Liukan (seni persembahan)

kemahiran kelenturan fizikal yang ekstrem

Liukan (kadang-kadang disebut peliukan; Jawi: ليوقن, ڤليوقکن) adalah suatu bentuk seni persembahan di mana penghibur yang disebut peliuk mempamerkan kemahiran fleksibiliti fizikal mereka yang ekstrem. Pertunjukan liukan sering mengiringi akrobatik, persembahan sarkas, penghibur jalanan, dan seni persembahan langsung lainnya. Pertunjukan liukan biasanya dilakukan di hadapan penonton langsung. Suatu pertunjukan akan menampilkan satu atau lebih seniman yang mempersembahkan satu set gerakan atau lagak koreografi, sering kali diiringi muzik, yang memerlukan fleksibiliti yang ekstrem. Fleksibiliti fizikal yang diperlukan untuk melakukan aksi sedemikian jauh melebihi kemampuan orang awam. Ia adalah aksi-aksi dramatik dengan fleksibiliti yang kelihatan adimanusia yang memikat penonton.

Peliuk melakukan persembahan
Purple contortionist
Maria Efremkina, seorang peliuk, sedang melakukan persembahan pada tahun 2010.

Kemahiran

sunting

Banyak faktor yang mempengaruhi fleksibiliti penghibur, termasuk umur, genetik, saiz badan, dan kepatuhan kepada rutin latihan fizikal yang ketat. Kebanyakan ahli liuk biasanya dikategorikan sebagai "pelentur hadapan" atau "pelentur belakang," bergantung pada arah tulang belakang mereka yang paling fleksibel.  Hanya segelintir penghibur yang mahir dalam kedua-duanya.

Kemahiran yang dilakukan oleh peliuk ialah termasuk:

  • Melentur hadapan ialah kemahiran melipat ke hadapan pada bahagian pinggang dengan kaki lurus atau meletakkan satu atau kedua-dua kaki di belakang leher atau bahu dengan lutut dibengkokkan (dipanggil simpulan manusia).
  • Melentur belakang ialah kemahiran membengkokkan badan seseorang untuk menyentuh kepala ke kaki atau punggung, posisi yang dikenali sebagai  head-seat (har. alas punggung kepala), sambil melakukan pelbagai gaya seperti berdiri, berbaring, atau terbalik dalam keadaan dirian tangan. Variasi yang lebih maju, yang dipanggil lenturan Marinelli, memerlukan individu tersebut mengekalkan lenturan belakang sambil disokong semata-mata oleh cengkaman pada tiang menegak pendek yang dipaut pada tempatnya oleh mulut.
  • Split dan split lampauan (bukaan kaki yang lebih daripada 180 darjah) boleh dimasukkan dalam persembahan lenturan hadapan atau belakang. Split lampauan boleh boleh dilakukan semasa kaki disokong oleh dua kerusi atau oleh dua pembantu.
  • Enterologi ialah amalan memasukkan badan seseorang ke dalam kotak kecil setinggi lutut atau ruang tertutup lain yang pada mulanya kelihatan terlalu kecil untuk memuatkan penghibur tersebut. Ia juga dikenali sebagai body packing (har. pembungkusan badan).[1]
  • Sebagai aksi yang ringkas dan menarik perhatian, sesetengah penghibur sengaja mendislokasi sendi bahu atau pinggul mereka, mempamerkan fleksibiliti dan julat pergerakan mereka. Salah satu contohnya ialah manuver bonebreaking (har. mematahkan tulang), di mana lengan diangkat ke sisi dan diputar dengan cara yang membolehkannya melepasi di belakang kepala, akhirnya berhenti melintasi bahagian atas bahu, mencipta kesan visual yang menarik dan luar biasa.
 
Hussein Yoga sedang melakukan gabungan antara dirian dada dan dislokasi.

