Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (KBPM) merupakan suatu majlis yang menghimpunkan ahli-ahli kongres yang terdiri dari para penulis, peminat sastera, pencinta bahasa dan budaya Melayu serta para cendekiawan Melayu yang mewakili badan bahasa dan persuratan Melayu dari seluruh negara Malaysia. Kongres ini juga akan mengeluarkan keputusan-keputusan yang mendapat persetujuan dari ahli-ahli kongres menerusi cabutan undian, dimana keputusan-keputusan yang dicapai merupakan hasrat sebenar ahli kongres dalam mengembalikan hak-hak keutamaan bahasa dan persuratan Melayu sebagai agenda utama pemartaban bahasa rasmi di Malaysia.
Setakat ini kira-kira 9 sidang kongres telah dilaksanakan di pelbagai tempat iaitu:
- Kongres KBPM pertama: 12-13 April 1952 di Hotel Sea View, Singapura.
- Kongres KBPM kedua: 1-2 Januari 1954 di Sekolah King George V, Seremban, Negeri Sembilan.
- Kongres KBPM ketiga: 16-21 September 1956 di Johor Bahru dan Singapura.
- Kongres KBPM keempat: 7 hingga 10 Disember 1984 di DBP, Kuala Lumpur.
- Kongres KBPM kelima: 2 Mei 1998 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
- Kongres KBPM keenam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak pada tahun 2002.
- Kongres KBPM ketujuh pada 6-8 November 2006 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir (dahulunya Balai Budaya) di DBP, Kuala Lumpur.
- Kongres KBPM kelapan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 28-30 Oktober 2011
Berikut adalah sorotan ketetapan yang dipersetujui sepanjang sejarah pemantapan bahasa Melayu di Persekutuan Tanah Melayu yang dibuat oleh kongres. Pelbagai ketetapan demi ketetapan dalam memperkukuhkan nilai bahasa dan persuratan Melayu telah dicanang oleh kongres namun, perubahan setimpal dilihat agak sukar direalisasikan atas pelbagai faktor yang menyebabkan pendaulatan bahasa dan persuratan Melayu di bumi Malaysia acap kali gagal terlaksana.
Kongres pertama
suntingKongres pertama KBPM telah berlangsung pada 12-13 April 1952 di Hotel Sea View, Singapura. Ia dihadiri oleh para cendekiawan Melayu dari 21 badan bahasa dan persuratan Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, (Malaya) ketika itu. Hasil pertemuan adalah kewujudan piagam yang telah ditandatangani oleh ketua-ketua perwakilan badan bahasa pada 13 April 1957. Butiran piagam adalah:
- Kongres bahasa hendaklah diadakan seterusnya dengan tujuan menyelaraskan usaha badan persuratan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Borneo Utara; dan kerabat kongres hendaklah mengambil keputusan muktamd yang sama atas sebarang hal tentang kemajuan bahasa dan persuratan Melayu dan akan membela hak pengarang, sasterawan dan ahli cendekiawan bahasa Melayu.
- Kongres seterusnya hendaklah diadakan pada bila-bila masa jika perlu oleh sebuah pertubuhan atau beberapa pertubuhan persuratan menjadi bergabung menjadi satu; dan pertubuhan persuratan yang mengusulkan kongres itu dengan sendirinya menjadi Panitia Kongres yang akan menyediakan tempat dan persiapan kongres serta memanggil pertubuhan-pertubuan lain ke kongres tersebut.
- Pertubuhan-pertubuhan persuratan Melayu yang menjadi kerabat kongres hendaklah mentaati keputusan muktamad yang diambil oleh kongres; pertubuhan-pertubuhan kerabat kongres hendaklah berusaha melaksanakan keputusan-keputusan yang telah diambil (dipersetujui) oleh kongres untuk memajukan bahasa dan persuratan Melayu; sebarang keputusan kongres hendaklah dianggap sah oleh kerabat kongres; segala keputusan kongres akan diambil mengikut undi terbanyak; dan tiap-tiap pertubuhan hanya mempunyai satu undi sahaja.
