Maka Kitab Itu Pun Menyanyi
Maka Kitab Itu Pun Menyanyi adalah judul sebuah buku antologi puisi Melayu moden yang ditulis oleh tiga orang penulis iaitu Mel Van Dyk, Syed Ahmad Fathi, dan Tulip Ungu.
Umum | |
---|---|
Pengarang | Mel Van Dyk, Syed Ahmad Fathi, Bilal |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Bahasa Melayu |
Genre | Sastera |
Penerbitan | |
Pelukis kulit | Syarifah Amni Zaheerah |
Penerbit | Independent Insight |
Tarikh penerbitan | Disember 2019 |
Jenis media | Cetakan |
Halaman | 89 (edisi pertama) |
Kawalan kewibawaan | |
ISBN | ISBN 9789671631317 |
Tajuk
suntingTajuk antologi puisi ini diambil sempena salah sebuah puisi yang terkandung di dalam antologi puisi ini.[1] Perkataan "kitab" berasal dari Bahasa Arab yang membawa makna buku atau naskhah. Judul buku ini menggambarkan satu ekspresi atau simbolik dalam menjawab segala persoalan yang berkisar di dalam kehidupan harian penulis, lalu digabungkan dalam satu naskah.
Kandungan
suntingKandungan buku ini terbahagi kepada tiga bahagian yang memuatkan 61 buah puisi melayu moden. Setiap bahagian ditulis oleh seorang penulis dengan pandangan dan gaya penulisan yang berbeza. Bahagian pertama bertajuk Bidadari Patah Sayap yang memuatkan 24 buah puisi. Bahagian kedua bertajuk Menjerit Pada Ombak mengandungi 25 buah puisi. Bahagian terakhir bertajuk Jeritan Sunyi mengandungi 12 buah puisi.[1]
Gaya dan Tema Penulisan
suntingMel Van Dyk
suntingMel Van Dyk membawakan tema yang ringan dan mudah untuk difahami. Dalam prakata beliau, beliau mendedikasikan naskah tersebut buat sahabat beliau, Farizul Firdaus yang terkorban dalam satu kemalangan di Dungun, Terengganu.[2] [3] Gaya penulisannya mempunyai pengaruh kuat penulis-penulis puisi moden Malaysia dan Indonesia seperti Usman Awang dan Chairil Anwar. Beliau berpuisi kerana baginya puisi dirasakan sesuatu ekspresi yang unik dan indah, selain itu, baginya puisi mampu merapatkan keterbatasan manusia yang hidup di lokaliti dan masa yang berbeza.[4] Puisi-puisinya banyak berkisar tentang kehidupan dirinya dan kekeluargaan.
"Malam ini, izinkan aku tidur di pinggir mulutmu.
Supaya nanti bisa aku tanam pohon-pohon tawa yang rendang dan subur,
Lalu tumbuh membuahkan senyum di bibirmu." (Malam ini)
Syed Ahmad Fathi
suntingSyed Ahmad Fathi lebih bereksperimentasi di dalam buku keduanya dengan menggabungkan elemen-elemen seperti sosiopolitik, ekonomi, dan kerohanian lalu disusun dalam bentuk puisi. Puisinya lebih berkisar tentang keadaan semasa yang menarik perhatiannya untuk ditulis bagi menonjolkan pandangan peribadinya.