Risiko

sunting

Satu penerbitan perubatan dari tahun 2008 mencadangkan bahawa kerosakan jangka panjang pada tulang belakang adalah perkara biasa dalam kalangan pengamal liukan jangka panjang. Satu kajian terhadap lima pengamal menggunakan pengimejan resonans magnetik (MRI) oleh Peoples et al. mendokumentasikan vertebra limbus, bonjolan cakera intervertebral, dan degenerasi cakera. Tiga daripada lima pengamal juga melaporkan sakit belakang.[2]

Persembahan

sunting
 
Lelaki ini berada di dalam peti merupakan contoh enterologi.

Persembahan liukan sangatlah pelbagai; banyak yang menggabungkan unsur-unsur jenaka, drama, kejutan, keghairahan, atau penggabungan gaya. Liukan boleh digabungkan ke dalam jenis persembahan lain, seperti tarian dan teater.

  • Pertunjukan adagio ialah tarian akrobatik di mana seorang pasangan mengangkat dan membawa pasangan yang lain semasa dia melakukan split dan lagak fleksibel yang lain.
  • Dalam persembahan anak patung kain atau golliwogg, seorang atau dua orang pembantu akan membengkokkan, menggoncang, dan membawa peliuk tersebut dengan cara yang mencipta ilusi bahawa penghibur yang menyamar itu sebenarnya adalah anak patung bersaiz manusia yang lembik. Persembahan ini sering diakhiri dengan menyumbat anak patung itu ke dalam kotak kecil.
  • Posisi-posisi liukan boleh dilakukan pada sesawang Sepanyol, satu aksi udara yang terdiri daripada tali dengan gelung tangan/kaki yang diputar oleh seseorang di bawah.
  • Peliuk mungkin memanipulasi prop semasa persembahan mereka, contohnya, memutar gelung atau menjugel gelang, mengimbangi menara gelas wain, atau memainkan alat muzik—seperti Max Smith, juga dikenali sebagai The Musical Contortionist, seorang penghibur pertunjukan sampingan yang bermain banjo sambil melakukan beberapa posisi meliuk.[3]

Peliuk boleh membuat persembahan secara solo, dengan seorang atau dua pembantu, atau sebagai kumpulan sehingga empat individu, mempamerkan kelenturan dan julat pergerakan unik mereka. Sejarahnya, peliuk berkait rapat dengan sarkas dan pesta, tetapi dalam tahun-tahun kebelakangan ini, mereka telah mengembangkan capaian mereka untuk membuat persembahan di pelbagai tempat, termasuk kelab malam, taman hiburan, rancangan aneka ragam televisyen, video muzik, dan juga sebagai pembuka tirai atau penghibur latar pada konsert muzik.

Satu contoh terkenal peliuk dalam budaya popular ialah The Ross Sisters, yang mendapat kemasyhuran kerana persembahan muzik mereka Solid Potato Salad dalam filem 1944 Broadway Rhythm.[4] Hari ini, peliuk mempunyai kehadiran dalam talian yang ketara, dengan peminat berkongsi gambar dan video persembahan di internet dan laman sesawang yang menawarkan kandungan eksklusif, seperti gambar dan video asli, dengan bayaran.

Menariknya, sesetengah individu dengan sendi longgar mampu mendislokasi sendi mereka tanpa mengalami kesakitan, menjadikannya mencabar untuk menentukan sama ada sendi terkehel tanpa penilaian perubatan, seperti X-ray. Walau bagaimanapun, kebanyakan lagak peliuk yang ekstrem boleh dicapai tanpa mendislokasikan sendi,[5] selagi soket sendi diselaraskan dengan betul. Malah, dislokasi yang sebenar[6] jarang digunakan dalam aksi liukan atletik, kerana ia boleh menyebabkan ketidakstabilan sendi dan peningkatan risiko kecederaan, dan anggota badan yang didislokasi tidak dapat menampung berat badan atau mengangkat dirinya sendiri.

Sejarah

sunting
 
Peliuk wanita menembak anak panah dengan kakinya, abad ke-4 SM, Seramik Yunani Kuno.

