Hikayat Bayan Budiman
Hikayat Bayan Budiman (Jawi: حكايت بيان بوديمن ) merupakan salah satu manuskrip tulisan tangan Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu. Teks terawal diterjemahkan oleh Kadi Hassan pada 773 H (1371 M), yang menurut MCP, mengandungi 69,761 patah perkataan. Hikayat Bayan Budiman merupakan satu hikayat yang telah mengalami perjalanan yang panjang baru sampai ke bahasa Melayu, iaitu pada tahun 1600 M. Cerita ini pada mulanya merupakan sebuah hikayat tua Hindu yang bernama Sukasaptati (Cerita-Cerita Bayan). Cerita ini disalin dengan beberapa pengubahsuaian ke bahasa Parsi dengan nama yang baru, iaitu Tuti Nameh oleh Nakhshabi. Terjemahannya yang lain terdapat juga dalam bahasa Turki dan bahasa Hindustan.
Sukasaptati ini masuk ke alam Melayu mula-mula merupakan terjemahan dalam bahasa Jawa, Bugis, dan Makasar. Terjemahannya dalam bahasa Melayu merupakan salinan daripada riwayat terdahulu. Dipercayai terjemahan hikayat ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Kadi Hassan pada 773 AH (1371 M) pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Namun, naskhah yang dianggap lengkap barulah ditemui bertarikh 1600 M. Salinan hikayat ini dalam bahasa Melayu mempunyai pelbagai tajuk seperti:- Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Khoja Maimun, Hikayat Khoja Mubarrak, dan Cerita Taifah dalam tulisan Jawi.
Petikan Hikayat Bayan Budiman seperti yang berikut:-
Adalah seorang saudagar di negeri Istambul; maka ia pergi belayar. Hatta, beberapa lamanya sudah ia pergi itu, maka peninggalnya isteri saudagar itu pun bermukahkah dengan kalandar. Sebermula, adapun akan saudagar itu ada ia menaruh seekor burung bayan. Kemudian tiada berapa lamanya, maka saudagar itu pun datanglah dari belayar itu, tetapi diketahuinya juga oleh saudagar itu dengan pengetahuannya sendiri akan pekerjaan isterinya itu. Maka tiadalah baik rasa hatinya saudagar itu akan isterinya, pada sehari-hari ia berbantah juga.
Cerita Bayan ini terkenal ke beberapa buah negeri, dan salinan-salinannya telah ada dalam bahasa Turki,. Hindustan , demikian juga dalam bahasa Jawa, Bugis dan Makasar; tetapi salinan-salinannya dalam bahasa Jawa adalah jauh bezanya dengan salinan yang di dalam Bahasa Melayu, yakni Hikayat Bayan Budiman itu.
Naskah yang tertua dari Hikayat Bayan Budiman sepanjang yang diketahui orang ada tersimpan di dalam Bodleian Library, Oxford . Naskah ini tidak lengkap, hanya lembaran-lembaran hikayat itu mengandungi empat belas muka. Daripada maksud kata-kata yang tertulis disabelah luar dan dalam pembungkus lembaran-lembaran. yang tersebut itu dapat dijadikan alasan bahawa tarikh lembaran-lembaran itu dapat ke tangan seorang bangsa. Eropah ialah pada kira-kira T.M. 1600.
Sebuah lagi naskah lama Hikayat Bayan Budiman, ada tersimpan di dalam kutub khanah India Office, LondonPada hujungan naskah ini ada menyebutkan bahawa. naskah itu telah disalin pada T.M. 1808 daripada naskah, yang telah "di-riwayatkan" pada tahun Wau, hari Sabtu. 18 Sha'ban, Hijrat u'I-Nabi s.'a.w seribu delapan, yakni bersamaan dengan T.M. 1599.
Bagaimana pun, lembaran-lembaran Hikayat Bayan Budiman mengandungi 14 muka yang telah sampai ketangan seorang bangsa Eropah pada kira-kira T.M. 1600, dan ada tersimpan di dalam Bodleian Library, Oxford itu, haruslah lembaran-lembaran yang telah bercerai-cerai dari sebuah naskah lama, naskah ini haruslah telah diterjemahkan beberapa lama terlebih dahulu daripada naskah yang "di riwayatkan" pada T.M. 1599 itu. Boleh jadi juga naskah lama yang mengandungi lembaran-lembaran 14 muka itu telah di-terjemahkan atau disalin ke bahasa Melayu pada zaman Kerajaan Melayu Melaka, yakni sebelum T.M. 1511, kerana pada zaman itu haruslah telah ada dibawa ke Melaka sesebuah naskah asal cerita-cerita bayan itu dalam bahasa Parsi, sama ada naskah Tuti-nameh atau lain, iaitu seperti beberapa buah hasil-hasil sastera Parsi atau 'Arab, seumpama Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah dan sebagainya, yang telah disadur atau disalin ke bahasa Melayu oleh penterjemah-penterjemah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka itu.