- Dalam kongres pertama ini, hanya satu keputusan penting telah dicapai iaitu: ‘’kedua-dua tulisan Rumi dan Jawi hendaklah digunapakai dalam persuratan Melayu dan pada masa ini sehingga didapati suatu keputusan lain pada kongres yang kedua kelak’’.
Kongres kedua
suntingKongres kedua KBPM berlangsung pada 1-2 Januari 1954 di Sekolah King George V, Seremban dan dihadiri oleh 24 perwakilan dari pelbagai badan bahasa dan persuratan Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Antara keputusan yang berkaitan dari pelbagai bidang yang dipersetujui adalah:
- Menganjurkan rapat besar bagi ahli persuratan Melayu dengan Indonesia; mendesak penggunaan bahasa Melayu yang seimbang dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu, Majlis Mesyuarat Negeri, Majlis Mesyuarat Bandaran dan pengutamaan bahasa Melayu oleh ketua-ketua pejabat; menganjurkan hadiah bagi karangan-karangan dan penulisan bahasa Melayu yang terbaik dalam bahagian-bahagiannya setiap tahun, menyusun sebuah kamus yang lengkap dalam tulisan Rumi; pengambilan juruhebah radio mestilah berkelulusan tinggi dalam bahasa Melayu; dan melantik wakil daripada Kongres Persuratan Melayu dalam Jawatan Kuasa Penapis Filem.
- Dua keputusan penting telah dicapai dalam kongres KBPM kedua, iaitu setelah mengkaji penyata tulisan Jawi-Rumi yang dibentangkan oleh Jawatan Kuasa Penyiar Tulisan Jawi-Rumi, kongres telah mengambil keputusan bahawa telah sepatutnya tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya; dan menutur Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu supaya membesarkan lagi Jabatan Penterjemahan menjadi sebuah Balai Bahasa yang lengkap.
Kongres ketiga
suntingKongres ketiga KBPM berlangsung pada 16-21 September 1956 di Johor Bahru dan Singapura dan dihadiri oleh lebih kurang 500 orang perwakilan dan pemerhati dari 59 buah badan bahasa dan persuratan Melayu dari seluruh Malaya. Beberapa orang wakil rasmi dari Indonesia yang diketuai oleh Menteri Pendidikan Pengajaran dan Pendidikan Indonesia, Profesor Prijana turut hadir. Rumusan yang dipersetujui adalah:
- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hendaklah ditubuhkan sebagai pusat bagi menjaga hal-ehwal dan perkembangan bahasa dan persuratan Melayu supaya tidak cacat asal usul bahasa Melayu serta menjadi pendorong kepada perkembangan kebudayaan rakyat Tanah Melayu kelak; DBP hendaklah menyiasat, membongkar dan mengumpulkan semula serta menghalusi hasil kesusasteraan Melayu semenjak zaman purba, selain DBP ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan butir tentang taraf, pentadbiran, pengelolaan jabatan dan bahagiannya serta tugas yang seharusnya dijalankan oleh DBP turut diputuskan.
- Bahasa Melayu yang diakui sebagai bahasa kebangsaan hendaklah disempurnakan keadaannya dan diamalkan sebagai bahasa rasmi negara; DBP ditugaskan bagi menerbitkan hasil kesusasteraan yang bernilai untuk menyempurnakan perkembangan prosa dan puisi Melayu (lama dan baru); unsur kebangsaan hendaklah ditanamkan sebanyak mungkin dalam lagu kebangsaan dan patriotik bagi memelihara keasliannya; udang-undang negara tentang perlindungan hak cipta hendaklah diadakan; dan pihak pengusaha filem melayu hendaklah mengambil berat untuk menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam filem terbitannya.
- Membentuk suatu jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh ahli seni lukis Melayu dan pakar bahasa Melayu untuk membentuk perkataan baru bagi menyatakan benda dan fikiran baru dalam seni lukis; mengambil terus perkataan asing yang mudah sebutan dan ejaannya dengan tidak mengubah bunyi dan ejaannya itu; mengambil perkataan asing yang keras sebutannya dan ganjil ejaannya dengan memadankan bunyi perkataan tersebut itu dengan lidah dan ejaan Melayu; dan menyiasat dan menimbulkan semula perkataan Melayu yang sedia ada dalam seni ukir dan sebagainya untuk kegunaan dalam lapangan seni lukis.
