranau

Koordinat: 5°59′39″N 116°40′56″E / 5.99428°N 116.68227°E / 5.99428; 116.68227

Maktab Rendah Sains MARA Ranau (singkatan: MRSM Ranau) merupakan sebuah sekolah berasrama penuh di bawah institusi MRSM, yang dikelolakan oleh MARA. Ianya terletak di Ranau, Sabah. Pembinaan kampus MRSM ini merupakan usahasama di antara syarikat minyak dan gas Malaysia, PETRONAS, Kerajaan Negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA)[1].

Maktab Rendah Sains MARA Ranau
مكتب رنده ساءين س مارا راناو
Lokasi
Kampung Bongkud, Jalan Kompleks Sukan Ranau
Ranau, 89300, Sabah
Malaysia
Maklumat
Nama lainMRSM Ranau
Jenis sekolahPendidikan menengah
DitubuhkanMac 2024[1]
StatusBeroperasi
PengetuaEn. Ismail bin Badri
Timb. Pengetua
Kecemerlangan Akademik
Pn. Diana Theresa Otigil
Timb. Pengetua
Pembangunan Pelajar
En. Muhammad Shamsul Haq bin Mohd Hanif
Sistem pendidikanSPMRSM Program Premier
BahasaBahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab
SloganNurturing, Developing And Growing Holistic Talents Towards Excellence
Nama alumniANSARA Malaysia
Kali terakhir dikemaskinikan: Jun 2024

MRSM ini terletak kira-kira 122 kilometer dari Kota Kinabalu yang mengambil masa selama dua jam perjalanan[2]. MRSM Ranau merupakan institusi MRSM yang terletak di lokasi paling tinggi sekali berbanding MRSM yang lain, iaitu pada ketinggian 721 meter dari aras laut[3], berhampiran kaki Gunung Kinabalu dengan jarak di antaranya sebanyak 80 kilometer[4].


Sejarah

sunting

Pembinaan

sunting

Idea pembinaan MRSM Ranau adalah melalui Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang melibatkan perkongsian awam dan syarikat swasta dalam projek berkaitan pendidikan[5]. Selepas beberapa siri perbincangan, lokasi Ranau dipilih berdasarkan kepada rekod keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sangat memberangsangkan di daerah itu dan sekitarnya untuk beberapa tahun lalu[5].

Pada tahun 2017, projek pembinaan kampus MRSM Ranau telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak[6]. Pelancaran projek pula telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman[7]. Projek pembinaan bermula pada suku kedua tahun 2018 dengan kos sebanyak RM132 juta[1]. Ianya merupakan inisiatif di antara PETRONAS, Kerajaan Negeri Sabah dan MARA. Syarikat TRC Synergy Bhd telah dianugerahkan kontrak pembinaan MRSM Ranau[8] pada Ogos 2019 di bawah anak syarikatnya Marudu Engineering Sdn Bhd[9].

Pada bulan November 2019, MARA mengatakan bahawa pembinaan MRSM Ranau telah mencapai 14% kemajuan[10][11]. Pada bulan Oktober 2020, kelewatan peralatan pembinaan yang diterima selain cuaca tidak menentu selama tiga bulan merencatkan proses pembinaan yang pada ketika itu telah siap sebanyak 35%[12].

Walaupun begitu, disebabkan pandemik COVID-19 yang masih berterusan menyebabkan kemajuan pembinaan terganggu[13] dan memberi kesan kepada keseluruhan projek yang sepatutnya siap lebih awal[14]. Pada bulan April 2023, pembinaan MRSM Ranau telah mencapai kemajuan sebanyak 95% dan dijangka siap pada bulan September[14].

Pada bulan September 2023, pembinaan MRSM Ranau berjaya disiapkan dan bersedia untuk menerima kumpulan pelajar baharu pada sesi pertama bulan Mac 2024[2][15]. Luas kawasan maktab ini adalah lebih dari 26,000 meter persegi serta boleh memuatkan sehingga 450 orang pelajar pada satu-satu masa[3][16]. Kampus Ranau ini terdiri daripada blok pentadbiran, blok akademik, blok asrama, surau, dewan makan dan serbaguna, kediaman kakitangan dan guru serta fasiliti sukan seperti padang dan astaka[17].

Pada 20 November 2023, satu majlis telah diadakan bagi penyerahan rasmi kampus MRSM Ranau oleh PETRONAS sebagai pihak yang menyumbang projek ini kepada MARA bagi tujuan pengoperasian[17].

Pengoperasian

sunting

Sebanyak 8,679 kekosongan yang ditawarkan bagi kemasukan pelajar pada sesi 2024[18], termasuklah kemasukan pertama ke MRSM Ranau. Lebih dari 104,000 permohonan telah diterima oleh MARA dan Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) telah diadakan pada 1 November 2023[15][19] sebagai syarat kemasukan. Pada 18 Januari 2024, semakan keputusan ke MRSM telah dihantar dan mulai disemak[20].

Seramai 46 tenaga kerja telah memulakan tugas yang terdiri daripada 27 orang guru, 16 orang staf sokongan serta 3 orang staf pengurusan di awal pengoperasian maktab ini[16][21]. Pada 11 Mac 2024, seramai 200 orang pelajar mula mendaftar masuk ke MRSM Ranau ini yang terdiri daripada kumpulan pelajar tingkatan satu dan empat[21].

