Fila Brazil

baka anjing dari Brazil
(Dilencongkan daripada Fila brasileiro)

Fila Brazil[a] ialah satu baka anjing pekerja besar Brazil daripada jenis mastif.[1]

Fila Brazil
Negara asalBrazil
Trait
Berat Jantan melebihi 50 kg (110 lb)[1]
Betina melebihi 40 kg (88 lb)[1]
Tinggi Jantan 65–75 cm (26–30 in)[1]
Betina 60–70 cm (24–28 in)[1]
Bulu pendek
Warna brindle, perang kekuning-kuningan, hitam[1]
Anjing (Canis lupus familiaris)

Ia digunakan sebagai anjing pengawal, untuk penggembalaan lembu, dan untuk pemburuan buruan besar; ia mungkin juga dibela sebagai anjing teman atau anjing peliharaan.[1] Pada abad kelapan belas, semasa perhambaan masih di sisi undang-undang di Brazil, fila Brazil digunakan untuk mengembalikan hamba kepada tuan hamba.[2]

Etimologi

sunting

Kata kerja "filar" dalam bahasa Portugis secara harfiah memaksudkan "menangkap, menahan, merebut".[3] Maka, "cão de fila" ("anjing fila") atau "cão de filar" menunjukkan bahawa ia merupakan anjing tangkap, iaitu anjing yang "menggigit dan tidak melonggarkan cengkamannya". Nama serupa juga terdapat pada dua baka anjing Portugis: cão de fila de São Miguel (fila São Miguel) dan cão de fila da Terceira (fila Terceira) yang kini pupus.

Sejarah

sunting
 
Anjing yang memburu seekor jaguar di Brazil, oleh Maximilian zu Wied-Neuwied

Fila Brazil disangkakan diturunkan daripada anjing-anjing Eropah yang dibawa ke Brazil semasa zaman Kolonial, dengan sedikit pengaruh atau tanpa pengaruh daripada anjing-anjing asli Amerika Selatan dari era Pra-Cabral.[4]

Fila Brazil dibiakbakakan dan dibesarkan terutamanya di ladang besar dan di ladang lembu yang merupakan asal usulnya. Sebagai tambahan kepada lembu, jaguar, dan haiwan lain, anjing ini diajar untuk mengejar hamba pelarian.[2]

Piawaian bertulis pertama bagi baka ini disunting pada tahun 1946. Orang Paulista bertanggungjawab untuk mengatur program pembiakbakaan terancang dan membuka buku pembaka untuk mendaftarkan anjing. Dr. Paulo Santos Cruz mula membiakbkakan fila Brazil secara sistematik dan turut menyumbang kepada penetapan piawaian CAFIB.[5]

Penampilan

sunting
 
Fila Brazil dewasa

Di Brazil, baka ini mempunyai dua piawaian utama yang dikenakan oleh dua buah kelab berbeza, Confederação Brasileira de Cinofilia, yang bergabung dengan FCI, dan Clube de Aprimoramento do Fila Brasileiro.[6][5][1] Piawaian CAFIB dibangunkan berdasarkan fenotip purba baka ini.[5] Walau bagaimanapun, piawaian CBKC/FCI semasa merupakan yang paling terkenal di peringkat antarabangsa.[1]

Fila Brazil ialah baka mastif dengan tulang besar dan kulit longgar. Menurut piawaian baka antarabangsa, jantan patut berdiri setinggi 65–75 cm (26–30 in) pada paras kelas dan berukuran seberat tidak kurang daripada 50 kg (110 lb);[1] betina pula lebih kecil sedikit, berdiri kira-kira setinggi 60–70 cm (24–28 in) dan berukuran seberat sekurang-kurangnya 40 kg (88 lb).[1] Ia mempunyai tubuh segi empat tepat dan, walaupun besar, ketangkasan semula jadinya ketara. Kepalanya besar dan berat dengan muncung dalam. Telinganya besar, tebal, menirus dan sama ada layu atau terlipat ke belakang lalu mendedahkan bahagian dalam, bergantung pada mood anjing. Leher dan belakangnya cukup berotot dan dadanya lebar dan dalam. Tidak seperti kebanyakan kanin, krupnya lebih tinggi daripada kelasa. Tungkainya sangat bertulang. Kulit baka ini sangat distingtif, kerana tebal dan longgar di serata tubuh, terutamanya di kawasan di sekitar leher. Kulit tebalnya membentuk gelambir jelas. Pada kebanyakan individu, gelambirnya lanjut ke dada dan ke abdomen. Sesetengah anjing menunjukkan lipatan di sisi kepala dan juga di kelasa lalu menurun ke bahu. Lapis bulunya pendek dan padat dan teksturnya biasanya licin dan lembut. Warnanya berbeza-beza daripada warna padu, brindle, kelabu tikus, bertompok, bertelau, atau hitam dan sawo matang. Ia hampir tidak pernah putih. Warna tipikal merupakan perang kekuning-kuningan, hitam, dan brindle. Brindle warna asas mungkin mempunyai jalur sama ada dengan keamatan kurang atau sangat kuat. Kadang-kadang topeng hitam hadir.[1]