- Lembaga Tetap Kongres hendaklah mendesak jabatan yang tertentu di DBP supaya menyusun kamus khas berkenaan dengan seni rupa; menterjemahkan buku tentang fikiran Timur dan Barat tentang seni lukis; menyusun buku baru yang mengandungi lukisan pilihan dengan kritikan secara ilmiah; dan menyusun buku baru daripada hasil penyelidikan tentang seni rupa bangsa Melayu.
- Bahasa Melayu hendaklah diperluaskan penggunaannya dalam pelbagai bidang seperti pertanian, penternakan, pentadbiran, perusahaan, penyiaran, persuratkhabaran dan sebagainya.
- Mengusulkan kepada jabatan Pelajaran Tanah Melayu dan Singapura supaya bahasa Melayu digunakan seluas-luasnya dalam kursus kelas dan akademi seni lukis.
- Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia yang berbeza-beza sedikit akan perihal ejaannya, dan hal-hal lain berkaitan harus disatukan, kerana asal dan dasar bahasa Melayu dan bahasa Indonesia itu sama sahaja.
- Lembaga Bersama Melayu-Indonesia hendaklah diadakan untuk menyatukan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia; mempelajari dan menyelenggarakan hal tentang tatabahasa, istilah dan kamus; dan lembaga ini hendaklah bekerjasama dengan kerajaan.
- Selain membincangkan kertas kerja tentang penubuhan DBP, penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang, dan penyatuan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, kongres ini juga turut membincangkan cara mengembangkan bahasa kebangsaan menerusi persekolahan dan pendidikan.
Kongres keempat
suntingKongres keempat KBPM ini telah diadakan pada 7 hingga 10 Disember 1984 di DBP, dengan tujuan untuk menilai prestasi pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan secara menyeluruh. Kongres ini ditaja secara bersama oleh 14 buah badan dan agensi yang terlibat dalam perjuangan bahasa seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), GAPENA, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan sebagainya.
Kongres yang berlangsung selama 4 hari ini juga dihadiri oleh perwakilan pelbagai pertubuhan dan orang perseorangan yang terdiri daripada para ahli dalam dalam pelbagai bidang keilmuan. Perwakilan dari negara-negara serautau khususnya dari Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand serta beberapa orang perseorangan dari negara asing turut hadir menjayakan kongres.
Sebanyak 13 buah kertas kerja telah diperbincangkan dan dikategorikan dalam beberapa kumpulan iaitu: Hasrat dan Cita-cita, Dasar dan pelaksanaan, Agensi, Hakikat yang Wujud di pelbagai bidang dan sektor serta Masa Hadapan.
Berikut adalah usul yang penting yang dibincangkan menerusi persidangan tersebut:
- Untuk meningkatkan imej bahasa Melayu sebagai bahasa bagi semua bidang, penulis ilmiah hendaklah mengutamakan dan memperbanyakkan penulisan dalam bahasa Melayu.
- Kegiatan menghasilkan buku tentang tatabahasa dan bahasa baku hendaklah ditingkatkan supaya masyarakat tidak menghadapi masalah kekeliruan bahasa. Kekurangan kamus istilah, misalnya hedaklah diisi dengan segera.
- Usaha menterjemahkan karya ilmu ke dalam bahasa Melayu hendaklah digiatkan supaya tradisi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat diperkukuhkan.
- Pindaan peruntukan tambahan hendaklah dibuat dalam mana-mana undang, akta dan peraturan bagi melicinkan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
- Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah bertangungjawab juga mendorong kegiatan intelektual dan pembaharuan kebudayaan dalam bahasa Melayu disamping bertangungjawab bagi pembinaan dan perkembangan bahasa dan sastera Melayu.
