Kesidang putih

spesies tumbuhan

Kesidang putih atau kesidang (Vallaris glabra),[2] turut dikenali sebagai tikar seladang, tikam seladang, siku dengan, bunga tongkan, kerak nasi atau kesedangan,[3][4] ialah spesies tumbuhan berbunga daripada keluarga Apocynaceae. Ia tumbuhan tempatan yang sering ditanam sebagai tanaman hiasan.

Kesidang putih
Pokok tikar seladang, Vallaris glabra
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Plantae
Klad: Trakeofit
Klad: Eudikot
Klad: Asterid
Order: Gentianales
Keluarga: Apocynaceae
Genus: Vallaris
Spesies:
V. glabra
Nama binomial
Vallaris glabra
(Linn.) O.Kuntze.[1]
Sinonim
  • Echites hircosus Roxb.
  • Emericia pergularia (Burm.f.) Roem. & Schult.
  • Pergularia glabra L.
  • Vallaris ovalis Miq.
  • Vallaris pergulana Bum.f.

Penerangan

sunting
 
Bunga kesidang dari dekat
 
Kelopak kesidang atau kerak nasi berwarna putih

Kesidang putih ialah sejenis tumbuhan pemanjat dengan batang kecil berkayu keras dan mudah lentur. Sifat batang yang mengembang pada bahagian hujung ini menyebabkan ia menjadi pilihan sebagai tanaman untuk menghias junjung atau para di taman. Kesidang putih boleh dipangkas untuk membentuk renek yang merimbun. Kesidang mengeluarkan getah yang berwarna putih ketika dipetik.[3] Ia boleh tumbuh setinggi 2-3 m dengan daun berkilat, berbentuk runcing berpasangan.[4]

Bunganya yang putih bersaiz kecil dan menerbitkan bau wangi seakan-akan daun pandan terutamanya pada waktu petang. Pokok ini dipanggil "kerak nasi" di Utara Semenanjung, bukan hanya lantaran warnanya yang putih dan bentuk jambak bunga yang terlerai, tetapi baunya juga yang dikatakan menyamai bau nasi.[3] Suatu kajian telah dilakukan oleh sebuah universiti di Chiang Mai, Thailand untuk mengenal pasti bau nasi yang terdapat pada bunga kesidang.[perlu rujukan]

Taburan

sunting

Tumbuhan yang dipercayai berasal dari Jawa, Sumatera dan Kepulauan Sunda Kecil. Ia telah diperkenalkan ke Tanah Melayu, Thailand dan Pulau Krismas. Ia tumbuhan pemanjat dan banyak tumbuh di kawasan tropika lembap.[1]

Kegunaan

sunting

Disebabkan oleh baunya yang harum semerbak, bunga kesidang putih digunakan sebagai ramuan untuk membuat bunga rampai dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti daun pandan dan bunga-bunga wangi. Masyarakat Melayu tradisional juga menjadikan bunga kesidang sebagai hiasan rambut anak-anak gadis dan wanita serta hiasan alat-alat istiadat seperti tepak sirih.[5] Bunga kesidang melambangkan kehormatan, kesopanan dan sikap lemah lembut orang Melayu.[3] Bunga ini telah dijadikan bunga rasmi negeri Melaka yang terkenal dengan ketinggian adat istiadat dan budaya.[6]

Pokok hiasan ini sering ditanam di perkarangan rumah selaku tanaman penyerlah. Bunga kesidang ini menarik perhatian rerama untuk hinggap.[4]

Pembiakan

sunting

Kebanyakan tumbuhan pemanjat sering dibiakkan melalui kaedah perlapisan sungguhpun sesetengahnya mudah tumbuh melalui keratan batang dan percambahan biji benih. Satu kaedah lagi yang digunakan ialah dengan melenturkan batangnya hingga menyentuh ke tanah, menindihkan dengan benda berat, contohnya batu-bata, dan membiarkan hingga akarnya tumbuh. Bahagian yang telah ditumbuhi akar ini boleh dipotong dan ditanam di tempat lain.[3]

Penjagaan

sunting

Kesidang putih tergolong dalam kategori tumbuhan yang mudah dijaga dan tidak memerlukan penyelenggaraan yang rumit. Ia memerlukan cahaya yang lebih kurang 50% untuk pengeluaran bunga yang optimum namun tidak boleh terlalu terdedah lantaran daunnya akan menjadi kemerah-merahan. Pokok ini memerlukan air yang mencukupi iaitu perlu disiram dua kali sehari pada hari-hari yang panas terik dan medium yang memberikan bersaliran baik.[3]

Pokok akan dibaja dua minggu sekali untuk memastikannya mendapat segala keperluan untuk pembentukan bunga. Bahagian bunga yang layu harus dipangkas untuk memastikan tunas baru. Sokongan pula akan diberikan dalam bentuk junjung atau pergola untuk memudahkan pokok memanjat. Pokok yang selalu dipangkas pula akan menjadi kecil, rendang dan rimbun.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ a b "Vallaris glabra". Plants of the World Online. Royal Botanic Gardens, Kew. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  2. ^ Vallaris glabra. Sistem Maklumat Biokepelbagaian Malaysia (MyBIS). Dicapai melalui https://www.mybis.gov.my/sp/13807. [Didapatkan kembali 30 Januari 2024].
  3. ^ a b c d e f Autumn Belle (5 Mei 2010). "Kesidang, Vallaris glabra, Bread Flowers". My Nice Garden.
  4. ^ a b c "Vallaris glabra". Flora Fauna Web. Lembaga Taman Negara Singapura. 2019. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  5. ^ Wan Hasmah Wan Teh (2023). "Mandi bunga: Suatu penelitian awal tentang amalan dan fungsinya dalam masyarakat Melayu". Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. 16 (2): 271‒286. doi:10.37052/jm.16(2)no5.
  6. ^ "Bunga Rasmi Negeri Melaka". Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka. 13 Julai 2023.

Pautan luar

sunting