Emiliano Zapata
Emiliano Zapata Salazar (Sebutan Sepanyol: [emi'liano saˈpata]; 8 Ogos 1879 – 10 April 1919) ialah seorang tokoh utama dalam Revolusi Mexico yang tercetus pada tahun 1910, dan yang pada mulanya ditujukan kepada pemerintahan diktator Porfirio Díaz. Beliau membentuk dan mengetuai Tentera Pembebasan Selatan, sebuah pasukan pemberontak yang penting di negeri Morelos.
Zapata dilahirkan di pekan luar bandar Anenecuilco di Morelos. Ketika itu, masyarakat petani di Morelos semakin ditekan oleh golongan kecil tuan tanah yang memonopoli sumber tanah dan air bagi penanaman tebu dengan sokongan Porfirio Díaz. Zapata turut serta awal dalam gerakan politik menentang Diaz dan hacendados pemilik tanah, dan ketika revolusi meletus pada 1910 beliau menjadi pemimpin utama pemberontakan petani di Morelos. Dengan kerjasama beberapa pemimpin petani lain, beliau membentuk Tentera Pembebasan Selatan dan kemudian menjadi ketua mutlak. Angkatan Zapata membantu menjatuhkan Díaz, tetapi apabila ketua revolusi Francisco I. Madero menjadi presiden beliau tidak mengakui peranan Zapatistas (kumpulan Zapata), mengecam mereka sebagai penjahat biasa. Zapata menyebarluaskan Rancangan Ayala yang menyeru reformasi tanah besar-besaran, mengagihkan semula tanah kepada petani. Madero menghantar pasukan untuk menghancurkan Zapatistas di Morelos. Para jeneral Madero menggunakan dasar bumi hangus, membakar kampung dan mengeluarkan penduduknya, dan mengerah yang lelaki memasuki tentera atau dihantar ke kem buruh paksa di selatan Mexico. Ini menguatkan kedudukan Zapata di kalangan petani dan Zapata berjaya menghalau angkatan Madero dan Victoriano Huerta keluar Morelos. Huerta membunuh Madero dan mengambil alih kuasa, tetapi satu gabungan pendukung perlembagaan pimpinan Venustiano Carranza, Álvaro Obregón dan Francisco Villa menggulingkan beliau dengan sokongan askar Zapata. Carranza, juga tidak sukakan Zapata, melantik dirinya sebagai ketua Mexico, tetapi Villa bersekutu dengan Zapata menentang Carranza dan Obregón. Kecewa dengan persekutuan ini, Zapata menumpukan tenaganya kepada membina semula masyarakat di Morelos yang dikuasainya, memulakan reformasi tanah Rancangan Ayala. Apabila Carranza menyatukan kuasanya dan memujuk Villa, Zapata memulakan pertempuran gerila terhadap Carrancistas (kumpulan Carranza), yang lalu menyerang Morelos, sekali lagi menggunakan taktik bumi hangus bagi menyingkirkan pemberontak Zapatista. Zapata berjaya menguasai semula Morelos pada 1917 dan mengawal sebahagian besarnya sehingga terbunuh dalam satu serangan hendap pada 1919. Selepas kematiannya, para jeneral Zapatista bersepakat dengan Obregón menentang Carranza dan berjaya mendapat jawatan penting di Morelos selepas kejatuhan Carranza. Mereka melaksanakan banyak reformasi tanah yang dirancang oleh Zapata.
Zapata kekal sebagai watak ikon di Mexico, digunakan sebagai simbol kebangsaan serta simbol gerakan neo-Zapatista.
Lihat juga
suntingWikipetik mempunyai koleksi petikan mengenai: Emiliano Zapata |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Emiliano Zapata. |
Rujukan
suntingPautan luar
sunting- "Plan de Ayala" Zapata Diarkibkan 2007-09-05 di Wayback Machine (versi html teks lengkap dalam bahasa Sepanyol)
- Video Google tentang Zapata Diarkibkan 2007-03-11 di Wayback Machine
- Video-video tentang Emiliano Zapata