Grafiti Esmet-Akhom

Grafiti Esmet-Akhom, juga dipanggil dengan designasi Filae 436 atau GPH 436, ialah inskripsi Mesir purba terakhir yang diketahui ditulis dalam hieroglif Mesir, dipahat pada 24 Ogos 394 Masihi. Inskripsi ini, yang dipahat di kuil Filae di selatan Mesir, telah dibuat oleh seorang pendeta bernama Nesmeterakhem (atau Esmet-Akhom)[a] dan mempunyai ukiran dewa Mandulis serta teks yang mana Nesmeterakhem berharap inskripsinya ini akan kekal "untuk semua zaman dan selama-lamanya". Inskripsi ini juga mengandungi teks dalam tulisan demotik, dengan kandungan yang serupa.

Foto grafiti tersebut (kiri) dan lukisan terperinci (kanan)

Kuilnya di Filae merupakan tapak pemujaan yang terkenal bagi agama Mesir purba, kerana ia dipercayai adalah salah satu makam dewa Osiris. Dewa utama yang disembah di situ ialah Isis, saudara perempuan dan isteri Osiris, namun beberapa dewa lain juga direkodkan pernah disembah di kuil tersebut. Beberapa dewa yang berasal dari Nubia di selatan, antaranya Mandulis, turut dipuja. Inskripsi oleh Nesmeterakhem ini adalah dari selepas kuil-kuil berhala Mesir ditutup oleh maharaja Rom Theodosius I pada tahun 391 atau 392; kuil Filae terselamat kerana ia berada di luar sempadan Empayar Rom.

Nesmeterakhem tergolong dalam keluarga pendeta yang menjadi kakitangan kuil di Filae; disebabkan pengkristianan Mesir, ada kemungkinan bahawa kepercayaan kepada dewa-dewi Mesir lama pada zaman Nesmeterakhem tidak bertahan selepas keluarga terdekat beliau sendiri. Tidak lama selepas inskripsi tahun 394 ini dibuat, kemungkinan tidak ada lagi orang yang masih hidup yang boleh membaca hieroglif. Grafiti-grafiti dan inskripsi terkemudian yang diketahui berasal dari Filae, tetapi ia semua ditulis sama ada dalam tulisan demotik atau bahasa Yunani. Kuil Filae, yang nampaknya sentiasa dikendalikan oleh ahli keluarga Nesmeterakhem, akhirnya ditutup atas arahan Maharaja Justinianus I antara tahun 535 dan 537, menandakan berakhirnya sisa terakhir budaya Mesir purba.

Inskripsi

sunting
Foto dan lukisan inskripsi hieroglif (atas) dan demotic (bawah)

Grafiti tersebut mempunyai dua inskripsi, satu ditulis dalam hieroglif Mesir dan satu lagi ditulis dalam tulisan demotik Mesir. Inskripsi-inskripsi tersebut disertai sosok yang melambangkan dewa Mandulis. Hieroglif diukir di sebelah kanan kepala Mandulis, dan tulisan demotik diukir di sebelah kiri tongkatnya.[5]

Inskripsi Hieroglif

sunting

Diterjemah ke dalam bahasa Melayu, teks hieroglifnya berbunyi:[5]

Ke hadapan Mandulis, anak lelaki Horus, oleh tangan Nesmeterakhem, anak lelaki Nesmeter, Pendeta Kedua Isis, untuk semua zaman dan selama-lamanya. Kata-kata yang diucapkan oleh Mandulis, pemerintah Abaton, dewa yang besar.[1]

Inskripsi demotik

sunting

Diterjemah ke dalam bahasa Melayu, teks demotiknya berbunyi:[5]

Saya, Nesmeterakhem, Jurutulis Balai Penulisan(?) Isis, anak lelaki Nesmeterpanakhet iaitu Pendeta Kedua isis, dan ibunya Eseweret, saya melakukan kerja pada gambaran Mandulis ini untuk semua zaman, kerana dia berwajah cerah kepada saya. Hari ini, Hari Lahir Osiris, kenduri pembaktiannya, tahun 110.[1]

Konteks

sunting

Konteks agama

sunting
 
Runtuhan kompleks kuil Filae

Inskripsi-inskripsi tersebut berasal dari Filae, sebuah kompleks kuil Mesir purba yang terkenal. Sepanjang sejarah Mesir purba, Filae dihormati sebagai salah satu makam dewa Osiris.[5] Memandangkan ia terletak di bahagian selatan Mesir, ia merupakan tempat ziarah penting bagi penganut agama Mesir ke selatan Mesir, khususnya penduduk Kerajaan Kush (s. 1000 SM – 350 TM).[6] Inskripsi dipahat pada pintu masuk kuil yang ditambahkan oleh maharaja Rom Hadrianus (r. 117–138); pintu masuk ini menghala terus ke arah Abaton, tempat suci yang kononnya menempatkan makam jenazah Osiris.[5] Walaupun berkait rapat dengan Osiris, kuil itu kebanyakannya adalah untuk dewi Isis, namun terdapat juga bukti dewa-dewi lain dipuja seperti Hathor, Imhotep, Khnum dan Nephthys. Kerana kedekatannya dengan Nubia di selatan, kuil ini juga tapak pemujaan pelbagai dewa yang asalnya dari Nubia tetapi juga ada dalam agama Mesir.[7]