Antara tema yang kelihatan ketara pada gaya penulisan Syed Ahmad Fathi adalah kepercayaan beliau pada prinsip dan kesetiaan pada idea. Sebagai contoh, beliau pernah menulis bahawa kekaguman seseorang pada mana-mana sosok tokoh, tidak boleh menjadikan alasan untuk membelakangi prinsip, perkara ini dapat dilihat dalam artikel yang beliau tulis bertajuk Setia Pada Idea Bukan Pesona.[5] Di dalam antologi ini, beliau membuat persamaan sifat setia pada idea ini dengan kejadian alam seperti ombak yang setia menghempas pantai, dimana beliau menulis "Bertapa ombak mengajar setia sebagai erti, Biar dicaci dijerit sekuat hati, Tidak putus asa tetap menghempas tanpa henti".[1]
Isu penjajahan Israel keatas tanah Palestin juga merupakan antara tema penulisan beliau yang dapat dilihat dalam antologi ini. Serangan Israel keatas Gaza pada tahun 2008-2009 menyaksikan 1398 rakyat Palestin termasuk 345 kanak-kanak dibunuh oleh penjajah Israel.[6] Serangan dan pembunuhan ini bermula pada 27 Disember 2008 hingga 18 Januari 2009. Pada 7 Januari 2009, Syed Ahmad Fathi menerbitkan puisi beliau yang bertajuk Maafkan Aku Palestina sebagai solidariti buat penduduk Palestin yang ditindas dan dibunuh dengan kejam.[7] Dalam antologi ini, sebahagian dari puisi tersebut dimuatkan dalam puisinya yang ke-10.[1]
Tulip Ungu
suntingBilal atau lebih dikenali sebagai Tulip Ungu seolah-olah menceritakan pengalaman beliau ketika mengalami masalah depresi. Puisinya lebih berbentuk melankoli dan kerohanian. Antara puisi beliau dalam antologi ini adalah puisi yang bertajuk Di Bawah Cengkaman Risperdal. Risperdal merupakan sejenis ubat penenang yang biasanya diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah depresi agar mereka dapat berfikir dengan jelas.[8] Puisi-puisi beliau ditulis dengan harapan untuk melawan depresi dengan puisi.[9]
"Tetapi kini, hanya aku sendirian
Merintih didalam kesepian
Menangkis segala kesedihan
Sendiri tanpa kehadiran teman
Yang ada hanyalah topeng penipuan
Topeng penipuan yang sering menabur janji
Yang mana akhirnya jiwa ini diperjudi" (Coretan Memori)
Kulit Buku
suntingPenghasilan kulit buku bagi antologi ini melalui beberapa eksperimen. Pada mulanya karya kulit dihasilkan menggunakan gambar bunga liar, kemudian corak batik Melayu juga dicuba. Selepas itu karya kulit cuba dihasilkan menggunakan bahan fotografi moden dan retro. Namun semua eksperimen ini gagal menghasilkan karya kulit yang unik dan berunsur peribadi. Akhirnya karya artis kecil, Syarifah Amni Zaheerah yang berumur empat tahun dipilih. Karya beliau merupakan lukisan abstrak yang dihasilkan menggunakan cat air.[10]
Gaya Bahasa
suntingGaya bahasa dianggap sebagai nadi yang menghidupkan sesebuah karya kesusasteraan yang menjadikannya indah dan istimewa. Secara umum gaya bahasa dikelompokkan kepada lima jenis, iaitu gaya bahasa perbandingan , pertentangan, pengulangan, pertautan, dan penyirnaan.[11]
Metafora
suntingMetafora adalah pemakaian kata atau ungkapan yang menerbitkan makna yang lain daripada makna tersurat atau penggunaan kata-kata untuk menyatakan erti yang berbeza daripada yang sebenarnya. Seperti sebuah kiasan.[11] Di dalam antologi ini, terdapat pelbagai tempat dimana gaya bahasa metafora digunakan. Berikut adalah sebahagian dari contoh metafora dalam antologi ini.[1]
Dirinya itu ibarat sebingkai cermin mata (Bidadari)
Dalam contoh ini seorang wanita dikiaskan seperti sebingkai cermin mata, ini merupakan contoh gaya bahasa metafora dalam antologi puisi ini.