- Usaha penyebaran karya sastera antara negara berbahasa Melayu menstilah digiatkan dengan tulus ikhlas serta bersemangat tinggi dengan memecahkan halangan tembok pemisah antara peluhuran bahasa Melayu dengan ekonomi, politik dan lain-lain.
- Sistem dan strategi pengedaran bahan bercetak hedaklah disusun utuh supaya bahan bacaan berbahasa Melayu dapat disebarkan seluas-luasnya.
- Supaya bahasa Melayu dapat memenuhi fungsi intelektual, kesenian, kebudayaan dan ilmu pengetahuan, disarankan pertemuan lebih kerap dan kerjasama yang lebih erat antara cendekiawan, ahli bahasa, sasterawan, seniman dan budayawan negara-negara berbahasa Melayu dapat diperteguhkan.
Kongres kelima
suntingKBPM untuk kali ke-5 telah diadakan pada hari Sabtu, 2 Mei 1998 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika sidang kongres berlangsung, suatu Sumpah Setia Bahasa telah ditandatangani oleh kerabat kongres seperti berikut:
Pertubuhan Kebangsaan
- Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA)
- Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)
- Persatuan Sejarah Malaysia
- Persatuan Suluh Budiman
- Yayasan Penataran Ilmu
- Persatuan Penterjemah Malaysia
- Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB)
- Persatuan Matematik Malaysia
- Persatuan Biologi Malaysia
- Persatuan Sains Keadaan Pepejal Malaysia
- Akademi Sains Islam Malaysia
- Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif
- Persatuan Wartawan Melayu Malaysia
- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
- Persatuan Ulama Malaysia
- Majlis Belia Malaysia
- Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)
- Persatuan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
- Persatuan Guru-Guru Bahasa Melayu.
Pertubuhan Negeri
- Angkatan Penulis Kreatif Selangor (AKTIF)
- Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI)
- Badan Bahasa Sabah (BAHASA)
- Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP)
- Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS)
- Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM)
- Ikatan Persuratan Penulis Perak (IPPP)
- Lembaga Bahasa Melayu Melaka (LBM)
- Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS)
- Perkumpulan Penulis dan Peminat Bahasa Muar (PPPBM)
- Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Teluk Intan (PENTAS)
- Persatuan Penulis Melaka (PERNAMA)
- Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
- Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN)
- Persatuan Penulis Johor (PPJ)
- Persatuan Penulis Perlis (3P)
- Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA)
- Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP)
- Persatuan Penulis Kelantan (PPK)
- Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA)
- Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA)
- Persatuan Kabajikan Penulis Selangor (KEMUDI)
- Persatuan Penulis Selangor (PPS)
- Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM)
Teks Sumpah Setia Bahasa adalah seperti berikut:
Kami, kerabat Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu V 1998, bersumpah akan terus setia memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai: Bahasa yang mencipta kedaulatan bangsa, kesatuan politik, budaya, ekonomi dan pendidikan yang menjamin kelangsungan bangsa Malaysia. Bahasa yang menjaga dan memupuk kebebasan intelektual serta memerdekakan pemikiran bangsa; dan Bahasa yang membawa, memelihara, mencipta, menyalurkan serta mengembangkan ilmu dan kebudayaan di negara dan di dunia. Sesungguhnya, kami bertekad tidak akan berganjak daripada perjuangan ini.
Kongres keenam
suntingKongres Bahasa dan Persuratan Melayu kali keenam, telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak pada tahun 2002. Dr Awang Sariyan dan Kamal Shukri Abdullah Sani dari Persatuan Linguistik Malaysia telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Kesan Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Pengajaran Sains dan Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia”.
Kesimpulan dari apa yang terkandung dari kertas kerja tersebut adalah:
- Di sekolah rendah kebangsaan (tahun 1-6) dan menengah rendah (Tingkatan 1-3), hanya mata pelajaran Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris.
- Mulai sekolah menengah atas (Tingkatan 4-6) kira-kira 47 mata pelajaran Sains/Matematik dan yang bersekutu (teknik vokasional), iaitu peringkat SPM akan diajarkan dalam bahasa Inggeris.