Mandulis merupakan salah satu dewa Nubia yang juga disembah di seluruh Mesir.[5] Mandulis agak penting, dan setidaknya disahkan di selatan Mesir sebagai anak kepada dewa Horus. Ramai pengembara dan pengarang Yunani dan Rom menganggap Mandulis sebagai bentuk dewa Yunani Aion.[8] Oleh sebab lokasinya, tidak jelas sama ada Filae dikendalikan oleh orang Mesir atau Nubia.[9] Berdasarkan teks-teks di kuil tersebut, inskripsi-inskripsinya ditulis oleh seorang pendeta Isis bernama Nesmeterakhem.[5] Nesmeterakhem paling kurangnya ialah pendeta generasi ketiga kuil itu, ayahnya Nesmeterpanakhet dan datuknya Pakhom juga pernah menjadi pendeta di Filae.[10] Dalam inskripsi, Nesmeterakhem digambarkan sebagai "Jurutulis Balai Penulisan", penting kerana ia menunjukkan bahawa bidang kerja beliau berkaitan dengan tulisan suci (iaitu hieroglif).[5] Secara tradisinya, hieroglif dilihat adalah tulisan sebenar para dewa.[8]

Konteks sejarah

sunting

Titah yang dikeluarkan oleh Maharaja Theodosius I (r. 379–395) pada tahun 391[11] atau 392[5] menutup semua kuil berhala Mesir.[5] Titah Theodosius juga menamatkan penggunaan hieroglif dalam teks-teks monumen.[11] Dalam pemerintahan Maharaja Diocletianus (r. 285–305), sempadan Mesir Empayar Rom dipindahkan kembali ke Aswan. Perubahan sempadan ini menempatkan Filae di luar empayar, membolehkan kuil itu kekal walaupun titah Theodosius dikeluarkan.[6] Kuil di Filae terus bertahan kerana naungan suku Blemi, yang tinggal di Bukit Laut Merah, tenggara Mesir, tetapi mengikut agama Mesir lama. Suku Blemi sentiasa menziarah kuil itu untuk memuja Osiris dan Isis.[5] Kemungkinan besar perayaan-perayaan tradisional, dihadiri oleh para pendeta dan jemaah tempatan, terus disambut sepanjang waktu kuil itu masih beroperasi.[9]

Tarikh yang tertulis dalam teks inskripsi demotik, "Hari Lahir Osiris" pada tahun 110, sepadan dengan 24 Ogos 394 dalam takwim Gregorius,[5][12] 40 tahun selepas prasasti hieroglif yang kedua terakhir diketahui.[petikan diperlukan] "Tahun 110" dikira daripada penobatan Diocletianus.[5] Di Mesir purba, tahun lazimnya dikira dari kenaikan firaun semasa,[b] tetapi pendeta-pendeta di Filae selepas pengkristianan Empayar Rom meneruskan kiraan tahun sejak Diocletianus naik takhta kerana kebanyakan maharaja selepas itu adalah Kristian dan menindas agama Mesir lama.[14][c]

Aktiviti kemudian di Filae

sunting
 
Salasilah keluarga "Smet" yang direkonstruksi, keluarga ramai penulis inskripsi di Filae, antaranya Nesmeterakhem (bergaris bawah). Beberapa individu yang tidak pasti hubungannya digugurkan.

Tidak lama selepas Nesmeterakhem membuat inskripsi, kemungkinan tiada seorang pun yang masih hidup dapat membaca hieroglifnya.[18][8] Pengetahuan mengenai hieroglif dan tulisan demotik hilang sedikit demi sedikit dari Mesir dalam dekad-dekad pengkristianan, sementara bahasa Yunani pula diangkat.[9] Inskripsi demotik di Filae juga jauh lebih lewat daripada tulisan demotik lain yang diketahui. Contoh demotik paling lewat yang diketahui dari luar Filae ialah teks yang mungkin dari Sohag, dari tahun 290.[9] Inskripsi demotik yang mengiringi hieroglif Nesmeterakhem merupakan inskripsi demotik terakhir yang diketahui ditulis oleh seorang pendeta yang menyebut Osiris. Inskripsi terkemudian oleh pendeta-pendeta tempatan, satu ditulis dalam bahasa Yunani dan lapan ditulis dalam demotik, diketahui berasal dari Filae dan membincangkan kegiatan agama yang berlaku di sana, tetapi semuanya tidak menyebut nama Osiris secara khusus.[12] Dalam usaha untuk menutup kuil-kuil Mesir yang terakhir, jeneral Byzantium Maximinus berkempen menentang suku Blemi pada tahun 450-an, sekitar masa Majlis Chalcedon (451). Akan tetapi, Maximinus tidak berjaya dan kempennya berakhir dengan perjanjian yang membenarkan ibadat tahunan dijalankan di kuil itu.[5]

