Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Malaysia

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Tulisan Jawi: كمنترين ڤمباڠونن وانيتا، كلوارڬ دان مشاركت; singkatan: KPWKM) adalah sebuah kementerian yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab menilai dasar dan arah untuk mencapai sasaran kesamarataan jantina, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang selari dengan komitmen kerajaan kepada penghapusan semua bentuk diskriminasi terhadap wanita dan Deklarasi Beijing.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
كمنترين ڤمباڠونن وانيتا ، كلوارڬ دان مشاركت
Kerajaan Malaysia
Intisari kerajaan
Dibentuk31 Ogos 1957; 67 tahun yang lalu (1957-08-31)
JenisKerajaan
Ibu pejabatNo. 55, Persiaran Perdana, Precinct 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya
Kakitangan7,888 (2018)
Belanjawan tahunanMYR 2,222,947,300 (2018)
Menteri bertanggungjawab
Timbalan menteri bertanggungjawab
Eksekutif kerajaan
  • Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha
Laman sesawang
www.kpwk.gov.my

Sejarah

sunting

Pada 17 Januari 2001 mulanya Kementerian ini dinamakan Kementerian Hal Ehwal Wanita seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Tun Mahathir Mohamad Fungsi Kementerian kemudiannya telah diperluaskan dan ditukar namanya kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) mulai 15 Februari 2001. Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah diletakkan di bawah Kementerian. HAWA kemudiannya distruktur semula dan dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Selepas Pilihan Raya Umum Kesebelas pada bulan Mac 2004, fungsi dan tanggungjawab KPWK telah diperluaskan lagi. Pada 27 Mac 2004 fungsi Pembangunan Masyarakat dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah dibubarkan, dan telah dipindahkan ke KPWK. Selaras dengan pertubuhan tersebut, KPWK telah ditukar nama menjadi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

KPWKM dipimpin oleh Y.B. Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil (2001 - Februari 2008) sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya peranan golongan wanita dan institusi kekeluargaan untuk mencapai agenda pembangunan negara. Masyarakat juga diberi kesedaran dan bimbingan dalam aspek pembangunan sosial terutamanya kebajikan masyarakat, bagi mencapai matlamat ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dan masyarakat maju selaras dengan Wawasan 2020.

Selepas Pilihan raya umum Malaysia 2008 pada 8 Mac 2008, pucuk pimpinan KPWKM telah diambil alih oleh Dato' Seri Ng Yen Yen. Antara perancangan awal beliau dalam memimpin KPWKM adalah untuk mendidik masyarakat mengenai kesaksamaan jantina, bermula dari peringkat sekolah, untuk mewujudkan persekitaran yang mesra jantina bagi wanita yang bekerja, meningkatkan pembangunan masyarakat dengan bekerjasama rapat dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan, dan juga menangani isu-isu yang dihadapi oleh wanita berusia/warga emas.

Namun setelah Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, KPWKM sekali lagi diketuai oleh Senator Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada 11 Mac 2012, Senator Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil telah meletak jawatan dan menyerahkan KPWKM kepada Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak(memangku).

Pada masa ini, KPWKM diterajui oleh Y.B. Datuk Rohani Abdul Karim. Manakala Y.B. Datuk Azizah Mohd Dun dan Y.B. Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Objektif

sunting

Objektif KPWKM ialah

  • untuk meningkatkan penyertaan dan peranan aktif wanita, keluarga dan masyarakat sebagai penyumbang dan penerima faedah pembangunan negara; memelihara hak-hak dan kepentingan wanita, keluarga dan masyarakat dengan adil dan saksama tanpa ada unsur diskriminasi;
  • memperluaskan peluang yang saksama kepada wanita dan masyarakat dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;
  • memantapkan institusi keluarga;
  • memastikan sistem penyampaian dan sokongan yang cekap dan berkesan.

Jabatan/Agensi

sunting

Terdapat beberapa jabatan dan agensi yang diletakkan di bawah kementerian ini. Di antaranya termasuklah:-

  • Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
  • Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW)
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM)
  • Institut Sosial Malaysia (ISM)
  • Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

sunting

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditubuhkan pada tahun 1946. Dalam jangka masa 57 tahun, JKM telah mengalami perubahan bagi memenuhi peranannya dalam pembangunan negara. Bermula dengan penglibatan menangani pelbagai masalah yang timbul akibat Perang Dunia Kedua, peranan dan fungsi jabatan ini telah berkembang kepada perkhidmatan pencegahan dan pemulihan dalam isu-isu sosial serta pembangunan masyarakat. Sebagai salah satu agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial, ia telah ditempatkan di bawah beberapa kementerian sebelum diletak di bawah KPWKM.