- Hanya 19 mata pelajaran peringkat SPM dijangka kekal pengajarannya dalam bahasa Melayu.
- Peringkat pendidikan lepasan SPM (tingkatan enam, matrikulasi, dan universiti bagi program diploma dan ijazah) akan lebih bertambah kursusnya dalam bahasa Inggeris yang dilihat dapat mencapai angka melebihi seribu kursus (1000) bagi satu universiti sahaja.
- Sekalipun bahasa Melayu dikatakan kekal sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di Malaysia (seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 152), tetapi peranan bahasa Melayu selanjutnya dalam bidang ilmu Sains dan teknologi akan tersekat terus dan terbantut kecuali dalam bidang yang amat terhad, khususnya bagi pendidikan tinggi (era selepas SPM) sedangkan bahasa Melayu telahpun banyak meneroka bidang tersebut dengan lebih 800,000 istilah, 200,000 buah buku pelbagai judul, dan sebagainya. Segala usaha tersebut hanya perlu disempurnakan serta dibaiki dari semasa ke semasa.
- Potensi bahasa Melayu (sebagai bahasa keempat terbesar di dunia) dinafikan dan seolah-olah tidak diakui, dan kerana itu tidak akan berkembang maju sehingga bila-bila, bagi pengucapan bidang ilmu Sains dan teknologi, malah seolah-olah tidak layak untuk 842 Kongres Bahasa dan Pensuratan Melayu VI membicarakan bidang ilmu tersebut, dan hanya layak atau terbatas bagi pengucapan bidang umum yang lain sahaja, seperti sastera dan kemasyarakatan.
- Peratus mata pelajaran berbahasa Melayu jelas kelihatan mengalami hakisan mulai pendidikan peringkat menengah atas (Tingkatan 4-6 dan Matrikulasi) dan seterusnya menjunam teruk ke ambang kepupusan di peringkat universiti, yang begitu jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu jelas semakin terhakis khususnya bagi pengajaran ilmu moden, sains, dan teknologi khususnya di peringkat pengajian tinggi di Malaysia. Keadaan ini bermula dengan (kadar peratusan pengajaran subjek dalam bahasa Melayu terus menurun dengan amat drastik dan ketara) 60% di pendidikan rendah, menjadi 62% di sekolah menengah rendah (Tingkatan 1-3), seterusnya merosot kepada 35% di peringkat menengah atas (Tingkatan 4-5), merosot lagi menjadi 20% bagi Tingkatan Enam dan Matrikulasi dan seterusnya menjunam lagi sehingga tinggal 9% di peringkat universiti. Manakala hal yang sebaliknya berlaku bagi penggunaan bahasa Inggeris, iaitu peningkatan secara terancang bagi mengambil kembali hak peranan bahasa Melayu (sebagai bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan di negara Malaysia) sebelum ini, sebagai bahasa pengantar bidang ilmu sains dan teknologi selama kira-kira 30 tahun. Daripada 40 penggunaan di peringkat sekolah rendah menjadi 38% bagi menengah rendah (Tingkatan1-3), meningkat dengan mendadak kepada 65% bagi menengah atas (Tingkatan 4-5 Sains), dan seterusnya meningkat lagi kepada 80% bagi peringkat Tingkatan 6 dan Matrikulasi, dan mencapai kemuncaknya, iaitu 91% penggunaan di peringkat universiti.
Ketetapan utama KBPM kali ke-6 ini ialah untuk meminta kerajaan supaya tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolahsekolah, dan pelbagai isu lagi demi mengembalikan semula martabat bahasa Melayu di negara ini.
Kongres ketujuh
suntingKongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 telah diadakan pada 6-8 November 2006 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir (dahulunya Balai Budaya,) di DBP Kuala Lumpur.