Cadangan penukaran nama

sunting

Pada tahun 2023, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mencadangkan kepada MARA agar nama MRSM Ranau ditukar kepada "MRSM Kinabalu Ranau" kerana lokasinya yang terletak di kaki Gunung Kinabalu[22]. Selain itu, nama yang dicadangkan itu adalah atas penghormatan kepada masyarakat Kadazan-Dusun yang merupakan penduduk asal di sekitar Gunung Kinabalu[23].

Penamaan sesuatu kampus MRSM perlu melalui proses yang telah ditetapkan dan usul mengenai penukaran nama ini dibincangkan di peringkat kementerian berkaitan[24].


Lagu rasmi

sunting

Wahai putera puteri bangsaku
Ayuh segera menuju
Mengikut gerak langkah maju
Bersatu mencari ilmu

Di zaman sains dan teknologi
Negara perlukan jasamu
Janganlah rasa malas lagi
Bersama memegang teraju

Di Maktab Rendah Sains MARA
Tuntut ilmu jangan jemu
Ikrar taat setia pada guru
Berdisiplin selalu

Hari ini hari mulanya
Hari esok berjaya
Lengkapkan segala yang ada
Ke kuliah kita segera


Rujukan

sunting
  1. ^ a b c "MRSM Ranau Sedia Tingkatkan Peluang Pendidikan Berkualiti di Sabah" (Siaran akhbar). PETRONAS. 21 November 2023. Dicapai pada 22 Jun 2024.
  2. ^ a b "MRSM Ranau terima kumpulan pertama pelajar Mac tahun depan". Astro Awani. 20 November 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Januari 2024. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  3. ^ a b Miwil, Olivia (12 Mac 2024). "MRSM located near foot of Mt Kinabalu welcomes first batch students". New Straits Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Jun 2024. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  4. ^ "Kampus baharu MRSM Ranau terima kumpulan pertama 200 pelajar Sabah". Buletin TV3. 12 Mac 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Mac 2024. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  5. ^ a b Ridhwan, Malik (26 Oktober 2017). "Petronas bantu pembangunan infrastruktur Sabah, bina MRSM dan asrama". Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Oktober 2017. Dicapai pada 23 Jun 2024.
  6. ^ "Pembangunan pendidikan merupakan antara agenda UMnO sejak dahulu melalui MARA – Suhaimi". Jesselton Times. 23 November 2023. Dicapai pada 23 Jun 2024.
  7. ^ "MRSM Ranau bakal dibina tahun depan". Media Pertama. 27 Oktober 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Ogos 2021. Dicapai pada 24 April 2024.
  8. ^ "TRC Synergy bidding for more construction projects". New Straits Times. 19 Mei 2021. Dicapai pada 23 Jun 2024.
  9. ^ "PROJECT DETAILS Marudu Engineering Sdn Bhd". TRC Synergy Berhad. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Januari 2021. Dicapai pada 23 Jun 2024.
  10. ^ Husain, Nurul Huda (4 November 2019). "Kerajaan salur RM740 juta untuk lapan MRSM baharu". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2022. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  11. ^ "Kerajaan salur RM740 juta untuk lapan MRSM baharu". Harian Metro. 4 November 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Jun 2023. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  12. ^ "Pembinaan MRSM Ranau berjalan lancar, tidak terjejas dengan pandemik COVID-19". Utusan Borneo. 21 Oktober 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Jun 2024. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  13. ^ "Usaha Bangunkan Pendidikan Terus Diperkasa Di Ranau". Sabah Media. 28 November 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Jun 2023. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  14. ^ a b Nasir, Jainuddin (7 April 2023). "MRSM Ranau dijangka siap sepenuhnya September 2023". Borneo Daily Bulletin. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Jun 2023. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  15. ^ a b "MRSM Ranau siap, mula terima pelajar untuk sesi tahun 2024". Sabah Gazette. 28 Oktober 2023. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  16. ^ a b "MRSM Ranau welcomes first batch of students". The Star. 12 Mac 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Mac 2024. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  17. ^ a b Dahali, Rafiqah (4 Disember 2023). "MRSM Ranau inisiatif PETRONAS tingkat akses pendidikan berkualiti luar bandar". Berita Harian. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  18. ^ Abu Yamin, Essa (21 Oktober 2023). "104,000 permohonan ke MRSM tahun depan". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Disember 2023. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  19. ^ "Lebih 104,000 pelajar bersaing is 8,679 tempat di MRSM bagi sesi 2024". DagangNews. 1 November 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Jun 2024. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  20. ^ Md Raieh, Roshlawaty (17 Januari 2024). "Semakan tawaran MRSM 2024 mulai 18 Januari". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Februari 2024. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  21. ^ a b "Petronas-built MRSM Ranau welcomes first batch of students". Daily Express. 13 Mac 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 April 2024. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  22. ^ "Rename MRSM to Kinabalu Ranau – Masidi". The Borneo Post. 20 November 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Disember 2023. Dicapai pada 26 Jun 2024.
  23. ^ "MRSM Ranau dicadang dinamakan sebagai MRSM Kinabalu Ranau". Sabah Media. 20 November 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Januari 2024. Dicapai pada 26 Jun 2024.
  24. ^ "MRSM Ranau terima kumpulan pertama pelajar Mac 2024". Harian Metro. 20 November 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 November 2023. Dicapai pada 26 Jun 2024.


Lihat juga

sunting