Antara inskripsi lewat di Filae ialah inskripsi terakhir yang diketahui ditulis dalam demotik,[11] dipahat pada bumbung anjung kuil yang didedikasikan untuk Isis dan bertarikh 11 Disember 452. Inskripsi yang sangat kabur ini berbunyi "kaki Panakhetet yang lebih kecil", mungkin asalnya disertai dengan lukisan kaki, memperingati satu ziarah ke kuil tersebut.[5] Inskripsi terakhir yang diketahui menyebutkan Osiris, yang ditulis oleh seorang peziarah dan bukan pendeta, ditulis dalam bahasa Yunani pada 20 Disember 452 di pintu masuk Abaton oleh "Smetkhem, anak lelaki Pakhoumios". Inskripsi ini merekodkan bahawa Smetkhem datang ke kuil itu bersama saudaranya Smeto dan "menunaikan kewajipannya", dan mensyukuri Isis dan Osiris "untuk segala kebaikan". Inskripsi terakhir yang diketahui di Filae untuk menyebut sebarang aktiviti keagamaan berhala adalah dari dinding luar kuil Isis. Bertarikh 456/457, bahagian masih elok inskripsi yang rosak ini berbunyi "ketika Smet menjadi nujum agung, Pasnous, anak lelaki Pakhumios, merupakan presiden pertama persatuan pemujaannya".[12] Berdasarkan nama-nama yang tercatat dalam inskripsi-inskripsi lewat yang berbeza ini, nampaknya ramai penulisnya daripada keluarga yang sama;[6][12] tidak jelas jika pemujaan akhir dewa-dewa Mesir ini juga disertai orang yang di luar keluarga ini.[12]

Sejak akhir abad keempat dan berikutnya, terdapat juga gereja-gereja Kristian di pulau yang sama dengan kuil ini.[8] Kuil ini akhirnya ditutup pada satu ketika antara 535 dan 537, apabila Maharaja Justinianus I (r. 527–565) memerintahkannya ditutup dan para pendetanya dipenjara, menghantar Panglima Narses untuk merampas patung-patungnya untuk dibawa ke Konstantinopel.[5] Pada masa ini, kuil ini mungkin dikendalikan oleh beberapa orang individu dan tidak lagi disokong oleh mana-mana entiti geopolitik selatan yang penting, dengan kawasannya ketika itu telah banyak dikristiankan.[9] Penutupan kuil menandakan berakhirnya budaya Mesir purba.[9][5] Selepas penutupannya, kuil ini diubah menjadi sebuah gereja dan didedikasikan untuk Santo Stefanos.[5]

Analisis

sunting

Sepanjang sejarah Mesir, hieroglif berkait rapat dengan imej elit dan keagamaan. Pakar kaji Mesir, Richard B. Parkinson, berpendapat memang cocok hieroglif terakhir yang diketahui telah digunakan berkaitan dengan imej dewa.[5] Orang Mesir purba kadangkala menggunakan hieroglif yang tidak standard untuk menghasilkan semacam kriptografi awal. Tulisan kriptografi begitu mungkin bukannya untuk komunikasi sulit, sebaliknya ia mungkin ada tujuan keagamaan—dalam konteks keagamaan ia mungkin memberi amaran kepada pembaca bahawa mereka sedang berurusan dengan alam dewa yang berbahaya dan perkasa.[19] Nesmeterakhem nampaknya sudah biasa dengan kriptografi Mesir, memandangkan inskripsi hieroglif mengandungi sejenis tanda pengganti yang tidak lazim ditemui. Semasa menulis bahagian pertama nama ayahnya Nesmeterpanakhet dalam hieroglif, Nesmeterakhem mengejanya ns-mtr, menggunakan tanda Hedjet (mahkota putih) untuk bahagian ns. Tanda ini hanya digunakan untuk mewakili ns atau nsw.t dalam kriptografi.[19]

Gambaran Mandulis di sisi inskripsi itu sengaja dirosakkan pada satu masa, mungkin oleh orang Kristian.[5]