Mengikut rancangan KBPM kali ke-7 ini dijangkakan berlangsung dua bulan lebih awal iaitu pada 15-17 September 2006 di Johor Bahru. Namun beberapa faktor, ianya tidak dapat dijalankan disebabkan:
Mengikut laporan dari majalah Siasah dalam edisi 17-30 November 2006, Datuk Dr. Abd. Latif Bakar yang merupakan pengarah KBPM kali ke-7, melahirkan rasa kesalnya dengan karenah dan birokrasi sesetangah kementerian yang berdolak dalih dalam menjayakan kongres tersebut. “Kongres ini semacam tidak mendapat dorongan daripada kepimpinan UMNO, parti kebangsaan yang mengaku menjadi pejuang bangsa Melayu. Bukan itu sahaja, agensi kerajaan juga seperti malu-malu atau takut untuk melibatkan diri di dalam kongres berkenaan. Keadaan ini berlaku kerana agensi kerajaan bekenaan yang ditunjangi orang politik bimbang penyertaan mereka akan menjejaskan masa depan politik mereka.
Kedua, menurut salah satu sumber dari DBP yang boleh dipercayai menyifatkan dua tokoh politik sentral yang dikaitkan dengan penyelenggaraan kongres ini ialah Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri besar Johor, Dato’ Abd. Ghani Othman. Hal ini dapat difahamkan apabila Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Hj Abdullah sebelum ini telah diminta oleh Menteri Besar Johor, khabarnya melalui Gapena untuk mengeluarkan satu pernyataan atau komitmen bahawa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 akan diadakan di Pusat Konvensyen Persada Negeri Johor, bersebelahan Bangunan Kerajaan Bukit Timbalan yang menjadi lokasi pertama pejabat DBP. Menurut ceritanya, pusat konvensyen yang hampir siap itu akan dibuka secara rasmi dengan berlangsungnya kongres berkenaan dan dianggap satu-satunya penghormatan tertinggi kepada DBP, khususnya dalam mendaulatkan bahasa Melayu.
Menurut sumber itu, Johor bersedia memberikan komitmen penuh, terutama yang menyangkut pembiayaan dan kemudahan peserta sepanjang tiga hari kongres. Bagaimanapun, akhirnya komitmen Johor tidak kesampaian kerana DBP telah terpaksa “tunduk” kepada keputusan kementerian yang bertanggungjwab terhadap DBP untuk mengadakan kongres di Kuala Lumpur sahaja. Ada cakap-cakap yang menuduh seorang dua individu di kementerian yang kurang senang dengan komitmen Johor dan kongres patut dan perlu diadakan di Kuala Lumpur, tempat perayaan sentral kegiatan Jubli Emas DBP. Dengan demikian segala usaha promosi DBP dan Gapena dan penglibatan Johor menjadi sia-sia, malah “membazir”.
Ketiga, karenah birokrasi yang begitu menebal di DBP tidak terkecuali menjejaskan persiapan kongres. Sebagai sebuah agensi separuh kerajaan dan mempunyai kuasa autonomi, DBP amat jarang atau hampir tidak langsung memanfaatkan fungsinya sebagai institusi yang mempunyai kuasa autonomi. Ini kerana, apa sahaja keputusan yang mahu dilaksanakan di DBP hendaklah merujuk kepada peruntukan dan peraturan yang termaktub dalam Jabetan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ketika kongress berlangsung, Prof. Dr Awang Sariyan telah membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setengah Abad Mendatang: Upaya Pemerkasaannya”.
KBPM kali ke-7 tidak lagi dirasmikan oleh seorang menteri kanan tetapi cukup sekadar dirasmikan seorang ahli Parlimen dari Gua Musang, iaitu Tangku Razaleigh Hamzah. Itu pun sebagai kapasiti Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Sekretariat Kongres Kepentingan Bangsa dan ditutup oleh Ketua I Gapena, Ismail Hussein.
Berikut adalah ketetapan-ketetapan yang dikeluarkan oleh KBPM ke-7:[1]
- Kongres ini akan diadakan secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya dua tahun sekali untuk memberi kesempatan kepada pelbagai pihak dan golongan memperkukuh dan memperbaharui azam dalam pembinaan bahasa, persuratan dan kebudayaan kebangsaan.