Asal usul utama bagi liukan bermula dalam tradisi Asia. Di China dan Mongolia, tarian Cam Buddha tradisional mungkin akan memasukkan unsur-unsur liukan dalam pergerakan mereka. Kejayaan tarian-tarian ini kemudiannya menggalakkan seni ini berkembang menjadi bentuk persembahan yang lain. Liukan juga menemui persamaan dan ekspresi dalam doktrin yoga Hindu. Sepanjang meditasi harian, pengamal yoga berusaha untuk melakukan banyak gaya yang serupa dengan yang terdapat dalam liukan berasaskan persembahan. Pengiktirafan persamaan ini dalam pelbagai amalan dan pemikiran telah membawa liukan kepada perhatian yang lebih jelas dan nyata. Bagi mereka yang berada dalam tradisi Cina, liukan biasanya dipersembahkan sebagai satu kehebatan akrobatik, digunakan untuk memukau penonton dengan bentuk-bentuk luar biasa yang dibina di hadapan mereka. Mengikut rekod sejarah Cina, peliukan awal berasal dari China semasa Dinasti Zhou Barat (1045-771 SM), yang matang dalam Dinasti Sui (581–618).

Glosari

sunting
 
Contoh dirian dada
 
Sebuah dirian siku yang dilakukan oleh penari akro
  • Aksi anak patung kain (juga dikenali sebagai aksi golliwogg) - Sejenis persembahan sarkas di mana seorang peliuk badan, memakai kostum badut yang longgar, kelihatan seperti anak patung yang tidak bernyawa dan lembik. Satu atau dua pembantu memanipulasi badan peliuk badan itu, membengkokkan, menggolek, dan menggayakannya dalam pelbagai cara, mewujudkan ilusi objek yang lembik dan tidak bernyawa. Aksi itu memuncak dengan pembantu memasukkan peliuk badan tersebut ke dalam kotak yang sangat kecil, menambah kesan komedi dan mengejutkan pada persembahan.
  • Aksi peti (juga dikenali sebagai pembungkusan badan, enterologi, atau packanatomicalization) - Aksi sarkas di mana peliuk menjepit tubuhnya ke dalam peti kecil atau bekas telus.
  • Aksi tali (juga dikenali sebagai jaring Sepanyol) - Aksi sarkas di mana seorang akrobat (biasanya wanita) melakukan latihan di atas lantai sambil memegang tali panjang yang tergantung menegak atau tergantung dari satu gelung di tali.
  • Bengkok belakang, lentur atau lipat belakang - Mana-mana gaya yang menunjukkan kelenturan luar biasa ke belakang pada pinggang dan/atau bahagian lain tulang belakang semasa berdiri, melutut, meniarap di lantai, atau tergantung.
  • Bengkok hadapan, lentur atau lipat hadapan - Mana-mana gaya yang menunjukkan kelenturan luar biasa ke hadapan pada pinggang dan/atau tulang belakang, sama ada dengan kaki rapat atau terpisah.
  • Cucuk sanggul - Gaya di mana seseorang melutu, duduk di atas kaki, dan membengkokkan ke belakang sehingga bahagian atas kepala bersentuhan dengan tulang ekor; ia juga boleh dilakukan dengan posisi permulaan pada tangan dan lutut.
  • Dirian dada - Mana-mana gaya lenturan belakang di mana dada pelakon meniarap di lantai untuk sokongan.
  • Dirian siku - Mana-mana gaya songsang di mana pelakon hanya menggunakan lengan bawah di atas lantai sebagai sokongan.
  • Dislokasi atau kehelan - Banyak kemahiran dalam akrobatik kelihatan seperti melibatkan sendi terkehel, sedangkan sebenarnya tidak.
    1. [kata kerja] Untuk mencederakan sesuatu sendi dengan memaksa tulang keluar daripada soket normalnya secara sementara.
    2. [kata nama] Dalam gimnastik lelaki, putaran bahu semasa melakukan pusingan ke belakang pada gelang pegun.