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)

sunting

Pada tahun 1975, kerajaan telah menubuhkan Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) sebagai jentera bagi memastikan penglibatan wanita dalam pembangunan. Pada tahun 1983, Urusetia Hal Ehwal Wanita, Jabatan Perdana Menteri atau HAWA diwujudkan bagi mengambil alih tugas sebagai Urusetia NACIWID. Pada 26 Ogos 1985, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju supaya HAWA diperkukuhkan dengan menaikkan tarafnya kepada bahagian. Pada 27 Oktober 1990, Bahagian Hal Ehwal Wanita telah dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Pada 29 Januari 1997, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Bahagian Hal Ehwal Wanita dinaikkan taraf kepada sebuah jabatan. Pada 1 Julai 1997, HAWA beroperasi sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Pada 18 Disember 1999, selepas Pilihanraya Umum 1999 dan rombakan Kabinet, Jabatan Hal Ehwal Wanita telah diletakkan semula di Jabatan Perdana Menteri. Pada 1 Julai 2001, Jabatan Hal Ehwal Wanita distruktur semula dan dinamakan sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). JPW berfungsi sebagai jentera pelaksana Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan menjalankan program dan aktiviti pembangunan wanita selaras dengan visi dan misi KPWKM.

Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

sunting

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berperanan dalam mengukuh dan meningkatkan kesejahteraan keluarga melalui program usaha sama yang cekap dan berkesan ke arah melahirkan penduduk yang berkualiti. LPPKN membantu para penggubal dasar mengambil kira faktor-faktor kependudukan dan kekeluargaan dalam penggubalan dasar dan strategi pembangunan negara. LPPKN juga membantu para perancang dan pengurus-pengurus program mengintegrasikan faktor-faktor kependudukan dan kekeluargaan dalam perancangan program-program sektoral. Agensi-agensi pelaksana program kependudukan, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan keibubapaan berasaskan modul-modul yang seragam dan sistematik berdasarkan bantuan daripada pihak LPPKN. Selain itu LPPKN turut berperanan untuk mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan dan amalan nilai-nilai murni kekeluargaan di kalangan pemimpin masyarakat, ibu bapa, bakal ibu bapa dan remaja selain mempertingkatkan taraf kesihatan reproduktif wanita dan lelaki.

Institut Sosial Malaysia (ISM)

sunting

ISM ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan latihan ikhtisas dan separa ikhtisas dalam bidang latihan dan penyelidikan serta pendidikan sosial kepada semua pekerja sosial daripada berbagai peringkat dan kumpulan dari dalam dan luar negara termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). ISM akan menggunakan konsep pendidikan sepanjang hayat yang membuka peluang kepada pengamal sosial yang berminat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme dalam bidang perkhidmatan dan pembangunan sosial. ISM yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini adalah Institut Latihan Kebajikan Kuala Kubu Bharu, Selangor yang beroperasi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW)

sunting

Institut ini ditubuhkan pada 17 Mei 2006 susulan cadangan Kerajaan Malaysia dalam Mesyuarat Pertama Peringkat Menteri-menteri NAM mengenai kemajuan wanita yang diadakan di Putrajaya pada 7 hingga 10 Mei 2005. NIEW adalah sebuah institusi antarabangsa yang didedikasikan dalam usaha memperkasa dan membangunkan wanita. Visinya ialah menjadi sebuah pusat latihan dan penyelidikan untuk negara-negara anggota NAM bagi mencapai kesaksamaan gender dan hak kaum wanita. Menerusi kursus-kursus dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan institut ini berhasrat untuk meningkatkan pengetahuan mengenai gender, menyokong usaha-usaha kerajaan dalam mengukuhkan lagi kesaksamaan hak wanita dan membina kesedaran global bagi merubah persepsi masyarakat terhadap peranan dan hubungan gender.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting

Pautan luar

sunting