Hutan dipterokarpa bukit


Hutan dipterokarpa bukit ialah kawasan hutan yang berketinggian antara 300 hingga 750 meter dari aras laut dan terdapat di kawasan banjaran-banjaran pedalaman.[1][2] Kawasan hutan dipterokarpa bukit mempunyai pelbagai spesies tumbuhan terutamanya daripada keluarga Dipterokarpa seperti keruing pipit, meranti bukit dan cengal manakala bagi bukan keluarga dipterokarpa ialah kelumpang, mendong dan keranji.[3][2] Spesies tumbuhan yang tumbuh di hutan dipterokarpa tanah pamah juga boleh dijumpai di kawasan hutan ini tetapi dalam jumlah sedikit.[1] Rafflesia juga mampu hidup di kawasan hutan dipterokarpa bukit sebagai habitatnya.[2] Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di kawasan ini dipengaruhi oleh matahari, angin dan elemen lain.[4]

Air terjun Sungai Cemerung setinggi 305 meter yang terletak di Hutan Lipur Chemerung dalam Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun, Terengganu.

Kelainan tumbuh-tumbuhan ini terjadi di sekitar kawasan permatang, lereng bukit dan lembah kerana hutan dipterokarpa bukit ialah hutan pengaruh iklim akibat pembentuk zon dengan melalui hutan dipterokarpa pamah.[1] Pokok-pokok besar di kawasan hutan ini adalah lebih kecil dan rendah dengan tumbuhan tutup bumi yang sangat kurang.[1] Di kawasan permatang bukit, terdapat banyak pokok bertam manakala di lereng-lereng bukit yang lebih curam terdapat pokok bayas serta tumbuhan permukaan lantai hutan jenis lain.[1] Contoh kawasan hutan dipterokarpa bukit ialah Taman Negara, Taman Negeri Endau-Rompin, Hutan Simpan Tersang, Hutan Simpan Amanjaya dan Hutan Simpan Chabang Tongkat.[2][5]

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c d e Khairuddin Hj. Kamaruddin (2013). Hutan Hujan Tropika di Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). m/s. 317. ISBN 978-983-46-0838-5.
  2. ^ a b c d Dato' Dr. Md. Hizamri Md. Yasin, Norlela Sulaiman & Shamsul Khamis (2023). Rafflesia di Pahang. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). m/s. 117. ISBN 978-629-7547-79-4.
  3. ^ Ismail Hj Ali, penyunting (1958) [1938]. Kitab Ilmu-Ilmu Pokok (ed. Kedua). F.G. Browne. m/s. 120.
  4. ^ Masitah Mohammad Yusof, Azizi Hj. Muda, Khaidir Alias (2010). Pemeliharaan & Pemuliharaan Hutan Hujan Tropika. Siri Pendidikan Alam Sekitar. Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM). m/s. 131. ISBN 978-967-344-147-1.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  5. ^ "Peninsular Malaysia". hutanwatch.com (dalam bahasa Inggeris). Hutanwatch. Dicapai pada 13 Januari 2025.