  • Duduk kepala - Lenturan belakang ekstrem di mana bahagian atas kepala penghibur menyentuh punggung; biasanya dalam keadaan dirian tangan atau dirian dada. Kadang-kadang, variasi yang lebih ekstrem dilakukan di mana punggung diletakkan melepasi kepala penghibur, manakala bahagian bawah belakang berada di atas kepala; ini memerlukan lebih banyak kelenturan leher.
  • Gaya Durvasa atau gaya jenjang - Dinamakan sempena nama resi mitologi India, Durvasa, yang dikatakan melakukan posisi ini semasa bertahun-tahun menebus dosa: berdiri di atas sebelah kaki dengan kaki yang sebelah lagi diangkat ke hadapan dan diletakkan di belakang leher atau bahu.
  • Gimnastik berirama (juga dipanggil: gimnastik berirama sportif (RSG); ritma) - Sukan Olimpik untuk seorang wanita (atau lima wanita dalam pertandingan berkumpulan) yang terdiri daripada senaman lantai berbalet yang menunjukkan loncatan, pusingan, keseimbangan, dan kelenturan semasa bergerak dan melambung alatan tangan: bola, tali, gelung, dua belantan, atau reben. Gimnastik berirama lelaki kini wujud di Jepun dan semakin mendapat penerimaan di seluruh dunia.
  • Jengket (Perancis: pointe) - Dalam balet klasik, seorang penari menggunakan kasut khas (dipanggil kasut pointe atau kasut jengket) untuk menari en pointe (di atas jari kaki mereka). Lengkungan bahagian atas kaki berada pada tahap maksimum apabila penari "mendorong ke atas", menyebabkan tumit kaki berada hampir tepat di atas jari kaki. Sukar dan selalunya menyakitkan untuk dipelajari, kedua-dua lelaki dan wanita boleh mendapat manfaat daripada mempelajari teknik berjengket; walau bagaimanapun, kebanyakan peluang persembahan adalah untuk wanita sahaja. Kanak-kanak tidak mula mempelajari berjengket sehingga mereka mempunyai pengalaman bertahun-tahun dan kekuatan buku lali yang mencukupi, serta cukup umur untuk memastikan tulang mereka cukup kuat. Dalam bahasa Melayu, pointe boleh diterjemahkan kepada jengket, yang bermaksud berdiri di atas hujung jari kaki.
  • Lenturan Marinelli - [daripada peliuk dan ejen teater antarabangsa H. B. Marinelli (1864-1924)] ialah aksi duduk kepala dengan kaki dihulurkan, dilakukan dengan hanya disokong oleh pautan mulut kulit pada bahagian atas tiang pendek.
  • Lipatan tiga - Satu variasi dari posisi dirian dada di mana lutut dibengkokkan dan diturunkan sepenuhnya ke tanah, membolehkan betis terletak rata di lantai, menghasilkan kedudukan bertindih dengan tiga lapisan yang berbeza: dada, paha, dan betis, semuanya selari dan bersentuhan dengan lantai.
  • Pike (har. tombak) - Untuk membengkok ke hadapan pada pinggang dengan kaki dan torso dijaga lurus.
  • Posisi kura-kura (juga dikenali sebagai: lempeng) - Sebuah lenturan hadapan dalam posisi duduk dengan dada menyentuh lantai di antara kedua-dua kaki; lengan yang direntangkan juga menyentuh lantai dan berada di bawah lutut.
  • Memikul kaki - Sebuah split berdiri di mana kaki menyentuh bahu. Boleh dilakukan ke hadapan, ke sisi, atau ke belakang.
  • Regangan pasif - juga dikenali sebagai regangan statik-pasif atau regangan relaks berbantu, melibatkan penggunaan daya luaran, seperti lantai atau pasangan, untuk menahan anggota badan dalam kedudukan statik, membolehkannya memanjang melebihi julat pergerakan normalnya. Ini berbeza dengan regangan aktif, di mana individu menggunakan otot mereka sendiri untuk memanjangkan anggota badan ke julat maksimumnya. Dalam regangan pasif, anggota badan direhatkan dan digerakkan oleh daya luaran dan bukannya bergantung pada kekuatan otot individu itu sendiri.
