Hashridz Murshim Hassim
Dato’ Hashridz Murshim bin Hassim atau lebih dikenali sebagai Acis yang dilahirkan pada 19 Oktober 1970 di Kuala Lumpur.[1] Beliau terkenal sebagai salah seorang anggota kumpulan rock terkenal Malaysia iaitu Kumpulan Gersang yang berperanan sebagai pemain papan nada (keyboard). Walaupun Gersang diasaskan pada tahun 1981 dan menjadi artis rakaman pada tahun 1987, beliau hanya mula menganggotai kumpulan tersebut dalam album kedua Gersang berjudul Takdir yang dikeluarkan pada tahun 1988. Selain itu, beliau merupakan suami kepada ratu jazz Malaysia iaitu Dato' Sheila Majid.[2]
Hashridz Murshim DIMP (Pahang) | |
---|---|
Kelahiran | Hashridz Murshim bin Hassim 19 Oktober 1970 |
Warganegara | Malaysia |
Nama lain | Acis, Acis Gersang |
Pekerjaan | Pemuzik, Pengarah Muzik |
Tahun aktif | 1988-kini |
Pasangan | Dato' Sheila Majid (k. 2003) |
Anak-anak | Khadeja Zaireen Murshim (anak) Khalefa Laila Murshim (anak) Megat Abdul Majid Aziz (anak tiri) Wan Nur Khaleda (anak tiri) |
Kerjaya muzik | |
Genre | Rock, Balada |
Instrumen | Keyboard |
Syarikat rakaman | Rahim Othman Production (ROP) PMC / BMG |
Pengkarya berkait | Kumpulan Gersang |
Laman web rasmi | http://instagram.com/hashridz |
Kerjaya
suntingPada tahun 1988, Acis yang ketika itu berusia 18 tahun & sedang menunggu keputusan SPM telah berkenalan dengan vokalis Kumpulan Gersang, Man Bai ketika bermain bola sepak di kawasan perumahan tempat mereka tinggal. Gersang ketika itu sudahpun tertubuh dengan keanggotaan seramai 4 orang dengan 3 daripadanya (Man Bai, Kid & Man Greng) berasal dari Johor manakala seorang lagi anggota (Jojet) merupakan anak jati Ampang, Kuala Lumpur.
Setelah album pertama yang berjudul Gersang dipasarkan, ahli kumpulan Gersang telah bercadang untuk mencari pemain papan nada (keyboard) memandangkan lagu-lagu yang dihasilkan banyak memerlukan penggunaan instrumen tersebut sejak dari album pertama lagi. Setelah diserap masuk ke dalam kumpulan Gersang oleh Man Bai, beliau telah memulakan kariernya bersama kumpulan tersebut dengan album yang berjudul Takdir, juga dikeluarkan pada tahun yang sama.
Setelah Gersang dibubarkan pada tahun 1990, beliau telah melanjutkan pelajaran di ITM (kini UiTM) Shah Alam dalam bidang muzik dan kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat. Sebaik sahaja pulang ke tanah air, beliau banyak bergiat sebagai pemuzik dan seringkali mengiringi nama-nama besar dalam industri muzik. Kini, beliau bertugas sebagai pengarah muzik dalam mana-mana konsert dan program realiti anjuran Astro.
Keluarga
suntingAcis telah mendirikan rumahtangga dengan ratu jazz Malaysia, Dato' Sheila Majid di depan Imam Masjid Damansara, Wahid Amini, pada 3 Jun 2003 pada pukul 11.47 pagi, selepas dua tahun menjalin hubungan cinta. Sheila menerima mas kahwin RM 80, wang hantaran RM 20,000 tunai, dua bentuk cincin masing-masing bernilai RM 1,000 dan RM 5,000 serta kalung berharga RM 1,000.
Beliau dan Sheila kini bahagia bersama dua orang cahaya mata mereka iaitu Khadeja Zaireen Murshim dan Khalefa Laila Murshim serta Wan Nur Khaleda dan Megat Abdul Majid Aziz yang merupakan anak Sheila hasil perkahwinannya yang terdahulu.
Anugerah
suntingBeliau telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' pada 2015 lalu.[3]
Rujukan
sunting- ^ All the world's a stage
- ^ "Sheila, Acis - Kami sudah dijodohkan". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-08-27. Dicapai pada 2018-08-27.
- ^ "Datuk Acis, Sheila bangga". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-22. Dicapai pada 2018-10-22.