Haji Ismail bin Haji Muhammad Hashim (dalam Jawi: حاج إسماعيل بن حاج محمد هاشم) atau lebih dikenali dengan 'Ustaz Ismail Hashim" (Lahir pada 16 April 1932 -6 Ogos 1996) merupakan qari ulung negara yang telah dinobatkan sebagai Johan Qari Peringkat Kebangsaan sebanyak sembilan kali dan 8 kali menjadi johan di tilawah peringkat antarabangsa. Beliau juga merupakan guru al-Quran dan agama.

Ustaz al-Maqari

Haji Ismail bin Hashim

Qari Negeri Kedah
حاج إسماعيل بن حاج محمد هاشم
Kelahiran
Ismail bin Hashim

16 April 1932, 10 Zulhijjah 1350
Meninggal dunia6 Ogos 1996, 16 Rabiulakhir 1417 (64 Tahun)
Sebab kematianSerangan Jantung
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Masjid al-Ghufran, Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah.
WarganegaraMalaysia
PendidikanSekolah Melayu Kedawang, Langkawi, Sekolah Melayu Air Hitam, Kubang Pasu seterusnya ke Maktab Mahmud, Alor Setar
PekerjaanGuru Agama di Sekolah Kebangsaan Yan Nazir bagi sekolah
Terkenal keranaTerkenal kerana Johan Qari Antarabangsa sebanyak 8 kali dan Kebangsaan sebanyak 9 kali.
Anak-anak7 Orang
Ibu bapaUstaz Muhammad Hashim bin Musa (Qari Kedah) Hajah Embun binti Salleh
AnugerahJohan Setia Mahkota (J.S.M)

Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Yang di-Pertuan Agong serta pingat Setia DiRaja Kedah (S.D.K),

Perkhidmatan Setia Kedah (P.C.K),

Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K)

Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) oleh DYMM Sultan Kedah dan Raja Perlis.

Tokoh Qari Sepanjang Zaman 2024

Kehidupan Peribadi

sunting

Dato' Haji Ismail bin Hashim dilahirkan pada 16 April 1932 di Jerlun, Kedah. Bapanya bernama Ustaz Muhammad Hashim bin Musa yang merupakan seorang guru al-Quran dan Qari negeri Kedah manakala ibunya bernama Hajah Embun Binti Salleh. Beliau merupakan anak ketiga daripada 9 orang adik beradik.

Keluarga

sunting

Beliau mempunyai keluarga besar iaitu 7 orang anak hasil perkahwinan dengan isterinya yang bernama Datin Hajah Ramlah Mat Saman. Mempunyai perwatakan yang menarik dan serius tetapi kuat berjenaka, anak-anak murid beliau menyifatkanya sebagai seorang penghibur. Beliau boleh bermain muzik, menulis khat dengan cantik dan boleh meniru sesuatu bunyian seperti binatang dan lain lain dengan bunyi yang seakan sama. Gemar memakai songkok hitam tinggi dan ukuran atas songkok lebih kecil dari yang bawah, menjadikan penampilanya sangat unik dan anak murid beliau meniru cara pemakaian songkok tersebut.

Pendidikan

sunting
 
Ustaz Ismail Hashim yang berdiri dibelakang 2 dari kanan bersama guru dan rakan-rakan Maktab Mahmud tahun 1952 antaranya Ustaz Harun yang berada barisan kedua pertama dari kiri.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kedawang, Langkawi sehingga darjah tiga dan meneruskan pelajaran ke Sekolah Melayu Air Hitam, Kubang Pasu pada tahun 1942. Seterusnya, pada tahun 1947 beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud di Alor Setar.

Guru al-Qurannya merupakan ayahnya sendiri, iaitu Ustaz Muhammad Hashim bin Musa yang juga merupakan qari negeri kedah pada masa zamannya. Ketika beliau belajar di Maktab Mahmud Alor Setar, beliau mempelajari ilmu al-Quran dan tarannum dari seorang syeikh asal Mesir yang bernama Syeikh Ibrahim al-Ibyari.

Kerjaya

sunting

Beliau berkerja sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Yan dari tahun 1956 sehingga 1970 dan juga beliau berkerja sebagai guru pelawat (Nazir),

Jabatan Agama Islam Kedah Nama Allahyarham Dato' Ismail bin Hashim tidak asing lagi dalam Majlis Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa.