- Meminta kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensinya supaya mendidik sikap masyarakat sentiasa menghormati setinggi- tingginya bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat mengungkapkan kecanggihan pemikiran, penanggapan dan pengembangan serta pengayaan ilmu, sains dan kesusasteraan karya agung bagi bangsa Malaysia.
Kongres kelapan
suntingKongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8 telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 28-30 Oktober 2011. Kongres tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.[2][3] Pengerusi KBPM 2011 ialah Datuk Wira Profesor Dr. Abdul Latif bin Abu Bakar. Manakala, Jawatankuasa Resolusi Kongres terdiri oleh:
i. Profesor Datuk Dr. Zainal Kling ii. Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan iii. Profesor Emeritus Dr.Abdullah Hassan iv. Tuan Rusli Abdul Ghani
Berikut adalah resolusi/ ketetapan yang dikeluarkan oleh KBPM kali ke-8. KBPM 2011 ini telah dianjurkan oleh GAPENA, Majlis Muafakat Melayu Malaysia serta Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Seramai 500 orang peserta yang mewakili 200 pertubuhan bahasa dan persuratan Melayu telah menghadiri kongres ini.
Landasan utama
suntingI. Mengingatkan bahawa Kongres ini telah berlangsung sebanyak lapan kali dengan membuat pelbagai ketetapan; II. Memahami bahawa pada ketika ini bahasa dan persuratan Melayu berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam pemerkasaannya dalam pelbagai bidang urusan pentadbiran negara. III. Meyakini bahawa bahasa dan persuratan Melayu adalah landasan benar bagi pembinaan peradaban Malaysia moden, MAKA INILAH DITETAPKAN OLEH KONGRES YANG BERSIDANG INI SEPERTI DIPETURUNKAN DI BAWAH INI:
Ketetapan-ketetapan
suntingBAHAWA KONGRES MEMBUAT DESAKAN BERIKUT:
I. Sistem Pendidikan:
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah bertegas, dengan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai Akta yang berkaitan, untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara dalam semua urusan rasmi dan secara rasmi melarang segala gagasan dan desakan untuk amalan selain daripada peruntukan undang-undang itu. Semua cadangan bertentangan seperti PPSMI (Pembelajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) adalah merupakan tindakan melanggar undang-undang dan wajar dilarang serta dikenakan hukuman. Maka Kongres menyokong penuh pemansuhan PPSMI itu sebagai dasar pengajaran dan pembelajaran.
II. Kerajaan Tempatan:
i. Kerajaan-Kerajaan Negeri mestilah menyeragamkan semua peruntukan undang-undang berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan yang mengenai dasar Bahasa Kebangsaan supaya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekuuan untuk dapat mengawal semua penamaan jalan raya dan bangunan serta pengiklanan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terutama bagi pemaparan di khalayak awam termasuk oleh pihak swasta.
ii. Kerajaan Pesekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaksanakan penyelarasan dengan pelbagai agensi PBT dalam urusan meluluskan permit dan lesen selaras dengan kedudukan Bahasa Kebangsaan.
III. Ekonomi dan Kewangan:
i. Kerajaan Malaysia hendaklah, melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan ekonomi dan perniagaan serta menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai penggerak utama sistem ekonomi negara;
ii. Melalui Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka memperkasakan semula secara berterusan Jawatan Kuasa Istilah supaya dapat membina peristilahan ilmu sejajar dengan perkembangan ekonomi dan kewangan semasa dan supaya dalam rangka 5 tahun seluruh sistem ilmu terutama ekonomi dan kewangan dapat dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan.
IV. Pengajian Tinggi:
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua tahap pendidikan; dan berusaha sepenuhnya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang keilmuan. Dalam hubungan ini, Kongres menegaskan sokongan kuat terhadap pengumuman Menteri Pengajian Tinggai pada 27 Oktober 2011 tentang pembinaan ilmu, penerbitan buku dan kenaikan pangkat tenaga akademik di Malaysia berlandaskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
V. Perkhidmatan Awam:
Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan tadbiran negara dan menjadikan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai pelindung kepada Bahasa Kebangsaan itu serta tidak melanggar semua peruntukan undang-undang berkaitan dengannya. Dalam hubungan ini Kongres menyokong sekuatnya keputusan JPA untuk melaksanakan Pekeliling penggunaan bahasa Melayu dalam tadbiran Negara dan menegaskan supaya sentiasa memantau atau mengaudit pelaksanaan itu.