Personifikasi
suntingPersonifikasi merupakan penginsanan atau gaya bahasa yang memberi sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, haiwan, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa atau idea yang abstrak.[11] Berikut adalah sebahagian gaya bahasa personifikasi yang dijumpai di dalam antologi ini.[1]
Apabila mimpi digari (Berfikir Tentang Pemikiran)
Kabus bertiup dan bonzai pun menari (Diari Kabus di Puncak Kejauhan)
Biar ombak datang menyergah (Pelajaran Dari Laut)
Contoh-contoh ini merupakan gaya bahasa personifikasi yang terdapat dalam antologi ini. Dalam contoh pertama, mimpi digambarkan seperti seorang manusia yang boleh digari. Dalam contoh kedua, pokok bonzai ditulis sebagai menari, ia adalah bentuk personifikasi apabila pohon bergerak ditiup angin seolah-olah sedang menari seperti manusia. Manakala dalam contoh terakhir dari antologi ini, ombak dikatakan datang menyergah, sedangkan ombak bergerak datang dan pergi mengikut hukum alam, 'menyergah' adalah frasa personifikasi yang digunakan penulis.
Simile
suntingSimile berasal dari perkataan Latin yang bermaksud seperti.[12] Simile adalah perumpamaan yang diungkapkan dengan jelas menggunakan perkataan seperti "bak", "laksana", "umpama", "penaka", "bagai", dan "serupa".[11]
Seolah-olah cuba menjadi tuhan (Maafkan dia)
Kadang hidup terasa sesak, ibarat pasu seribu retak (Berbisik Pada Awan)
Rangkap-rangkap puisi di atas ini merupakan contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam antologi ini.[1] Perumpamaan digunakan dengan perkataan yang jelas dan eksplisit seperti "seolah-olah" dan "ibarat".
Imejan
suntingImejan adalah salah satu gaya bahasa perbandingan. Imejan bermaksud cerminan atau gambaran tentang sesuatu yang dapat dikesan melalui pancaindera ataupun puisi yang memiliki banyak perkataan yang membayangkan objek atau perlakuan yang berbentuk lambang, simbol untuk menjelaskan emosi, keadaan, dan perasaan penyair.[11] Contoh gaya penulisan ini dapat dilihat dalam puisi Cermin tua tulisan Mel Van Dyk.[1]
"Kau masih belum tidur-tidur lagi?
Nanti rosak tubuhmu dimamah malam"
Suara ibu masuk lewat pintu yang curang. (Cermin tua)
Rujukan
sunting- ^ a b c d e f g h Mel Van Dyk, Syed Ahmad Fathi, dan Tulip Ungu. Maka Kitab Itu Pun Menyanyi. Independent Insight, 2019.
- ^ RAIHAM MOHD SANUSI. Dua pekerja syarikat perkapalan maut kenderaan terjun parit. Sinar Harian, 25 Julai 2019. Arkib.
- ^ Syed Ahmad Fathi. Pejo, buat kali yang terakhir. Meniti Jambatan Masa, 27 Julai 2019.Arkib.
- ^ Mel Van Dyk. Ada Apa Dengan Puisi? The Independent Insight, 15 Disember 2019. Arkib.
- ^ Syed Ahmad Fathi. Setia Pada Idea Bukan Pesona. Meniti Jambatan Masa, 17 September 2018. Arkib.
- ^ Fatalities during Operation Cast Lead. B'Tselem. Archive.
- ^ Syed Ahmad Fathi. Maafkan Aku Palestina. Meniti Jambatan Masa. 7 Januari 2009. Arkib.
- ^ Risperdal Oral : Uses, Side Effects, Interactions. WebMD. Archive.
- ^ Syed Ahmad Fathi. Melawan Depresi Dengan Puisi. Borneo Komrad, 12 Disember 2019. Arkib.
- ^ Syed Ahmad Fathi. Penghasilan Kulit Buku Antologi Puisi. Meniti Jambatan Masa, 13 Disember 2019. Arkib.
- ^ a b c d e Kadir, Nik Hassan Basri Nik Ab. "Pengajaran gaya bahasa dalam bahasa Melayu." Jurnal Pengajian Melayu 16 (2005): 37-54.
- ^ Khodiyah, Siti. Analisis Gaya Bahasa Puisi Dalam Surat Kabar Kompas Edisi Januari-April 2012 Dan Skenario Pembelajarannya di SMA. Diss. PBSI-FKIP, 2013.