Lapis bulu fila Brazil adalah licin dan pendek. Warna hitam, perang kekuning-kuningan (merah, aprikot, atau gelap), dan brindle (brindle perang kekuning-kuningan, hitam, atau perang) diizinkan, kecuali kelabu tikus, hitam dan sawo matang, biru, bertelua, dan putih metah. Tanda-tanda putih, yang tidak melebihi 1/4 luas permukaan lapis bulu, diizinkan pada kaki, dada, dan hujung ekor dalam piawaian FCI.

Piawaian CAFIB tidak menerima lapis bulu hitam, kelabu tikus, hitam dan sawo matang, biru, atau bertelau kerana pertubuhan ini menganggap warna-warna itu sebagai tanda pembiakbakaan silang; sebaliknya, pertubuhan ini menerima anjing dengan tanda-tanda putih besar pada mana-mana bahagian tubuh.[6]

Piawaian

sunting

Di Brazil, fila Brazil dapat dibiakbakakan dalam tiga piawaian berbeza yang dicadangkan oleh tiga buah kelab berasingan.[6][1][7] Piawaian yang dikenakan oleh CBKC (kelab yang bergabung dengan FCI) adalah yang paling popular di dunia, tetapi merupakan yang paling jauh daripada penampilan anjing lama dari empat dekad lalu.[1]

Dua lagi piawaian adalah daripada CAFIB (Clube de Aprimoramento do Fila Brasileiro; "Kelab Penambahbaikan Fila Brazil") dan AMFIBRA (Associação Mundial de Criadores de Cães da Raça Fila Brasileiro; "Persatuan Pembiak Baka Anjing Baka Fila Brazil Sedunia"), masing-masing.[6][8] Kedua-duanya berdasarkan piawaian baka pertama yang dihuraikan oleh Paulo Santos Cruz, lelaki yang dianggap sebagai "bapa baka".[7] Walau bagaimanapun, piawaian CAFIB ialah yang paling popular antara kedua-duanya. Walau bagaimanapun, kedua-dua kelab (CAFIB dan AMFIBRA) menampilkan diri dengan tujuan untuk memulihara fila tulen dengan penampilan terhampir dengan anjing-anjing lama.[6][5][8]

Perbezaan besar antara ketiga-tiga piawaian ini terutamanya disebabkan oleh tuduhan skandal pembiakbakaan silang terhadap anjing yang didaftarkan oleh CBKC pada tahun 1970-an, tahun 1980-an, dan tahun 1990-an dan, akibatnya, banyak perubahan yang dibuat dalam piawaian CBKC berkemungkinan menyertakan anjing dengan ciri-ciri baka-baka asing, seperti mastif Inggeris, anjing besar Denmark, dan mastif Napoli.[5][1][6]

Paulo Santos Cruz sendiri, yang turut serta dalam pembentukan CAFIB atas sebab-sebab sama dan juga mengetuai kelab itu, menerbitkan sebuah artikel pada tahun 1979 yang menerangkan cara untuk membezakan fila tulen daripada yang bercampur.[9][5]

Status undang-undang

sunting
 
Fila Brazil

Di Fiji,[10] di United Kingdom,[11] di Norway,[12] di Australia, di Hong Kong,[13] dan di Cyprus,[14] ada pengharaman ke atas pemilikan mana-mana anjing ini tanpa pengecualian khusus daripada Mahkamah. Di Turki, adalah haram untuk memiliki dan membiak Fila Brasileiro.[15] Ia secara automatik dikelaskan sebagai anjing berbahaya di Trinidad dan Tobago,[16] yang bermakna bahawa ia tidak boleh diimport dan jantan mesti dineuterkan. Di Malaysia, ia termasuk dalam senarai baka anjing terlarang yang bermaksud bahawa ia tidak boleh dibiakbakakan.[17]

