Kampung Jawa, Kelang

Kampung Jawa adalah sebuah kawasan perkampungan yang terletak dalam daerah Klang, Selangor.

Sejarah

sunting

Kampung Jawa telah dibuka kira-kira 1860-an oleh Haji Muhammad Tahir bin Haji Muhammad Noor dari Batu Bara, Sumatera dan sahabatnya Haji Hussein dari Jawa. Terdapat juga fakta lain menyatakan kampung ini dibuka pada tahun 1876. Kedua-dua tokoh tersebut telah membawa kumpulan masing-masing untuk membuka dan membangunkan kampung tersebut. Haji Muhammad Tahir kemudian dilantik oleh Sultan Selangor sebagai ketua kampung pertama bagi Kampung Jawa dengan gelaran Dato' Dagang. Tapak kampung ini telah dianugerahkan oleh Sultan Abdul Samad yang ketika itu bersemayam di Kampung Bandar. Anugerah ini adalah kerana mengenangkan jasa dan pengorbanan abang kepada Dato' Dagang iaitu Dato' Akib, sebagai pahlawan yang membantu Tengku Kudin ketika berlakunya Perang Saudara Selangor.

Kampung ini berkembang kerana pembinaan Istana Raja Muda Musa. Istana Raja Muda Musa sekarang telah dirobohkan dan merupakan tapak Istana Alam Shah sekarang. Faktor ini dikuatkan lagi dengan kedudukannya yang berhampiran dengan Sungai Klang yang menjadi jalan pengangkutan utama pada ketika itu.

Pada awalnya, kampung ini merupakan suatu kawasan hutan di mana penduduknya terdiri daripada Orang-orang Asli dan Melayu tempatan. Penamaan Kampung Jawa adalah kerana ramainya suku Jawa yang berhijrah ke kampung tersebut. Kebanyakan suku yang ada di Kampung Jawa pada awal penubuhan kampung tersebut ialah suku Jawa, suku Batu bara dan suku Melayu. Walau bagaimanapun ramai orang Jawa akhirnya menjual tanah mereka kepada orang Melayu tempatan untuk pergi menunaikan haji. Akibatnya bilangan orang Jawa di kampung ini semakin berkurang dan telah menyebabkan proses asimilasi di kalangan orang Jawa di Kampung Jawa itu berlaku dengan cepat melalui perkahwinan orang Jawa dengan orang Melayu.[1][2][3]

Rujukan

sunting
  1. ^ Khazin Mohd Tamrin (1987). Orang Jawa Di Selangor : Penghijrahan Dan Penempatan 1880-1940. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. ^ Menjejak sejarah Kampung Jawa Klang
  3. ^ Koleksi Cerita Asal Usul & Sejarah Daerah Klang. Shah Alam: Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor Darul Ehsan. 2005.