Salinan cerita-cerita bayan yang termasyhur ini ada empat namanya dalam bahasa Melayu, iaitu Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Khoja Maimun, Hikayat Khoja Mubarrak dan Cerita Taifah.
Ringkasan cerita
suntingCerita yang menjadi bingkai Hikayat Bayan Budiman ini ialah berkenaan kisah seorang saudagar bernama Khoja Maimun dengan isterinya yang amat cantik Bibi Zainab nama-nya, serta dua ekor burung, iaitu seekor burung tiung dan seekor lagi burung bayan.
Pada suatu masa Khoja Maimun telah pergi ke sebuah negeri lain kerana berniaga; isterinya ditinggalkannya bersama-sama dengan kedua ekor burung itu. Sepeninggalan Khoja Maimun pergi berniaga ke negeri lain itu, maka tersebutlah kisah pada suatu hari tatkala Putera Mahkota negeri itu sedang berangkat mengedari kota, tiba-tiba terpandanglah ia kepada wajah isteri Khoja Maimun yang cantik itu; maka terikatlah rasa cinta berahi antara kedua pihak. Putera Mahkota ingin bertemu muka dan bercumbu-cumbuan dengan isteri saudagar itu lalu dimintanyalah supaya perempuan itu datang keistananya pada waktu malam.
Sesungguhnya, bahawa kewajipan dan kehormatan tidak ada makananya di sisi seseorang yang diharu nafsu berahi, maka demikianlah halnya pada suatu malam isteri Khoja Maimun itu pun berhias diri dengan tujuan akan pergi; tetapi terlebih dahulu ia telah mendapatkan burung tiung bertanyakan fikiran sambil menyatakan maksudnya itu lalu burung tiung memberi nasihat serta mengingatkan perempuan itu dengan cara berterus terang. Hikayat Bayan Budiman meriwayatkan peristiwa ini demikian:
Setelah sudah isteri Khoja Maimun mendengar kata tiung maka ia pun terlalulah marah, katanya, "Kerana (laknat) bagimu! Tiada engkau tahu akan hal hati orang berahi? Kusangkakan engkau ada menaruh timbang rasa, kerana sama perempuan." Maka disentakkannya tiung itu dari dalam sangkarannya lalu dihempaskannya ke bumi. Maka tiong itu pun matilah.
Setelah dilihat oleh bayan kelakuan Bibi Zainab membunuh tiung itu tiada dengan semena-menanya, maka ia pun mendiamkan dirinya, pura-pura tidur. Maka Bibi Zainab pergilah mendapatkan bayan serta dibangunkannya. Maka bayan pun pura-pura terkejut, seraya katanya, "Apakah pekerjaan tuan datang kemari dengan malam kelam ini?"
Dalam pada itu bayan pun mencari akal bagi menahan isteri tuannya daripada melajakkan niatnya yang cemar itu dengan tidak mencela-cela perbuatannya, melainkan dengan jalan bercerita. Maka lekalah isteri Khoja Maimun mendengar cerita bayan yang amat menarik hatinya itu, hingga tiada jadi ia pergi. Cerita-cerita itu pula makin lama semakin banyak mengalirkan kias nasihat yimg halus dan dalam ertinya, terutama sekali mengenai: kaum perempuan.
Demikianah halnya setiap malam-malam bersambut pagi bayan menghabiskan sebanyak tujuh puluh ceritanya. Segala isi cerita-cerita itu memberi insaf kepada isteri Khoja Maimun, sehingga pulihlah semula rasa setianya kepada suaminya dan lenyaplah segala niat hatinya hendak melakukan perbuatan cemar itu sampai suaminya kembali.
Senarai Kesusasteraan Melayu |
---|
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z |
Pautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Hikayat Bayan Budiman. |
Wikisumber bahasa Melayu mempunyai teks asal berkaitan rencana ini: |
- Malay Concordance Project Hikayat Bayan Budiman
- Hikayat Bayan Budiman[pautan mati kekal] di MyManuskrip | Pustaka Digital Manuskrip Melayu Diarkibkan 2012-12-07 di Wayback Machine