Kemerduan dan kelunakan suaranya ketika memperdengarkan ayat suci al-Quran bukan saja dikagumi masyarakat tempatan malah masyarakat Islam di luar negara. Selepas pertama kali diadakan musabaqah membaca Al-Quran pada tahun 1956,

Johan Tilawah al-Quran

sunting
 
Ustaz Ismail bergambar bersama hadiah-hadiah yang dimenangi.

Ustaz Ismail mencipta sejarah dihidupnya iaitu pada tahun 1956 ketika beliau menjadi Johan tilawah di Teluk Anson, Perak Darul Ridzuan

Allahyarham merupakan satu-satunya Qari yang menjadi johan sebanyak sembilan kali di peringkat Kebangsaan dan lapan kali di peringkat antarabangsa. Allahyarham menjadi johan qari peringkat kebangsaan pada tahun 1962, 1963, 1965, 1967, 1969, 1970, 1971, 1974, 1975 manakala di peringkat antarabangsa pula pada tahun 1963, 1965, 1967, 1969, 1970, 1971, 1974, 1975 Allahyarham merupakan peserta tunggal negara yang telah mencapai peringkat tertinggi dalam pertandingan musabaqah al-Quran.

Allahyarham mula menyertai peringkat Kebangsaan pada tahun 1961 dan mendapat naib johan yang mana johanya ialah Syeikh Haji Ahmad bin Maasom Pergau dari negeri Kelantan. Pada masa tersebut, setiap negara menghantar johan dan naib johan ke peringkat antarabangsa dan beliau mendapat naib johan pada tahun tersebut juga dikalahkan oleh Syeikh Haji Ahmad bin Maasom Pergau.

Tahun 1962, beliau mewakili Kedah lagi di peringkat Kebangsaan dan beliau mendapat johan dan Haji Mohd Yusof Abdullah dari Kelantan mendapat naib johan. Menariknya, tahun tersebut di peringkat Antarabangsa, beliau kalah pula dengan sekadar mendapat naib johan tempat kedua manakala Haji Mohd Yusof Abdullah pula yang menjadi johan.

 
Gambar Ustaz Ismail Hashim bergambar bersama johan qari dariThailand Haji Manaf Sasaelos pada tahun 1963.

Pada tahun 1963, beliau sekali lagi mendapat johan Kebangsaan. Apabila di peringkat Antarabangsa, terdapat dua orang yang menjadi johan kerana markah yang sama. Beliau bersama qari dari Thailand Haji Manaf Sasaelos diisytiharkan sebagai johan bersama.

Tahun 1964, beliau kalah di peringkat negeri Kedah kepada En Mohd Amin Shamsudin menyebabkan beliau terbantut untuk ke Kebangsaan. Menariknya En Mohd Amin mendapat johan Kebangsaan dan naib johan disandang oleh En Hasan Musa dari Kelantan. Lebih menarik lagi, di peringkat Antarabangsa En Hasan Musa menjadi johan Antarabangsa mengalahkan En Mohd Amin yang mendapat naib johan.

Haji Ismail Hashim tidak pernah kenal erti mengalah. Tahun 1965 beliau muncul sebagai johan Kebangsaan dan Antarabangsa dengan penuh bergaya.

Langit tidak selalu cerah. Tahun 1966, beliau kalah di Kebangsaan mendapat naib johan di belakang Haji Abdul Majid Awang dari Kelantan. Polemik besar berlaku dimana ada yang membantah keputusan tersebut. Di kalangan peserta peserta sendiri ada yang membantah serta membuat sidang akhbar mengatakan sepatutnya Hj Ismail Hashim mendapat johan di tahun tersebut. Mereka mendakwa Haji Ahmad Maasom Pergau yang mejadi hakim tahun tersebut terkhilaf dan memberi 28/40 markah lagu kepada Majid dan Ismail hanya diberikan 25/40. Polemik ini berlanjutan sehingga berlaku cabar mencabar diantara anak murid Haji Ahmad Maasom dengan penyokong Haji Ismail Hashim yang turut disiarkan di Utusan Melayu. Cabaran dibuat oleh qari qari Kelantan itu agar Ismail sertai lagi pertandingan itu di tahun hadapan untuk bertanding lagi dengan Majid. Takdir menentukan, pada tahun tersebut, Majid pergi menemui ilahi ketika dalam kapal laut untuk menunaikan haji ke Mekah kira kira tidak sampai 2 ke 3 jam sahaja lagi sebelum kapal mendarat di Jedah. Jenazah di kebumikan dengan cara dihanyutkan kedalam laut. Haji Ismail Hashim juga turut berada dalam kapal tersebut untuk mengerjakan haji bersama Haji Ahmad Termizi Mohamad qari dari Perak.

