Hamzah Fansuri ialah seorang penyair yang dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor, Sumatera Utara. Ada sarjana berpendapat bahawa Hamzah Fansuri dilahirkan di Shahr Nawī[1], yakni di Ayutthaya[2]. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur.

Hamzah Fansuri telah mengembara ke pelbagai tempat untuk menambah pengetahuannya seperti ke Mekah, Madinah, Baghdad, Pahang (Tanah Melayu), dan Kudus (Pulau Jawa). Ia menguasai bahasa Arab dan Parsi di samping bahasa Melayu yang memang menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang.

Hamzah Fansuri adalah pengembang Tarekat Wujudiyah. Fahaman ini beranggapan bahawa segala makhluk itu pada asasnya esa, kerana wujud daripada zat Allah.

Dalam hujahnya menerusi kitab-kitab ini, terkesan bahawa Hamzah terpengaruh dengan faham Ibn Arabi, ahli tasauf yang masyhur pada akhir abad ke-12 dan awal abad ke-13.

Bagaimanapun, tarekat Wujudiyah ini kemudiannya ditentang hebat oleh Nuruddin ar-Raniri yang mengatakan Tuhan kekal tidak terjejas dari ciptaannya.

Tidak diketahui secara pasti tarikh hasil karyanya itu ditulis kerana tidak ada catatan tentangnya. Yang diketahui ialah bahawa Hamzah Fansuri menghasilkan karyanya itu pada masa Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memerintah Aceh dalam tahun 1606-1636 M. Berdasarkan ini, dapatlah dikatakan bahawa karyanya itu tercipta pada awal abad ke-17. Ia menghasilkan beberapa buah syair dan prosa. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam petikan 'Syair Perahu'nya ini:

Inilah gerangan suatu madah
Mengarangkan syair terlalu indah
Membetuli jalan tempat berpindah
Di sanalah i'tikad diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu
Ialah perahu tamsil tubuhmu
Tiadalah berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal diammu

Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan

Dengan penggunaan bahasa yang indah dan dengan perumpamaan yang sederhana, Syair Perahu ini pada suatu masa menjadi sebutan orang ramai. Ia digunakan oleh ibu bapa untuk menasihati anaknya agar mentaati ajaran Islam.


Karya Hamzah Fansuri

sunting
  1. Asrar al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana)
  2. Asrār al-`Ārifīn (Rahsia Sekelian Orang yang Bersuluk)
  3. Sharab al-Asyikin (Minuman Segala Orang yang Berahi)
  4. Zinat al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang Mengesakan).
  5. Syair Si Burung Pingai
  6. Syair Si Burung Pungguk
  7. Syair Sidang Fakir
  8. Syair Dagang
  9. Syair Perahu
  10. Al-Muntahī

Rujukan luar

sunting
  1. ^ Syed Naquib al-Attas (1970). The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: University of Malaya Press
  2. ^ Marcinkowski, Muhammad Ismail (2005). From Isfahan to Ayutthaya: Contacts Between Iran and Siam in the 17th Century. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd. pp. 49–53.