Imbuhan kata nama (bahasa Melayu)

Kata nama menerima empat jenis imbuhan: awalan, akhiran, apitan, dan sisipan. Imbuhan awalan ialah imbuhan yang berada di hadapan kata akar, contohnya pe(N), me(N), ter dan sebagainya. Imbuhan akhiran terletak di akhir kata akar dan imbuhan apitan mengapit kata akar. Imbuhan sisipan pula tersisip di tengah perkataan.

Awalan

ke-

Awalan "ke-" boleh membentuk kata bilangan himpunan, kata bilangan tingkat dan kata nama. Huruf akar akan kekal biarpun setelah digabung dengan kata imbuhan ini. Bukan semua perkataan boleh digabungkan dengan awalan "ke-". Kebanyakannya memerlukan akhiran -an untuk membentuk perkataan yang tepat. Awalan "ke-" boleh membawa maksud berikut kepada kata dasar:

  • penanda orang atau benda dengan memberi tumpuan kepada maksud kata dasar (kata nama): kekasih, ketua, kemudi

pe(n)-

Imbuhan awalan "pe(n)-" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

  • alatan/perkakas: pembakar, pengasah, penukul, penapis
  • orang yang membuat: penulis, pencipta, pentadbir
  • sesuatu yang menyebabkan jadi...: pengasih, pemanis, pendingin
  • orang yang selalu atau suka...: penidur, pemalas, perokok
  • orang yang mempunyai sifat...:pemalu, pemurah, pembengis
  • milik sifat seseorang: pemuda, pembesar
  • ukuran bagi waktu atau tempat: pemeluk, penanak, pelaung
  • hasil atau kesan daripada sesuatu: penyakit, pendapat

Awalan "pe(n)-" berubah bentuk mengikut fonem pertama dalam kata dasar:

Bentuk imbuhan Fonem pertama
kata dasar
Gugurkan? Contoh Huraian
pem- /b/ Tidak baris → pembaris
/p/ Ya panah → pemanah Kecuali kata pinjaman dan sebilangan kecil kata jati
Cth: pempamer
pen- /c/
/d/
/j/
/sy/
Tidak curi → pencuri
datang → pendatang
jahat → penjahat
syarah → pensyarah
/t/ Ya tari → penari Kecuali kata pinjaman dan sebilangan kecil kata jati
Cth: pentadbir
peng- (vokal) Tidak arah → pengarah
/g/ Tidak ganti → pengganti
/k/ Ya karat → pengarat Kecuali kata pinjaman dan sebilangan kecil kata jati
Cth: pengkaji
peny- /s/ Ya sakit → penyakit Kecuali sesetengah kata pinjaman dan sebilangan kecil kata jati
Cth: penstabil
pe- /l/
/m/
/n/
/ng/
/ny/
/r/
/w/
/y/
Tidak lambung → pelampung
makan → pemakan
nyanyi → penyanyi
rasa → perasa
wangi → pewangi
penge- - Tidak sah → pengesah Untuk kata dasar satu suku kata sahaja.

Bagi perkataan yang bermula dengan huruf vokal, sebutan perkataan berubah misalnya pengambil (ambil) akan disebut sebagai pe-ngam-bil dan penguji (uji) disebut pe-ngu-ji. Berbeza dengan huruf yang bermula dengan konsonan (kecuali k, s, t dan p) bunyi perkataan asal akan dikekalkan seperti penggosok disebut peng-go-sok.

Imbuhan "pe(n)-" berpadan fungsinya dengan imbuhan "me(n)-" untuk kata kerja.

pe-

Imbuhan awalan "pe-" (tanpa pembolehubah (n) dalam "pe(n)-") menerbitkan kata nama memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya. Berbeza dengan imbuhan "pe(n)-", imbuhan "pe-" hanya boleh digunakan untuk manusia, iaitu seperti berikut:

  • pelaku tindakan dalam kata dasar: pesaing, peserta
  • penerima tindakan atau kesan dalam kata dasar: pesalah, pesakit

per-

Imbuhan awalan "per-" digunakan untuk mengimbuhkan kata dasar yang sering dijadikan kata kerja dengan berimbuhkan awalan "ber-".

juru-

Awalan "juru-" digunakan untuk mendukung penanda makna ahli atau orang yang terlibat secara langsung dengan maksud pekerjaan kata dasar dan boleh bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama, kata kerja, dan akar. Contoh-contohnya adalah seperti berikut:

  • juru- + kata nama: juruwang, jurubahasa
  • juru- + kata kerja: jurukira, jurujual, juruselam, juruterbang
  • juru- + akar kata: jurutera, jurumudi

Akhiran

-an

Imbuhan akhiran "-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut.

  • benda, bahan yang dilakukan kata dasar: kiriman, makanan
  • hasil perbuatan kata dasar: tulisan, bungkusan
  • tempat yang disifatkan kata dasar: ruangan
  • benda kata dasar yang besar atau luas: lautan

Apitan

ke-…-an

Imbuhan apitan "ke-…-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

  • hasil perbuatan kata dasar: keberanian, kepercayaan
  • keadaan yang disifatkan kata dasar: keindahan, keselesaan

pe(n)-…-an

Imbuhan apitan "pe(n)-…-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

  • perbuatan: pemeriksaan, pemilihan
  • hasil perbuatan: pembangunan, pelaburan

Imbuhan "pe(n)-…-an" berpadan fungsinya dengan imbuhan "me(n)-" untuk kata kerja.

per-…-an

Imbuhan apitan "per-…-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

  • perbuatan: pertandingan, pergeseran
  • tempat: perbandaran, perkuburan

Imbuhan "per-…-an" berpadan fungsinya dengan imbuhan "ber-" untuk kata kerja.

Sisipan

Sesetengah kata dasar boleh diubah atau diperkuat maknanya dengan dibubuh imbuhan sisipan "-el-", "-em-", "-er-" dan "-in-". Contoh: tapak → telapak; kuningkemuning.