VI. Media, Komunikasi dan Penyiaran:
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan para pemimpin negara sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada seluruh masyarakat awam Malaysia; dan juga mewujudkan satu garis panduan untuk digunakan oleh semua badan penyiaran dan penerbitan.
VII. Perlembagaan:
Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua tahap mahkamah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi menegakkan keadilan berasaskan undang-undang;
VIII. Pemasyarakatan Persuratan Melayu:
Kerajaan Malaysia melalui pelbagai Kementerian dan Jabatan hendaklah sentiasa berusaha memperbanyak penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam semua bidang ilmu untuk mencapai matlamat-matlamat berikut:
i. Memandaikan dan memperluas ilmu ke dalam seluruh lapisan masyarakat sebagai asas ketamadunan Malaysia;
ii. Menggunakan teknologi penerbitan yang ekonomis untuk mengurangkan berlebihan inventori dan supaya bahasa Melayu berkembang rapat dengan anggota rumpunya serta tersebar luas ke seluruh dunia;
iii. Mendesak semua penerbit IPT menerbitkan semua penulisan para pensayarah dalam bahasa Melayu sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran sebagai penegasan nilai ekonomi bahasa Melayu;
iv. Memastikan warganegara Malaysia mendapati segala jenis ilmu untuk melangsungkan kehidupan mereka melalui bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan;
v. Mengembangkan lagi daya cipta dan kreativiti yang sedia ada pada para penulis dan ilmuwan melalui bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dengan mengangkat darjat mereka.
Ikrar Kongres
suntingPERTAMA, BAHAWA KAMI YANG BERSIDANG DALAM KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU KE-VIII INI AKAN MEMANTAU PEMARTABATAN DAN PEMERKASAAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DALAM NEGARA MELALUI SEBUAH MAJLIS PEMANTAUAN DAN TINDAKAN BAHASA KEBANGSAAN DEMI KEMAJUAN, PERPADUAN DAN KEUTUHAN BANGSA DAN NEGARA MALAYSIA DI SEPANJANG ZAMAN.
KEDUA, KAMI MENDESAK SEMUA KEMENTERIAN, AGENSI KERAJAAN DAN BADAN SWASTA SUPAYA MENUBUHKAN JABATAN PEMANTAU ITU UNTUK MENDAULATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN NEGARA KITA.
KETIGA, KAMI MENYERU SEMUA PIHAK DARIPADA PARA PEMIMPIN NEGARA, MASYARAKAT AWAM DAN PIHAK SWASTA WAJIB SENTIASA YAKIN SERTA MENJADI PENERAJU UTAMA DALAM BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN KITA.
KEEMPAT, KAMI MENYERU KERAJAAN SUPAYA KEMBALI KEPADA PERLEMBAGAAN MALAYSIA DENGAN MENYEBUT BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DAN BUKAN 'BAHASA MALAYSIA'.
MAKA INILAH KETETAPAN DAN IKRAR KAMI. WALLLAHU ALAM.
Rujukan dan pautan luar berkait
sunting- Klik Web DBP – Terus Berjuang oleh Aliah Abdul Rahim
- Perancangan Bahan Ejaan dan Sebutan, Peristilahan dan Perkamusan dalam Bahasa Melayu di Malaysia untuk KBPM ke-3 oleh Rogayah binti Osman
- Sumpah Setia Bahasa KBPM untuk kali ke-5
- Kesimpulan kajian Dr. Haji Awang Sariyan dan Kamal Shukri Abdullah Sani yang bertajuk Kesan Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pengajaran Sains dan Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia.
- Kongres Bahasa Ke-7: Manfaatnya??
- Ucapan Perasmian TPM dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8
- Melayu Online.com "Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu" Diarkibkan 2011-11-21 di Wayback Machine