Piawaian Pengelasan Pendidikan Antarabangsa

piawai pendidikan yang dibangunkan UNESCO mengikut tahap pendidikan
(Dilencongkan daripada ISCED)

Piawaian Pengelasan Pendidikan Antarabangsa (bahasa Inggeris: International Standard Classification of Education) (singkatan: ISCED) merupakan sebuah kerangka pendidikan yang menyusun program dan kelayakan pendidikan[1] dengan menetapkan definisi yang sekata dan diterima pakai secara universal, bertujuan untuk memudahkan perbandingan program pendidikan yang terdapat di negara-negara di seluruh dunia.

Piawaian Pengelasan Pendidikan Antarabangsa
Muka depan dokumen ISCED semakan 2011.
Tajuk asalInternational Standard Classification of Education
Nama pendekISCED Sunting ini di Wikidata
JenisSkema pengelasan khusus, pengelasan Sunting ini di Wikidata
Dibuat1970
PengarangUNESCO Institute of Statistics (UIS)
SubjekPendidikan
TujuanKerangka yang menetapkan fasa sistem dan latihan pendidikan secara universal dan diterima pakai di seluruh dunia.
Laman sesawang
http://uis.unesco.org/en/topic/international-standard-classification-education-isced Sunting ini di Wikidata
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

ISCED menjadi rujukan antarabangsa bagi pengkelasan program pendidikan dan ianya diselia dan disemak secara berkala oleh Institut Statistik PBB dengan perundingan bersama negara ahli anggota dan beberapa organisasi antarabangsa dan serantau yang lain. ISCED 2011 (pengkelasan sistem pendidikan)[1] merupakan semakan penuh kedua yang mula diterima pakai semasa Persidangan Agung UNESCO pada bulan November 2011.


Sejarah

sunting

Kerangka ISCED mula dibangunkan pada awal tahun 1970-an yang berfungsi sebagai satu instrumen bagi mengumpulkan, menyusun dan mempersembahkan statistik pendidikan di peringkat sesebuah negara dan global. Versi pertama, dikenali sebagai ISCED 1976[2] telah diluluskan semasa Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan di Geneva pada tahun 1975, dan mula diterima pakai semasa Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-19 pada tahun 1976.

Versi kedua, dikenali sebagai ISCED 1997[2], diluluskan semasa Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-29 pada bulan November 1997 sebagai usaha untuk meningkatkan elemen perbandingan dalam statistik berkaitan pendidikan secara global[3]. Kerangka ini meliputi dua pembolehubah pengelasan rentas utama; tahap dan bidang pendidikan.

Versi terkini, dikenali sebagai ISCED 2011, mula diterima pakai semasa Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-36 pada bulan November 2011. Versi ini mengemaskini definisi bagi setiap tahap pendidikan, termasuklah penambahan program pendidikan awal kanak-kanak dengan kod ISCED 0 yang diletakkan sebelum ISCED 1 (Pendidikan rendah). Selain itu, bahagian pendidikan tinggi kini dipecahkan kepada empat tahap.


Pengelasan program pendidikan

sunting

Semakan 2011 (terkini)