Setelah itu, Haji Ismail Hashim terus melangkah bergaya dengan menjadi johan kebangsaan dan antarabangsa di tahun 69, 70, 71, 74 dan 75. Beliau pernah memperoleh markah tertinggi iaitu 99 peratus dalam salah satu penyertaan tersebut.

Pengembaraan

sunting

Ustaz Ismail banyak mengembara keluar Malaysia. Pada 1963, dia dijemput ke Majlis Maulidur Rasul di Bangkok, Thailand . Pada tahun 1966-1967, beliau dijemput ke negera Pakistan sebagai Qari Jemputan semasa Majlis Haflah al-Quran peringkat antarabangsa Pakistan.

 
Gambar Ustaz Ismail bersama delegasi Malaysia yang melawat Tokyo, Jepun.
 
Gambar ketika Ustaz Ismail melawat Penyanyi terkenal Arab, Ummi Kulthum di Mesir bersama Qariah Hajah Faridah dan Hajah Roqayah Sulong.

Beliau juga dijemput ke Sudan dan bacaan al-Qurannya disiarkan melalui televisyen dan radio negara Sudan. Pada tahun 1976, beliau dijemput ke Mesir sebagai Qari jemputan ketika beliau melawat negara itu untuk melantunkan ayat suci al-Quran. Beliau juga mendapat undangan ke Turkiye, Brunei, Indonesia (bersama Qariah Puan Rodziah Abdul Rahman) dan juga negara Jepun sebagai Qari Jemputan.

Selain mendapat undangan di luar negara, Ustaz Ismail juga mendapat undangan didalam Malaysia. Beliau pernah sijemput ke Jabatan Penjara Pulau Pinang sempena Maulidur Rasul. Beliau juga dijemput ke Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan di Stadium Kedah pada tahun 1994 sebagai Qari Jemputan.

Kumpulan Nasyid

sunting

Beliau mempunyai Kumpulan Nasyid yang tersendiri yang bernama "An-Nujum" atau "al-Nujum" (dalam bahasa arab: النجوم) yang bermaksud "bintang" di langit. Kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 1976. Kumpulan ini dianggotai seramai 15 hingga 20 orang, terdiri daripada pemain alat muzik, penyanyi dan penari.

Kumpulan ini sentiasa memenuhi undangan setiap Majlis antaranya ialah Hari Keputeraan Sultan Kedah, Exco dan pesta Kedah. Kumpulan ini juga pernah membuat persembahan di Majlis Tilawah peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada sekitar tahun 1980an.

Kematian

sunting
 
Gambar ketika media dan wartawan melaporkan kematian Ustaz Ismail Hashim di Surat Khabar.
 
Gambar ketika jenazah Ustaz Ismail Hashim diziarahi oleh orang kampung ketika hari kematiannya.

Pada waktu maghrib ,6 Ogos 1996 bersamaan 16 Rabiulakhir 1417. Ustaz Ismail Hashim meninggal dunia disebabkan Serangan jantung ketika beliau berusia 64 tahun di Hospital Alor Setar. Beberapa hari sebelum beliau meninggal, beliau hampir rebah didepan bank.

Menurut anaknya, sebelum beliau meninggal, beliau sempat menghabiskan bacaan Ayatul Kursi sebelum beliau rebah di luar wad untuk solat maghrib. Hampir semua akhbar media dan wartawan melaporkan kematian Ustaz Ismail Hashim.

 
Makam Ustaz Ismail Hashim di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Masjid al-Ghufran, Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah.

Beliau dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Akar Peluru, Masjid al-Ghufran, Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah.

Anugerah

sunting

Sebagai mengenang sumbangan dan baktinya beliau telah dianugerahkan Johan Setia Mahkota (J.S.M) dan Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Yang DiPertuan Agung serta pingat Setia DiRaja Kedah (S.D.K), Perkhidmatan Setia Kedah (P.C.K), Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) dan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) oleh DYMM Sultan Kedah dan Raja Perlis.

Pada tahun 2024,Kerajaan Negeri Kedah menganugerahi Ustaz Ismail "Tokoh Qari Sepanjang Zaman" bersempena Festival al-Quran Negeri Kedah tahun 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah iaitu Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Rujukan

sunting