  • Skala - Dalam akrobatik, skala merujuk kepada mengangkat kaki ke arah belakang dan mungkin dipegang dengan satu tangan sambil berdiri.
  • Skala jarum -  Sebuah split hadapan sambil berdiri di atas kaki hadapan, dengan torso dibengkokkan ke bawah dengan tangan menyentuh lantai, manakala kaki belakang dipanjangkan secara menegak ke arah siling.
  • Split - Sebuah gaya di mana kaki direntangkan ke dua arah bertentangan, membentuk garis lurus dengan badan, menghasilkan sudut 180 darjah di antara kaki.
  • Split hadapan (juga dikenali sebagai: split melangkah) - Sebuah split di mana satu kaki dilunjurkan ke hadapan dan kaki yang satu lagi dilunjurkan ke belakang, kedua-duanya pada sudut tepat dengan badan. Idealnya, pinggul menghadap ke hadapan secara tegak, manakala kedua-dua kaki dipusing keluar dari pinggul.
  • Split kangkang (juga dikenali sebagai split kotak; split Cina; split potong) - Sejenis split di mana kaki direntangkan jauh ke kiri dan kanan, membentuk garis lurus dengan badan, sehingga kaki sepenuhnya terbentang pada sudut 180 darjah, dengan satu kaki menghala terus ke kiri dan yang satu lagi terus ke kanan.
  • Split lampauan (juga dipanggil: hipersplit) - Mana-mana split di mana sudut yang dibentuk oleh kaki melebihi 180 darjah. Ia boleh dilakukan ke hadapan dengan satu atau kedua-dua kaki dinaikkan, atau dalam split.
  • Split putaran - Satu senaman dinamik yang melibatkan peralihan lancar dari kedudukan split dengan satu kaki dipanjangkan ke hadapan ke split kangkang dan kemudian ke kedudukan split dengan kaki yang lain dipanjangkan ke hadapan, semuanya sambil memutarkan kaki dalam gerakan lancar tanpa bergantung pada tangan untuk sokongan atau keseimbangan.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ Patterson, Alice (2020-01-22). "Everything You Need To Know Before Booking A Contortionist". Oddle Entertainment Agency (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2020-01-24.
  2. ^ Peoples RR, Perkins TG, Powell JW, Hanson EH, Snyder TH, Mueller TL, Orrison WW (2008). "Whole-spine dynamic magnetic resonance study of contortionists: anatomy and pathology". J Neurosurg Spine. 8 (6): 501–9. doi:10.3171/SPI/2008/8/6/501. PMID 18518669.
  3. ^ "10 Incredible And Shocking Sideshow Performers From The Past". LOLWOT (dalam bahasa Inggeris). 2015-10-27. Dicapai pada 2020-01-24.
  4. ^ Pellot, Emerald. "The Ross Sisters Prove No One Does It Like The 1940s In This Epic Contortion Performance". LittleThings.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2017-10-03.
  5. ^ Hahn F, Kissling R, Weishaupt D, Boos N (July 2006). "The extremes of spinal motion: a kinematic study of a contortionist in an open-configuration magnetic resonance scanner: case report". Spine. 31 (16): E565–7. doi:10.1097/01.brs.0000225983.44327.b1. PMID 16845345. S2CID 23025533.
  6. ^ Owen E (May 1882). "Notes on the Voluntary Dislocations of a Contortionist". Br Med J. 1 (1114): 650–3. doi:10.1136/bmj.1.1114.650. PMC 2371707. PMID 20750190.

Sumber

sunting
  • Louis, Michel (1974a). Contortionists. Contortionists. I. Europa Verlag. Dicapai pada 2024-08-06.
  • Louis, Michel (1974b). Contortionists. Contortionists. II. Europa Verlag. Dicapai pada 2024-08-06.

Pautan luar

sunting