sunting

Tahap Program pendidikan Keterangan
0 Pendidikan awal kanak-kanak (01 Perkembangan awal kanak-kanak) Program pendidikan yang direka untuk membantu perkembangan awal kanak-kanak dalam berkomunikasi dan perkembangan fizikal. Umur yang terlibat berusia tiga tahun ke bawah.
Pendidikan awal kanak-kanak (02 Pendidikan prasekolah) Program pendidikan yang direka bagi membantu kanak-kanak mendapatkan pendidikan asas sebelum ke pendidikan rendah. Umur yang terlibat bermula tiga tahun hingga bermula pendidikan rendah.
1 Pendidikan rendah Program pendidikan yang direka bagi membolehkan murid-murid mempelajari kemahiran asas dalam membaca, menulis dan mengira serta lebih pemahaman terhadap kemahiran bersosial, peribadi dan berpengetahuan dalam mempersiapkan diri memasuki pendidikan menengah rendah.
2 Pendidikan menengah rendah Program pendidikan yang direka bagi membolehkan pelajar memahami konsep teori dalam subjek-subjek yang lebih spesifik. Ianya menjadi asas kepada pembelajaran secara berterusan dan peluang untuk meneroka bidang pendidikan yang lain.
3 Pendidikan menengah atas Program pendidikan yang direka di mana kandungan subjek yang diajar lebih spesifik, pelbagai dan mendalam. Hal ini membolehkan pelajar menamatkan pendidikan menengah dalam persediaan ke pendidikan tinggi atau memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan.
4 Pendidikan bukan tinggi pasca-menengah Program pendidikan yang direka bagi memenuhi kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan atau asas sebelum memasuki pendidikan tinggi. Kandungan pembelajaran pula tidak serumit pendidikan tinggi, kerana matlamat utama ialah menawarkan program kemahiran yang tidak terdapat semasa pendidikan menengah.
5 Pendidikan tinggi kitaran pendek Program pendidikan yang menawarkan pengetahuan profesional, kemahiran dan kompetensi. Kebiasaannya, sistem pendidikan ini lebih praktikal dan spesifik terhadap sesuatu pekerjaan bagi mempersiapkan pelajar ke alam pekerjaan. Walaupun begitu, program ini juga boleh digunakan sebagai laluan ke program pendidikan tinggi.
6 Ijazah sarjana muda atau setara Program pendidikan yang menawarkan kemahiran akademik atau kemahiran profesional dan kompetensi, membawa kepada ijazah pertama atau kelulusan yang setara. Program yang dibangunkan biasanya berdasarkan kepada teori, namun terdapat juga komponen praktikal yang diajar oleh penyelidik profesional atau pembantu profesional. Program ini ditawarkan di universiti atau institut pengajian tinggi yang setara.
7 Ijazah sarjana atau setara Program pendidikan yang menawarkan kemahiran akademik lanjutan daripada program ijazah sarjana muda, membawa kepada ijazah kedua atau sarjana atau kelulusan yang setara. Program yang dibangunkan biasanya berdasarkan kepada teori dan kajian, namun kajian itu tidaklah membawa kepada penganugerahan ijazah kedoktoran. Pensyarah yang mengajar di peringkat ini selalunya perlu memiliki kelulusan pada tahap ISCED 7 atau ISCED 8.
8 Kedoktoran atau setara Program pendidikan yang direka berdasarkan kepada kelayakan pelajar dalam komponen penyelidikan lanjutan. Pelajar yang mengambil program ini perlu melakukan kajian sendiri, di samping menyediakan bahan penyelidikan seperti tesis dan kertas kerja di mana bahan-bahan ini kemudian menjadi rujukan dan sumbangan kepada bidang yang diambil. Program ini biasanya ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi berorientasikan penyelidikan sahaja seperti universiti.

Semakan 1997

sunting
Tahap Program pendidikan Keterangan
0 Pendidikan pra-rendah Program pendidikan yang direka bagi menyesuaikan kanak-kanak kepada alam pembelajaran yang lebih formal. Ianya sebagai jambatan yang menghubungkan antara kaedah pembelajaran di rumah dan sekolah.
1 Pendidikan rendah Program pendidikan yang direka bagi membolehkan murid-murid mempelajari kemahiran asas dalam membaca, menulis dan mengira serta pengetahuan am rendah terhadap subjek lain seperti sejarah, geografi, sains tulen dan sosial, literasi dan muzik. Kadang-kala pengetahuan agama juga dimasukkan.
2 Pendidikan menengah rendah Program pendidikan yang direka bagi membolehkan pelajar memahami konsep teori dalam subjek-subjek yang lebih spesifik. Ianya menjadi asas kepada pembelajaran secara berterusan dan peluang untuk meneroka bidang pendidikan yang lain.
3 Pendidikan menengah atas Program pendidikan yang direka di mana kandungan subjek yang diajar lebih spesifik, pelbagai dan mendalam. Hal ini membolehkan pelajar menamatkan pendidikan menengah dalam persediaan ke pendidikan tinggi atau memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan.
4 Pendidikan bukan tinggi pasca-menengah Program pendidikan yang direka bagi memenuhi kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan atau asas sebelum memasuki pendidikan tinggi. Kandungan pembelajaran pula tidak serumit pendidikan tinggi, kerana matlamat utama ialah menawarkan program kemahiran yang tidak terdapat semasa pendidikan menengah.
5 Pendidikan tinggi peringkat pertama (bukan membawa kepada kelayakan penyelidikan lanjutan) Program pendidikan tinggi yang mengandungi kandungan pembelajaran lanjutan kepada program pendidikan di tahap 3 dan 4. Program ini menawarkan kelulusan ijazah di mana kemasukan ke program di tahap ini mengambilkira kriteria seperti jenis program, kedudukan program dalam tahap ijazah atau struktur kelayakan dan tempoh program.
6 Pendidikan tinggi peringkat kedua (membawa kepada kelayakan penyelidikan lanjutan) Program pendidikan tinggi yang membawa kepada penganugerahan berkaitan penyelidikan dalam pendidikan. Program ini memerlukan pelajar melakukan kajian sendiri dan pembelajaran lanjutan, dan tidak terhad kepada kerja kursus semata-mata.


Pautan luar

sunting


Rujukan

sunting
  1. ^ a b "International Standard Classification of Education (ISCED)". eurostat. Dicapai pada 21 Januari 2023.
  2. ^ a b Bowlby, Jeffrey (2002), Post-Secondary Education Attainment in Canada and the United States in the 1990s (PDF), Kanada: HRDC Publications Centre, dicapai pada 22 Januari 2023
  3. ^ NATIONAL EDUCATION CODE 2020 (NEC-2020), Malaysia: Policy Research and Planning Division, KPM, 2021