Catatan

sunting
  1. ^ Nama pembuat grafiti ini diterjemahkan sebagai Nesmeterakhem oleh Richard B. Parkinson pada 1999, yang terjemahan inskripsinya juga digunakan dalam rencana ini.[1] Terjemahan lain yang sering juga digunakan bagai nama itu ialah Esmet-Akhom[2][3] atau Smet-Akhom.[4]
  2. ^ Selepas Mesir dimasukkan ke dalam Empayar Rom pada 30 SM, orang Mesir menganggap maharaja Rom sebagai firaun, meneruskan dinasti-dinasti Mesir yang lama.[13]
  3. ^ Emperor terakhir yang diiktiraf sebagai firaun bukanlah Diocletianus, tetapi Maximinus Daza (r. 310–313), maharaja Rom terakhir yang amat agresif dalam kepercayaan berhalanya.[15] Para pendeta di Filae mungkin lebih suka mengira dari zaman Diocletianus kerana Diocletianus ialah maharaja terakhir yang menunjukkan minat besar terhadap kuil tersebut dan tanah-tanah sekitarnya.[16] Sebaliknya jika mereka orang Nubia, ia mungkin sebagai peringatan kepada Diocletianus sebagai maharaja yang memberikan tanah di mana kuil mereka terletak kepada orang Nubia dengan memindahkan sempadan Rom ke utara.[17]

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c Parkinson 1999, m/s. 178.
  2. ^ Brier 2013, m/s. 32.
  3. ^ Frankfurter 1998, m/s. 248.
  4. ^ Dijkstra 2008, m/s. 175.
  5. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t Parkinson 1999.
  6. ^ a b c Hoffmann 2012.
  7. ^ Cruz-Uribe 2016.
  8. ^ a b c d Frankfurter 1998.
  9. ^ a b c d e f Cruz-Uribe 2010.
  10. ^ Dijkstra 2008.
  11. ^ a b c Leal 2014.
  12. ^ a b c d e Smith 2017.
  13. ^ Minas-Nerpel 2012, m/s. 375–376.
  14. ^ Ritner 1998.
  15. ^ Ritner 1998, m/s. 25.
  16. ^ Smith 2017, m/s. 456.
  17. ^ Cruz-Uribe 2010, m/s. 502.
  18. ^ Brier 2013.
  19. ^ a b Darnell 2004.

Bibliografi

sunting
  • Brier, Bob (2013). Egyptomania: Our Three Thousand Year Obsession with the Land of the Pharaohs. New York: St. Martin's Press. ISBN 978-1137278609.
  • Cruz-Uribe, Eugene (2010). "The Death of Demotic Redux: Pilgrimage, Nubia and the Preservation of Egyptian Culture". Dalam Knuf, Hermann; Leitz, Christian; von Recklinghausen, Daniel (penyunting). Honi soit qui mal y pense: Studien zum pharaonischen, griechisch-römischen und spätantiken Ägypten zu Ehren von Heinz-Josef Thissen. Orientalia Lovaniensia Analecta. Leuven: Peeters Publishers. OCLC 613562948.
  • Cruz-Uribe, Eugene (2016). The Demotic Graffiti from the Temple of Isis on Philae Island. Atlanta: Lockwood Press. ISBN 978-1937040475.
  • Darnell, John Coleman (2004). The Enigmatic Netherworld Books of the Solar-Osirian Unity: Cryptographic Compositions in the Tombs of Tutankhamun, Ramesses VI and Ramesses IX. Orbis Biblicus et Orientalis. Fribourg: Academic Press Fribourg. ISBN 3-7278-1469-1. ISSN 1015-1850.
  • Dijkstra, J. H. F. (2008). Philae and the End of Ancient Egyptian Religion: A Regional Study of Religious Transformation (298–642 CE). Orientalia Lovaniensia Analecta. Leuven: Peeters Publishers. ISBN 978-9042920316.
  • Frankfurter, David (1998). Religion in Roman Egypt: Assimilation and Resistance. Princeton: Princeton University Press. ISBN 0-691-02685-8.
  • Hoffmann, Friedhelm (2012). "Hieratic and Demotic Literature". Dalam Riggs, Christina (penyunting). The Oxford Handbook of Roman Egypt. Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0199571451.
  • Leal, Pedro Germano (2014). "Reassessing Horapollon: A Contemporary View on Hieroglyphica". Emblematica. 21: 37–75. ISSN 0885-968X.
  • Parkinson, Richard (1999). Cracking Codes: the Rosetta Stone and Decipherment. Berkeley: University of California Press. ISBN 0-520-22248-2.
  • Minas-Nerpel, Martina (2012). "Egyptian Temples". Dalam Riggs, Christina (penyunting). The Oxford Handbook of Roman Egypt. Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0199571451.
  • Ritner, Robert K. (1998). "Egypt under Roman rule: the legacy of Ancient Egypt". Dalam Petry, Carl F. (penyunting). The Cambridge History of Egypt. Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 0-521-47137-0.
  • Smith, Mark (2017). Following Osiris: Perspectives on the Osirian Afterlife from Four Millennia. Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0199582228.