Fon (fonetik)

(Dilencongkan daripada Fon (linguistik))

Dalam bidang fonetik (salah satu daripada cabang linguistik), fon merupakan sebarang bunyi pertuturan atau gerak isyarat yang tersendiri, tidak kira sama ada bunyi tepat tersebut adalah penting terhadap makna sesuatu perkataan.

Sebaliknya, fonem pula merupakan bunyi pertuturan dalam bahasa tertentu, yang apabila ditukarkan dengan fonem lain, boleh menukar satu perkataan kepada perkataan lain. Fon adalah bersifat mutlak dan tidak khusus kepada mana-mana bahasa, tetapi fonem hanya boleh dibincangkan apabila merujuk kepada bahasa tertentu.

Contohnya, dua perkataan bahasa Inggeris kid dan kit berakhir dengan dua fonem yang berbeza iaitu /d/dan /t/, dan menukar satu dengan yang lain akan menukar satu perkataan kepada perkataan yang berlainan. Namun, perbezaan antara bunyi-bunyi /p/ pada perkataan pun ([pʰ], dengan hembusan) serta perkataan spin ([p], tanpa hembusan) tidak pernah menjejas makna atau identiti sesuatu perkataan dalam bahasa Inggeris. Maka, [p] boleh digantikan dengan [pʰ] (atau sebaliknya) dan dengan itu satu perkataan tidak akan bertukar kepada yang lain. Hal ini menyebabkan [pʰ] dan [p] menjadi dua fon yang berbeza tetapi bukan fonem yang berbeza dalam bahasa Inggeris.

Berbeza dengan bahasa Inggeris, menukar dua bunyi yang sama (menurut telinga penutur asli bahasa Inggeris) dalam bahasa Hindustan akan menukar satu perkataan kepada yang lain, contohnya [pʰal] (फल/پھل) dengan maksud 'buah', serta [pal] (पल/پل) dengan maksud 'saat'.[1] Maka, bunyi [pʰ] dan bunyi [p] merupakan fonem yang berbeza dalam bahasa Hindustan tetapi bukan fonem yang berbeza dalam bahasa Inggeris.[2]

Seperti yang dilihat dalam contoh yang disebutkan, fonem, berbanding fon, biasanya merupakan ciri pertuturan yang dipetakan pada aksara ortografi.

Gambaran keseluruhan

sunting

Dalam konteks bahasa pertuturan, sesuatu fon ialah bunyi bahasa yang belum dianalisis.[3] Sesuatu fon ialah segmen pertuturan yang mempunyai sifat fizikal atau persepsi yang tersendiri dan berfungsi sebagai unit asas analisis pertuturan fonetik. Fon biasanya terdiri daripada sama ada vokal atau konsonan.

Transkripsi fonetik (berdasarkan fon) disertakan di antara dua tanda kurung siku ([ ]), bukannya di antara dua garis miring (/ /) yang mewakili transkripsi fonemik, (berdasarkan fonem). Fon (dan selalunya juga fonem) biasanya diwakili dengan menggunakan simbol Abjad Fonetik Antarabangsa (IPA).

Contohnya, perkataan bahasa Inggeris spin terdiri daripada empat fon iaitu [s], [p], [ɪ] dan [n] maka perkataan itu mempunyai perwakilan fonetik [spɪn]. Perkataan pin mempunyai tiga fon. Oleh kerana bunyi konsonan pertamanya berhembusan, ia boleh diwakili sebagai [pʰ], dan perwakilan fonetik perkataan itu menjadi [pʰɪn]. (Ciri-ciri tepat yang ditunjukkan dalam perwakilan fonetik bergantung pada sama ada transkripsi sempit atau luas digunakan dan ciri yang ingin menarik perhatian penulis dalam konteks tertentu.)

Apabila fon-fon yang terlibat dianggap sebagai perbezaan realisasi sesuatu fonem yang sama dengan kedudukan yang berbeza dalam suatu kata, ia dikenali sebagai alofon kepada sesuatu fonem tersebut. Dalam bahasa Inggeris, contohnya, [p] dan [pʰ] dianggap sebagai alofon daripada satu fonem, yang ditulis /p/. Transkripsi fonemik kedua-dua perkataan itu adalah /spɪn/ dan /pɪn/, dan aspirasi tidak lagi ditunjukkan kerana ia tidak bersifat tersendiri.

Hubung kait dengan ortografi

sunting

Sama ada pemetaan langsung antara fonem dengan aksara dapat dicapai bergantung pada jenis ortografi yang digunakan. Ortografi fonologi seperti ortografi bahasa Indonesia cenderung mempunyai pemetaan satu-demi-satu antara fonem kepada aksara, manakala ortografi abjad seperti ortografi bahasa Inggeris pula cenderung untuk cuba mempunyai pemetaan langsung, tetapi sering berakhir dengan memetakan satu fonem kepada berbilang aksara.

Dalam contoh di atas, aksara yang disertakan dalam kurungan siku: "pʰ" dan "p" ialah perwakilan AFA bagi fon. AFA tidak seperti bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia bukanlah merupakan ortografi praktikal yang digunakan secara awam, sebaliknya digunakan oleh ahli bahasa untuk mendapatkan transkripsi fonetik perkataan dalam bahasa pertuturan, maka ia merupakan sistem yang dieja secara tegar dalam bentuk fonetik dari segi reka bentuk asas.

Rujukan

sunting

Bibliografi

sunting
  • Barry, W. J. (2006). "Phoneme". Dalam Brown, Keith (penyunting). Encyclopedia of Language & Linguistics (ed. 2nd). Elsevier. m/s. 345–350. doi:10.1016/B0-08-044854-2/00009-2. ISBN 978-0-08-044854-1.
  • Crystal, David (1971). Linguistics. Baltimore: Penguin.
  • Loos, Eugene E., penyunting (1997). "What is a phone?". LinguaLinks: Glossary of linguistic terms. SIL International. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 October 2017. Dicapai pada 16 December 2013.
  • "Urdu: Structure of Language". Language Information Service (LIS) – India (dalam bahasa Inggeris). Mysore: Central Institute of Indian Languages. 2008. Dicapai pada 1 February 2016.