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: فيلا برازيل; Portugis: fila brasileiro, sebutan dalam bahasa Portugis: [ˈfilɐ bɾaziˈlejɾu]

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n o "FCI-Standard N° 225 FILA BRASILEIRO" [Piawaian FCI No. 225 Fila Brazil] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Mulholland, Jennifer; Triquet, Raymond. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 4 Oktober 2016. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  2. ^ a b do Valle, Procópio; Monte, Enio (1981). O Grande Livro do Fila Brasileiro: Quatro Séculos da História do Brasil [Buku Besar Fila Brazil: Empat Abad Sejarah Brazil] (dalam bahasa Portugis). São Paulo, Brazil: Livraria Nobel. ISBN 9788521300595. OCLC 8954146.
  3. ^ "Filar". Dicio.com.br (dalam bahasa Portugis). Dicapai pada 17 Januari 2024.
  4. ^ van Asch, Barbara; Zhang, Aibing; Oskarsson, Mattias C. R.; Klütsch, Cornelya F. C.; Amorim, António; Savolainen, Carl Peter Olavi (7 September 2013). "Pre-Columbian origins of Native American dog breeds, with only limited replacement by European dogs, confirmed by mtDNA analysis" [Asal usul pra-Columbus bagi baka anjing asli Amerika, dengan hanya penggantian terbatas oleh anjing Eropah, disahkan oleh analisis mtDNA]. Proceedings of the Royal Society B: Biological Sciences (dalam bahasa Inggeris). Royal Society. 280 (1766): 20131142. doi:10.1098/rspb.2013.1142. ISSN 1471-2954. JSTOR 23478920. PMC 3730590. PMID 23843389. S2CID 18913715.
  5. ^ a b c d e f Chico Peltier (18 Mac 2016). Resumo sobre a História do Fila Brasileiro (dalam bahasa Portugis). Clube de Aprimoramento do Fila Brasileiro. Diarkibkan pada 1 Mei 2022.
  6. ^ a b c d e f Padrão da Raça Fila Brasileiro (dalam bahasa Portugis). Clube de Aprimoramento do Fila Brasileiro. Diarkibkan pada 1 Mei 2022.
  7. ^ a b "Piawaian Baka AMFIBRA" (dalam bahasa Portugis). Dicapai pada 17 Januari 2024.
  8. ^ a b "AMFIBRA" (dalam bahasa Portugis). Dicapai pada 17 Januari 2024.
  9. ^ "Rencana Paulo Santos Cruz". Fila Goiano Kennel (dalam bahasa Portugis). Diarkibkan daripada yang asal pada 29 April 2023. Dicapai pada 17 Januari 2024.
  10. ^ "Fiji Pet Passport Regulations" [Peraturan Pasport Haiwan Peliharaan Fiji]. Pettravel.com (dalam bahasa Inggeris). Pet Travel, Inc. Dicapai pada 17 Januari 2024.
  11. ^ "Controlling your dog in public" [Mengawal anjing anda di tempat awam]. GOV.UK (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 17 Januari 2024.
  12. ^ "Forskrift om hunder" [Arahan tentang anjing] (dalam bahasa Norway). Lovdata. 25 Ogos 2009. Dicapai pada 17 Januari 2024.
  13. ^ "Hong Kong e-Legislation" [e-Perundangan Hong Kong]. www.elegislation.gov.hk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 17 Januari 2024.
  14. ^ "Essential Animal Contacts" [Orang Hubungan Penting Haiwan]. Cyprus.angloinfo.com (dalam bahasa Inggeris). 4 Februari 2011. Dicapai pada 17 Januari 2024.
  15. ^ "Tehlike Arz Eden Hayvanlara İlişkin Genelge" [Arahan tentang Haiwan Berbahaya] (dalam bahasa Turki). Kementerian Pertanian dan Perhutanan. 9 Disember 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Disember 2021. Dicapai pada 17 Januari 2024.
  16. ^ "The Dangerous Dogs Act, 2000" [Akta Anjing Berbahaya, 2000] (PDF). Ttparliament.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 8 Ogos 2014. Dicapai pada 17 Januari 2024.
  17. ^ "Kod Amalan Kebajikan Haiwan: Aktiviti Pembiakan Haiwan Kesayangan" (pdf). Putrajaya, Malaysia: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia. 2019. m/s. 29. Dicapai pada 17 Januari 2024.