Kitab Yesaya
Kitab Yesaya ini disebut menurut nama seorang nabi besar yang bernama Yesaya yang hidup di Jerusalem dalam bahagian kedua abad kelapan sebelum Masihi. Nama Yesaya diambil dari bahasa Ibrani: ישׁעיהו Yeshayahu atau Yəša‘ăyāhû. Ertinya “Penyelamatan Yahwe”.
Seluruh kitab ini dapat dibahagikan ke dalam tiga bahagian utama iaitu:
- Fasal 1--39 berasal dari zaman ketika Yehuda, kerajaan selatan, diancam oleh Kerajaan Asyur, negara tetangga yang sangat kuat. Yesaya menyedari bahawa perbuatan mengancam kehidupan Yehuda bukanlah kekuatan Asyur, tetapi dosa bangsa Yehuda sendiri, kerana bangsa itu tidak taat dan kurang percaya kepada Tuhan. Baik dengan kata-kata, mahupun dengan perbuatan, Nabi Yesaya mendorong rakyat serta para pemimpin mereka untuk hidup menurut kehendak Tuhan dan berlaku adil. Ia mengingatkan bahawa umat Tuhan akan celaka dan binasa kalau tidak mahu mendengarkan ajaran Tuhan. Yesaya juga meramalkan perdamaian dunia dan kedatangan seorang keturunan Daud yang akan menjadi raja yang diidam-idamkan.
- Fasal 40--55 berasal dari masa pembuangan orang-orang Yehuda di Babel. Mereka dalam keadaan hancur tanpa harapan. Yesaya memberitakan bahawa tak lama lagi Tuhan membebaskan umat-Nya dan membawa mereka pulang ke Jerusalem, untuk memulakan suatu kehidupan yang baru. Tema penting bahagian ini ialah bahawa Tuhan itu Tuhan yang menguasai sejarah, dan bahawa Ia merencanakan untuk mengutus umat-Nya ke segala bangsa yang akan diberkati melalui Israel. Ayat-ayat tentang "Hamba Tuhan" merupakan salah satu bahagian yang paling terkenal dalam Perjanjian Lama.
- Fasal 56--66 sebahagian besar ditujukan kepada bangsa yang sudah kembali di Jerusalem. Mereka perlu diyakinkan lagi bahawa Tuhan akan memenuhi janji-janji-Nya kepada bangsa itu. Perhatian khusus diberikan kepada cara hidup yang benar dan keadilan; juga kepada cara merayakan hari Sabat, mempersembahkan korban dan doa. Ayat-ayat penting ialah 61:1-2 yang dipakai Jesus Christ untuk menyatakan panggilan-Nya ketika Ia akan memulakan tugas-Nya di dunia.
Para pakar ilmuan Biblika memberikan nama Yesaya secara berbeza-beza mengikut pandangan masing-masing dari ketiga-tiga bahagian kitab ini. Fasal 1-39 dinamai Proto-Yesaya, fasal 40-55 dinamai Deutero-Yesaya, dan fasal 56-66 dinamai Trito-Yesaya. Mereka juga menduga bahawa setiap bahagian itu ditulis oleh penulis yang berlainan pula.Jadi disini telah timbulnya suatu kecelaruan yang ketara dalam Kitab Yesaya tentang keasliannya.
Lihat juga
suntingSumber
sunting- Pengantar Alkitab Lembaga Alkitab Indonesia, 2002.